Kota Bharu: Kelantan dijangka menggunakan tiga khidmat pemain importnya yang kini dilaporkan sudah pulih daripada kecederaan untuk berdepan LionsXII dalam aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura malam esok.
Dua penyerang import Mohamad Ghaddar dan Francis Forkey Doe serta pemain tengah dari Mesir, Mohamed Shawky Aly dikhabarkan sudah bersedia diturunkan selepas hampir tiga minggu dibelenggu kecederaan.
Bagaimanapun, kehadiran tiga pemain import berkenaan perlu dibayar harga mahal apabila tiga pemain tempatan iaitu ketua pasukan The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat serta penyerang, Ahmad Fakri Saarani kemungkinan terpaksa direhatkan kerana baru saja pulang menggalas misi negara menentang Yaman dalam saingan perlawanan kelayakan Piala Asia, malam kelmarin.
Pemain sayap Kelantan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria berkata, mereka sentiasa bersedia untuk berdepan mana-mana pasukan lawan walaupun terpaksa turun tanpa tonggak penting.
Katanya, keadaan itu tidak semestinya mematahkan semangat pasukan gergasi Pantai Timur untuk beraksi di gelanggang lawan malah misi mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata perlu dicapai.
Memang tidak dinafikan seluruh pasukan Kelantan sangat mengharapkan semua pemain itu dapat beraksi dalam perlawanan dengan LionsXII esok. Ia kerana LionsXII pasukan yang kuat dan sentuhan mereka sangat diharapkan dalam perlawanan itu.
“Namun, sekiranya mereka tidak dapat diturunkan kerana faktor keletihan, kami tetap bersedia dan sedikit perubahan sudah tentu dilakukan jurulatih bagi mengisi kekosongan itu,” katanya.
Kelantan yang kini berada di tangga kedua Liga Super perlu mencipta kemenangan ke atas LionsXII bagi memberi tekanan kepada pendahulu liga, Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan