KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 21 Oktober 2012

Kelantan Cipta sejarah



          
             Pemain pasukan Kelantan meraikan kejayaan menjuarai 
            Piala Malaysia 2012 selepas menewaskan ATM 3-2 
            pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

SHAH ALAM – Kelantan mengesahkan selaku kuasa besar bola sepak negara musim 2012 dengan melengkapkan kejuaraan treble selepas menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dalam babak akhir, semalam.

Indra Putra Mahayuddin layak dijulang selaku wira The Red Warriors apabila jaringannya pada masa tambahan pada minit ke-96 hasil serangan pantas, menjulang Kelantan selaku juara Piala Malaysia edisi kali ke-96 sekali gus menjadikan tahun 2012 sebagai tahun paling bermakna dalam sejarah bola sepak Kelantan.
Jaringan kemenangan daripada Indra itu seolah-olah mengesahkan kata-kata pengendali Kelantan, Bojan Hodak pada sidang media pengurus pasukan kelmarin, yang mengatakan ATM tidak dapat bertahan sehingga penghujung perlawanan kerana terdiri daripada ramai pemain berumur.

Berpunca daripada gerakan pantas Shakir Shaari dan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya yang tidak dapat dibendung pemain ATM, Indra pantas mencari ruang kosong sebelum melepaskan rembatan menarik ke arah sebelah kanan pintu gol.

Sebelum itu, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dua kali meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-44 dan 50, namun dapat disamakan sebanyak dua kali oleh ATM melalui Rezal Zambery Yahya pada minit ke-49 dan Marlon Alex James pada minit ke-62.
Kekalahan ATM bermakna tiada lagi magis Hairuddin Omar dalam penampilan final kelima Piala Malaysia apabila buat pertama kali pemain berusia 33 tahun itu gagal membawa pulang trofi keagungan bola sepak negara bersama pasukan yang diwakilinya selepas melakukannya empat kali sebelum ini bersama Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Dalam aksi akhir yang disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra serta kira-kira 80,000 penonton itu, kedua-dua pasukan berjaya menampilkan permainan menghiburkan tetapi diselangi kekecohan di babak terakhir perlawanan ekoran keputusan pengadil yang mengundang kontroversi.

Malah, hampir terjadi pergaduhan ketika perlawanan tinggal lima minit untuk ditamatkan selepas pemain ATM bertindak meneruskan perlawanan ketika Indra mahukan Shakir yang cedera diberikan rawatan namun pengadil, Nafeez Abd. Wahab pantas membendung insiden lebih buruk daripada terjadi.

Barisan tengah ATM dilihat cukup pincang pada babak pertama biarpun dibarisi pemain berpengalaman seperti Rezal Zambery Yahya dan Bruno Martelotto apabila gagal merencanakan sebarang gerakan menarik.
Christie Jayaseelan dilihat sedikit gugup pada penampilan pertama di final selain Marlon Alex James dapat dirantai kemas oleh Obinna Nwaneri.

Situasi itu bijak dieksploitasi oleh Kelantan sepenuhnya yang mempamerkan rentak penuh bertenaga dengan sekurang-kurangnya empat percubaan tepat dengan salah satunya menembusi gawang ATM pada minit ke-44.

Kesilapan Farizal Harun yang tidak menangkap kemas rembatan Mat Yo yang menerima umpanan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya membuka tirai jaringan Kelantan, ketika perlawanan separuh masa pertama hanya menunggu masa untuk ditamatkan.

Pengendali ATM, B. Sathianathan bagaimanapun ternyata mempunyai percaturannya tersendiri pada separuh masa kedua dan pasukannya hanya menunggu masa selama empat minit sebaik permainan bermula untuk menyamakan kedudukan melalui Rezal Zambery hasil sepakan leret dari jarak 25 meter.

Kegembiraan ATM bagaimanapun hanya bertahan selama seminit apabila Norshahrul sekali lagi membuktikan bisanya belum hilang menerusi serangan balas pantas dan memperdaya K. Reuben sebelum melepaskan sepakan yang tidak diselamatkan Farizal.

Namun, semangat juang ATM sama sekali tidak padam, percaturan bijak Sathia memasukkan dua pemain gantian, Venice Elphi Danny Kaya dan Mohd. Fitri Omar mengambil alih peranan sayap kiri pada minit ke-60 ternyata membuahkan hasil mengkucar-kacirkan benteng Kelantan.

Selepas Venice dijatuhkan berhampiran kotak penalti di sebelah kiri pintu gol Kelantan, Marlon melonjak tinggi menanduk masuk ke dalam gawang bagi gol penyamaan ATM pada minit ke-62.

Kelantan bagaikan berada dalam lamunan kira-kira 15 minit perlawanan selepas ATM dapat menyamakan kedudukan tetapi tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan sehingga memaksa perlawanan diheret masa tambahan.

Piala Malaysia: Kelantan juara kalahkan ATM

                                      
                                     Piya dan Apek menjjulang Piala Malaysia

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Kelantan mencatat sejarah dengan muncul pemenang tiga gelaran musim 2012, setelah menewaskan Angkatan Tentera 3-2 dalam perlawanan akhir untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kedua, di Stadium Shah Alam, Selangor.

Juara Piala FA dan Liga Super serta Piala Malaysia 2010 itu melengkapkan koleksi tersebut dengan dua jaringan Norshahrul Idlan Talaha dan Indra Putra Mahayuddin manakala lawan merapatkan jurang menerusi Rezal Zambery Yahya dan Marlon Alex James.


 

Sabtu, 20 Oktober 2012

Hajat besar Awe



AWE mahu memastikan Piala Malaysia kembali ke pangkuan Kelantan.


“SAYA pasti tuah bukan lagi milik Hairuddin (Omar) tetapi tuah bersama saya kali ini.”Itu keyakinan yang dilaungkan pemain sayap lincah The Red Warriors, Nurul Azuan Roya yang mahu menjadikan penampilan pertamanya di pentas final Piala Malaysia musim ini sebagai kenangan paling indah sepanjang karier sebagai pemain bola sepak.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Awe berkata, dia bersedia sepenuhnya untuk beraksi sekiranya diturunkan dalam perlawanan malam ini dan mahu menghadiahkan kejuaraan tersebut kepada peminat setia Kelantan.

Menurutnya, ini merupakan peluang terbaik untuknya melengkapkan koleksi kejuaraan peribadi selepas berjaya merangkul Piala FA dan Liga Super bersama Kelantan sebelum ini selain menjadi sebahagian daripada pasukan yang merangkul gelaran trebel.

“Peluang yang ada ini saya mahu manfaatkan sebaik mungkin kerana ia tidak selalu datang dan perlawanan akhir kali ini amat berlainan daripada biasa kerana kita membawa misi yang besar, jadi tanggungjawabnya juga cukup besar.

“Saya bertekad untuk membantu pasukan melengkapkan kejuaraan ketiga dengan meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut seterusnya melakar sejarah trebel buat kali pertama,” katanya.
Sepanjang dua musim beraksi bersama The Red Warriors, Nurul Azuan membuat penampilan sebanyak dua kali di pentas final Piala FA serta berjaya mendakap tiga kejuaraan iaitu dua Liga Super musim 2011 dan 2012 serta Piala FA 2012.

Dalam pada itu, anak kelahiran Semerak, Pasir Puteh itu memberitahu, Kelantan tetap mempunyai peluang dalam perlawanan tersebut meskipun turun tanpa dua tonggak iaitu Mohammad Ghaddar dan Norfarhan Mohammad.

“Ketiadaan dua pemain tersebut sememangnya dirasai, mereka antara tonggak penting kejayaan kita musim ini. Namun, saya percaya jurulatih ada perancangannya tersendiri untuk menghadapi perlawanan tersebut.

“Bola sepak adalah permainan berpasukan, jadi saya minta kepada rakan-rakan sepasukan supaya dapat memberikan aksi terbaik dalam perlawanan tersebut.

“Ini peluang terbaik kita untuk menjulang kejuaraan trebel buat kali pertama seterusnya mencipta sejarah baharu,” ujarnya.

Karathu pilih Kelantan



NORSHAHRUL (kanan) antara penyerang yang bakal menjadi sandaran Kelantan untuk merobek gawang ATM malam ini.



BIARPUN turun tanpa skuad yang lengkap, namun Kelantan mempunyai pemain berkualiti yang mampu menjana kekuatan pasukan selain pengalaman beraksi dalam perlawanan berprofil tinggi bakal menjadi penentu kejayaan.
Pengendali Kelantan musim lalu, Datuk M.Karathu terus percaya bekas anak didiknya itu mampu memikul tanggungjawab dan tanpa sebarang ragu-ragu beliau percaya Piala Malaysia kali ini akan pulang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang sekali lagi selepas memenanginya pada musim 2010.

Menurutnya, taktikal dan corak permainan selain kekuatan fizikal serta mental akan menjadi penentu pasukan yang akan menjuarai perlawanan akhir kali kerana kekuatan yang ada pada kedua-dua pasukan cukup seimbang.

"Sudah pasti ia akan menjadi antara perlawanan akhir yang paling hebat pernah kita saksikan. Tanpa dua pemain penting saya fikir ia bukan pengakhiran untuk Kelantan kerana setiap pemain mereka mempunyai kualiti serta sedia untuk diturunkan.

"Malam esok (malam ini) sudah tentu sandaran utama adalah Norshahrul Idlan Talaha walaupun prestasinya agak tenggelam dan sentuhan penyudahnya bermasalah berbanding musim lalu. Beliau memerlukan gandingan yang baik seperti Indra Putra Mahayuddin dan Nurul Azwan Roya untuk membuka permainan dan ketiga-tiga mereka perlu lebih agresif," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, perlawanan malam ini merupakan peluang terbaik untuk Norshahrul Idlan membuktikan penyudahnya masih berbisa selepas melalui musim yang agak suram dan sentuhan magis pemain yang dikenali sebagai Mat Yo mungkin mampu menghadiahkan kemenangan untuk Kelantan.

Kejayaan terbesar yang pernah dikecepi oleh Karathu ketika mengemudi The Red Warriors ialah menjulang kejuaraan Liga Super buat kali pertama untuk Kelantan selain menjadi naib johan Piala FA untuk musim 2011.

Beliau berkata, Kelantan bagaimanapun harus berwaspada dengan jentera penggempur ATM apabila mereka mempunyai dua pemain flanker yang cukup laju, Christie Jayaseelan dan Zaquan Adha Abdul Razak yang mampu bertindak dengan baik.

"Benteng pertahanan sudah tentunya perlu bekerja keras terutamanya menyekat hantaran-hantaran lintang dan bola tinggi daripada ATM kerana Hairuddin Omar dan Marlon Alex James cukup gemar untuk menyudahkan hantaran seperti itu.

"Kelantan perlu beraksi secara berpasukan, mereka perlu menyerang dan pantas bertahan. Mula bermain bola rendah dan hantaran-hantaran pendek merupakan perkembangan yang baik tetapi gerakan yang dihasilkan perlu lebih berkualiti dan memerlukan sokongan jentera tengah seperti Badri Radzi dan Shakir Shaari," ujarnya.

Mengulas lanjut, Karathu menjangkakan perlawanan yang akan berlangsung malam ini pastinya cukup sengit dan menarik terutama kehebatan kedua-dua pasukan yang berjaya mengadunkan pemain berpengalaman dan pemain muda.

"Walau apa pun, saya fikir Kelantan akan menang dengan jaringan 2-1," jelasnya.

(GAMBAR) REFEREE YANG AKAN ADILI FINAL PIALA MALAYSIA 2012


Nafeez Abdul Wahab
Pengadil Kontroversi

Persoalan siapakah yang bakal menjadi Pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 akhirnya terjawab apabila Nama yang tidak asing lagi buat penyokong Kelantan iaitu Nafeez Abd. Wahab bakal diberi tugas untuk mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 sabtu ini di Stadium Shah Alam.
Pengadil ini pernah menimbulkan kontroversi apabila melayangkan 10 kad kuning dan lima kad merah dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2011 diantara Terengganu dan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu tahun lalu.

Berikut adalah nama-nama pengadil yg akan mengadili final Piala Malaysia; ATM vs Kelantan sabtu ini – Pengadil: Mohd Nafeez Abd Wahab P.Pengadil 1: Mohd Yusri Muhamad P.Pengadil 2: Mohd Jais Bujang Pegawai Ke-4 : Kamal Ahmad Pembantu Pengadil Simpanan : Rosli Sha’ban Penilai Pengadil : Azman Sulong dan General Koordinator : Haji Ahmad Fuad Daud –

Khamis, 18 Oktober 2012

FAM Tolak Rayuan Kaji Kad Kuning Norfarhan.



296510_517662034917789_1743936395_n

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak rayuan The Red Warriors untuk mengkaji kembali kad kuning yang diterima Norfarhan Mohamad pada saingan separuh akhir Piala Malaysia tempoh hari.
Menurut FAM, sebarang rayuan untuk mengkaji kad kuning yang dilayangkan oleh pengadil hanya boleh dilakukan pada saingan peringkat kumpulan.

Ini kerana setiap pasukan perlu memiliki sekurang-kurangnya tiga perlawanan dan apabila tiba di peringkat separuh akhir, mereka bermain kurang dari tiga perlawanan menyebabkan ia tidak dibenarkan merayu.
Norfarhan merupakan penjaring terbanyak Kelantan dalam saingan Piala Malaysia terpaksa melupakan perlawanan akhir selepas menerima dua kad kuning ketika membantu Sang Kijang menewaskan Selangor di peringkat separuh akhir.

Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menghantar surat rayuan kepada FAM untuk mengkaji kembali kad kuning yang diterima pemain ini kerana merasakan pengadil memberi keputusan tidak wajar ketika perlawanan tersebut.

Dengan penolakan rayuan oleh FAM, Norfarhan akan menjadi penonton bersama Mohamad Ghaddar yang turut menerima nasib sama digantung untuk perlawanan tersebut

Nurul Azwan, Daudsu Bakal Berhijrah?


534235_523503901000269_1196842633_n

Dua pemain tonggak The Red Warriors mungkin akan berhijrah menyertai pasukan lain pada musim depan.
Menurut Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, Nurul Azwan Roya dan Daudsu Jamaluddin kekal tidak menandatangani kontrak baru untuk bersama pasukan pada musim depan.
Mereka ada berjumpa saya memberitahu tentang tawaran dari pasukan lain.

Saya tidak menghalang mereka dan mana-mana pemain untuk berhijrah jika pasukan yang akan mereka sertai itu lebih baik daripada Kelantan.

Kita tidak mahu pemain berhijrah kepada pasukan yang lebih teruk daripada Kelantan kerana hanya menerima tawaran lumayan, jelasnya.

Bagaimanapun kita tidak menghalang kerana mereka bebas untuk beraksi bersama pasukan lain yang mereka rasa lebih baik daripada kita.

Selasa, 16 Oktober 2012

Pemain Kelantan di janji lot rumah


ANNUAR (dua dari kiri) bersama pemain dan pegawai skuad Kelantan selepas majlis penyerahan insentif di Kota Bharu semalam.


MISI memburu gelaran treble terus mencengkam semangat para pemain The Red Warriors apabila mereka dijanjikan imbuhan cukup lumayan jika berjaya membawa pulang piala ketiga, Piala Malaysia, Sabtu ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan, setiap pemain The Red Warriors bakal dianugerahkan satu lot rumah yang dianggarkan bernilai antara RM60,000 hingga RM80,000.
Menurutnya, ganjaran yang bakal diberikan bertindak sebagai motivasi dalam usaha Kelantan mencipta sejarah baharu bola sepak negeri itu untuk merangkul tiga piala dalam satu musim.
"Peluang untuk merangkul tiga kejuaraan semusim barangkali tidak selalu datang, mungkin sekali dalam 100 tahun.
"Kadang-kadang kita menang satu piala tetapi kali ini adalah peluang untuk kita menguasai semua kejuaraan yang ada dalam bola sepak negara.
"Justeru, KAFA bersetuju untuk memberikan para pemain ganjaran yang mereka boleh kenang sampai bila-bila.
"Ia melibatkan peruntukan bernilai hampir RM2 juta," katanya ketika ditemui semalam.
Bagaimanapun tambahnya, lokasi lot-lot rumah berkenaan, konsep dan pembahagiannya akan ditentukan kelak oleh pihak pengurusan selepas mereka berjaya menjalankan misi tersebut.
Katanya, ganjaran kini bukan lagi dalam bentuk wang kerana para pemain sudah mendapat banyak insentif daripada segi wang ringgit dan pihak pengurusan mahu memberikan sesuatu yang lebih bernilai sesuai dengan pengorbanan yang mereka lakukan.
"Apa yang kita fikirkan adalah untuk kebaikan para pemain kerana ramai pemain yang belum memiliki rumah, keluarga mereka belum memiliki rumah dan ada yang masih menyewa. Saya fikir ini juga baik untuk pemain-pemain muda terutamanya untuk memiliki aset.
"Saya juga suka untuk menasihati pihak-pihak yang ingin menyumbang kepada pemain supaya merujuk kepada KAFA agar pengurusannya menjadi lebih baik dan teratur," ujarnya.
Dalam perkembangan yang sama, Annuar juga turut menyampaikan imbuhan bernilai RM125,000 kepada semua pemain Kelantan selepas mereka berjaya layak ke perlawanan akhir menewaskan Selangor pada saingan separuh akhir Piala Malaysia lalu.
Sebelum ini, para pemain Kelantan sudah menerima insentif bernilai RM75,000 selepas mereka berjaya menewaskan Felda United pada saingan suku akhir Piala Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan insentif yang diberikan kepada RM200,000.
"Saya mahu tengok para pemain menyertai perlawanan akhir tanpa sebarang halangan dan gangguan serta mahu mereka fokus kepada permainan," jelasnya.

Isnin, 15 Oktober 2012

Bukan Tugas Mudah - Bojan.

Pertemuan akhir Piala Malaysia melawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sabtu depan merupakan detik sukar bagi semua pemain dan pihak pengurusan Kelantan kerana lawan yang bakal dihadapi dilihat bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengejutkan Sang Kijang.
Kelantan yang kini dalam misi memungut tiga kejuaraan semusim pastinya tidak rela mahkota yang diidamkan terlepas kepada ATM.
Tetapi mereka perlu akui tugasan kali ini sangat sukar dan mungkin tidak mencapai sasaran andai gagal mencipta jurang awal keatas pasukan lawan.
Bagaimanapun, ketua jurulatih The Red Warriors, Bojan Hodak yakin pasukan kendaliannya dapat menjulang kejuaraan Piala Malaysia.
Mengakui kesukaran menentang ATM, Bojan tetap optimis barisan pemain sedia ada dapat meneruskan rekod bersih keatas pasukan kendalian B. Sathianathan tersebut.
Biar kehilangan dua tonggak harapan akibat pengantungan perlawanan, beliau yakin pemain lain yang mengisi skuad Kelantan bersedia untuk mencapai kejuaraan ketiga selepas Liga Super dan Piala FA.
ATM sebuah pasukan yang kuat kerana dibarisi pemain berpengalaman dan berstatus kebangsaan, begitu juga dengan jurulatih, dia sangat bagus dan terbaik tetapi saya tetap yakin pemain kami sudah bersedia untuk mendapatkan kemenangan, jelasnya.

Catatan Popular