KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 23 Mac 2014

Ledakan Rangel julang Selangor


RANGEL (kiri) mengelecek bola sambil dihalang tonggak pertahanan Kelantan, Zairul Fitree Ishak pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.


AWANG import, Paulo Rangel muncul wira apabila jaringan tunggalnya sudah cukup memastikan Selangor menewaskan Kelantan 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Kembali beraksi di gelanggang keramat mereka, Selangor bermula garang mengancam kubu Kelantan seawal minit ketujuh menerusi tandukan Rangel tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
The Red Warriors turut mempunyai peluang memecah kebuntuan gol apabila pengadil perlawanan, Mohd. Nafeez Abdul Wahab menganugerahkan sepakan penalti selepas Mohamed Shawky dijatuhkan pemain Selangor, S. Kunanlan pada minit ke-19.
Bagaimanapun, peluang itu gagal disempurnakan dengan baik oleh penyerang import Kelantan, Francis Forkey Doe apabila sepakannya ditepi penjaga gol Gergasi Merah, Farizal Marlias.
Seminit kemudian, tiba giliran Selangor pula dihadiahkan sepakan penalti selepas Rangel yang melakukan larian solo ke dalam kotak penalti Kelantan dijatuhkan pemain pertahanan lawan, Tuan Mohd. Faim.
Peluang itu disempurnakan dengan baik oleh Rangel apabila Khairul Fahmi gagal menangkap kemas sepakannya.
Farizal sekali lagi bertindak cemerlang apabila menafikan percubaan pemain sayap Kelantan, Wan Mohd. Zaharulnizam Wan Mustapha pada minit ke-36.
Bersambung babak kedua, Selangor berpeluang menambah gol kedua tetapi percubaan A. Thamil Arasu digagalkan Khairul Fahmi pada minit ke-55.
Tiga minit berselang, Rangel mempersia-siakan peluang menambah koleksi gol peribadi keduanya apabila gagal mengambil peluang terbuka di depan gawang gol Kelantan.
Kelantan yang terdesak mencari gol penyamaan bangkit melancarkan beberapa percubaan berbahayam namun gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan Selangor yang diketuai Bunyamin Omar dan Pantelidis Stilianos.
Kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi juga dilihat gagal melakukan magis menerusi sepakan percuma apabila sepakan diambilnya sekadar melewati palang gol Selangor pada minit ke-78.
Peluang terakhir Kelantan mencari gol penyamaan hadir pada lewat permainan menerusi percubaan Ahmad Fakri Saarani, namun sekali lagi kehebatan Farizal berjaya menyelamatkan kubunya daripada dibolosi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular