KELANTAN bakal mendapat suntikan moral ketika turun menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan Liga Super malam ini apabila dijangka menyenaraikan dua pemain baharu mereka termasuk seorang pemain import, lapor KHAIRI MOHAMAD.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim memberitahu, bekas pemain Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC) yang beraksi dalam liga Divisyen Tiga Portugal, Ahmad Fakri Saarani dan pemain import dari Lagos, Nigeria, Dickson Nwakaeme hampir pasti diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi menentang ATM malam ini.
Menurutnya, urusan pendaftaran kedua-dua pemain berkenaan selesai kelmarin selepas Ahmad Fakri mendapat sijil perpindahan antarabangsa (ITC) daripada kelab lamanya sejak lima hari lalu manakala ITC Nwakaeme sudah lama diperolehi.
“Kita mendapat khabar gembira apabila urusan berkaitan pendaftaran kedua-dua pemain ini berjaya diselesaikan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam (kelmarin).
“Kehadiran dua pemain ini diharap dapat memberi impak kepada Kelantan yang tidak boleh lagi tercicir mata pada saingan pusingan kedua ini, dan kita perlu memastikan momentum kemenangan sejak enam perlawanan lalu dapat diteruskan,” katanya.
Tambahnya, kemasukan Nwakaeme bermakna, Keita Mandjou terpaksa disisihkan daripada pasukan namun, dia (Mandjou) masih mempunyai kontrak dan pihak pengurusan akan mengadakan perbincangan dengan pemain tersebut untuk mengetahui masa depannya bersama Kelantan.
Mengulas mengenai pertembungan dengan ATM, Azman memberitahu, pasukan bimbingan B.Sathianathan itu mempunyai sedikit kelebihan apabila melalui tempoh rehat yang panjang dengan perlawanan terakhir yang dihadapi mereka ialah pada 29 Mac lalu.
Katanya, pasukannya terpaksa berdepan faktor keletihan apabila baru menyelesaikan tugas dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang SHB Da Nang di Vietnam, Rabu lalu dan terpaksa melalui tempoh perjalanan yang cukup panjang.
“Kita melalui perjalanan pulang yang cukup panjang iaitu selama 15 jam. Kita harap para pemain dapat terus bertahan dan mengekalkan momentum enam kemenangan sejak menentang Ayeyawady United serta mempertahankan rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
“Saya percaya, kehadiran Ahmad Fakri dan Nwakaeme serta beberapa pemain yang diberi rehat dan tidak menyertai pasukan ke Vietnam tempoh hari seperti Piya (Badhri Radzi), Shakir Shaari, Daudsu Jamaluddin serta Zamri Ramli mampu memberikan yang terbaik ketika menentang ATM nanti,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan