KOTA BHARU – Kelantan berjaya meraih tiga mata penuh pertama dalam persaingan Piala AFC selepas membenam wakil Hong Kong, South China 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.
Beraksi di hadapan hanya kira- kira 5,000 penyokong setia, perlawanan di awal babak pertama bagaimanapun berlangsung hambar tanpa ada serangan bahaya yang mampu mengugat benteng pertahanan kedua- dua pasukan.
Percaturan berani Steve Darby merehatkan tiga tonggak utama iaitu ketua pasukan, Mohd. Badhri Radzi, Mohamad Shawky Yazid dan Mohamad Ghaddar pada babak pertama juga telah menyaksikan bahagian tengah dan serangan The Red Warriors gagal berfungsi.
Namun selepas 30 minit perlawanan Kelantan mula menguasai permainan dengan mengatur beberapa serangan terutamanya melalui penyerang mereka, Francis Forkey Doe.
Pada minit ke-32, Kelantan memperoleh peluang keemasan, namun rembatan deras Forkey Doe di dalam kotak penalti melepasi palang gol pasukan pelawat.
South China juga gagal menggunakan kepincangan Kelantan apabila gagal mencipta peluang-peluang dalam usaha menghasilkan gol.
Pada babak kedua, pasukan pelawat tiba-tiba tampil dengan aksi lebih garang apabila hampir memperolehi gol pertama pada minit ke-49 namun sepakan Lee Chi Ho dalam keadaan kelam kabut di kawasan kotak penalti Kelantan bagaimanapun terkena palang.
Kelantan mula memperkemas rentak permainan dan kembali mengatur gerakan sehingga hampir memperoleh gol pendahuluan namun rembatan kencang Wan Zaharul Nizam dari dalam kotak penalti pada minit ke-53 sedikit tersasar di sebelah kanan gawang South China.
Kelantan akhirnya memasukkan Mohd. Badhri, Mohammad Shawky dan Mohamad Ghadar masing-masing mengantikan Muhammad Nazri Ahmad, Khairul Izwan Rosli serta Tengku Hasbullah Raja Hassan.
Kemasukkan tiga tonggak itu jelas memberi kesan apabila tuan rumah berjaya memecah kebuntuan, setelah pemain sayap mereka, Wan Zaharul meledakkan gol pembukaan pada minit ke-71.
Kelantan terus garang dan berjaya meledak gol kedua menerusi penyerang sensasi mereka, Mohamad Ghadar memperdayakan penjaga gol pelawat, Yapp Hung Fai selepas mendapat hantaran cantik Mohd. Badhri pada minit ke-83.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan