T-Team Hancurkan Harapan Hashim.
Impian Hashim Mustapha untuk melihat anak buahnya mencapai kemenanga ketiga tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada T-Team di Padang C, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, petang tadi.
Turun dengan skuad terbaik yang dimiliki, Kelantan dikejutkan dengan jaringan pertama tuan rumah melalui penyerang mereka, Muhamad Shahrin pada minit ke-5.
Mereka hampir menambah jaringan sejurus selepas itu namun cubaan cantik melalui Shahrin berjaya ditepis keluar penjaga gol Kelantan.
Tanpa disangka, bermula dengan satu serangan balas, Kelantan menyamakan kedudukan melalui Muhamad Asif pada minit ke-23.
Selepas jaringan tersebut, perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengatur gerakan untuk menambah jaringan.
Bersambung babak kedua, bagaikan mendapat tonik baru, T-Team melancarkan banyak serangan pantas ke arah kubu President Warriors.
Usaha mereka akhirnya berhasil apabila Muhamad Shahrin bijak memanfaatkan peluang terhidang untuk meletakkan bola ke dalam jaring untuk gol kedua pada minit ke-68.
Jaringan tersebut menyemarakkan semangat tuan rumah untuk terus melakukan serangan ke kubu pelawat.
Bagaimanapun, pemain Sang Kijang menyerap asakan untuk turut melancarkan serangan balas tetapi pihak lawan pula sering merebahkan badan untuk melambatkan masa perlawanan.
Keadaan bertambah tegang setelah beberapa pemain mula melakukan tindakan kasar memaksa pengadil melayangkan kad kuning kepada Aris Zaidi.
Pada saat akhir, Aris hampir menyamakan kedudukan selepas berjaya meloloskan diri dari kawalan tiga pertahanan T-Team namun sepakan kencang dari jarak dekat sedikit sahaja tersasar biarpun penjaga gol tuan rumah sudah tertewas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan