PENANTIAN pemain kelahiran Australia, Brendan Gan untuk menyarung jersi The Red Warriors (TRW) sejak tiga bulan lalu akhirnya tercapai apabila beliau disahkan mendapat taraf kerakyatan negara ini, semalam.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyampaikan khabar gembira buat penyokong gergasi pantai timur itu menerusi entri yang dipetik di laman sosial Facebook miliknya, semalam.
“Tahniah Brendan Gan, beliau menerima kad pengenalan Malaysia hari ini (semalam) secara rasminya. Beliau akan memulakan latihan bersama skuad The Red Warriors minggu depan,” katanya.
Kehadiran Brendan Gan sekali gus melengkapkan senarai rasmi 26 pemain TRW bagi saingan Liga Malaysia musim ini dan difahamkan beliau akan memakai jersi nombor 9 untuk pasukannya.
Kafa sebelum itu pernah mendaftarkan penyerang yang memulakan karier di Australia dengan mewakili kelab Marton Hammer pada Disember tahun lalu selaku pemain tempatan, namun permohonan tersebut ditolak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ia berikutan peraturan badan induk bola sepak kebangsaan itu menetapkan mana-mana pemain yang hendak didaftarkan selaku pemain tempatan mestilah mempunyai kad pengenalan atau pasport Malaysia.
Apa pun, kehadiran Brendan Gan pasti melegakan pengendali Kelantan, Steve Darby yang kini mempunyai variasi untuk menyenaraikan pemain berusia 26 tahun itu sama ada di posisi tengah atau serangan pasukannya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim mengesahkan bekas penyerang import Sabah musim 2012 itu akan didaftarkan bersama Kelantan apabila pintu pendaftaran kedua pemain tempatan dibuka pada 23 Mac ini.
“Kafa kini sedang meneliti kriteria pendaftaran pemain seperti ditetapkan oleh FAM. Kita harap proses pendaftaran itu nanti berjalan lancar dan jika tidak ada aral melintang,
Brendan Gan akan buat penampilan sulungnya bersama Kelantan selewat-lewatnya April depan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan