Kota Bharu: Jurulatih Kelantan Bojan Hodak tetap menaruh kepercayaan kepada The Red Warriors (TRW) untuk bangkit mendaki takhta Liga Super selepas menemui semula sentuhan kemenangan menundukkan T-Team 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.
Bagaimanapun Hodak berkata laluan sukar terpaksa ditempuh bagi mengejar pendahulu, namun bukan mustahil untuk dilakukan.
Katanya, kemenangan ke atas T-Team menyuntik semangat anak buahnya untuk meneruskan perjuangan sehingga perlawanan terakhir malah tetap optimis mampu mengubah kedudukan Kelantan yang kini berada di tangga kesembilan.
Katanya, Kelantan perlu terus mempamerkan aksi lebih baik dalam perlawanan berikutnya malah kelemahan yang ada pada masa ini akan dibaiki sebelum menentang Ayeyawady United dalam saingan Piala AFC di Kota Bharu malam esok.
“Kita bermain bagus malam ini (kelmarin) dan mendapat kemenangan dan saya mahu ia diteruskan dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
Menurut Hodak, kepenatan pemain kerana jadual padat musim ini sedikit mempengaruhi persembahan Kelantan yang menjulang tiga piala musim lalu, namun dengan semangat yang ada, anak buahnya masih mampu bertahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan