KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 10 November 2013

Ben 10’ Enggan Burukkan Keadaan

Norfarhan Mohammad
KOTA BHARU – Tidak mahu memanaskan keadaan, penyerang sensasi Kelantan, Mohd. Norfarhan Muhammad mengambil sikap untuk berdiam diri biarpun dikaitkan dengan kritikan pedas Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berhubung isu perpindahan pemain itu musim depan.
Norfarhan yang dihubungi Mingguan Malaysia semalam hanya memberitahu, dia dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung perkara tersebut.
Bagaimanapun, dia mengesahkan tidak akan bersama Kelantan musim depan dan beralih angin ke pasukan di selatan tanah air.
“Saya minta maaf. Saya dinasihatkan agar tidak memberi sebarang komen. Insya-Allah kalau tidak ada aral melintang saya akan bermain untuk Johor DT (Darul Takzim) pada musim depan,” katanya semalam.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan pedas Annuar terhadap pemain tertentu yang mahu berhijrah musim depan tetapi berpura-pura dan mencipta pelbagai alasan.
Banyak pihak melihat kritikan tersebut ditujukan kepada Norfarhan ekoran entrinya dalam laman Facebook yang dikatakan terkilan dengan Annuar kerana menyenaraikan nama pemain yang akan berpindah, termasuk namanya meskipun pada ketika itu dia belum membuat sebarang keputusan.
Norfarhan yang terkenal dengan jolokan ‘Ben 10′ adalah antara lapan pemain yang disenaraikan oleh Annuar untuk meninggalkan pasukan The Red Warriors.
Tujuh lagi pemain yang beralih angin ialah Daudsu Jamaluddin, Indra Putra Mahyuddin, Syakir Shaari, S. Subramaniam, Rizal Fahmi Rosid, Izuan Solahudin dan Azizi Mat Rose.
Syakir, Daudsu, Subramaniam dan Azizi akan bersama-sama beliau untuk menyertai Johor DT.
Sementara itu, Daudsu menegaskan, penghijrahannya ke Johor DT bukan kerana tawaran yang lumayan tetapi hanya mahu beralih angin dan mencuba nasib di tempat baharu.
Tegasnya, keputusan itu juga demi kebaikan bersama antara dia dengan KAFA selepas telah memaklumkan lebih awal hasratnya untuk berhijrah.
“Di Kelantan saya sudah mengenggam pelbagai piala, saya hanya mahu mencuba nasib di tempat baru.
“Bukan tidak mahu berkhidmat di negeri sendiri tetapi untuk kebaikan bersama, baik untuk KAFA dan baik untuk saya juga.
“Saya masih sayangkan Kelantan, negeri kelahiran saya tetapi kerjaya saya memang begini.
“Ada orang persoalkan, kenapa Steven Gerrard kekal lama di Liverpool, mungkin di situ (Liverpool) sama-sama memahami, jawapan ini adalah kesimpulan kepada persoalan yang dibangkitkan,” kata pemain pertahanan itu.
Sementara itu, dia mengucapkan terima kasih kepada penyokong setia The Red Warriors dan berharap mereka akan terus memberi sokongan kepada pasukan tersebut pada musim depan.
“Saya mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan dan berharap mereka terus memberi sokongan, segala dorongan dan kritikan yang diberikan oleh penyokong banyak membantu saya saya untuk maju ke hadapan,” katanya yang beraksi bersama Kelantan selama lima musim.
Daudsu memulakan karier bersama pasukan TNB selama dua musim sebelum berhijrah ke Johor FC pada tahun 2005 dan beraksi selama empat musim bersama pasukan tersebut.
www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular