KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 1 Ogos 2010

Bangga Jadi Anak Kelantan!!

emel

Sungguhpun terpaksa akur dengan kejayaan hanya mampu merangkul naib juara TM Liga Super 2010, penyokong Kelantan menerimanya dengan hati yang terbuka dan tenang kerana tetap yakin pasukan yang hanya sekali kalah, hanya 14 kali bolos dan tidak pernah tewas digelanggang lawan ini sudah menjadi juara dihati mereka. Kelantan sudah jauh meninggalkan pasukan lain dalam pencapaian pengurusan, penjenamaan, media dan paling utama Kelantan mampu menarik ramai penyokong ke stadium malah sudah menjadi fenomena sehingga diminati ramai masyarakat di Malaysia.

Ini bukan kisah syok sendiri atau kecewa kerana semuanya telah dibuktikan dan dapat dilihat dengan mata kasar tetapi amat malang perkara ini tidak pernah dihebohkan media. Teringat satu artikel yang memaparkan satu perlawanan di stadium kosong selepas piala dunia selesai, lantas dengan tanpa usul periksa editor media ini melaporkan semua stadium di Malaysia kosong disebabkan penyokong masih kemaruk demam piala dunia sedangkan stadium di Kota Bharu sedikitpun tidak terjejas jumlah penyokongnya. Apakah motif editor ini melepaskan laporan lemah sedemikian? Adakah terlalu taksub dengan piala dunia dan sanggup memperlekeh liga negara sendiri? Hasil laporan seperti ini respon pertama yang didengari daripada orang ramai "Tak lama lagi bungkuslah liga di Malaysia, tak ada orang nak tengok" sedangkan respon orang kelantan "aduh aku beratur lama semalam, tak dapat juga masuk stadium, tiket habis". Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai iltizam meningkatkan imej bolasepak Malaysia, jumlah puluhan ribu penyokong Kelantan perlu dilaporkan dan dipaparkan di media tv atau media cetak bagi menarik minat dan memberitahu pada masyarakat bahawasanya kami di Kelantan cintakan bolasepak negeri dan negara kami.

"Kami sudah biasa sangat menjadi Juara sebab itu penyokongnya tak ramai, dah bosan macam tak ada lawan" tegas seorang penyokong fanatik Selangor ketika ditanya di stadium semalam. Jika dilihat pada liga eropah kejayaan sesebuah pasukan juara akan menghasilkan satu sokongan yang ramai dan kuat, oleh itu kekurangan penyokong menggambarkan sesebuah pasukan itu kurang diminati. Mungkin ramai pihak luar Kelantan menilai sokongan Kelantan hadir ketika menang dan hebat sahaja dan akan hilang apabila gagal atau kalah. Sebenarnya tanggapan ini salah kerana bagi penyokong Kelantan jiwa kenegerian sukar dipisahkan hatta citarasa makanan mahupun bolasepak. Momentum yang dihasilkan Tan Sri Annuar Musa sukar merencatkan sokongan peminat Kelantan. Kami berbangga dengan pakaian dan produk pasukan kami yang berjaya diiktiraf "Malaysia Book Of Record" begitu juga media KAFA seperti portal theredwarriors.com dan trw fm walaupun setahun jagung diarena media sukan sudah mampu menepis segala propaganda media massa dan menduduki ranking portal pasukan bolasepak no 1 di Malaysia. TRW FM juga telah tersenarai dalam sejarah "Malaysia Book Of Record" sebagai radio sukan internet pertama di Malaysia.

Perkembangan dan kejayaan ini sudah mampu meletakkan Kelantan mendahului zaman kemajuan bolasepak di Malaysia. Kemajuan yang dikecapi Kelantan diharap mampu dikecapi seluruh masyarakat Malaysia dengan perkongsian Pakar Pembangunan Bolasepak Kelantan Tan Sri Annuar oleh rakyat Kelantan dengan FAM dan rakyat Malaysia setelah beliau telah dipilih Timbalan Presiden FAM. Kami yakin Tan Sri Annuar Musa mampu melakukannya demi Kelantan dan Malaysia.

TAHNIAH KEPADA SEMUA PENYOKONG KELANTAN KERANA PASUKAN THE RED WARRIORS TELAH BERJAYA DINOBATKAN NAIB JUARA TM LIGA SUPER 2010, NAIB JUARA PIALA FA 2009 DAN NAIB JUARA PIALA MALAYSIA 2009 DALAM MASA SATU TAHUN.

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular