KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 11 November 2013

Norfarhan masih berunding dengan KAFA

Norfarhan masih berunding dengan KAFA
STATUS pemain The Red Warriors, Mohd Norfarhan Muhammad (gambar) masih lagi menjadi tanda tanya meski pun dia sebelum ini dikatakan bakal berhijrah ke pasukan selatan tanah air, Johor Darul Takzim (JDT). 

Hal ini kerana Mohd Norfarhan belum menandatangani sebarang kontrak bersama pasukan tersebut, sekali gus mengesahkan pemain berusia 29 tahun itu masih menjadi milik mutlak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Sumber dalaman memberitahu, Mohd Norfarhan dikatakan masih mengadakan rundingan dengan pihak KAFA ketika ini bagi membolehkan beliau kekal beraksi bersama Kelantan pada musim depan.

“Tidak timbul soal dia (Mohd Norfarhan) membuat pusingan U. Apa yang boleh saya katakan dia masih milik Kelantan sehingga hari ini. Namun ada beberapa perkara yang perlu dibereskan bagi membolehkan kemelut ini diselesaikan.

“Berat hati dia untuk meninggalkan Kelantan. Dia begitu menyukai atmosfera bola sepak terutama gelagat penyokong Kelantan di sini. Jadi berilah dia sedikit masa untuk membuat keputusan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jelas sumber dalaman itu lagi, sikap penyokong Kelantan yang sentiasa menyanjung tinggi mana-mana pemain bola sepak menyarung jersi negeri tersebut membuatkan Mohd Norfarhan atau dikenali ‘Ben 10’ begitu sukar untuk membuat keputusan berhijrah ke pasukan lain.

“Bukan tawaran lumayan tetapi kepuasan bermain menjadi keutamaannya. Dia tidak mahu peminat menuduhnya meninggalkan Kelantan disebabkan mengejar wang ringgit semata-mata. Dia begitu gembira bermain dan mahu kekal di sini,” katanya.


Ahad, 10 November 2013

Kelantan Sedia Bangkit Semula

ANTARA kenyataan Annuar menerusi entri dalam laman sosial Facebook miliknya semalam.
PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengakui bahawa The Red Warriors kini terpaksa berdepan dengan krisis yang mereka cipta.
Ia gara-gara lapan tonggak utama Kelantan yang sah akan meninggalkan The Red Warriors musim depan.
Melalui entri laman sosial Facebook miliknya semalam, Annuar berkata, KAFA mungkin terpaksa melakukan sesuatu yang tidak pernah terfikir sebelum ini demi maruah The Red Warriors.
“Bahana daripada kejayaan ciptaan sendiri kini mengundang masalah lebih besar tapi sanggupkah (kita) melihat yang dibina terkubur di depan mata?
“Pengorbanan kali ini bukan lagi menuntut masa, tenaga, dan daya usaha tetapi harta dan apa jua yang ada, jika tidak runtuhan ini tidak mungkin akan terbina lagi.
“Beri saya sedikit masa dan kita akan umumkan saf The Red Warriors 2014 walaupun dengan pengorbanan peribadi yang amat besar, kita reda.
“Daripada runtuhan TRW 2013, kita akan buat kejutan untuk mereka yang mahu menalqinkan TRW 2014,” katanya.
Annuar juga melalui entri laman sosial tersebut turut menempelak beberapa pemain yang melahirkan rasa sayang dan keberatan untuk meninggalkan The Red Warriors.
“Ada yang berpura pura menulis dalam Facebook kononnya sayang meninggalkan TRW. Nak saya ceritakan sepenuhnya kisah macam mana saya terpaksa memujuk rayu sesetengah dari mereka? Tak perlulah rasanya, mereka tahu.
“Ceritalah yang benar. Apa nak malu, cerita sahaja apa permintaan yang tak dapat KAFA tunaikan itu. Kita pun sudah reda, yang nak pergi, pergilah, tak usah reka alasan. Pintu KAFA tetap terbuka sampai sekarang, nak keluar boleh, nak masuk pun boleh.
“Pendaftaran ditutup pada 17 November ini, siapa pun yang datang dan pergi, TRW teruskan perjuangan dan tidak bergantung kepada individu, kita sepasukan.
“Rebah bangun bersama yang setiap kepada TRW dan yang menghargai penyokong,” luah Annuar melalui salah satu entrinya itu.
Terdahulu, Annuar dalam laman Facebooknya telah menyenaraikan lapan pemain Kelantan yang akan meninggalkan The Red Warriors musim depan.
Pemain terbabit ialah Mohd. Norfarhan Muhammad, Indra Putra Mahayuddin, Daudsu Jamaluddin, S. Subramaniam, Mohd. Shakir Shaari, Azizi Matt Rose, Rizal Fahmi Rosid dan Mohd. Izuan Solahuddin.
Dalam pada itu, Annuar mengumumkan Kelantan telah mendapatkan khidmat dua bekas pemenang anugerah Kasut Emas Liga Malaysia, namun enggan mendedahkan nama pemain terbabit.
“Doa-doakan supaya tiga pemain yang pernah memenangi anugerah Kasut Emas akan bersama The Red Warriors 2014. Dua sudah muktamad, seorang lagi akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Hidup dicabar adalah cabaran hidup,” jelasnya.
Tiga pemenang Kasut Emas sebelum ini ialah pemain import Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James bagi musim 2013 manakala Jean-Emmanuel Effa Owona dan Francis Forkey Doe berkongsi anugerah yang sama pada 2012.
Dua pemain tempatan yang memenangi anugerah tersebut ialah Abdul Hadi Yahya pada musim 2011 dan Mohd. Ashaari Shamsuddin (2010) cipta.

Ben 10’ Enggan Burukkan Keadaan

Norfarhan Mohammad
KOTA BHARU – Tidak mahu memanaskan keadaan, penyerang sensasi Kelantan, Mohd. Norfarhan Muhammad mengambil sikap untuk berdiam diri biarpun dikaitkan dengan kritikan pedas Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berhubung isu perpindahan pemain itu musim depan.
Norfarhan yang dihubungi Mingguan Malaysia semalam hanya memberitahu, dia dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung perkara tersebut.
Bagaimanapun, dia mengesahkan tidak akan bersama Kelantan musim depan dan beralih angin ke pasukan di selatan tanah air.
“Saya minta maaf. Saya dinasihatkan agar tidak memberi sebarang komen. Insya-Allah kalau tidak ada aral melintang saya akan bermain untuk Johor DT (Darul Takzim) pada musim depan,” katanya semalam.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan pedas Annuar terhadap pemain tertentu yang mahu berhijrah musim depan tetapi berpura-pura dan mencipta pelbagai alasan.
Banyak pihak melihat kritikan tersebut ditujukan kepada Norfarhan ekoran entrinya dalam laman Facebook yang dikatakan terkilan dengan Annuar kerana menyenaraikan nama pemain yang akan berpindah, termasuk namanya meskipun pada ketika itu dia belum membuat sebarang keputusan.
Norfarhan yang terkenal dengan jolokan ‘Ben 10′ adalah antara lapan pemain yang disenaraikan oleh Annuar untuk meninggalkan pasukan The Red Warriors.
Tujuh lagi pemain yang beralih angin ialah Daudsu Jamaluddin, Indra Putra Mahyuddin, Syakir Shaari, S. Subramaniam, Rizal Fahmi Rosid, Izuan Solahudin dan Azizi Mat Rose.
Syakir, Daudsu, Subramaniam dan Azizi akan bersama-sama beliau untuk menyertai Johor DT.
Sementara itu, Daudsu menegaskan, penghijrahannya ke Johor DT bukan kerana tawaran yang lumayan tetapi hanya mahu beralih angin dan mencuba nasib di tempat baharu.
Tegasnya, keputusan itu juga demi kebaikan bersama antara dia dengan KAFA selepas telah memaklumkan lebih awal hasratnya untuk berhijrah.
“Di Kelantan saya sudah mengenggam pelbagai piala, saya hanya mahu mencuba nasib di tempat baru.
“Bukan tidak mahu berkhidmat di negeri sendiri tetapi untuk kebaikan bersama, baik untuk KAFA dan baik untuk saya juga.
“Saya masih sayangkan Kelantan, negeri kelahiran saya tetapi kerjaya saya memang begini.
“Ada orang persoalkan, kenapa Steven Gerrard kekal lama di Liverpool, mungkin di situ (Liverpool) sama-sama memahami, jawapan ini adalah kesimpulan kepada persoalan yang dibangkitkan,” kata pemain pertahanan itu.
Sementara itu, dia mengucapkan terima kasih kepada penyokong setia The Red Warriors dan berharap mereka akan terus memberi sokongan kepada pasukan tersebut pada musim depan.
“Saya mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan dan berharap mereka terus memberi sokongan, segala dorongan dan kritikan yang diberikan oleh penyokong banyak membantu saya saya untuk maju ke hadapan,” katanya yang beraksi bersama Kelantan selama lima musim.
Daudsu memulakan karier bersama pasukan TNB selama dua musim sebelum berhijrah ke Johor FC pada tahun 2005 dan beraksi selama empat musim bersama pasukan tersebut.
www.utusan.com.my

Rabu, 6 November 2013

Norfarhan Nafi Sertai Johor DT


Norfarhan Muhammad
Kota Bharu: Pemain sayap Kelantan Norfarhan Muhammad menafikan khabar angin sudah menerima tawaran untuk bersama pasukan Johor Darul Takzim (DT) pada saingan Liga M musim depan.
Pemain kelahiran Terengganu berusia 29 tahun itu berkata, kontraknya bersama The Red Warriors hanya tamat hujung bulan ini dan belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana pasukan.
Dia mengaku bertemu Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa semalam untuk berbincang berhubung perkara itu.
“Saya belum buat keputusan menyertai pasukan lain dan akan tunggu hingga tamat kontrak hujung bulan ini sebelum buat keputusan ke mana arah tuju saya.
“Saya akui mendapat tawaran daripada beberapa pasukan lain, tengoklah dalam seminggu dua saya akan buat keputusan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, semalam.
Selain Norfarhan, dua pemain lain Azizi Mat Rose dan Mohd Shakir Saari turut dikaitkan akan berhijrah ke Johor DT manakala Daudsu Jamaluddin dan S Subramaniam sah menyertai pasukan Harimau Selatan itu.
Sementara itu, Azizi turut mengaku mendapat tawaran menyertai Johor DT namun belum membuat sebarang kata putus.

Selasa, 5 November 2013

‘Perpisahan Yang Mengecewakan’

Norfarhan Muhammad tidak mampu



Menyembunyikan kekecewaan selepas Kelantan tewas kepada Pahang, kelmarin.


KOTA BHARU – Pada ketika final Piala Malaysia 2013 menjadi perlawanan terakhir buat beberapa tonggak utama Kelantan yang bakal berhijrah musim depan, ia umpama perpisahan yang cukup mengecewakan selepas gagal mempertahankan kejuaraan.

Biarpun Kelantan sudah menggondol pelbagai kejuaraan dalam tempoh lima tahun terakhir, termasuk muncul juara treble musim lalu dan juara Piala FA tahun ini, namun kekalahan 1-0 kepada Pahang kelmarin kenyataan yang amat pedih untuk diterima The Red Warriors.

Pemain sayap Kelantan, Mohd. Norfarhan Muhammad mengakui, dia cukup terkilan gagal membantu pasukannya mempertahankan kejuaraan.

Norfarhan, yang dikaitkan dengan penghijrahan ke Johor Darul Takzim (Johor DT) bagaimanapun menegaskan, dia dan rakan-rakan telah bermati-matian sepanjang perlawanan.

“Kekecewaan gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia memang amat dirasai, namun apakan daya nasib tidak menyebelahi Kelantan walaupun memiliki beberapa peluang terhidang.

“Saya ingin merakamkan ucapan terim kasih kepada peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan padu kepada Red Warriors setiap kali kami beraksi termasuklah pada perlawanan malam tadi (kelmarin),” katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LSTIP), Pengkalan Chepa dekat sini semalam.
Mengulas mengenai masa depannya bersama Red Warriors musim hadapan, pemain yang terkenal dengan gelaran Ben 10 itu mengakui, belum membuat keputusan sama ada mahu kekal bersama Kelantan atau atau sebaliknya, tahun depan.
Katanya, ketika ini dia hanya mahu berehat seketika dan keputusan hanya akan dibuat dalam tempoh antara seminggu hingga dua minggu lagi.

“Saya belum buat keputusan…pagi tadi saya sudah berjumpa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa. Lagipun kontrak saya bersama Kelantan akan tamat hujung bulan ini,” ujarnya.

Selain Norfarhan, beberapa nama besar dalam pasukan Kelantan turut dikaitkan bakal berhijrah ke pasukan Johor DT.

Mereka yang disebut-sebut adalah tonggak pertahanan, Mohd. Daudsu Jamaluddin, Azizi Mat Rose, S. Subramaniam dan Mohd. Shakir Shaari.
Azizi ketika ditemui turut mengakui, belum membuat keputusan mengenai masa depannya.

Ahad, 3 November 2013

Norfarhan anggap diri bertuah


FARHAN anggap dirinya bertuah kali ini kerana berpeluang beraksi pada final Piala Malaysia selepas hasratnya tidak kesampaian tahun lalu.


MUSIM 2012 menyaksikan Kelantan menutup musim gemilang mereka dengan gelaran trebel selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan akhir Piala Malaysia, namun bagi penyerang terbilang The Red Warriors, Norfarhan Muhammad ia adalah saat yang mendukakan.
Apa tidaknya, beliau yang membantu Kelantan menjaringkan lima gol sepanjang 10 penampilan kempen Piala Malaysia musim lalu terpaksa menyaksikan rakan-rakan meneruskan perjuangan dari tempat duduk penonton gara-gara digantung perlawanan akibat memungut dua kad kuning.
Bagaimanapun, Norfarhan mungkin sebahagian daripada pemain bola sepak yang bertuah apabila pasukan yang diwakilinya sekali lagi berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut.
Perlawanan akhir kali ini menyaksikan Norfarhan terpaksa memikul tekanan yang agak tinggi kerana beliau dilihat sebagai tonggak jentera serangan paling penting selepas mempamerkan aksi yang begitu sempurna terutama kemampuannya menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan genting.
“Musim lepas saya kecewa kerana tidak dapat beraksi, biarpun kami memenangi Piala Malaysia sebagai pemain bola kepuasan itu tidak sampai. Tahun ini merupakan peluang terbaik untuk saya membuktikan kemampuan.
“Selain misi untuk mempertahankan kejuaraan untuk Kelantan, saya juga akan turun dengan misi peribadi membalas kepercayaan pihak pengurusan dan jurulatih selain menambah koleksi penampilan dan jaringan saya pada pentas perlawanan akhir,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun tambahnya, kekuatan yang ada pada Pahang tidak boleh diambil mudah kerana mereka juga mempunyai jentera tengah yang begitu solid dan penguasaan pada posisi berkenaan menjamin kejayaan pada perlawanan akhir berkenaan.
Sementara itu, Norfarhan turut menyedari bahawa harapan yang tinggi terpaksa dipikul terutama apabila beliau juga menjadi salah seorang pemain yang akan diberi tumpuan khusus oleh benteng pertahanan Pahang.
“Dalam setiap perlawanan pasti ada tekanan, saya harap saya mampu untuk menyerap tekanan tersebut dan bermain seperti biasa. Memang kita kena beri sepenuh fokus, ini perlawanan terakhir musim ini dan saya mahu memberi sepenuhnya.
“Musim lepas saya kecewa kerana tidak dapat beraksi, musim ini saya tidak mahu kecewa kerana kekalahan. Kita akan turun bermain dengan strategi yang diarahkan oleh jurulatih dan saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Norfarhan pastinya akan menjadi tumpuan selepas menjadi antara tonggak penting Kelantan musim 2013 dengan menjaringkan 11 gol bersama 40 penampilan dalam beberapa kejohanan walaupun sekadar memahat tiga gol pada 10 aksi Piala Malaysia namun, dia juga terlibat dalam merencanakan tujuh hantaran yang berjaya disudahkan dengan jaringan oleh rakan sepasukannya.


Zairul Fokus Sekat Alex, Gopi

Zairul Fitree Ishak
“AWAS Alex dan Gopi! Kami mahu rantai pergerakan anda.”
Itu amaran tonggak pertahanan The Red Warriors, Zairul Fitree Ishak kepada kedua-dua pemain sayap Pahang itu menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 3 November ini.
Zairul Fitree menegaskan, tiada ruang bagi Azamuddin Mohd Akil atau dikenali Alex dan R Gopinathan untuk bergerak bebas kerana beliau dan rakan sepasukannya di benteng pertahanan cukup bersedia untuk merantai pergerakan dua pemain sayap lincah Tok Gajah itu.
Zairul Fitree berkata, kekuatan Pahang sebenarnya lebih bertumpu kepada kepantasan dimiliki dua pemain tersebut terutamanya Gopinathan yang dilihat mampu melakukan hantaran lintang berbahaya ke dalam kotak penalti.
“Senjata utama Pahang mendapatkan jaringan ialah menerusi hantaran silang. Mereka sudah buktikan apabila Mohd Fauzi Roslan menjaringkan gol menerusi tandukan ketika mengikat seri 1-1 dengan Sarawak dalam separuh akhir kedua tempoh hari.
“Saya percaya jika kami boleh menyekat pergerakan Alex dan Gopinathan, Kelantan akan mendominasi bahagian tengah. Ini yang akan kami lakukan ke atas mereka pada perlawanan akhir itu nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, meski pun Kelantan akan beraksi tanpa pemain import, Obinna Nwaneri namun beliau menegaskan itu bukan bermakna skuad kendalian Dollah Salleh itu mampu menembusi benteng pertahanan mereka dengan mudah.
“Ketiadaan Obinna memang begitu dirasakan tetapi kami tidak boleh terlalu memikirkan mengenai dia. Kami perlu lebih fokus dalam latihan dua tiga hari ini dan saya percaya pertahanan Kelantan tetap kebal sekali pun tanpa kelibatnya,” katanya.
Ketika ini, dua pemain iaitu Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid dilihat calon paling hampir menjadi pilihan pengendali Kelantan, Bojan Hodak untuk menggantikan Obinna beraksi pada perlawanan akhir nanti.
Dalam pada itu, pemain pertahanan kiri berusia 28 tahun itu berkata, beliau mahu menutup saingan Liga Malaysia musim ini dengan menjulang kejuaraan kali ketiga pada penampilan keempat pasukannya di pentas final Piala Malaysia.
“Memenangi Piala Malaysia adalah detik terindah bagi karier seorang pemain bola sepak. Setelah mendakap kejuaraan pada 2010 dan musim lalu, saya mahu memastikan piala tersebut kekal di Kota Bharu tahun depan,” katanya.

Sabtu, 2 November 2013

PERLAWANAN TERAKHIR BOJAN HODAK


Bojan Hodak
HODAK dilaporkan bakal meninggalkan Kelantan penghujung musim ini.
SEANDAINYA Kelantan sekali lagi dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2013, ia masih belum mampu untuk mengubati kekecewaan peminat-peminat fanatik pasukan Pantai Timur itu.
Ini kerana mereka bakal kehilangan jurulatih berwibawa, Bojan Hodak.
Jurulatih kelahiran Croatia itu berjaya memimpin Kelantan dengan pencapaian yang sungguh membanggakan sehingga bergelar juara trebel musim lalu.
Begitupun, Hodak yang dilantik sebagai pengendali skuad Kelantan pada Mac 2012 lalu, dilihat lebih berminat untuk memberikan perhatian kepada aksi final berbanding memikirkan hala tuju kariernya selepas ini.
“Benar, ini adalah tugas terakhir saya untuk Kelantan tetapi saya lebih berminat untuk memberikan perhatian kepada aksi final Piala Malaysia.
“Peluang buat kedua-dua pasukan adalah seimbang. Buat pasukan saya sendiri, skuad Kelantan berada di dalam keadaan terbaik.
“Sudah tentu kami mahu memenangi Piala Malaysia. Pendapat saya, tiada sebarang perbezaan aksi final ini dengan mana-mana perlawanan lain.
“Namun, kami turun tanpa kelibat Obinna (Nwaneri). Kedua-dua pasukan memiliki kelebihan sama yang mana pemain-pemain ini mempunyai pengalaman beraksi di perlawanan besar seperti final Piala Malaysia.
“Jika Obinna beraksi, saya berani mengatakan bahawa peluang kami iaitu sebanyak 51-49 peratus untuk menjulang Piala Malaysia sekali lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pengurus-pengurus pasukan yang bertanding pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.
Dalam perkembangan sama, Hodak juga tidak mahu terjerat dengan permainan psikologi Pahang pada final itu nanti

Jumaat, 1 November 2013

Awas mainan psikologi: Daudsu


  • Awas mainan psikologi: DaudsuDaudsu (kanan) hanya mampu mendoakan kejayaan Kelantan, Ahad ini.
 1 / 1 
PEMAIN pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak terbawa-bawa dengan ramalan bahawa pasukan itu mampu mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

Daudsu yang terlepas aksi final menentang Pahang Ahad ini berkata, di atas kertas kelebihan memang berpihak kepada Kelantan namun realitinya tidak boleh dijadikan ukuran kerana dalam tempoh 90 minit apa sahaja boleh berlaku.

"Atas kertas kita boleh cakap apa sahaja tapi yang menentukan segalanya adalah aksi di atas padang. Bagi saya, mereka yang menganggap Kelantan sebagai pilihan sebenarnya lebih kepada perang psikologi.

"Tapi saya tidak nafikan Kelantan mempunyai kelebihan berbanding Pahang, cuma saya tidak mahu kita terlalu yakin sehingga lalai.

"Saya juga tidak mahu menganggap Kelantan sudah juara kerana kita masih belum juara dan Ahad ini yang akan menentukan segalanya.

"Jadi, saya harap pemain Kelantan berhati-hati dan sentiasa fokus. Jangan mudah mendabik dada walaupun dilabel pasukan pilihan," katanya.

Daudsu yang diketepikan ekoran mengalami kecederaan lutut tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya gagal membantu pasukan hujung minggu ini.

"Sedih memang sedih lebih-lebih lagi ini perlawanan akhir. Apa pun, saya berdoa supaya rakan-rakan dapat memberikan yang terbaik sekali gus mengekalkan kejuaraan ini," ujarnya yang akan menyertai Johor Darul Takzim (JDT) musim depan.

Dalam pada itu, ketika ditanya ketiadaan pemain pertahanan, Obinna Nwaneri yang akan memberi masalah yang cukup besar kepada The Red Warriors, Daudsu yakin Bojan Hodak mempunyai ramuan bagi menentukan pemain terbaik menggantikan pemain terbabit.

"Walaupun tiada Nwaneri tetapi Kelantan masih ada pemain lain terutama Nik Shahrul Azim Ab Halim dan Mohd Farisham Ismail.

"Secara keseluruhannya saya percaya pasukan Kelantan lebih bagus dan berpengalaman daripada Pahang," katanya lagi.

Nwaneri terlepas perlawanan akhir kali ini selepas dilayangkan kad kuning pada perlawanan separuh akhir menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jumaat lalu oleh pengadil Nafeez Abdul Wahab selepas didakwa mengasari penyerang ATM, Marlon Alex James kira-kira dua minit sebelum perlawanan tamat.

Kad kuning berkenaan merupakan yang kedua diperolehinya dalam kejohanan itu selepas kad kuning pertama ketika saingan suku akhir menentang JDT di Kota Bharu pada 4 Oktober lalu.

Catatan Popular