KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 13 Mac 2014

Gah Di Laman Sendiri


Kota Bharu: Kelantan menampilkan aksi sebenarnya hanya selepas 67 minit perlawanan ketika menewaskan South China 2-0 dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Persembahan The Red Warriors (TRW) sebelum itu nyata kurang menyengat apabila ketua jurulatih Steve Darby tidak menyenaraikan empat tonggak dalam kesebelasan utama dengan Mohamad Ghaddar, Mohamed Shawky Aly, Mohd Badhri Radzi dan Nik Shahrul Azim Ab Halim memanaskan bangku simpanan.
Begitupun, sejurus babak pertama bermula, tuan rumah terlebih dulu dilihat mengasak kubu pelawat menerusi gerakan satu dua membabitkan penyerang import Francis Forkey Doe dengan Khairul Izuan Rosli namun pemain sayap, Tengku Hasbullah Raja Hassan gagal melepaskan rembatan tepat ke gawang lawan.
Empat minit berselang, giliran South China pula mengatur gerakan dan mengucar-kacir pertahanan Kelantan sehingga memberi ruang kepada penyerang import pasukan pelawat, Sasa Kajkut melepaskan rembatan dalam kotak penalti namun tersasar.
Minit ke-26, giliran tuan rumah berpeluang memecah kebuntuan menerusi sepakan sudut Tengku Hasbullah namun percubaan pemain tengah, Amar Rohidan tersasar melepasi palang gol.
Wan Zaharul Nizam Zakaria bagaimanapun hampir menjaringkan gol pada minit ke-53 selepas menerima umpanan Forkey Doe, namun percubaan leretnya dalam kotak penalti sedikit tersasar ke kanan gawang.
Kemasukan Mohd Badhri, Shawky dan Ghaddar pada minit ke-67 menggantikan Muhammad Nazri Ahmad, Tengku Hasbullah dan Khairul Izuan mengubah terus rentak permainan Kelantan dengan jentera serangan gergasi Pantai Timur itu mula menyengat.
Perubahan percaturan itu menyaksikan Wan Zaharul Nizam atau Kecik memecah kebuntuan pada minit ke-71 hasil gerakan Ghaddar dan Shawky sekali gus menceriakan kira-kira 4,000 penyokong tuan rumah.
Kelantan terus mengukuhkan kedudukan apabila Ghaddar menjaringkan gol kedua tuan rumah yang menewaskan penjaga gol South China, Yap Hung Fai selepas menerima hantaran Badhri untuk kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular