Misi Balas Dendam
KOTA BHARU – Ada yang menganggap ia pertembungan untuk menjaga maruah pasukan malah tidak kurang juga menggatakan ia pertemuan dua musuh tradisi namun hakikatnya perseteruan kedua-dua pasukan, Kelantan dan Terengganu dalam kancah bola sepak tempatan sememangnya tidak dapat dielakkan lagi.
Itulah yang menarik dalam memperkatakan pertembungan dua Gergasi Pantai Timur yang juga merupakan penyandang juara dan naib juara liga musim lalu dalam perlawanan ketujuh Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Rekod pertemuan musim lalu menyaksikan kedua-dua pasukan berentap dalam lima perlawanan pada tiga pentas kejohanan berbeza. Dalam saingan Liga Super, Kelantan sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 di Kota Bharu namun membuktikan kehebatan luar biasa dengan memalukan Sang Penyu 3-0 dalam aksi timbal balik di Kuala Terengganu.
Begitupun, Terengganu berjaya menebuskan kehampaan mereka mengalahkan Kelantan 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA pada 11 Jun tahun lalu. Kekalahan tersebut ternyata memilukan bagi The Red Warriors setelah kempunan untuk meraih kejuaraan piala tersebut buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.
Malah Terengganu terus menjadi penghalang kepada cita-cita besar Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia pada musim lalu. Kelantan ditunjukkan jalan keluar lebih awal pada saingan suku akhir setelah tewas 1-3 di Kuala Terengganu dan gagal bangkit di Kota Bharu pada perlawanan suku akhir kedua setelah diikat seri 2-2.
Malam ini, kedua-dua pasukan bakal turun beraksi dalam perlawanan ketujuh Liga Super di Kota Bharu. Bagi Kelantan, pertemuan menentang Terengganu merupakan kesempatan terbaik untuk membalas dendam setelah dikecewakan dalam dua kejohanan berbeza pada musim lalu.
Bukan itu sahaja, malah The Red Warriors berpeluang untuk kekal selaku satu-satunya pasukan tunggal tanpa kalah dan merampas kembali gelaran pendahulu liga yang terlepas kepada Perak tiga hari lalu seandainya mampu mengatasi Terengganu malam ini.
Namun itu tidak semudah yang disangkakan kerana anak buah Peter Butler sudah pasti akan mengharungi tempoh 90 minit yang begitu sukar pada perlawanan malam ini. Bukan sahaja perlu berhadapan dengan percaturan taktikal jurulatih, Mohd Zan Mat Aris malah kehebatan pemain import, Francis Forkey Doe yang kian hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.
Sentuhan pemain import dari Liberia itu begitu ‘menjadi’ apabila dia kini meledak lima gol daripada empat perlawanan setakat ini. Tetapi Kelantan juga tidak harus lupa kelibat pemain tempatan Terengganu seperti Mohamad Ashaari Samsudin dan Abdul Manaf Mamat yang boleh memalukan impian The Red Warriors di hadapan penyokong sendiri malam ini.
Benteng pertahanan Kelantan yang bakal diterajui bekas pemain pertahanan Nigeria, Obinna Nwaneri bersama rakan sepasukan yang lain harus bekerja lebih keras bagi mengekang asakan rangkaian penyerang Terengganu itu.
Malah jentera tengah yang diketuai jeneral padang, Mohd Badhri Radzi bersama-sama Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Mohd Shakir Shaari perlu beraksi lebih efektif bagi mencipta gerakan merbahaya untuk Kelantan.
Sementara itu sentuhan Norshahrul Idlan Talaha atau terkenal dengan jolokan ‘The Linesman’ bersama gandingannya, Mohammed Ghaddar sudah pasti ditagih dalam usaha mereka merobek pintu gol Terengganu yang dikawal oleh Mohd Sharbinee Allawee Ramli pada malam ini.
LESEN
Sabtu, 11 Februari 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Catatan Popular
-
Para penyokong bersabar dahulu.Gambar dibawah ini bukanlah gambar Official jersi Kelantan musim 2013 namun kemungkinan ianya direka send...
-
Syed Adney Wira The Red Warriors Syed Adney dijulang sebagai wira The Red Warriors apabila beliau berjaya menafikan sepakan penalti pada m...
-
Peluang Kelantan Uji Barisan Utama Harimau Muda A emel Share 5 Rekod perlawanan persahabatan Kelantan bertemu Harimau Muda pada 27/12/...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan