KOTA BHARU – Kelab Penyokong Rasmi Bola Sepak Kelantan (KPBSK) meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminda perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super, pertemuan Kelantan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 13 April ini ke satu tarikh lain.
Semuanya gara-gara kepadatan jadual perlawanan dan penerbangan jauh pasukan yang terpaksa diharungi pasukan juara tiga piala musim lalu setelah terbabit dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan saingan Liga Malaysia musim ini.
Pengerusinya, Yahya Jamada Ali berkata, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) FAM wajar mengambil kira kepentingan pasukan yang bertanding dalam saingan kempen Piala AFC tanpa mengorbankan penyertaan mereka dalam saingan Liga Super.
“Alasan tidak ada tarikh sesuai untuk meminda perlawanan ini tidak boleh diterima langsung. FAM perlu melihat penyertaan Kelantan dan Selangor dalam kempen Piala AFC bukan sekadar suka-suka. Mereka menggalas tugas besar kerana membawa nama negara,” katanya kepada *Sinar Harian* semalam.
“Macam mana kita hendak lihat saingan liga tempatan lebih kompetitif jika FAM sendiri tidak beri ruang kepada pasukan untuk berehat. Saya tidak kata benda ini berlaku kepada Kelantan sahaja, mungkin perkara seperti ini boleh terjadi ke atas pasukan lain pada masa akan datang.
Yahya Jamada berharap Pengerusi JKPT FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang berpengalaman luas dalam mengendalikan pertandingan di peringkat domestik lebih bertimbang rasa dan memberi kelonggaran terhadap mana-mana pasukan yang beraksi di kempen Piala AFC.
The Red Warriors berdepan masalah besar bertemu ATM memandangkan hanya tiba di Kota Bharu, tengah malam Khamis ini. Skuad kendalian Bojan Hodak hanya mempunyai masa rehat sehari sebelum bertemu The Gladiators di tempat sendiri, pada Sabtu ini.
Pendapat sama turut disuarakan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mohd Khairi Yazid yang menzahirkan rasa dukacita dengan keputusan badan induk bola sepak kebangsaan itu menolak permohonan Kelantan.
“Tidak ada kelab bola sepak di dunia ini bermain lima perlawanan dalam tempoh 13 hari tetapi itulah yang terpaksa dihadapi oleh Kelantan. Bayangkan Kelantan bertemu Sarawak pada 6 April lalu, SHB Da Nang di Vietnam (10 April), jumpa ATM di Kota Bharu (13 April), lawan Sarawak di Kuching (16 April) dan PKNS FC di Kelana Jaya, tiga hari kemudian.
“Semua ini melibatkan perjalanan jauh dan pemain jelas tidak cukup rehat. Saya difahamkan Kelantan telah pun bertindak tidak membawa tiga tonggak utama ke Da Nang bagi memberi rehat kepada mereka sebelum bertemu ATM,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan