KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 14 Mac 2014

Piya ‘serah tugas’ buat Obinna

Piya ‘serah tugas’ buat Obinna
  • Nwaneri (kanan) diberi tugas mengekang kelincahan Nwakaeme apabila Kelantan bertemu Pahang, malam esok.



ADA tugasan penting menanti ‘kereta kebal’ The Red Warriors, Obinna Nwaneri menjelang pertemuan sengit pasukannya menentang Pahang pada aksi ketujuh Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.

Bukan lilitan kapten akan bertukar tangan tetapi pertahanan import Nigeria itu bakal diberi tanggungjawab baharu oleh Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi dengan merantai secukup-cukupnya bekas rakan sepasukan mereka musim lalu, Dickson Nwakaeme pada pertemuan tersebut.  

“Memang kita tahu Dickson Nwakaeme ini cukup berbahaya. Dia pernah bersama Kelantan pada musim lalu, semua pemain begitu juga penyokong tahu kekuatan dan kelemahan dimiliki penyerang bertubuh sasa ini.

“Pemain paling layak mengekang pergerakannya ialah Nwaneri. Bukan kerana mereka berdua berasal dari negara sama (Nigeria) tetapi saya fikir kelebihan penyerang itu ada dalam pengetahuan Nwaneri,” katanya kepada media sejurus perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang South China, malam kelmarin.

Peringatan jeneral padang berusia 32 tahun itu ada asasnya berikutan Nwakaeme, pemain yang terkenal dengan jolokan ‘orang besi’ itu sering kali mengecewakan pasukan lawan menerusi gerakan menariknya ketika beraksi bersama Kelantan musim lalu.

“Dua gol dijaringkannya ketika Pahang mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia 4-1 minggu lalu sudah menampakkan kebangkitan dijelmakan pemain itu biar pun kecederaan lamanya berulang awal musim ini,” katanya.

Bukan Nwakaeme sahaja, malah Mohd Badhri yang terkenal dengan panggilan Piya, turut menganggap tonggak utama Tok Gajah seperti Matias Conti, Mohd Hafiz Kamal dan R Gopinathan, antara pemain perlu diberi perhatian oleh rakan sepasukannya pada pertemuan malam esok.

Mengenai peluang Kelantan malam esok, pemain yang mendapat jolokan Kapten Marvel itu optimis pasukannya mampu menjinakkan Pahang, sekali gus meraih tiga mata berdasarkan prestasi semasa mereka ketika ini.

“Kelantan menghormati Pahang tetapi kami kini berada di landasan tepat untuk mengekalkan momentum kemenangan. Lebih-lebih lagi kemenangan 2-0 ke atas South China meniupkan kembali perjuangan pasukan ini dalam kempen Piala AFC musim ini.

“Selain itu, saya fikir Kelantan tidak boleh tercicir mata lagi. Selepas ini kami akan berdepan Selangor, Johor Darul Ta’zim II dan Terengganu, semua ini lawan kuat tetapi kami sudah bersedia untuk tiga pasukan itu,” katanya.


SINAR HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular