KEGAGALAN Kelantan mencatat kemenangan tanpa bolos ke atas Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini berkemungkinan mempengaruhi perjuangan Gergasi Pantai Timur itu mempertahankan kejuaraan Piala FA.
The Red Warriors gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar menang tipis 2-1 ke atas pasukan kendalian Rober Alberts, yang ternyata tidak gerun berdepan lawan mereka yang lebih gah.
Kelantan pada awalnya kelihatan seakan-akan mampu berpesta gol apabila berada dua gol di depan menerusi Mohd Faiz Subri pada minit keenam disusuli Khairul Izuan Rosli pada minit ke-20.
Namun, Sarawak membuktikan mereka juga berniat meneruskan kemaraan dalam pertandingan ini dan usaha mereka berhasil apabila merapatkan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bersambung menerusi jaringan Joseph Kalang Tie.
Gol tersebut sekaligus memastikan Sarawak terus bernyawa menjelang aksi timbal balik di Kuching pada 16 April ini.
Seawal minit kedua, tuan rumah sudahpun mula mengancam kubu pelawat apabila kapten pasukan, Mohd Badri Mohd Radzi melakukan percubaan jarak jauh, namun cubaannya sedikit melepasi palang gol.
Dua minit berselang, Kelantan dianugerahkan sepakan percuma selepas pemain sayap, Mohd Faiz dikasari pemain import Sarawak, Guy Bwele namun tendangan terus pemain veteran, Indra Putra Mahyuddin sedikit tersasar ke kiri gawang.
Keadaan stadium yang dibanjiri kira-kira 10,000 penonton menjadi lebih gamat sebaik Mohd Faiz membuka tirai jaringan menerusi jaringan cantik pada minit keenam apabila cubaan dari tengah padang menewaskan penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani.
Selepas jaringan pembukaan itu, rentak permainan kembali tenang menyaksikan kedua-dua pasukan tidak banyak melakukan gerakan namun Kelantan dilihat menguasai perlawanan.
Memasuki minit ke-20 Khairul Izuan menggandakan kedudukan tuan rumah selepas kemas menyudahkan hantaran lambung dari Piya untuk sekali gus mencatat jaringan peribadi sulungnya bagi musim ini.
Kelantan yang selesa mendahului dengan dua jaringan di depan terus melancarkan asakan bertubi-tubi ke atas benteng pertahanan lawan, dan nyaris menjadikan kedudukan 3-0.
Malangnya, sepakan percuma yang diambil Indra Putra selepas Mohd Faiz dikasari berjaya ditumbuk keluar penjaga gol.
Titik kebangkitan Sarawak bermula pada babak kedua apabila Joseph Kalang menghukum kealpaan pemain pertahanan Kelantan setelah gagal mengeluarkan bola ke kawasan selamat.
Dia sempat mendada bola tersebut sebelum melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti lalu menerwaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Sarawak mendapat suntikan semangat selepas memperoleh jaringan pertama itu.
Mereka berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-74 apabila pemain tengah Bobby Gonzales membuat lorongan cantik kepada Joseph Kalang, namun percubaan bekas pemain Terengganu itu tidak menepati sasaran.
Kelantan mula menggandakan asakan selepas empat minit masa tambahan namun dikekang hebat pertahanan Sarawak sehingga tamat perlawanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan