|
MUSIM 2012 menyaksikan Kelantan menutup musim gemilang mereka dengan gelaran trebel selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan akhir Piala Malaysia, namun bagi penyerang terbilang The Red Warriors, Norfarhan Muhammad ia adalah saat yang mendukakan.
Apa tidaknya, beliau yang membantu Kelantan menjaringkan lima gol sepanjang 10 penampilan kempen Piala Malaysia musim lalu terpaksa menyaksikan rakan-rakan meneruskan perjuangan dari tempat duduk penonton gara-gara digantung perlawanan akibat memungut dua kad kuning.
Bagaimanapun, Norfarhan mungkin sebahagian daripada pemain bola sepak yang bertuah apabila pasukan yang diwakilinya sekali lagi berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut.
Perlawanan akhir kali ini menyaksikan Norfarhan terpaksa memikul tekanan yang agak tinggi kerana beliau dilihat sebagai tonggak jentera serangan paling penting selepas mempamerkan aksi yang begitu sempurna terutama kemampuannya menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan genting.
“Musim lepas saya kecewa kerana tidak dapat beraksi, biarpun kami memenangi Piala Malaysia sebagai pemain bola kepuasan itu tidak sampai. Tahun ini merupakan peluang terbaik untuk saya membuktikan kemampuan.
“Selain misi untuk mempertahankan kejuaraan untuk Kelantan, saya juga akan turun dengan misi peribadi membalas kepercayaan pihak pengurusan dan jurulatih selain menambah koleksi penampilan dan jaringan saya pada pentas perlawanan akhir,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun tambahnya, kekuatan yang ada pada Pahang tidak boleh diambil mudah kerana mereka juga mempunyai jentera tengah yang begitu solid dan penguasaan pada posisi berkenaan menjamin kejayaan pada perlawanan akhir berkenaan.
Sementara itu, Norfarhan turut menyedari bahawa harapan yang tinggi terpaksa dipikul terutama apabila beliau juga menjadi salah seorang pemain yang akan diberi tumpuan khusus oleh benteng pertahanan Pahang.
“Dalam setiap perlawanan pasti ada tekanan, saya harap saya mampu untuk menyerap tekanan tersebut dan bermain seperti biasa. Memang kita kena beri sepenuh fokus, ini perlawanan terakhir musim ini dan saya mahu memberi sepenuhnya.
“Musim lepas saya kecewa kerana tidak dapat beraksi, musim ini saya tidak mahu kecewa kerana kekalahan. Kita akan turun bermain dengan strategi yang diarahkan oleh jurulatih dan saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Norfarhan pastinya akan menjadi tumpuan selepas menjadi antara tonggak penting Kelantan musim 2013 dengan menjaringkan 11 gol bersama 40 penampilan dalam beberapa kejohanan walaupun sekadar memahat tiga gol pada 10 aksi Piala Malaysia namun, dia juga terlibat dalam merencanakan tujuh hantaran yang berjaya disudahkan dengan jaringan oleh rakan sepasukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan