KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 30 Mac 2014

Terengganu, Kelantan Terikat


Kuala Terengganu: Dua pasukan jiran tetangga, Terengganu dan Kelantan terpaksa puas hati berkongsi mata selepas terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.
Pada pertemuan sengit itu menyaksikan pelawat bermula garang dengan terus mengasak kubu pertahanan tuan rumah dan nyaris mengejutkan Terengganu menerusi rembatan kemas penyerang import, Mohamad Ghaddar seawal minit keempat, namun berjaya didakap kemas, Mohd Sharbinee Allawee.
Tersentak dengan percubaan awal itu, skuad Penyu bangkit melancarkan serangan balas menerusi jentera serangan yang diketuai, Nor Farhan Mohamad dan Abdul Manaf Mamat, namun beberapa percubaan menarik gagal menembusi gawang lawannya itu.
Pelawat yang mempamerkan aksi lebih kemas akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-15 apabila Mohd Shawky memanfaatkan hantaran silang Ghaddar sekali gus menewaskan Mohd Sharbinee untuk gol pembukaan Kelantan.
Berselang tiga minit selepas itu, pelawat berpeluang mengukuhkan kedudukan menerusi pemain baru mereka, Brendan Gan, bagaimanapun rembatannya sedikit tersasar.
Kesilapan pertahanan pelawat, Obinna Nwaneri menjatuhkan Faiz Subri mengundang padah apabila pakar sepakan percuma, Zairo Anuar Zailani terus menerjah jaring sekali gus menceriakan lebih 10,000 penyokong tuan rumah pada minit ke 35.
Apabila babak kedua bersambung, Terengganu pula terlepas menjaringkan gol menerusi Nor Farhan pada minit 46, apabila bola tendangannya melambung tinggi.
Empat minit selepas itu, palang pula menjadi penghalang buat Ghaddar menambah gol kedua Kelantan hasil hantaran silang kapten pasukan, Mohd Badri Radzi.
Pemain gantian Terengganu, Mamadou Hardy Barry terlepas peluang apabila tandukan derasnya diselamatkan Khairul Fahmi membuatkan keputusan 1-1 itu kekal hingga wisel penamat dibunyikan.

Sabtu, 29 Mac 2014

Tugas getir menanti skuad Kelantan


FAKRI (kiri) terlepas aksi menentang Terengganu malam ini akibat penggantungan satu perlawanan.


TUGAS getir menanti Kelantan apabila turun menentang seteru tradisi, Terengganu pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Situasi tersebut diakui pengurus mereka, Azman Ibrahim yang menyifatkan Terengganu tidak akan memberikan laluan mudah kepada The Red Warriors pada perlawanan itu nanti.
Azman berkata, dia tetap menaruh keyakinan terhadap barisan pemainnya, malah mampu melakukan sesuatu pada perlawanan itu nanti walaupun Terengganu dilihat masih segar dengan kemenangan 3-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Selasa lalu.
“Saya harap para pemain dapat melupakan kekalahan kepada Johor Darul Takzim (Johor DT) tempoh hari dan kembali memberikan fokus pada perlawanan ini dalam usaha mengembalikan semula moral pasukan.
“Saya juga berharap agar ketua jurulatih dapat melakukan sesuatu pada perlawanan itu nanti dan kita seboleh-bolehnya mahu mengelak kekalahan,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.
Pada perlawanan itu nanti, Kelantan kehilangan dua tonggak di bahagian serangan iaitu Ahmad Shakir Ali yang mengalami kecederaan manakala Ahmad Fakri Saarani mengalami penggantungan satu perlawanan akibat kad kuning.
Azman memberitahu, kehilangan dua pemain tersebut menjejaskan persiapan mereka, namun Kelantan masih mempunyai barisan yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan oleh dua tonggak berkenaan.
Katanya, dia berharap pemain yang bakal diturunkan pada perlawanan tersebut dapat memberikan aksi terbaik dalam usaha mencuri sekurang-kuranya satu mata dari Kuala Terengganu.
Dalam perkembangan lain, Azman berkata, Kelantan menerima khabar gembira apabila Brendan Gan, bekas pemain Sydney FC dalam Liga Australia pada tahun 2008 hingga 2011 berkemungkinan besar dapat beraksi dalam perlawanan itu nanti.
Katanya, segala urusan pemain tersebut sudah selesai dan pihaknya kini hanya menunggu kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Jelasnya, kehadiran pemain itu dijangka akan memantapkan lagi pasukan Kelantan dalam mengharungi saingan musim ini.


Selasa, 25 Mac 2014

Annuar tepis dakwaan perpindahan Wan Zack


RAMAI beranggapan keputusan Wan Zack Haikal berhijrah ke pasukan Kelantan adalah keputusan yang salah.
Pemain tersebut seharusnya mengembangkan kariernya dengan kelab Jepun setelah berpeluang untuk beraksi bersama kelab luar negara.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa tampil dengan penjelasan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak wajar.
"Ini adalah antara masalah rakyat kita. Mereka berpendapat apa yang berkaitan dengan luar negara adalah lebih baik berbanding tempatan.
"Sebenarnya tidak wujud sebarang masalah sama ada bermain baik di dalam mahupun luar negara, yang penting adalah prestasi yang dipamerkan," katanya pada sidang media khas memperkenalkan pemain-pemain baharu Kelantan di ibu negara semalam.
Sementara itu, ekoran perpindahan Wan Zack Haikal dari kelab Ryukyu FC, Kelantan turut berjaya menjalin hubungan dengan kelab tersebut yang akan membuka peluang kepada pemain-pemain tempatan lain untuk beraksi bersama kelab dari Jepun tersebut.
Musim ini, Kelantan agak goyah apabila kehilangan beberapa tonggak utama yang berhijrah ke pasukan lain pada awal musim ini.
Menurut Annuar, penghijrahan tersebut memberi impak yang besar kepada pasukan tersebut dan ia agak mustahil dapat diatasi dalam tempoh jangka masa pendek.
"Kami akan melakukan apa sahaja yang termampu demi kepentingan bola sepak Kelantan khususnya dan negara amnya," tegas beliau lagi.


'Tiada siapa paksa saya'


ANNUAR (kiri) bersama tiga pemain baharu Kelantan, Wan Zack (dua dari kanan), Brendan Gan (dua dari kiri) dan Mohd. Fitri Omar (kanan).







"TIADA sesiapa yang memaksa saya untuk kembali beraksi dalam liga tempatan. ia adalah atas kerelaan saya sendiri."
Demikian tegas bekas pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal pada majlis memperkenalkan pemain baharu Kelantan di ibu negara semalam.
Wan Zack antara pemain baharu yang didaftarkan oleh Kelantan bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini.
Menurut Wan Zack, keputusannya menyertaai Kelantan adalah atas kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Pemain berusia 23 tahun itu yang masih lagi mempunyai baki kontrak selama setahun bersama sebuah kelab Jepun, Ryukyu FC telah mengambil keputusan untuk menyertai pasukan The Red Warriors.
Meskipun pelbagai spekulasi timbul berhubung tindakannya menyertai pasukan tersebut, dia menjelaskan bahawa fokus utamanya hanyalah untuk berkhidmat di negeri kelahiran ibubapanya.
"Di sini saya boleh sentiasa dekat dengan ahli keluarga dan secara tidak langsung memberi motivasi kepada saya untuk beraksi dengan lebih baik.
"Saya juga boleh mempraktikkan segala kemahiran yang diperoleh ketika bersama Ryukyu FC untuk membantu Kelantan," ujarnya.
Dia turut menegaskan bahawa keputusannya untuk menyertai Kelantan adalah tepat kerana ia dapat membantu mengembangkan kariernya.
Dia juga tidak menolak dakwaan bahawa terdapat beberapa kelab tempatan telah menghubunginya sebelum ini untuk mendapatkan khidmatnya.
Wan Zack adalah antara tiga tonggak baharu pasukan Kelantan yang diperkenalkan oleh penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Anuar Musa pada satu sidang akhbar khas di ibu negara semalam.
Dua lagi pemain yang bakal menyarung jersi The Red Warriors ialah Brendan Gan, 25, yang pernah beraksi dalam kesemua 48 perlawanan Liga A di Australia dan bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Fitri Omar, 28.
Mengulas lanjut mengenai pemain-pemain tersebut, Tan Sri Annuar Musa menyifatkannya sebagai satu usaha jangka panjang untuk memperkasakan skuad Kelantan berikutan perpindahan ramai pemainnya pada awal musim lalu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kos yang ditanggung bagi membawa ketiga-tiga pemain tersebut beraksi bersama pasukan The Red Warriors.

Ahad, 23 Mac 2014

Ledakan Rangel julang Selangor


RANGEL (kiri) mengelecek bola sambil dihalang tonggak pertahanan Kelantan, Zairul Fitree Ishak pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.


AWANG import, Paulo Rangel muncul wira apabila jaringan tunggalnya sudah cukup memastikan Selangor menewaskan Kelantan 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Kembali beraksi di gelanggang keramat mereka, Selangor bermula garang mengancam kubu Kelantan seawal minit ketujuh menerusi tandukan Rangel tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
The Red Warriors turut mempunyai peluang memecah kebuntuan gol apabila pengadil perlawanan, Mohd. Nafeez Abdul Wahab menganugerahkan sepakan penalti selepas Mohamed Shawky dijatuhkan pemain Selangor, S. Kunanlan pada minit ke-19.
Bagaimanapun, peluang itu gagal disempurnakan dengan baik oleh penyerang import Kelantan, Francis Forkey Doe apabila sepakannya ditepi penjaga gol Gergasi Merah, Farizal Marlias.
Seminit kemudian, tiba giliran Selangor pula dihadiahkan sepakan penalti selepas Rangel yang melakukan larian solo ke dalam kotak penalti Kelantan dijatuhkan pemain pertahanan lawan, Tuan Mohd. Faim.
Peluang itu disempurnakan dengan baik oleh Rangel apabila Khairul Fahmi gagal menangkap kemas sepakannya.
Farizal sekali lagi bertindak cemerlang apabila menafikan percubaan pemain sayap Kelantan, Wan Mohd. Zaharulnizam Wan Mustapha pada minit ke-36.
Bersambung babak kedua, Selangor berpeluang menambah gol kedua tetapi percubaan A. Thamil Arasu digagalkan Khairul Fahmi pada minit ke-55.
Tiga minit berselang, Rangel mempersia-siakan peluang menambah koleksi gol peribadi keduanya apabila gagal mengambil peluang terbuka di depan gawang gol Kelantan.
Kelantan yang terdesak mencari gol penyamaan bangkit melancarkan beberapa percubaan berbahayam namun gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan Selangor yang diketuai Bunyamin Omar dan Pantelidis Stilianos.
Kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi juga dilihat gagal melakukan magis menerusi sepakan percuma apabila sepakan diambilnya sekadar melewati palang gol Selangor pada minit ke-78.
Peluang terakhir Kelantan mencari gol penyamaan hadir pada lewat permainan menerusi percubaan Ahmad Fakri Saarani, namun sekali lagi kehebatan Farizal berjaya menyelamatkan kubunya daripada dibolosi.


Sabtu, 22 Mac 2014

FAM hukum denda PBNJ, KAFA

SUAR dibaling ke arah sebuah bas penyokong Perak di luar Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 18 Januari lalu.


"KAMI hanya mahu menegakkan kebenaran." Itu reaksi pengurus Perak, Datuk Azhar Ahmad ketika diminta mengulas hukuman denda yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) semalam.
PBNJ didenda sebanyak RM19,458.14 kerana tindakan segelintir penyokong Johor Darul Takzim (Johor DT) pada perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 18 Januari lalu.
Dalam insiden tersebut, cermin belakang kereta milik Azhar pecah sehingga FAM mengarahkan PBNJ membayar pampasan bernilai RM4,458.14 kepada pengurus Perak itu sebagai ganti rugi.
"Secara jujurnya, saya masih trauma dengan insiden yang berlaku di Larkin sebelum ini. Biarlah hukuman ini menjadi pengajaran kepada pihak yang berkenaan,
"Kalau tidak ambil tindakan, mungkin perkara ini akan berlaku lagi. Saya masih hairan mengapa masih ada invidu yang mahu memecahkan cermin kereta saya, sedangkan Johor DT menang dalam aksi itu.
"Saya harap semua penyokong tempatan mengekalkan nilai harmoni dalam bola sepak. Sukan ini bukanlah mengajar kita berperang, sebaliknya kita seharusnya mengekalkan perpaduan," kata Azhar ketika dihubungi Kosmo! semalam.
FAM turut mendenda PBNJ yang mengaku bersalah terhadap dua lagi pertuduhan - menyalakan suar selepas tamat perlawanan selain gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi.
Secara keseluruhan, PBNJ didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan termasuk kes kerosakan kereta milik Azhar, yang membawa hukuman denda RM5,000 setiap satu pertuduhan.
"Saya berpendapat keputusan FAM sudah adil. Kepada penyokong-penyokong Perak, saya berharap mereka terus berdisiplin dan tidak menimbulkan sesuatu perkara yang buruk kepada PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak).
"Jika tidak, PAFA akan sekali lagi menanggung hukuman selepas FAM mendenda PAFA RM20,000 baru-baru ini," tambah Azhar.
Selain PBNJ, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) juga tidak terlepas hukuman daripada FAM.
KAFA didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan ketika Kelantan menentang Sime Darby FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu 18 Januari lalu.
Tiga pertuduhan tersebut adalah membakar kertas flash card, mengeluarkan kata-kata kesat selain tidak menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi.
Setiap pertuduhan berkenaan dikenakan denda sebanyak RM5,000.

Jumaat, 21 Mac 2014

Kelantan Lamar Wan Zack



KELANTAN dilaporkan telah berjaya melamar sayap lincah Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Nor menjelang pintu perpindahan pemain yang akan kembali dibuka 24 Mac ini.
Walaupun masih lagi memiliki baki kontrak setahun dengan kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu, Wan Zack, 23, dikatakan telah memberi ‘lampu hijau’ untuk menyertai Kelantan.
Menurut sumber yang rapat dengan Wan Zack, anak jati Maran, Pahang itu dijangka diperkenalkan sebagai pemain baharu The Reds Warriors dalam satu sidang akhbar Isnin ini.
Selain Wan Zack, Kelantan juga bakal mengumumkan Brendan Gan sebagai pemain baharu musim ini.
“Wan Zack akan menyertai Kelantan selepas ini dan pengumuman itu dijangka dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada satu sidang akhbar khas.
“Benar, dia masih belum lagi sembuh daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanan tetapi Kelantan tidak rela khidmat Wan Zack terlepas ke tangan pasukan lain,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ketika ditanya mengenai kontrak bersama KAFA, sumber itu memberitahu: “Saya tidak tahu mengenai tempoh kontrak tersebut tetapi apa yang pasti, Wan Zack bersetuju untuk menyarungkan jersi Kelantan.”
Sebelum ini, terdapat beberapa laporan mengaitkan Wan Zack berhasrat untuk kembali beraksi beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), namun perkhabaran itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak pengurusan FC Ryukyu.
Begitupun, keputusan Wan Zack Haikal untuk menyertai Kelantan bukanlah sesuatu yang agak mengejutkan.
Ini kerana, Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa sudah memberi gambaran awal menerusi status Facebook miliknya dengan menyatakan The Red Warriors akan membawa masuk tiga pemain bintang tempatan termasuk dua daripadanya bertaraf antarabangsa.
Jika benar Wan Zack kembali beraksi dalam Liga M, dia akan mengikut jejak langkah seorang lagi bekas pemain Harimau Muda, Muhammad Nazmi Faiz Mansor.
Nazmi Faiz yang menamatkan kontrak awal dengan kelab dari Portugal S.C Beira-Mar, membuat keputusan mengejut apabila kembali ke tanah air untuk menyertai pasukan berstatus kelab, PKNS FC.

Rabu, 19 Mac 2014

Pahlawan Merah dirundung malang


PENGADIL Tayeb Hasan melayangkan kad merah kepada Shakir (kiri) pada aksi Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.


HASRAT Kelantan untuk meraih tiga mata penuh tidak kesampaian selepas tumpas 2-3 kepada kelab Vietnam, Vissai Ninh Bin pada aksi Kumpulan G kempen Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kelantan yang mempertaruhkan barisan kedua dikejutkan dengan gol awal pasukan pelawat pada minit ke-23 menerusi Brayan Kavin Elroy selepas bijak memanfaatkan peluang terhidang hasil kealpaan benteng pertahanan yang diterajui Obinna Nwaneri.
Tersentak dengan jaringan pelawat, The Red Warriors kembali memperkemaskan permainan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat, namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah yang dipimpin Ahmad Shakir Ali dan Mohd. Khairul Izuan Rosli.
Pada minit ke-34, Kelantan terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain apabila Ahmad Shakir dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Bangladesh, Tayeb Hasan selepas mengasari kapten pelawat, Le Van Duyet.
Seminit berselang, tonggak pertahanan The Red Warriors, Muhammad Nazri Ahmad menyamakan kedudukan apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Nguyen Van Hung.
Khairul Izuan meledak gol kedua Kelantan pada minit-minit terakhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, The Red Warriors terus dirundung malang apabila kehilangan seorang lagi tonggak di bahagian serangan selepas Khairul Izuan dilayangkan kad merah pada minit ke-46 selepas didakwa mengasari Sim Woon Sub.
Ketiadaan dua tonggak The Red Warriors itu memberikan kelebihan buat pelawat dan hasilnya mereka berjaya mengikat kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke-50 menerusi jaringan Tambwe Patiyo.
Terdesak mencari kemenangan, ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby mengambil risiko dengan memasukkan dua tonggak utamanya pada minit ke-59 bagi menggantikan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan Faizol Nazlin Sayuti, namun tiada sebarang impak dapat dijelmakan.
Sebaliknya, pasukan pelawat terus selesa mendahului dengan memperoleh gol ketiga pada minit ke-62 menerusi Vionea Petrisor.
Kelantan cuba bangkit, namun kekurangan pemain membantutkan tuan rumah untuk mendapatkan jaringan dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.


KOSMO

Annuar nyatakan sokongan kepada Tunku Ismail


PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyatakan sokongan kepada mana-mana presiden persatuan bola sepak (FA) negeri untuk bertanding bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Annuar memberitahu, beliau telah berhubung dengan beberapa presiden FA negeri bagi mengetahui siapakah berminat untuk bertanding pada Kongres FAM ke-50 yang dijadual diadakan Mei depan.
"Saya ada bercakap dengan beberapa orang presiden FA negeri (mengenai pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi FAM yang baharu) akan datang.
"Saya menyokong siapa saja yang sanggup menawarkan diri (bagi merebut jawatan Presiden FAM)," kata Annuar ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Annuar tidak dibenarkan bertanding pada kongres tersebut kerana beliau masih menjalani penggantungan dua tahun enam bulan oleh FAM gara-gara mengkritik skuad kebangsaan pada April 2012.
"Selain tidak layak bertanding, saya juga tidak boleh mengundi pada Kongres FAM itu nanti," jelas Annuar.
Sebelum ini, Annuar yang akan tamat tempoh menjalani penggantungan pada Ogos depan menyatakan bahawa Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim antara calon paling layak untuk dilantik sebagai Presiden baharu FAM.
Semalam, Annuar sekali lagi mengulangi kenyataan tersebut, malah beliau bersedia untuk memberikan sokongan padu kepada Tunku Ismail yang dikatakan telah memberikan 'lampu hijau' untuk bertanding.
Annuar menerusi entri laman sosial, Facebook miliknya berkata: "Bila saya tanya kawan-kawan presiden persatuan bola sepak negeri, banyak yang tidak pasti sama ada mereka bersedia tawarkan diri untuk jawatan Presiden FAM.
"Namun, bila saya sembah persoalan ini kepada Tuanku Presiden PBNJ, titah baginda kepada saya, I'll run for it. Saya sedia demi bola sepak tanah air'.
"Inilah semangat yang kita mahu, aktivis bola sepak negara tidak boleh mengeluh tentang prestasi bola sepak negara tanpa berani memikul tanggungjawabnya."
KOSMO

Selasa, 18 Mac 2014

Shakir yakin atasi wakil Vietnam

SHAKIR (kiri) bersalaman dengan kapten pasukan Vissai Ninh, Manh Dung selepas sidang akhbar di Kota Bharu semalam.


PENYERANG The Red Warriors, Ahmad Shakir Ali bersedia menggalas tugas selaku penggempur utama pasukannya pada pertemuan dengan wakil Vietnam, Vissai Ninh Binh dalam saingan peringkat kumpulan kempen Piala AFC di stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Ahmad Shakir dijangka bergandingan dengan peledak import kelahiran Liberia, Francis Forkey Doe selepas dua lagi tonggak serangan The Red Warriors, Ahmad Fakri Saarani dan Mohamad Ghaddar mengalami kecederaan.
Peledak berusia 25 tahun itu berkata, dia bertekad membalas kepercayaan jurulatih dengan memberikan persembahan terbaik pada perlawanan itu nanti.
Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah untuk membentuk gandingan mantap dengan Forkey Doe kerana kedua-duanya pernah bermain bersama dalam perlawanan sebelum ini.
"Tugas yang diberikan ini merupakan satu cabaran buat saya untuk membuktikan kemampuan sebenar pada perlawanan tersebut dan kesempatan ini perlu digunakan sebaik mungkin.
"Saya berharap rakan-rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik dan meneruskan rentak kemenangan dalam saingan AFC seperti yang telah dibuktikan pada aksi menentang South China sebelum ini," katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika pada sidang akhbar pra perlawanan Piala AFC 2014 Kumpulan G antara Kelantan dengan Vissai Ninh Binh di Kota Bharu semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby dan pengendali Vissai Ninh Binh, Nguyen Van Sy serta ketua pasukan, Nguyen Manh Dung.
Mengulas mengenai peluang The Red Warriors dalam perlawanan itu, Ahmad Shakir memberitahu, dia tetap optimis pasukannya mampu menumpaskan Vissai Ninh Binh.
Katanya, walaupun pasukan berkenaan mengungguli carta Kumpulan G, namun beraksi di gelanggang sendiri memberikan kelebihan kepada pasukannya dalam perlawanan itu nanti.
"Saya yakin dan percaya motivasi rakan-rakan sepasukan sudah berada pada tahap terbaik dan mereka semuanya sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu nanti," ujarnya penuh yakin.


Isnin, 17 Mac 2014

KAFA intai enam muka baharu



PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) dilaporkan sedang mengintai kelibat enam muka baharu yang akan dibawa masuk pada sesi pendaftaran kedua pemain bermula pada 23 Mac ini.
Setiausaha Agongnya, Azman Ibrahim berkata, mengikut terma dan syarat yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya tiga pemain tempatan sahaja yang boleh dibawa masuk pada pendaftaran kedua ini.
Menurutnya, KAFA belum membuat keputusan muktamad dan perkara tersebut masih lagi dalam peringkat perbincangan.
“Kita menunggu masa yang sesuai sebelum mengumumkan perkara ini. Setakat ini kita mempunyai dua lagi kuota pemain tempatan. Jika kita mengambil tiga pemain baharu salah seorang daripada mereka yang berada dalam skuad sekarang ini terpaksa digugurkan.
“Kita masih belum putuskan lagi, berkemungkinan besar kita memerlukan pemain di posisi serangan, tengah dan pertahanan dalam usaha memantapkan lagi pasukan untuk mengharungi saingan Liga Super musim ini,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu semalam.
Terdahulu Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa menerusi entri laman sosial facebook miliknya pada 12 Mac lalu menulis tiga pemain baharu akan dibawa masuk pada perpindahan kedua ini.
“Insya-Allah jika tiada aral, awal April tiga pemain baharu akan menyertai The Red Warriors dan peraturan hanya membenarkan tiga sahaja,” ujarnya.
Mengulas mengenai perkembangan status pemain Branden Gan, Azman Ibrahim memberitahu pihaknya masih lagi menunggu dokumen yang diperlukan dalam usaha melengkapkan pendaftaran pemain berkenaan.
Katanya, status Branden akan diputuskan selepas KAFA berjaya mendaftarkan pemain itu nanti.
“Masih terdapat beberapa dokumen yang belum lengkap, KAFA akan meneliti peraturan dibuat oleh FAM sama ada dibenarkan beraksi atau tidak dalam liga tempatan.
“Jika semua dokumen tersebut berjaya dipenuhi, kita yakin dan percaya ia akan berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azman memberitahu KAFA belum membuat sebarang perancangan untuk menukar tonggak import yang sedia ada pada sesi perpindahan pemain pada 23 Mac ini.
Katanya, KAFA percaya kesemua pemain import yang ada ini mampu memberikan impak kepada pasukan dalam usaha meraih kejuaraan musim ini.


Ahad, 16 Mac 2014

TRW turun takhta

KOTA BHARU - Hasrat Kelantan untuk kekal di tangga teratas Liga Super tidak kesampaian apabila sekadar mengutip satu mata selepas seri 2-2 dengan Pahang di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, semalam.
The Red Warriors (TRW) dipintas oleh pasukan jiran, Terengganu yang menang 1-0 ke atas Johor Darul Ta’zim.
Beraksi di depan lebih 12, 000 penyokong setia, Kelantan membuka jaringan menerusi sepakan percuma kapten, Mohd. Badri Radzi yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Mohd. Khalid.
Tok Gajah bagaimanapun me­nyamakan kedudukan pada minit ke-12 menerusi Saiful Nizam Miswan yang 
bijak menyudahkan hantaran hasil sepakan penjuru.

Bersambung babak kedua, Kelantan terus melakukan beberapa asakan bahaya menerusi Francis Forkey Doe dan Fakri Saarani, namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan pasukan pelawat.
Pada minit ke-70 Kelantan dikejutkan dengan jaringan kedua Pahang menerusi Mohd. Faizol Hussain yang tenang menyudahkan hantaran Dickson Nwakame.
Kelantan bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Khairul Izwan Rosli berjaya menjaringkan gol pada minit ke-80 menerusi rembatan kencang yang menuju tepat ke arah kanan pintu gol Pahang.

Dalam pada itu, di Stadium Ne­geri, Kuching menyaksikan Sarawak memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas LionsXII.
Tiga gol Sarawak diperolehi hasil jaringan S. Chanthuru pada minit keenam dan ke-40, manakala satu lagi jaringan tuan rumah menerusi Mohamad Rashid Aya minit ke-75. Gol tunggal LionsXII dijaringkan Muhammad Nazrul Ahmad Nazari minit ke-35.

Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah Perak tewas 0-2 kepada Sime Darby, yang tidak menghadapi masalah untuk menguasai perlawanan di tempat lawan.
Pemain Sime Darby, Fazrul Hazli beraksi cemerlang pada perlawanan tersebut apabila berupaya me­nyumbang dua gol pada minit ke-16 dan ke-40.

Pemain Kelantan terima bonus kejuaraan

Pemain Kelantan terima bonus kejuaraan

SEKIAN lama menanti, akhirnya semua pegawai dan pemain skuad Piala Presiden Kelantan mampu tersenyum lebar setelah menerima ganjaran berupa wang tunai daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), semalam.

Ganjaran sebanyak RM44,000 diagihkan sama rata kepada semua 35 pemain dan sembilan pegawai pasukan berkenaan, berikutan kejayaan mereka merangkul kejuaraan Piala Presiden pada musim lalu.

Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pemberian bonus tersebut merupakan sebahagian daripada hadiah kemenangan RM100,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Kelantan di atas pencapaian tersebut.

“Baki jumlah bonus ini kita akan tentukan (berikan) apabila mendapat tarikhnya nanti. Pemberian insentif merupakan penghargaan daripada pihak Kafa kepada skuad Piala Presiden di atas kejayaan muncul juara pertandingan tersebut.

“Kita berharap ganjaran ini dapat melonjakkan semangat kepada semua pemain bagi meneruskan perjuangan Kelantan untuk memberikan aksi terbaik sekali gus mengekalkan kejuaraan pada musim ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Bonus Kemenangan Menjuarai Piala Presiden Musim 2013 di Kafe The Red Warriors Station, semalam.

Hadir sama Naib Presiden Kafa, Datuk Ismail Md Noor; Setiausaha Agung, Azman Ibrahim; Pengurus Pasukan Piala Presiden, Mohamad Yusri Ismail serta barisan pegawai dan pemain skuad berkenaan.

Pada perlawanan akhir musim lalu, Kelantan yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Sideek Samsudin menewaskan penyandang juara, Perak 2-1 di Kota Bharu sekali gus mengulangi pencapaian mereka pernah bergelar juara musim 2011.

Dalam pada itu, Afandi memberitahu, salah seorang produk daripada skuad Piala Presiden Kelantan, Mohamad Qayyum Marjoni Sabil kini menyarung jersi Harimau Muda A dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland, Australia ketika ini.

“Ini merupakan satu pencapaian membanggakan buat Kelantan kerana dapat mengetengahkan pemain berbakat untuk beraksi dengan skuad kebangsaan. Saya berharap pemilihan Mohammad Qayyum Marjoni dapat diikuti pemain-pemain lain daripada pasukan ini,” katanya.

Sabtu, 15 Mac 2014

Kelantan Ada Formula Kekang Nwakaeme



KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi optimis rakan-rakan sepasukannya di bahagian pertahanan mampu menyekat kelincahan penggempur import Pahang, Dickson Nwakaeme pada pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Badhri berkata, dia yakin barisan pertahanan The Red Warriors yang diketuai Obinna Nwaneri selain Nik Shahrul Azim Ab. Halim, Mohd. Farisham Ismail dan Zairol Fitree Ishak sudah bersedia untuk mengekang kelincahan bekas penyerang import Kelantan itu.
“Saya tahu Dickson cukup bahaya, tambahan pulan dia berjaya meledak dua gol pada perlawanan sebelum ini.
“Situasi itu sudah pasti melonjakkan semangatnya untuk terus mempamerkan ketajaman penyudah dalam pertemuan dengan Kelantan nanti.
“Apa yang pasti, Obinna tahu kelemahan Dickson dan ia memberikan sedikit kelebihan kepada kami,” kata Badhri ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu semalam.
Badhri atau Piya memberitahu, kelibat seorang lagi tonggak serangan Tok Gajah, Martias Conti juga harus diberikan perhatian pada pertemuan ini nanti.
Katanya, ketajaman tersebut Conti tidak boleh dipandang mudah oleh barisan pemain The Red Warriors.
“Pahang juga mempunyai ramai pemain berkualiti seperti Hafiz Kamal dan R. Gopinathan. Mereka mampu memberikan bahaya kepada kami jika diberikan ruang,” ujarnya.
Piya berkata, kesempatan beraksi di tempat sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dalam misi mendapatkan tiga mata berharga.
Menurutnya, kemenangan sulung dalam saingan AFC ketika membenam South China Rabu lalu melonjakkan lagi semangat dia dan rakan-rakan sepasukannya untuk memberikan aksi terbaik pada pertemuan itu nanti.

Jumaat, 14 Mac 2014

Piya ‘serah tugas’ buat Obinna

Piya ‘serah tugas’ buat Obinna
  • Nwaneri (kanan) diberi tugas mengekang kelincahan Nwakaeme apabila Kelantan bertemu Pahang, malam esok.



ADA tugasan penting menanti ‘kereta kebal’ The Red Warriors, Obinna Nwaneri menjelang pertemuan sengit pasukannya menentang Pahang pada aksi ketujuh Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.

Bukan lilitan kapten akan bertukar tangan tetapi pertahanan import Nigeria itu bakal diberi tanggungjawab baharu oleh Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi dengan merantai secukup-cukupnya bekas rakan sepasukan mereka musim lalu, Dickson Nwakaeme pada pertemuan tersebut.  

“Memang kita tahu Dickson Nwakaeme ini cukup berbahaya. Dia pernah bersama Kelantan pada musim lalu, semua pemain begitu juga penyokong tahu kekuatan dan kelemahan dimiliki penyerang bertubuh sasa ini.

“Pemain paling layak mengekang pergerakannya ialah Nwaneri. Bukan kerana mereka berdua berasal dari negara sama (Nigeria) tetapi saya fikir kelebihan penyerang itu ada dalam pengetahuan Nwaneri,” katanya kepada media sejurus perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang South China, malam kelmarin.

Peringatan jeneral padang berusia 32 tahun itu ada asasnya berikutan Nwakaeme, pemain yang terkenal dengan jolokan ‘orang besi’ itu sering kali mengecewakan pasukan lawan menerusi gerakan menariknya ketika beraksi bersama Kelantan musim lalu.

“Dua gol dijaringkannya ketika Pahang mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia 4-1 minggu lalu sudah menampakkan kebangkitan dijelmakan pemain itu biar pun kecederaan lamanya berulang awal musim ini,” katanya.

Bukan Nwakaeme sahaja, malah Mohd Badhri yang terkenal dengan panggilan Piya, turut menganggap tonggak utama Tok Gajah seperti Matias Conti, Mohd Hafiz Kamal dan R Gopinathan, antara pemain perlu diberi perhatian oleh rakan sepasukannya pada pertemuan malam esok.

Mengenai peluang Kelantan malam esok, pemain yang mendapat jolokan Kapten Marvel itu optimis pasukannya mampu menjinakkan Pahang, sekali gus meraih tiga mata berdasarkan prestasi semasa mereka ketika ini.

“Kelantan menghormati Pahang tetapi kami kini berada di landasan tepat untuk mengekalkan momentum kemenangan. Lebih-lebih lagi kemenangan 2-0 ke atas South China meniupkan kembali perjuangan pasukan ini dalam kempen Piala AFC musim ini.

“Selain itu, saya fikir Kelantan tidak boleh tercicir mata lagi. Selepas ini kami akan berdepan Selangor, Johor Darul Ta’zim II dan Terengganu, semua ini lawan kuat tetapi kami sudah bersedia untuk tiga pasukan itu,” katanya.


SINAR HARIAN

Khamis, 13 Mac 2014

Gah Di Laman Sendiri


Kota Bharu: Kelantan menampilkan aksi sebenarnya hanya selepas 67 minit perlawanan ketika menewaskan South China 2-0 dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Persembahan The Red Warriors (TRW) sebelum itu nyata kurang menyengat apabila ketua jurulatih Steve Darby tidak menyenaraikan empat tonggak dalam kesebelasan utama dengan Mohamad Ghaddar, Mohamed Shawky Aly, Mohd Badhri Radzi dan Nik Shahrul Azim Ab Halim memanaskan bangku simpanan.
Begitupun, sejurus babak pertama bermula, tuan rumah terlebih dulu dilihat mengasak kubu pelawat menerusi gerakan satu dua membabitkan penyerang import Francis Forkey Doe dengan Khairul Izuan Rosli namun pemain sayap, Tengku Hasbullah Raja Hassan gagal melepaskan rembatan tepat ke gawang lawan.
Empat minit berselang, giliran South China pula mengatur gerakan dan mengucar-kacir pertahanan Kelantan sehingga memberi ruang kepada penyerang import pasukan pelawat, Sasa Kajkut melepaskan rembatan dalam kotak penalti namun tersasar.
Minit ke-26, giliran tuan rumah berpeluang memecah kebuntuan menerusi sepakan sudut Tengku Hasbullah namun percubaan pemain tengah, Amar Rohidan tersasar melepasi palang gol.
Wan Zaharul Nizam Zakaria bagaimanapun hampir menjaringkan gol pada minit ke-53 selepas menerima umpanan Forkey Doe, namun percubaan leretnya dalam kotak penalti sedikit tersasar ke kanan gawang.
Kemasukan Mohd Badhri, Shawky dan Ghaddar pada minit ke-67 menggantikan Muhammad Nazri Ahmad, Tengku Hasbullah dan Khairul Izuan mengubah terus rentak permainan Kelantan dengan jentera serangan gergasi Pantai Timur itu mula menyengat.
Perubahan percaturan itu menyaksikan Wan Zaharul Nizam atau Kecik memecah kebuntuan pada minit ke-71 hasil gerakan Ghaddar dan Shawky sekali gus menceriakan kira-kira 4,000 penyokong tuan rumah.
Kelantan terus mengukuhkan kedudukan apabila Ghaddar menjaringkan gol kedua tuan rumah yang menewaskan penjaga gol South China, Yap Hung Fai selepas menerima hantaran Badhri untuk kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

The Red Warriors Benam Cabaran South China

Pemain Kelantan, Mohd. Khairul Izuan Rosli (atas) sempat melompat untuk mengelak terjahan pemain pertahanan South China dalam kempen Piala AFC di Kota Bharu malam tadi. Kelantan menang 2-0.
KOTA BHARU – Kelantan berjaya meraih tiga mata penuh pertama dalam persaingan Piala AFC selepas membenam wakil Hong Kong, South China 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.
Beraksi di hadapan hanya kira- kira 5,000 penyokong setia, perlawanan di awal babak pertama bagaimanapun berlangsung hambar tanpa ada serangan bahaya yang mampu mengugat benteng pertahanan kedua- dua pasukan.
Percaturan berani Steve Darby merehatkan tiga tonggak utama iaitu ketua pa­sukan, Mohd. Badhri Radzi, Mohamad Shawky Yazid dan Mohamad Ghaddar pada babak pertama juga telah menyaksikan bahagian tengah dan serangan The Red Warriors gagal berfungsi.
Namun selepas 30 minit perlawanan Kelantan mula menguasai permainan dengan mengatur beberapa serangan terutamanya melalui pe­nye­rang mereka, Francis Forkey Doe.
Pada minit ke-32, Kelantan memperoleh peluang keemasan, namun rembatan deras Forkey Doe di dalam kotak penalti melepasi palang gol pasukan pelawat.
South China juga gagal menggunakan kepincangan Kelantan apabila gagal mencipta peluang-peluang dalam usaha menghasilkan gol.
Pada babak kedua, pasukan pelawat tiba-tiba tampil dengan aksi lebih garang apabila hampir memperolehi gol pertama pada minit ke-49 namun sepakan Lee Chi Ho dalam keadaan kelam kabut di kawasan kotak penalti Kelantan bagaimanapun terkena palang.
Kelantan mula memperkemas rentak permainan dan kembali mengatur gerakan sehingga hampir memperoleh gol pendahuluan namun rembatan kencang Wan Zaharul Nizam dari dalam kotak penalti pada minit ke-53 sedikit tersasar di sebelah kanan gawang South China.
Kelantan akhirnya memasukkan Mohd. Badhri, Mohammad Shawky dan Mohamad Ghadar masing-masing mengantikan Muhammad Nazri Ahmad, Khairul Izwan Rosli serta Tengku Hasbullah Raja Hassan.
Kemasukkan tiga tonggak itu jelas memberi kesan apabila tuan rumah berjaya memecah kebuntuan, setelah pemain sayap mereka, Wan Zaharul meledakkan gol pembukaan pada minit ke-71.
Kelantan terus garang dan berjaya meledak gol kedua menerusi penyerang sensasi mereka, Mohamad Ghadar memperdayakan penjaga gol pelawat, Yapp Hung Fai selepas mendapat hantaran cantik Mohd. Badhri pada minit ke-83.

Isnin, 10 Mac 2014

Semangat juang bantu atasi Lions XII

Semangat juang bantu atasi Lions XII

SIKAP tidak mudah berputus asa dan semangat juang tinggi dipamerkan barisan pemain The Red Warriors (TRW) memastikan tiga mata berharga menjadi milik mereka setelah menundukkan Lions XII FC 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam kelmarin.

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim memuji kesungguhan dan disiplin ditonjolkan anak buahnya, biar pun diasak hebat serta ketinggalan satu gol pada babak pertama kepada skuad kendalian Fandi Ahmad itu.

“Kita meletakkan sasaran mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata di Stadium Jalan Besar tetapi tidak sangka dapat menewaskan mereka. Bagi saya, kemenangan ini merupakan satu bonus buat Kelantan.

“Pemain menunjukkan mereka mampu menyesuaikan diri beraksi di atas padang rumput tiruan biar pun ia sebenarnya memberi kelebihan kepada pemain tuan rumah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Malah, pengurus berusia 54 tahun itu turut memuji persembahan tiga pemainnya, Mohd Badhri Radzi, Ahmad Fakri Saarani dan Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang mengekang asakan pemain Lions XII FC biar pun mereka masih kepenatan setelah baharu menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan dalam kempen kelayakan Piala Asia, baru-baru  ini.

Pada perlawanan tersebut, Lions XII FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi penyerang sensasinya, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal sebelum Ahmad Fakri Saarani menyamakan kedudukan buat Kelantan enam minit babak kedua bersambung.

Begitu pun, jaringan lewat permainan penyerang import Liberia, Francis Forkey Doe ketika kedua-dua pasukan dilihat hampir pasti berkongsi mata pada perlawanan tersebut, memastikan Kelantan membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.

Namun di sebalik kegembiraan tersebut, Azman turut merakamkan kekecewaannya setelah penyerangnya, Ahmad Shakir Md Ali dibuang padang akibat layangan kad merah pada perlawanan itu.

“Akibat gagal mengawal perasaan, dia menerima padah. Saya harap dia tidak mengulangi kesilapan itu kerana layangan kad seperti itu akan memberi tekanan kepada rakan sepasukannya yang beraksi di atas padang,” katanya.

Catatan Popular