CABARAN getir menanti Lions XII FC setelah The Red Warriors tampil melaungkan amaran bakal menampilkan barisan terkuat mereka bagi menghadapi kelab tersebut pada aksi keenam saingan Liga Super yang kembali disambung di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam ini.
Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, kehadiran semula empat pemain kebangsaan bukan sahaja melengkapkan pasukannya, malah memudahkan jurulatih, Steve Darby merencanakan strategi terbaik beliau untuk menghadapi skuad dari seberang tambak itu.
Semalam, Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi, Ahmad Fakri Saarani, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohamad Ghaddar tampil menyertai Kelantan setelah mereka selesai menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan dan Lubnan pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015, Rabu lalu.
“Kelantan akan menurunkan skuad penuh pada malam esok (ini). Saya diberitahu Francis Forkey Doe sudah pulih daripada kecederaan, begitu juga keempat-empat pemain kebangsaan itu pun telah kembali menyertai kita hari ini (semalam).
“Mohamad Ghaddar dan Ahmad Fakri menjaringkan gol antarabangsa bersama pasukan kebangsaan masing-masing pada Rabu lalu. Saya percaya jaringan tersebut secara tak langsung menyuntik moral kedua-dua penyerang utama itu jika diturunkan nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, motivasi anak buahnya juga berada pada tahap terbaik bagi menghadapi Lions XII FC yang dibimbing jurulatih pengalaman, Fandi Ahmad dan mereka berikrar akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan misi meraih tiga mata di Kota Singa itu dicapai.
“Buruan mata (satu atau tiga mata) tetap menjadi matlamat utama Kelantan apabila bertandang ke sana. Kami tidak boleh tercicir mata biar pun kena beraksi di gelanggang lawan kerana saingan liga ketika ini cukup sengit dengan jurang mata dalam kalangan pasukan amat sedikit,” katanya.
Malah pengurus berusia 54 tahun itu mengakui, peluang tetap ada buat pasukannya untuk menewaskan Lions XII FC biar pun barisan pemainnya terpaksa berdepan suasana baharu beraksi di atas padang rumput tiruan di gelanggang lawan.
“Saya fikir peluang 50-50 (untuk mengalahkan Lions XII FC) asalkan pemain memberi fokus lebih terhadap perlawanan itu nanti. Kelantan pernah menewaskan mereka di tempat mereka pada musim 2012 dan tidak mustahil kami boleh melakukannya sekali lagi malam esok (ini).
“Memang menjadi masalah kepada mana-mana pasukan apabila bermain di atas padang rumput tiruan seperti di Stadium Jalan Besar itu. Apa pun, kami sudah buat persediaan awal dengan menjalani latihan di Paroi (padang fieldturf) petang Khamis lalu sebelum berlepas ke Singapura hari ini (semalam),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan