LESEN
Selasa, 16 Februari 2010
Walau apa pun strategi skuad lawan, Ketua Jurulatih B. Sathianathan pasti akan menyediakan ramuan dan resipi padat serta padu untuk menjamin keselesaan kepada skuad The Red Warriors dalam mengharungi perlawanan kedua dan sokongan serta cemuhan peminat setia The Red Warriors. B. Sathianathan perlu cepat melahirkan penyerang yang bijak merebut dan mencipta peluang didepan gol dan bukannya penyerang yang hanya tahu merembat liar didepan gol. Kehebatan NorShahrul Idlan perlu dipergunakan sepenuhnya selain pemain bertaraf bintang lain seperti Piya, Hai-o, Akmal dan Indra perlu membuktikan pelaburan terhadap mereka tidak sia-sia, prestasi tahun lepas perlu dikembalikan. Ramai menjangkakan The Red Warriors mampu layak ke akhir piala FA tetapi diharap dengan harapan ini jangan pula membuat pemain bermain dengan lewa dan selesa setelah dilabel skuad bintang kerana kerahan tenaga pemain untuk gol kemenangan perlu di maksima sehingga wisel terakhir dengan jaminan kemenangan berbaloi untuk peminat yang datang dan terus memberi sorakan padu.
Dijangka lebih 5 buah bas telah ditempah dan ratusan peminat telah sedia untuk memenuhi Stadium Darul Aman malam ini. Diharap skuad The Red Warriors dapat menghadiahkan satu kemenangan yang bermakna untuk peminat setia ini. GOMO KELATE GOMO... PINTU BUKIT JALIL MENANTI KITA LAGI TUUUU............AMARAN AWAL....ELAKKAN MEMBAWA MASUK MERCUN...
Kelantan bersemangat
KOTA BHARU – Setelah berehat hampir dua minggu, Kelantan akan bertandang ke Alor Setar untuk bertemu Kedah dalam saingan pusingan kedua Piala FA, hari ini..
Sepanjang tempoh tersebut, Kelantan menggunakan kesempatan memperkemaskan barisan pemain, termasuk mengadakan kem motivasi untuk mengembalikan semula moral pemain.
Bertandang ke gelanggang lawan yang pernah menewaskan mereka di laman sendiri, memberikan sedikit tekanan buat pengendali skuad Red Warriors, B.Sathianathan.
Ini ditambah dengan misi yang cukup besar iaitu membawa pulang bekalan jaringan selesa ke Kota Bharu pada perlawanan kedua nanti.
Kelantan yang mendapat “bye” pada pusingan pertama, tampil selaku naib juara musim lalu, pasti mengharapkan sentuhan ajaib Sathianathan, untuk mengulangi apa yang dilakukan Peter Butler pada musim lepas.
Pertemuan hari ini bukan sahaja menguji kredibiliti kedua-dua jurulatih pasukan, tetapi pertarungan kali ini tertumpu pada ketajaman penyudah kedua-dua pasukan.
Kelantan pasti mengharapkan sentuhan penyudah berbisa yang juga peledak sensasi kebangsaan, Nor shahrul Idlan Talha bersama gandinganya untuk merobek gawang gol yang dikawal oleh Helmi Eliza Elias.
Sementara itu, Kedah pasti mengharapkan sentuhan berbisa penjaring terbanyak Liga Super setakat ini, Azlan Ismail.
Kedah dijangka memberi saingan sengit kepada Red Warriors, jika berjaya melepasi pusingan kedua, kedua-dua pasukan dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk melayakkan diri ke separuh akhir.
Laluan mudah dilihat menanti pasukan yang layak, kerana lawan mereka selepas ini adalah dari saingan Liga Perdana.
Kedah pasti menjanjikan gandingan mantap di posisi pertahanan yang dikemudi oleh pertahanan kebangsaan Mohd Azmi Muslim,Mohd Sabree Mat Abu bersama V.Thirumurugan, Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin, yang mampu menyekat kemaraan rangkaian penyerang Kelantan.
Biarpun ketiadaan Khryll Muhaimeen, yang berehat lama akibat kecederaan lutut, rangkaian jentera tengah mereka harus diawasi.
Gandingan Shahrul Nizam Mustapa, Ahmad Fauzi Shaari, Badrol Bakhtiar bersama Khairul Helmi Johari mampu mendominasi jentera tengah jika dibiarkan bergerak bebas.
Gandingan Mohd Azlan Ismail bersama Mohd Zamri Chin, juga harus dirantai secukupnya oleh pertahanan Kelantan, jika tidak mahu berputih mata.
Posisi penjaga gol memperlihatkan saingan sengit bagi merebut tempat antara penjaga gol veteran, Halim Napi dengan rakan pelatihnya, Syed Adney pasti memeningkan kepada Sathianathan untuk membuat pilihan.
Persiapan di posisi pertahanan Kelantan tampak sedikit terjejas ekoran perkhabaran bahawa pertahanan kental mereka, S. Subramanian mengalami kecederaan.
Namun, itu bukan masalah besar buat Sathianathan.
Rangkai pilihan pemain yang dimiliki, mampu memberikan kelebihan dalam menyusun strategi untuk mengekan asakan lawan.
Kelibat Azizi Mat Rose pasti ditagih untuk merantai pergerakan Azlan Ismail dan membentuk gandingan yang mantap bersama Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Farisham Ismail.
Di bahagian jentera tengah, Kelantan pasti mengharapkan sentuhan Indra Putra Mahayuddin, Muhd. Badri Radzi dan Mohd. Shakir untuk merencanakan pergerakan bagi memastikan barisan serangan tidak berdepan masalah untuk mendapatkan bola.
Posisi serangan, peminat pasti mengharapkan perubahan drastik dilakukan oleh Sathianathan jika mahu membawa bekalan selesa ke Kota Bharu.
Kritikan menjadi pencetus semangat Norshahrul
| |
| NORSHAHRUL menjadikan kritikan peminat sebagai senjata untuk meningkatkan prestasinya. |
MENJADI bintang bola sepak adakalanya tidak semanis seperti yang dianggap oleh peminat bola sepak tanah air, lapor KHAIRI MOHAMAD.
Jika tersilap langkah hamburan kata-kata yang kurang enak pastinya akan memanaskan cuping telinga pemain yang berstatus bintang ini.
Namun, itu semua asam garam yang terpaksa dilalui oleh pemain bola sepak apabila segunung harapan diletakkan di bahu mereka.
Bagi bintang Kelantan, Nurshahrul Idlan Talaha, aksi awal musimnya yang agak goyah menyebabkan ada sesetengah pihak cuba mempersoalkan kewibawaannya.
Sebagai penggempur pasukan kebangsaan dengan reputasi sebagai antara pemain skuad emas Sukan SEA di Laos baru-baru ini, bakatnya ditagih peminat The Red Warriors.
Berdepan masalah keserasian, aksi beliau di awal musim sedikit tenggelam dan beliau juga seperti 'hanyut' dek beberapa masalah yang menghantui pasukan Kelantan.
Bagaimanapun, hatrik ketika turun menentang Pulau Pinang dalam kempen Liga Super di Kota Bharu, bulan lalu menutup mulut pengkritik beliau.
Menggalas cabaran turun menentang Kedah pada pusingan kedua Piala FA di Kedah pastinya bisa beliau sekali lagi ditagih peminat Kelantan.
Berdepan pertahanan Kedah yang sememangnya kental, Nurshahrul bersama rakan-rakannya perlu lebih kreatif untuk merobek kubu lawan.
Menurutnya, beliau kini sudah bersedia untuk menjadi salah seorang penyerang yang disegani lawan dalam dunia bola sepak tempatan.
"Ada beberapa pemain Kedah pernah menjadi rakan sepasukan ketika menyarung jersi kebangsaan dan ini sedikit sebanyak memberi kelebihan.
"Bagi saya kritikan daripada peminat tidak pernah melemahkan semangat tetapi ia menjadi tonik untuk saya memperbaiki persembahan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, keserasian antara beliau dan rakan sepasukan semakin menunjukkan peningkatan dan memerlukan beberapa perlawanan lagi untuk mencapai tahap sebenar.
Jelasnya, sebagai finalis Piala FA musim lalu, tekanan pastinya berpihak kepada Kelantan namun, sedikit melegakan apabila perlawanan kedua akan berlangsung di Kota Bharu.
"Kayakinan sudah ada tetapi perlu berhati-hati kerana Kedah juga bukan calang-calang pasukan untuk ditewaskan.
"Kita pernah tewas di Kota Bharu dalam kempen Liga Super dan ini adalah peluang untuk menebus kembali kehampaan itu," ujarnya.
Penyerang kelahiran Besut, Terengganu dan dibesarkan di Tanah Merah, Kelantan itu juga mensasarkan satu gol setiap perlawanan bagi memastikan The Red Warriors mencapai impian membawa balik sekurang-kurangnya satu piala musim ini.
Sabtu, 13 Februari 2010
Jumaat, 2010 Februari 12
Bina stadium baru disokong
KOTA BHARU - Penyokong pasukan Kelantan menyambut baik cadangan pembinaan sebuah stadium bola sepak baru di Kampung Gading Galoh, Machang oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kepada Majlis Sukan Negeri.
Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK), Azman Mohd. Noor berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tapak yang dikemukakan oleh Kafa.
"Lokasi ini sesuai kerana ia berada di tengah - tengah jalan yang menghubungkan semua jajahan di negeri ini.
"Jadi, adalah adil bagi semua pihak, baik yang jauh atau yang dekat semuanya dapat menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan kesayangan mereka beraksi hadapan mata mereka," katanya.
Tambahnya, sudah sampai masanya stadium baru ini dibina di luar bandar Kota Bharu untuk mengelakkan berlakunya kesesakan jalan raya.
Stadium Sultan Muhammad Ke IV yang dibina pada tahun 1967, kini berusia lebih empat dekad dengan keadaannya semakin usang serta keadaan papan markah yang mereput.
Stadium berkenaan yang mempunyai kapasiti 15,000 orang dalam setiap perlawanan berada dalam keadaan sesak apabila peminat yang hadir terlalu ramai melebihi jumlah yang sepatutnya.
Kawasan tempat meletak kenderaan yang terlalu sempit turut menyebabkan kesesakan sehingga ke beberapa jalan utama di bandar ini akibat tindakan pemandu meninggalkan kereta mereka di bahu jalan.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan cadangan pembinaan stadium baru yang dijangka menelan kos sebanyak RM120 juta itu telah dibuat oleh Presiden Kafa untuk dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke Sepuluh (RMK10).
|
Selepas berlangsungnya 3 perlawanan tertunda semalam (rujuk keputusan disebelah kiri), kedudukan Kelantan telah jatuh ke tangga ke-6 TM Liga Super. Kami berharap penyokong The Red Warriors tidak panik dan risau memandangkan bulan Februari tiada perlawanan liga. Sama-sama kita nantikan pertarungan sengit Skuad The Red Warriors dengan Skuad Hijau Kuning untuk perlawanan Piala FA 2010 pada 16hb di Alor Star & 20hb di Kota Bharu. Perlawanan ini akan memberi peluang kepada Skuad The Red Warriors menebus kekalahan memalukan pada Skuad Kedah pada bulan januari lepas. Gomo Kelate Gomo..... |
| Kafa kenal pasti tapak stadium baru | | | |
| KOTA BHARU - Persatuan Bola sepak Kelantan (Kafa) sudah mengenal pasti tapak untuk pembinaan stadium baru di Gading Galoh, Machang yang dijangka hanya menelan belanja RM120 juta. |
Selasa, 9 Februari 2010
Kenyataan Akhbar Setiausaha KFAFC.
KETUA jurulatih Kelantan, B. Sathianathan boleh menarik nafas lega apabila kelab penyokong utama The Red Warriors, KelantanFa Fan Club tetap berdiri teguh di belakangnya.
Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK) menyatakan pendirian yang sama beberapa pihak sebelum ini dengan mempertahankan kedudukan Sathianathan.
Setiausaha KPBSK, Azman Mohd. Noor berkata, berdasarkan tujuh perlawanan lalu prestasi Kelantan tidaklah terlalu teruk berbanding musim lalu.
"Musim lepas kita tewas di Terengganu dan Perlis tetapi musim ini kita mencatat keputusan seri dan ia suatu yang positif untuk kita sama-sama menilainya.
"Memiliki pemain bintang bukan bererti kita mesti menang dalam semua perlawanan, jika kita rasa kita kuat, kita kena ingat orang lain juga kuat," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekecewaan apabila sesetengah pihak turut mempertikaikan pelantikan Indra Putra Mahayuddin sebagai ketua pasukan.
"Siapa sahaja boleh dilantik sebagai kapten sama ada dia anak Kelantan atau tidak, itu bukan isunya. Selagi dia layak dia berhak mengepalai pasukan.
"Mereka (pemain) adalah pemain profesional dan saya harap jangan ada penyokong di luar sana cuba untuk mengeruhkan keadaan dengan isu remeh seperti ini," jelasnya.
Krisis yang berbangkit kepada skuad Kelantan sebelum ini dianggap selesai dan kesemua pemain kembali fokus untuk mendapat kemenangan, kata ketua jurulatih skuad bola sepak Kelantan, B. Sathianathan.
Menurutnya, inisiatif yang diambil oleh Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berjaya menyelesaikan masalah berbangkit sekali gus meningkatkan kembali moral pemain untuk terus berjuang.
“Kita akui beberapa masalah wujud sebelum ini, bagaimanapun pendekatan yang diambil oleh Tan Sri Annuar telah menjernihkan kembali, kita kini berada dalam landasan yang terbaik untuk meneruskan momentum kemenangan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sebelum ini, Sathia yang juga bekas jurulatih skuad kebangsaan mencetuskan keadaan cemas kepada skuad Kelantan apabila beliau menyatakan bahawa terdapat individu tertentu yang mahu menyingkirkannya dari skuad Red Warriors.
Katanya, individu tersebut mahu mengambil alih peranannya dalam skuad Red Warriors walaupun tidak memiliki kelayakan sewajarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perlawanan Piala FA, Sathia berkata pihaknya sudah melakukan persiapan untuk menentang pemenang antara Kedah dan Sabah.
Katanya, Kelantan yang sebelum ini mendapat bye di pusingan pertama bersedia bertemu sesiapa sahaja namun beliau menjangkakan Kedah bakal menjadi lawan kepada Kelantan setelah menilai situasi semasa.
“Dalam keadaan ini, Kedah dijangka menjadi lawan kita, jika menjadi realistik kita sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan mereka. Kekalahan sebelum ini menjadi pengajaran berguna kepada kita,” katanya.
Katanya, semua pemainnya bebas dari kecederaan kecuali ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin yang mengalami kecederaan kecil, namun dijangka mampu pulih sepenuhnya menjelang perlawanan. -Sinar Harian
| Bintang Kelantan malap | | | |
|
SEJAK tiga tahun kebelakangan ini, Kelantan mula mempamerkan kegarangan mereka dalam aksi liga bola sepak tempatan. Bermula selepas tampuk Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diambil alih oleh Tan Sri Annuar Musa, para peminat setia Kelantan mula membanjiri gelanggang keramat - Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu. Tahun 2009 menjadi musim terbaik Kelantan apabila mereka berjaya menjejakkan kaki ke pentas akhir pada kempen Piala Malaysia dan Piala FA. Bagaimanapun, Kelantan terpaksa akur apabila sekadar muncul naib juara pada kedua-dua kempen tersebut. Kegagalan dalam dua final itu menyebabkan KAFA mengambil keputusan untuk memperkuatkan pasukan dengan menyenaraikan beberapa nama besar bagi musim 2010. Pada musim 2009, Kelantan hanya mempertaruhkan tiga pemain bersatus bintang iaitu Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad dan Khalid Jamlus. Namun bagi musim 2010, Kelantan berjaya 'mengikat' beberapa pemain ternama, antaranya Syed Adney Syed Hussien (UPB-MyTeam), Norshahrul Idlan Talaha (UPB-MyTeam), Shakir Shaari (UPB-MyTeam), S. Chanturu (Pulau Pinang), S. Subramaniam (Perak), Akmal Rizal Rakhli (KM Naza), Azizi Che Ros (Perlis) dan Hairuddin Omar (T-Team). Pada aksi pembukaan Liga Super menentang Terengganu, 9 Januari lalu, Kelantan hanya mampu membawa pulang satu mata ke Kota Bharu, namun rata-rata peminat masih berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan skuad kendalian B. Sathianathan itu. Empat hari kemudian, skuad The Red Warriors itu mula menampilkan aura sebagai gergasi Pantai Timur apabila membenam Johor 3-0 di laman sendiri. Bertandang ke Kangar menentang Perlis pada 16 Januari, memperlihatkan barisan pemain Kelantan seperti bermasalah untuk menembusi benteng skuad Singa Utara itu sehingga menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan. Jika dinilai daripada status pemain yang ada, jelas Perlis tidak mampu menandingi Kelantan kerana ketika itu, semua barisan bintang mereka disenaraikan untuk menggempur kubu Perlis. Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak kesampaian apabila jentera pemain Perlis mampu beraksi dengan baik sehingga berjaya mematahkan setiap serangan Kelantan. Sejak itu, peminat mula mempertikaikan keupayaan anak-anak buah Sathianathan terutama pemain yang berstatus bintang. Kemuncaknya, detik duka sang Kijang hadir pada pertembungan menentang Kedah di Kota Bharu pada 19 Januari lalu apabila mereka dimalukan skuad Kenari itu gara-gara kecuaian penjaga gol, Syed Adney. Syed Adney yang berdepan tekanan yang cukup tinggi daripada peminat selepas kesilapan tersebut mengharapkan jentera serangan menghasilkan gol bagi menutup kecuaiannya itu. Bagaimanapun, jentera depan Kelantan seperti kehilangan punca apabila mereka terus terkial-kial mencari gerak yang mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan Kedah. Kekalahan 0-1 itu telah merentap semangat para penyokong Kelantan yang mula mendesak supaya rombakan segera dilakukan KAFA termasuk menyingkirkan Sathianathan. Namun kemenangan 4-1 ke atas Johor FC di Kota Bharu pada 23 Januari lalu di tambah pula dengan kehadiran semula penjaga gol berpengalaman, Halim Napi sedikit sebanyak mengubat duka. Kebanyakan peminat berharap ia sebagai batu loncatan untuk Kelantan memulakan langkah lebih bergaya. Namun hasrat mereka tersentap lagi apabila anak-anak buah sekadar mampu seri tanpa jaringan dengan Perak di Ipoh pada 26 Januari lalu. Biarpun menang 3-1 ke atas Pulau Pinang empat hari kemudian, peminat Kelantan seperti sudah hilang ghairah apabila melihatkan bintang-bintang mereka seakan-akan mula hilang seri. Peminat fanatik Kelantan kini juga sudah mula mempersoalkan kemampuan pemain-pemain bintang mereka. Jika alasan musim baru bermula, nampaknya ia sekadar alasan seperti 'melepaskan batuk di tangga' dan peminat juga sudah mula muak untuk mendengarnya. Bagi mereka, pemain-pemain yang dibawa masuk musim ini bukan 'budak hingusan' dalam dunia profesional, sebaliknya sudah masak dengan bola sepak tempatan. Turun sekadar dengan cagaran nama sebagai pemain yang pernah menyarung jersi kebangsaan belum cukup untuk membuatkan penonton 'mengalunkan' nama mereka. Kemenangan sememangnya diharapkan peminat Kelantan tetapi kekalahan yang diiringi dengan permainan di bawah prestasi sebenar cukup mengguris perasaan mereka.Petikan |
Catatan Popular
-
Para penyokong bersabar dahulu.Gambar dibawah ini bukanlah gambar Official jersi Kelantan musim 2013 namun kemungkinan ianya direka send...
-
Syed Adney Wira The Red Warriors Syed Adney dijulang sebagai wira The Red Warriors apabila beliau berjaya menafikan sepakan penalti pada m...
-
Peluang Kelantan Uji Barisan Utama Harimau Muda A emel Share 5 Rekod perlawanan persahabatan Kelantan bertemu Harimau Muda pada 27/12/...