KOTA BHARU – The Red Warriors bertekad untuk meneruskan rentak kemenangan ke atas pendahulu Kumpulan G, SHB Da Nang FC dalam aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Pengendalinya, Bojan Hodak berkata, kemenangan dalam tiga aksi terdahulu iaitu Ayeyawady United FC (Piala AFC), PKNS (Piala FA) dan Angkatan Tentera Malaysia (Liga Super) menyemarakkan lagi semangat barisan pemainnya untuk meneruskan rentak cemerlang pada pertemuan ini.
Meskipun bakal berdepan cabaran sengit dari pihak lawan, namun Hodak melaungkan keyakinan pasukannya mampu meraih tiga mata penting dalam perlawanan tersebut.
“Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri serta sokongan padu para penyokong pasti melonjakkan lagi semangat barisan pemain untuk meneruskan rentak cemerlang pada perlawanan tersebut.
“Saya gembira selepas mengharungi tujuh perlawanan kebelakangan ini, jentera serangan semakin berbisa dan berjaya menjaringkan gol.
“Situasi ini memulihkan semula moral pemain dan hasilnya ada peningkatan yang dijelmakan dalam setiap perlawanan,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan antara Kelantan dengan SHB Da Nang FC di sini, semalam.
Yang turut hadir sama pada majlis tersebut ialah penyerang The Red Warriors, Mohd. Faiz Subri dan Kapten SHB Da Nang, Gaston Marlo serta Ketua Jurulatihnya, Le Huynch Duc.
Dalam perkembangan lain, Hodak berharap dua tonggak import di bahagian serangan, Dimitrios Petratos dan Dickson Nwakaeme terus mempamerkan ketajaman penyudah dalam usaha pasukan meraih tiga mata pada pertemuan tersebut.
Katanya, kedua-dua pemain tersebut telah mempamerkan aksi cemerlang dalam pertemuan sebelum ini.
“Saya gembira dengan persembahan kedua-dua pemain ini yang semakin serasi. Sudah pastinya untuk pertemuan dengan SHB Da Nang ini kedua-dua pemain ini akan mengetuai jentera serangan pasukan,” ujarnya.
Setakat ini Kelantan meraih empat mata hasil kemenangan ke atas Ayeyawady United FC (Myanmar) dan seri dengan Maziya Sport and Reacreation (Maldives).
Sementara itu, Huynch Duc memberitahu, pasukannya mahu meraih mata pada perlawanan tersebut biarpun bakal berdepan cabaran sengit dari The Red Warriors.
Meskipun pemainnya mengalami sedikit keletihan selepas mengharungi jadual perlawanan liga negara itu yang padat, namun beliau optimis barisan pemain dapat menjelmakan aksi terbaik dan mampu mengecewakan tuan rumah.
“Tidak banyak maklumat yang kami ketahui berkaitan pasukan Kelantan, namun apa yang saya tahu pertemuan ini pasti sengit dan kita telah bersedia untuk menghadapinya,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan