Setelah mengharungi 26 perlawanan timbal balik, saingan Liga Super telah sampai ke kemuncaknya dengan Selangor muncul juara sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka musim lalu. Selangor menjadi pasukan kedua selepas Kedah mempertahankan kejuaraan liga. Merah Kuning tampil cemerlang apabila mencatatkan beberapa kemenangan penting sewaktu pencabar terdekat keciciran mata. Mereka bukan sahaja konsisten malah memberikan persembahan menakjubkan sepanjang musim untuk mengutip mata paling maksimum. Mendapat 63 mata dari 26 perlawanan, tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan sepanjang kejohanan liga super yang bermula sejak tahun 2005. Mengutip mata sebanyak itu memberikan Red Giants kejuaraan buat tahun kedua berturut-turut setelah menjuarainya pada tahun 2009.
Kelantan yang sinonim dengan gelaran Red Warriors pula telah menutup mulut pengkritik sukan tanahair apabila gah menjadi pencabar nombor satu Selangor sebelum terpaksa akur dengan kedudukan naib johan liga. Prestasi konsisten namun hampa setelah mencatatkan banyak perlawanan seri membantutkan niat mereka untuk bergelar juara. Membaiki kedudukan pada musim lalu iaitu di tangga keenam kepada kedudukan kedua, Kelantan mencatat satu sejarah baru sejak penubuhan pasukan apabila tidak tewas sepanjang 13 perlawanan di tempat lawan selain tidak tewas dalam liga sejak Januari 2010 serta menjadi pasukan paling sedikit melepaskan gol sepanjang musim ini. Mengutip 59 mata dengan jumlah bolos paling sedikit, Kelantan membuktikan status mereka selaku salah satu pasukan elit Malaysia.
Menyusuri gelora pantai timur angkara peningkatan mendadak Kelantan, Terengganu tetap tidak mengaku kalah untuk cuba mengekalkan status mereka selaku gergasi pantai timur apabila sentiasa memberi sentuhan gemilang sepanjang pembabitan mereka dalam saingan liga super 2010. Sang Penyu pada mulanya senantiasa bersaing dengan Selangor dan Kelantan merebut takhta liga namun mereka terkulai layu di penghujung saingan setelah kehilangan beberapa nama besar akibat pengantungan dan kecederaan. Mereka tetap berbangga dengan persiapan ala kadar dan pembelian dua tiga pemain, mereka mampu muncul selaku pasukan berada di tiga terbaik. Terengganu seharusnya bersyukur walaupun gagal mendapat kedudukan lebih atas, mereka berjaya mencipta mesin pembunuh baru, Ashaari Shamsudin yang meledak 18 gol. Menamatkan saingan dengan 50 mata, Terengganu sebenarnya dapat mengutip lebih dari itu tetapi harus akur dengan keputusan FAM memotong tiga mata yang diperolehi mereka.
Pasukan Kelab paling konsisten sekarang ialah Johor Fc. Sentiasa menamatkan kedudukan di kedudukan lima teratas sepanjang musim-musim liga. Begitu juga pada musim ini, Johor Fc masih lagi mengekalkan konsistensi apabila kekal berada dalam kelompok teratas. Walaupun mencatatkan beberapa keputusan sebaliknya termasuk ditewaskan pasukan bawahan, mereka kekal memberi saingan untuk merancakkan lagi kancah liga Malaysia. Johor Fc mengutip 40 mata dari 26 perlawanan kekal selaku pasukan pencabar dari tahun ke tahun. Satu-satunya kelab yang kekal tanpa ada masalah pengurusan selain tampil gagah dan mantap setiap musim.
Mantan juara Double Treble, Kedah seharusnya bergembira apabila mereka berjaya mengenepikan permulaan hambar untuk menamatkan saingan di tangga kelima liga. Selain itu, mereka pastinya bangga dengan pencapaian menjadi finalis Piala FA dikala pasukan bintang lain tersungkur seawal pusingan kedua. Walaupun dikritik hebat setelah gagal tampil seperti muncul juara treble untuk dua musim berturut-turut, mereka bangkit mengejar seterusnya berhasil berada di kedudukan kelima pada saat akhir setelah mengutip 38 mata.
Begitu juga dengan juara baru Piala FA, Negeri Sembilan. Mereka gagal dalam persaingan liga apabila menamatkan kedudukan di tangga keenam. Walaupun mengutip sama mata dengan Sang Kenari, mereka tidak bernasib baik untuk mencengkam kedudukan kelima setelah ketinggalan dari segi perbezaan gol bolos. Pasukan Hoben Jang Hoben bermula garang dalam liga super tetapi semakin jauh dari perebutan kedudukan terbaik selepas mengalami masalah persatuan dan penurunan prestasi pemain utama. Namun begitu, Negeri Sembilan kebiasaannya bangkit hebat dalam saingan Piala terutamanya seperti mereka lakukan sewaktu menjuarai Piala Malaysia tahun 2009 lalu.
Sebuah lagi pasukan kelab yang sedang meningkat naik dari Kuala Terengganu. T-team Fc kendalian Che Ku Marzuki boleh dikatakan berjaya apabila menamatkan saingan dengan 38 mata dari 26 perlawanan yang dilalui. Walaupun terlepas kedudukan kelima kepada Kedah selain dipintas Negeri Sembilan di tangga keenam, kelab naungan Terengganu FA ini disifatkan antara pasukan yang memberikan saingan kepada pasukan yang bertanding. Mereka turut melakukan beberapa pembelian selain dipenuhi barisan pemain bintang lama. Oleh itu, kedudukan ketujuh bukanlah satu misi gagal tambahan pula tahun ini merupakan kali pertama mereka layak ke saingan tertinggi.
Pahang merupakan pasukan yang diberi belas ihsan FAM apabila tidak diturunkan ke Liga Perdana pada awal musim walaupun berada di tangga tercorot tahun 2009. Bagaikan mendapat pengajaran, mereka tangkas menutup mulut pengkritik apabila merubah pasukan seterusnya menamatkan saingan di tangga kelapan. Pahang berhasil mengutip 33 mata dan dikhabarkan kebal apabila bermain di tempat sendiri. Dibarisi pemain muda, kejayaan menduduki tangga kelapan merupakan petanda mereka bukan pasukan belasahan kerana beberapa pasukan elit hampir dikejutkan mereka.
KL Plus Fc hadir dengan reputasi gah permulaan liga super tetapi gagal dalam misi mereka di pertengahan sebelum menamatkan saingan di tangga kesembilan. Mereka mengutip 31 mata dari 26 perlawanan dan turut cuba memberi saingan di kelompok atasan. Namun semuanya tidak menjadi apabila tewas berturut-turut selain kecundang sewaktu beraksi di gelanggang sendiri. Walaupun digagahi dengan beberapa nama besar dalam arena bola sepak Malaysia, anak didik Mat Zan hanya mampu melihat pasukan lain memintas mereka.
Skuad ibu kota, Kuala Lumpur yang baru dinaikkan turut cemerlang apabila mengekalkan kedudukan mereka dalam kancah Liga Super untuk musim depan. Dipenuhi dengan pemain muda dan kurang pengalaman, mereka berjaya menjadikan musim pertama sebagai permulaan gemilang untuk tahun-tahun mendatang. Pemain mereka masih muda selain mempunyai semangat melawan kental. Tanpa pemain berpengalaman, mereka masih mampu mengelakkan diri dari tersingkir. Satu pencapaian terbaik apabila dapat mengutip 30 mata seterusnya melepasi sasaran yang telah ditetapkan oleh pengurusan pasukan untuk melihat skuad ini terus berada dan bersaing dalam kejohanan tertinggi.
Perak yang dilanda kemelut persatuan akibat perebutan kuasa menghadapi pelbagai rintangan dan masalah menyebabkan pasukan menjadi terumbang ambing. Kesudahannya mereka berada dalam kelompok terbawah dan sepatutnya berterima kasih kepada beberapa pasukan lain yang gagal menempatkan diri diatas. Perak hanya mengutip 30 mata dari 26 perlawanan dan perlu bermuhasabah mengapa mereka gagal sama sekali menjadi seperti tahun-tahun dahulu. Dari sebuah pasukan bintang, mereka terkulai lesu dari musim ke musim.
Sebuah lagi pasukan yang berstatus bintang hampir dimalukan pada tahun ini apabila gagal memberikan persembahan se gah nama. Perlis hanya dapat mengumpul 27 mata dari 26 perlawanan. Pencapaian terburuk mereka selepas lima tahun liga super diperkenalkan. Walaupun dibarisi beberapa pemain skuad kebangsaan, Perlis terus kecundang dan kecundang. Mereka juga menjadi salah satu pasukan yang melakukan kejutan di pertengahan apabila bertindak memecat ketua jurulatih dengan alasan gagal membantu pasukan. Namun satu kemujuran pada mulanya mereka dapat mengutip beberapa mata penting seterusnya dapat mengelakkan dari jatuh ke Liga Perdana.
Sayonara dan cuba lagi diucapkan kepada dua pasukan negeri, Johor dan Pulau Pinang kerana mereka menjadi dua pasukan yang telah tersingkir ke Liga Perdana untuk 2011. Berada di tangga tercorot tidak mengejutkan kerana dua pasukan ini gagal memberikan saingan malah faktor kurang pengalaman dan pemain muda menjadi punca utama mengapa mereka langsung tidak menyengat. Johor menamatkan saingan dengan 16 mata manakala Pulau Pinang mengutip 8 mata sahaja. Saingan 2010 bukan untuk mereka dan penurunan ke Liga Perdana merupakan satu langkah terbaik kerana saingan liga super hanya untuk pasukan yang bersedia dari setiap segi. Namun Liga Super menjadi pendedahan terbaik buat pemain muda mereka dan siapa tahu 2012 nanti, Johor dan Pulau Pinang berjaya naik seterusnya menjadi pasukan elit setaraf dengan nama-nama pasukan bintang lain. Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan