Norfarhan masih berunding dengan KAFA |
STATUS pemain The Red Warriors, Mohd Norfarhan Muhammad (gambar) masih lagi menjadi tanda tanya meski pun dia sebelum ini dikatakan bakal berhijrah ke pasukan selatan tanah air, Johor Darul Takzim (JDT).
Hal ini kerana Mohd Norfarhan belum menandatangani sebarang kontrak bersama pasukan tersebut, sekali gus mengesahkan pemain berusia 29 tahun itu masih menjadi milik mutlak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Sumber dalaman memberitahu, Mohd Norfarhan dikatakan masih mengadakan rundingan dengan pihak KAFA ketika ini bagi membolehkan beliau kekal beraksi bersama Kelantan pada musim depan.
“Tidak timbul soal dia (Mohd Norfarhan) membuat pusingan U. Apa yang boleh saya katakan dia masih milik Kelantan sehingga hari ini. Namun ada beberapa perkara yang perlu dibereskan bagi membolehkan kemelut ini diselesaikan.
“Berat hati dia untuk meninggalkan Kelantan. Dia begitu menyukai atmosfera bola sepak terutama gelagat penyokong Kelantan di sini. Jadi berilah dia sedikit masa untuk membuat keputusan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Jelas sumber dalaman itu lagi, sikap penyokong Kelantan yang sentiasa menyanjung tinggi mana-mana pemain bola sepak menyarung jersi negeri tersebut membuatkan Mohd Norfarhan atau dikenali ‘Ben 10’ begitu sukar untuk membuat keputusan berhijrah ke pasukan lain.
“Bukan tawaran lumayan tetapi kepuasan bermain menjadi keutamaannya. Dia tidak mahu peminat menuduhnya meninggalkan Kelantan disebabkan mengejar wang ringgit semata-mata. Dia begitu gembira bermain dan mahu kekal di sini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan