KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 28 Januari 2011

Selangor Mahu Pertahan, Kelantan Cari Kejuaraan.

Seperti perlawanan musim sebelumnya, kehangatan pasti akan menjelma di arena Kota Bharu ataupun Shah Alam bilamana dua pasukan yang mendatangkan fenomena kepada sukan bola sepak negara bertembung.

Kelantan dan Selangor, dua pasukan yang mempunyai tarikan tersendiri termasuk mampu menghimpunkan puluhan ribu penyokong dalam setiap perlawanan sekali lagi dipertemukan dalam satu perlawanan pembukaan Liga Malaysia merebut penghormatan pertama menjulang Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Mengikut venue perlawanan terdahulu, Kelantan sebenarnya lebih layak bermain selaku tuan rumah setelah muncul juara Piala Malaysia tetapi pada tahun ini Shah Alam dipilih pengurusan tertinggi FAM, mungkin untuk menampung kehadiran penyokong kedua-dua pasukan selain mendapat lebih keuntungan hasil dari kutipan tiket.

Dari perlawanan ini, bukan sahaja Piala menjadi rebutan malah tiga mata pertama turut menjadi taruhan buat kedua-dua pasukan melakar langkah pertama memburu kejuaraan liga tertinggi dalam negara, Liga Super 2011.

Mengikut statistik perlawanan dari tahun 1991 sehingga 2010, antara dua buah pasukan pasti ada satu pasukan akan mengungguli pertemuan setiap tahun dan jarang sekali kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol dalam setiap perlawanan yang dihadapi. Namun dari rekod dua tahun terakhir, prestasi kedua-dua pasukan tampak seimbang.

Berdasarkan rekod pertemuan musim lalu, Kelantan dilihat mempunyai kelebihan besar untuk memulakan musim baru dengan nota kemenangan setelah menewaskan lawan dalam Piala Malaysia selain mengikat lawan dua kali dalam saingan Liga Super tetapi mampukah skuad bimbingan gabungan dua nama besar dua era kejurulatihan negara, M. Karathu dan B. Sathianathan mencorakkan taktikal ampuh untuk mengecewakan pasukan lawan di arena mereka sendiri.

Selangor pasti tidak berdiam diri untuk turut melakar sejarah gemilang mempertahankan piala buat kali ketiga berturut-turut dan K. Devan, pengendali serba boleh menyatakan dengan keyakinan tinggi barisan pemain mereka sudah bersedia untuk mengejar piala pertama pada tahun baru.

Persediaan Kelantan pada pra musim tidak seperti yang diharapkan kerana terpalit dengan banyak kontroversi besar selain sikap pihak KAFA dan Kerajaan Negeri tidak sekata dalam satu dua perkara yang berbangkit. Bermula dengan isu geran, kes panas KWSP, penghijrahan beramai-ramai pemain utama, stadium tidak dapat digunakan kerana rosak teruk, komen tidak puas hati bekas pemain tonggak selain isu panas antara pihak pengurusan KAFA dan FAM menyebabkan dua perlawanan jelajah utara dan Lembah Kelang berakhir kecewa. Mujurlah dua perlawanan terakhir termasuk mempertahankan piala komuniti Shahidan Kassim tempoh hari diharap menjadi penyuntik semangat berkesan kepada semua pemain untuk cuba mencatatkan kejuaraan pertama selepas 27 tahun.

Bagi Selangor, persediaan mereka dalam pra musim menunjukkan bahawa mereka benar-benar serius untuk mencapai target awal mengungguli semua piala yang dipertandingkan. Sebelum bertolak ke Australia, mereka melakukan persiapan terawal dengan mengumumkan nama-nama pemain selain melakukan empat perlawanan persahabatan awal dengan pasukan tempatan ketika pasukan lain masih lagi belum memulakan sebarang langkah membina pasukan. Selepas itu, persiapan mereka diteruskan dengan mengadakan perlawanan persahabatan di Australia dengan melawan pasukan utama Kanggaru, Gergasi Merah menunjukkan persembahan baik termasuk menewaskan sebuah pasukan kelab disana dan mencatatkan satu keputusan seri.

Melihat pada kesebelasan pemain kedua-dua pasukan setakat ini kelebihan sebenarnya berpihak kepada Selangor kerana dibarisi lima nama yang beraksi di Piala Suzuki AFF iaitu Safee Salee, Amri Yah-Yah, Asrarudin Putra, Amirul Hadi serta Safq Rahim berbanding Sang Kijang hanya diwakili Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat dan S. Chanturu (digugurkan dalam Piala AFF kerana cedera).

Kedua-dua pasukan turut merekrut beberapa pemain baru untuk saingan musim ini dimana Selangor menambah kekuatan dengan mengikat bekas ketua pasukan Kuala Lumpur, Azidan Sarudin, bekas penyerang kebangsaan, Fadzli Shaari serta penjaga gol PKNS, Saiful Amar Sudar.

Mereka turut diperkuatkan dengan kehadiran bekas pertahanan Pahang, Yosri Dermaraju, K. Depan Sakwati dan S. Sritharan dari Melaka bagi mengantikan enam pemain yang digugurkan pengurusan Selangor.

Skuad The Red Warriors yang menggunakan 90 peratus anak tempatan dalam pasukan pula menampung penghijrahan pemain musim lalu dengan kehadiran Nurul Azwan Roya, Solehin Kanasian Abdullah, Wan Rohaimi, Aziz Ismail, Danial Fadly serta dua kejutan iaitu Nicholas Chan dari Cardif dan Khalid Jamlus, bekas penyerang utama Sang Kijang 2009.

Melihat pada situasi semasa, tidak mudah buat Kelantan untuk mengharung gelora Merah Kuning tambahan pula beraksi di tempat lawan tetapi selagi 90 minit belum dihadapi, pantang keturunan Tok Janggut menyerah kalah rebah sebelum berjuang.

Semestinya Selangor bertekad menjadi pasukan pertama menjulang piala Sumbangsih secara berturut-turut sebanyak tiga kali manakala Kelantan pula mencari satu lagi piala selepas memenangi kejuaraan Piala Malaysia.

Kesebelasan Bayangan Kelantan

Berdasarkan perlawanan menentang Perlis dan Pulau Pinang pada perlawanan terakhir pra-musim, Kelantan dilihat sudah menemui kesebelasan impian untuk menggalas tugas utama menyekat Selangor merangkul kejuaraan disamping memungut tiga mata pertama.

Tetapi pemain yang digunakan itu adalah ketika era kejurulatihan B. Sathianathan dan dengan kehadiran M. Karathu mungkin beliau akan melakukan satu atau dua perubahan ke dalam skuad. Kita harapkan Sathianathan mengotakan janjinya untuk membantu Karathu dari segi nasihat dan cadangan pemain mana boleh dimasukkan untuk menggalas kesebelasan utama pasukan.

Di posisi penjaga gol, sudah pasti nama Khairul Fahmi tidak keciciran dalam kesebelasan utama setelah aksi pemain muda ini meningkat mendadak sejak dilatih tanpa penat lelah jurulatih penjaga gol, Ismail Chaiwalit. Halim Napi diletakkan di bangku simpanan selepas seorang lagi penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail mengalami kecederaan memaksa dia diketepikan buat seketika.

Empat tonggak pertahanan pula pasti menerima tekanan besar jika rekod musim lalu menjadi ukuruan kepada mereka. Catitan bolos paling sedikit 2010 sepanjang 90 tahun pembabitan Kelantan dalam kancah Liga Malaysia pasti menjadi igauan ngeri kepada barisan pertahanan. Dijangkakan Daudsu, Rizal Fahmi dan Zairul Fitree akan bermula dalam kesebelasan pertama manakala satu tempat lagi menjadi rebutan antara Farisham, Wan Rohaimi dan S. Subramaniam. Tugas mereka dalam perlawanan dengan Selangor sangat berat kerana perlu membantu Khairul Fahmi mengawal kubu dari kelincahan Safee Sali, Safiq Rahim dan Amirul Hadi.

Jentera tengah tiada masalah buat M. Karathu untuk membariskan pemain terbaik ketika menentang Selangor esok. Mohd Badri Radzi kekal di posisi permulaan selaku ketua pasukan, Azwan Roya dan Solehin Kanasian bermain di bahagian sayap manakala satu tempat lagi di bahagian tengah mungkin diisi Shakir Shaari atau Danial Fadly. Khairan Eroza, Wan Zaman dan Zulyusri turut berpeluang namun kemunculan di tempat pertama mungkin tidak menjadi kenyataan dalam perlawanan ini.


Menjadi masalah bagi kem Kelantan sewatu ini ialah pemain mana boleh diharapkan untuk bergandingan dengan Norshahrul Idlan di jentera serangan. Pilihan pemain terlalu ramai namun kekurangan pengalaman menjadi faktor utama mengapa Kelantan masih belum mampu mencari pemain sesuai membantu Norshahrul. Masih kehilangan Khalid kerana kecederaan bahagian lutut, hanya S. Chanturu menunjukkan persembahan serasi dengan Norshahrul dalam perlawanan pra-musim manakala pemain selebihnya seperti Nidzad Ayub dan Ramzul Zahini masih belum mampu untuk mengatur gerak dengan penyerang kebangsaan itu. Walau bagaimanapun, tiada pilihan untuk ketua jurulatih setakat ini selain menyenaraikan pemain yang ada dan berharap mereka dapat mencari gol untuk memusnahkan pasukan lawan.

Kesebelasan Bayangan Selangor


Berdasarkan pemerhatian hasil perlawanan persahabatan Selangor sebelum ini, keyakinan yang dilontarkan K.Devan bukan satu omongan kosong tanpa fakta sebenar. Selangor ketika ini dilihat gagah kerana khidmat pemain utama mereka dapat digunakan sepenuhnya tanpa sebarang masalah kecuali tidak dapat menggunakan Khairul Annuar Baharom yang digantung satu perlawanan ekoran tindakan liar, tahun lalu.


Menjadi persoalan peminat Selangor dan semua pemerhati sukan Malaysia ketika ini ialah siapa bakal berada di posisi nombor satu mengawal gawang bekas juara 32 kali Piala Malaysia tersebut. Menurut pemerhatian, kelebihan tampak milik Saiful Amar Sudar kerana dia dikatakan mempamerkan persembahan baik ketika beraksi di Australia manakala Iqbal Suhaimi mungkin menggalas tempat penjaga gol kedua di belakang Saiful.


Bahagian benteng dijangkakan diisi Razman Roslan, Yosri Dermaraju, Asrarudin Putra serta P. Gunalan. Manakala pemain simpanan lain hanya mampu berharap akan dimasukkan andai pemain utama ini ditimpa musibah sebelum dan semasa perlawanan.


Jentera tengah Selangor boleh dikatakan sangat mantap dan sukar digugat kerana menghimpunkan nama-nama besar. Dibarisi Amri Yah Yah, Hardi Jaafar, Amirul Hadi Zainal dan Safiq Rahim, empat nama ini sudah berkemampuan untuk mencipta peluang selain menjaringkan gol ketika pasukan memerlukan sesuatu. Semua pemain ini diberi harapan tinggi untuk merencana gerakan kearah gawang Kelantan seterusnya memerangkap Kelantan disudut sukar. Selain mereka, Azidan Sarudin, Fitri Shazwan, Bunyamin Omar juga turut mengintai ruang untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan ataupun dimasukkan selaku pemain gantian.

Posisi serangan tidak membimbangkan pengurusan Selangor selepas Safee Sali sendiri mengakui bahawa dia sedang mencari keserasian bersama fadzli Shaari untuk mengempur pintu gol pasukan Kijang. Dua pemain ini bakal menampilkan persembahan bertenaga dengan Safee pasti berharap momentum jaringan gol bermula dalam Piala AFF akan dapat diteruskan ketika melawan Kelantan. Jika salah seorang dari mereka berdua mengalami kecederaan, tugas serangan pasti terarah kepada pemain simpanan iaitu Rudie Ramli dan pemain yang baru diangkat kedalam skuad utama, S.Sritharan atau K. Depan Sakwati.

Formasi

Selangor
Saiful Amar
Yosri---Razman---Asrarudin---Gunalan
Amirul Hadi--Hardi--Safiq
--Amri--
Fadzli--Safee Sali

Mln

Sharul--Chanturu
Azwan--Badri--Shakir--Soley
Zairul--Subra--Rizal--Daudsu
Khairul Fahmi
Kelantan


Taktikal


Dijangkakan M. Karathu akan meneruskan legasi B. Sathianathan dengan menggunakan formasi 4-4-2 manakala K.Devan juga tidak akan mengambil risiko dengan memperkenalkan formasi lain ketika berdepan Kelantan.


Taktikal bagaimana bakal dicorakkan dua pengendali berbangsa India dalam perlawanan penting ini. Adakah akan ada kejutan lain atau mereka akan memberikan tunjuk ajar terbaik buat anak didik mereka terjemahkan kedalam padang.

Penyokong


Masih terngiang pergaduhan dan kata nista dari kedua-dua belah pihak dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2010 di Shah Alam sehinggakan berlakunya beberapa kecederaan dan kematian terhadap penyokong kedua-dua pasukan. Rentetan dari insiden itu, jangkaan perlawanan ini dijangka terus panas dengan beberapa lagi aksi pergaduhan dan serangan ganas para penyokong.


Diingatkan kepada kedua-dua penyokong yang hadir agar menjaga tingkah laku dan tidak bertindak ganas sehingga merugikan pihak lain. Memang peristiwa lalu bakal menghangatkan suasana perlawanan tetapi diharapkan insiden yang mencatat sejarah pertama di Shah Alam tahun lalu tidak diulangi lagi pada kali ini.


Semua penyokong diminta memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan sokongan masing-masing dan tidak bertindak di luar batas kemanusiaan.


Penyokong yang datang memberi sokongan, Bukan datang membawa hukuman.


Ramalan RedsFC-News

Selangor 1-2 Kelantan

Tinggalkan ramalan keputusan perlawanan anda di ruangan komen Post Preview RedsFC-News dibawah.
Penyokong Yakin Kemampuan Karathu.




Penyokong Kelantan yang ditemui yakin M. Karathu mampu membentuk skuad muda negeri itu menjadi sebuah pasukan berdaya saing pada musim ini.

Rata-rata penyokong The Red Warriors yang ditemui RedsFC-News di Hayaki Cafe, Jalan Seri Cemerlang menyatakan keyakinan tinggi mereka akan pengalaman jurulatih itu boleh meneruskan kecermerlangan seperti yang dilakukan B. Sathianathan.

Saya yakin beliau dapat memberikan banyak tunjuk ajar kepada pemain seterusnya membantu Kelantan menambah koleksi kejuaraan. Kehadiran M. Karathu tepat pada masanya selepas hukuman pengantungan keatas Sathianathan dikekalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia, jelas Nik Mohd Azim.

Bagi Ahmad Fuad dari Tumpat, khidmat Karathu sangat diperlukan kerana beliau mempunyai aura kuat untuk meneruskan perjuangan Sathia dalam arena bola sepak tanahair. Saya tahu beliau mampu mengekalkan persembahan baik pasukan kita untuk muncul antara pencabar saingan liga nanti.

Seorang penyokong Kelantan yang dikenali dengan nama Adi pula menyatakan jika Sathia mampu membawa Kelantan muncul juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super, mengapa Karathu tidak boleh meneruskan kehebatan itu.

Permulaan melawan Selangor di Shah Alam esok perlu beliau gunakan sebaik mungkin dan saya yakin pengalamannya ketika membantu Perak pada suatu ketika dahulu dapat membantu kita muncul pemenang.

Karathu Bangga Kembali Ke Kelantan

Sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa terus bergegas ke Stadium Sultan Muhammed IV untuk meninjau sesi latihan para pemain Kelantan.

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan yang baru, Datuk M Karathu tidak membuang masa sebaik sahaja tiba di Kota Bharu apabila memulakan tugasannya pertama dengan bertemu semua pemain Liga Super Kelantan dalam sesi latihan pagi semalam.

Karathu, 67 tahun dilantik sebagai pengendali skuad The Red Warriors berkuatkuasa serta-merta bagi menggantikan B Sathianathan yang digantung selama enam bulan. Dia mengikat kontrak sebagai pengendali Kelantan untuk tempoh setahun.

Karathu ketika ditemui berkata, beliau merakamkan ucapan terima kasih diatas kepercayaan yang diberikan oleh Presiden Persatuan bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang melantik beliau sebagai pengendali baru pasukan ini.

“Saya terharu kerana diberi kepercayaan untuk mengemudi pasukan Kelantan. Saya gembira kerana dapat bekerja dengan Kafa dan saya mengambil tanggungjawab ini dengan sepenuh hati untuk membantu pasukan ini,” katanya.

“Kelantan adalah salah satu pasukan yang saya minati sejak tahun 1993 semasa saya menjadi jurulatih dengan membawa masuk Kelantan mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pada tahun tersebut.

“Kelantan adalah satu pasukan seperti pasukan Brazil di negara benua Afrika Selatan yang mempunyai keghairahan yang memuncak dalam bola sepak selain turut mempunyai pemain yang berbakat. Walaupun saya tidak tahu banyak mengenai pemain pasukan ini dan perlu mengambil sedikit masa untuk mempelajarinya namun itu bukan masalah besar bagi saya,” katanya.

Karathu berkata, beliau akan mendapatkan maklum balas daripada bekas jurulatih, Sathianathan selain dua pembantunya iaitu Hashim Mustapha dan Sideek Samsuddin bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan ini.

“Saya kena mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti kelemahan pasukan kerana jadual perlawanan cukup padat dan termasuk juga bagaimana corak taktikal yang akan saya gunakan.

“Perlawanan menentang Selangor menjadi ujian pertama bagi saya. Saya belum tahu keadaan fizikal pasukan sebab saya difahamkan Kelantan kalah banyak dalam perlawanan persahabatan jadi kita dalam proses membentuk sebuah pasukan baru sebenarnya.

“Saya menuntut disiplin yang tinggi daripada semua pemain. Mereka juga perlu menunjukkan karakter serta kebolehan yang tinggi apabila bersama pasukan ini kerana kita akan bermain dalam satu liga yang kompetetif bermula Sabtu ini,” katanya.

Karathu Mulakan Tugas Baru


Sidang Akhbar pertama beliau di Kota Bharu sebaik sahaja menjawat jawatan Ketua Jurulatih Kelantan yang baru semalam.

KOTA BHARU – Pengendali baru pasukan Kelantan, Datuk M Karathu melahirkan rasa bangga kerana dapat kembali menabur bakti bersama pasukan yang pernah dibimbing beliau pada 18 tahun lalu.

Karathu, 67 tahun bekas jurulatih Perak membuat penampilan mengejut dalam pentas Liga Malaysia musim ini apabila dilantik sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru menggantikan B Sathianathan yang digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara mengeluarkan kenyataan kepada media pertengahan tahun lalu.

Karathu dalam sidang akhbar pertama beliau di Kota Bharu semalam berkata, beliau perlu mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu untuk mengenal pasti kebolehan dan kelemahan pasukan yang akan dikendalikan beliau selepas ini.

“Untuk tugasan pertama (menentang Selangor) ini saya kena mendapatkan pertolongan daripada Sathianathan dan pembantu bagi mendapatkan gambaran lebih lanjut mengenai pasukan ini,” katanya.

“Untuk perlawanan pertama ini, saya kena duduk berbincang kerana ini adalah pasukan kita. Sebagai jurulatih, saya tahu macam mana Kelantan dan Selangor bermain, walaupun pada tahun ini ramai pemain keluar daripada pasukan ini.

“Sebagai jurulatih profesional saya menyukai fenomena penyokong Kelantan di sini. Kalau tidak ada penyokong sudah pasti tidak ada bola sepak. Apa yang penting kita mempunyai ‘fan base’ sebagaimana saya rasai 18 tahun lalu bersama pasukan ini,” katanya.

Karathu berkata, beliau meletakkan sasaran untuk membawa Kelantan berada di kedudukan terbaik dalam saingan liga musim ini sementelah Kelantan pernah menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

“Kita mesti berada dikedudukan terbaik. Mungkin dikedudukan tiga tempat teratas. Tetapi semua itu kita perlu melihat kembali kepada kualiti pemain yang ada dalam pasukan ini. Saya hanya pilih pemain yang menunjukkan prestasi terbaik untuk berada dalam pasukan ini.

“Perlawanan menentang Selangor memang penting. Sebagai juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super musim lalu, kita perlu mendapatkan mata pertama dalam perlawanan ini.

“Tekanan bukan sahaja kepada jurulatih tetapi juga para pemain. Mereka perlu belajar menyerap tekanan tersebut. Ini satu pengajaran untuk pemain-pemain muda dalam pasukan ini,” katanya.

Menurut Karathu, beliau mahu para pemainnya cepat belajar dengan gaya latihan yang akan diterapkan oleh beliau dalam sesi latihan selepas ini.

“Liga sudah bermula dan kita terpaksa menjalani latihan disamping melakukan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain. Tambahan pula jadual perlawanan agak ketat, jadi saya mahu pemain cepat menyesuaikan diri dengan corak latihan saya selepas ini,” katanya.

Preview : Red Giants vs Red Warriors

Setelah berakhirnya musim tengkujuh yang banyak melanda negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, Malaysia akan dihangatkan lagi dengan gelombang baru yang akan membadai bermula 29 hb Januari 2011. Demam bolasepak yang masih lagi terasa semenjak Malaysia memenangi Piala AFF Suzuki Cup mengalahkan Indonesia menyebabkan dunia siber semakin bercambah dengan blog-blog, petikan twitter, fanpage di facebook dan juga forum bolasepak.

Seperti juga mana-mana liga bolasepak lain, musim bolasepak Malaysia untuk tahun 2011 akan bermula dengan perlawanan Piala Sumbangsih / Piala Sultan Hj Ahmad Shah. Sedikit kontroversi timbul akhir tahun lepas bila Negeri Sembilan mengungkit siapa yang sebenarnya layak bertanding untuk mendakap piala pertama untuk tahun 2011. FAM bagaimanapun telah memutuskan bahawa Selangor sebagai Juara Liga Super akan melayan Kelantan selaku penyandang Piala Malaysia. Perlawanan ini selain mempertaruhkan piala dan hadiah wang ringgit, ia juga menjadi taruhan Tiga Mata yang perlu untuk bekalan awal samada Selangor atau Kelantan bagi memimpin Liga Super tahun ini.

Jadi 29 haribulan Januari 2011 bertempat di Stadium Shah Alam akan sekali lagi menjadi venue yang sudah tentu akan mendatangkan gerun bukan hanya kepada pemain di atas padang, tetapi juga untuk para penyokong yang memang sudah faham sangat suasana yang akan ‘panas’ nanti. Dengan isu-isu yang boleh dikatakan akan menjadi ‘firestarter’ seperti imbasan suasana tegang Suku Akhir Pertama Piala Malaysia tahun lepas, ‘status 3 Abdul’ dan yang terbaru pula pergantungan 6 bulan jurulatih utama Kelantan iaitu B Sathianathan, menyebabkan PDRM dan FRU harus bertindak bijak menangani keadaan yang mungkin panas nanti.

Sayugia diingatkan bagi setiap penyokong bolasepak Kelantan, perlawanan 29 hb nanti adalah bukan satu perlawanan untuk 3 mata. Ianya bukan sekadar peluang menambah koleksi Piala. Medan stadium Shah Alam juga bukan ruang untuk menambah kantung yang ada walaupun FAS mengambil jalan singkat menaikkan harga tiket ke RM 20.00 ( FAS hampeh). Penyokong Kelantan juga bukan berpendapat ia kan menjadi medan siapa lebih ‘membunuh’ antara Nor Shahrul Idlan dengan Safee Sali. Juga bukan sekadar ingin melihat samada Safee dapat melepasi gawang yang dikawal Apek/Khairul Fahmi. Ianya lebih dari itu…

Dalam konteks bolasepak Malaysia hari ini, sekiranya Selangor bertemu Kelantan, sudah tentu Pakcik-pakcik akan berfikir lima-enam kali sekiranya ingin membawa makcik-makcik ke Stadium untuk menonton perlawanan tersebut. Apatah lagi jika mereka ada niat membawa anak-anak kecil ke stadium. Ini ialah REALITI..

Sememangnya suasana diluar Padang yang semestinya hangat sememangnya menjanjikan persaingan sengit di atas padang. Dengan kelompok pemain dan jurulatih yang disegani iaitu K Devan dan juga Dato’ M Karathu yang yang sempat melatih pemain Kelantan hanya 2 hari, perlawanan Piala Sultan Hj Ahmad Shah pasti menjanjikan pertarungan epik sebagai pemula musim Liga Bolasepak Malaysia 2011. Sekadar pendapat, berikut ialah analisis percaturan bagi setiap penjuru yang akan menentukan siapa yang lebih berpeluang menjulang kejuaraan pertama musim ini.

PERSIAPAN PRA MUSIM

Sememangnya Selangor lebih menonjol dalam hal persiapan pra musimnya, dengan bantuan kewangan yang mantap, mereka memulakan persiapan pra musim dengan membawa nadi pasukan Kuala Lumpur tahun lepas iaitu Azidan Sarudin . Takkala pasukan lain masih terkial-kial dengan persiapan, Pasukan Selangor telah terbang ke Australia dan menjalankan beberapa perlawanan persahabatan yang berkesudahan 1 menang, 1 seri dan 1 kalah. Manakala itu pula, persiapan pasukan Kelantan penuh dengan liku-liku. Jadual padat sambutan kemenangan tahun lepas, masalah padang, masalah pemain yang ‘cabut lari’, masalah monsoon yang melanda dan isu stadium mewarnai persiapan Kelantan kali ini. Isu penggantungan B Sathianantan secara mengejut juga menambah luka yang ada terhadap FAM dan mujurlah tindakan Presiden KAFA yang pantas dengan mengambil M Karathu sebagai jurulatih utama Red Warriors untuk musim ini. Berikut ialah keputusan penuh perlawanan pra musim yang kebanyakkannya diadakan di luar Kelantan.

Kelantan vs Pasukan gabungan jajahan – 3:0

Kelantan vs Kelab Liga Presiden KAFA – 6:0

Kelantan vs Pulau Pinang – 1:1

Kelantan vs Harimau Muda – 1:4

Kelantan vs Sarawak – 1:2

Kelantan vs Felda United – 0:4

Kelantan vs Sime Darby – 1:1

Kelantan vs USM – 0 : 1

Kelantan vs Perlis – 2:0

Kelantan vs Pulau Pinang 4 : 0

Kelantan vs Kedah – 0 : 1

Jika dilihat daripada perlawanan pra musim Kelantan, hanya kemenangan menentang Perlis dan Pulau Pinang yang boleh dibanggakan. Kekalahan kepada pasukan ‘lemah’ seperti USM dan kekalahan teruk seperti dengan Harimau Muda, Felda dan Kedah menunjukkan pencapaian sebenar persiapan pra musim Red Warriors. Walaupun ramai mungkin berpendapat kehilangan ‘Tiga Abdul’ sebagai penyebab, ia sememang alasan yang dhaif kerana sepatutnya kehilangan Azizi saja yang agak dirasakan kerana pengganti Indra dan farhan memang sama atau mungkin lebih hebat dari mereka berdua.

JURULATIH DAN PEMAIN

Sepatutnya kelebihan yang berpihak kepada Kelantan telah dinafikan saat akhir oleh FAM dengan menggantung Sathia. Seperti yang sedia maklum, K Devan kerap membuat beberapa kesalahan dengan melakukan pertukaran pemain yang tak strategik tak kala permainan berlangsung. Dan B Sathianathan dengan karisma yang tersendiri dan kerap melakukan ‘kejutan’ pada perlawanan yang penting dan sentiasa ‘rise to the occasion’ di saat para penyokong mengharapkan keajaiban di atas padang. Pengganti Sathia iaitu Dato M Karathu sebenarnya bukan asing bagi Kelantan dan diharap beliau dapat menggunakan peluang ini untuk menonjolkan dirinya semua setelah agak ‘kelam’ dalam beberapa tahun ini. M Karathu sebelum ini telah membimbing Negri Sembilan FA, Kelantan FA, Malaysia Youth Academy, Woodlands Wellington FC dan Sri Lanka .

Analisa pemain kedua-dua pasukan menunjukkan keseimbangan bagi kedua-dua pasukan. Kelantan agak mantap di posisi penjaga gol dan bahagian tengah dan Selangor mempunyai kelebihan di bahagian pertahanan dan juga Penyerang. Walaupun Mat Yo sememangnya penyerang terbaik Malaysia ketika ini, sumbangan ‘partner’ yang boleh mengheret atau mengucar-ngacirkan ‘last man’ Selangor masih lagi agak kabur. Kelantan agak beruntung juga kerana Khairol Anuar Baharom digantung untuk perlawanan Sabtu ini dan sepatutnya Ramzul atau mana-mana pemain yang akan digandingkan dengan Mat Yo haruslah mengambil peluang yang ada untuk menghukum Selangor pada saat kita memerlukan. Serangan Selangor yang diketuai oleh Safee Sali juga tak kurang hebatnya. Beliau yang dibantu oleh empat serangkai iaitu Amri Yahyah, Amirul Hadi, Fadzli Shaari dan Kapten Malaysia Safiq, menjanjikan perkhabaran yang patut dirunsing oleh pertahanan Red Warriors.

Barisan tengah Kelantan sebenarnya hebat dan menjadi nadi semenjak 2-3 musim lepas. Walaupun mereka kerap dilagukan sebagai ‘unsung hero’, tetapi taruhan di atas padang sepatutnya lebih terarah kepada mereka. Dalam posisi defensive midfielder, Shakir Shaari memang terbaik dalam kelasnya. Jika dibanding dengan Amar Rohidan dalam pasukan Malaysia, Shakir memang tiada gantinya dalam pasukan Kelantan dan beliau berada dalam kelas yang tersendiri. Kepada yang pernah menonton di stadium, takkala Jurulatih mengeluarkan Shakir dari permainan, akan terdengarlah ‘Arrggghhh’ dari kerusi penonton yang agak bimbang dengan ruang yang mungkin akan ada di barisan ‘back four’ pasukan Red Warrior akibat Shakir digantikan pemain lain.

Dalam Piya we trust ; itulah harapan seluruh rakyat Kelantan kepada Kapten Kelantan musim ini. Piya sepatutnya bersyukur yang beliau akan mempunyai banyak peluang menjaringkan gol pada musim ini kerana beliau akan mengambil semua sepakan percuma pasukan Kelantan. Dibayangi Indra musim lepas yang banyak mensia-siakan sepakan percuma, tahun ini merupakan cabaran sebenar pemain ini yang seharusnya menggunakan pengalamannya yang banyak berkelana di pasukan lain bagi mengemudi Kelantan meraih lebih banyak piala tahun ini.

Awe dan K Soley merupakan perlengkap kepada impian pengurusan yang mahukan permaian yang pantas dari Kelantan musim ini. Chanturu telah memperlihatkan kebolehan yang ada dan sepatutnya tahun ini, S Chanturu ini merebut tempat di posisi wing kanan secara tetap dan seterusnya mengembangkan kerjayanya dalam pasukan Malaysia. Perlawanan sabtu ini seharusnya menampilkan persembahan yang laju dari barisan Midfielder dengan tambahan pemain yang baru di bawa masuk ini. Sekiranya ianya menjadi kenyataan dan dibantu oleh penyudah yang ‘membunuh’ barisan penyerang, realiti untuk melihat Red Giant tersungkur di laman sendiri seharusnya menjadi kenyataan.

Pertahanan masih menampakkan sedikit kegoyahan Kelantan musim ini. Jikalau diukur persiapan awal musim, Kelantan bolos 14 gol. Satu jumlah yang besar dan secara puratanya bolos lebih daripada satu gol dalam setiap perlawanan. Walaupun di atas kertas, Daudsu, Farisham, Ropi, Rizal, Wan Rohaimin dan Subra boleh membentuk jalinan pertahanan yang mantap dan sepatutnya senang-senang mengekang barisan penyerang kebangsaan sekalipun, ianya tidak menjadi sebegitu. Entah apa yang menyebabkan ini berlaku. Namun dengan M Karathu yang membimbing, diharap percaturannya akan menjadi dan seperti yang dibuat oleh mana-mana jurulatih terbaik lain, meletakkan 2 orang pemain defensive midfielder dengan formasi 4-5-1 harus menjadi taruhan Kelantan sabtu ini.

Posisi penjaga gol akan menjadi taruhan sabtu ini sekiranya perlawanan ini berlanjutan ke sepakan penalti. Namun begitu, Selangor yang masih lagi teragak-agak menentukan siapakan penjaga gawang utama mereka tahun ini dan ianya akan menjadi tekanan kepada penjaga gol yang dipilih. Mungkin sabtu ini Saiful Amar akan dipilih dan bekas penjaga gol PKNS masih kurang berpengalaman dan sepatutnya boleh diambil peluang pemain Kelantan. Manakala digawang Kelantan, Apek akan mengemudi dan walaupun telah menunjukkan persembahan yang sangat cemerlang dalam Piala AFF baru-baru, ia bukan suatu jaminan dan ianya memerlukan persefahaman yang kukuh di atas padang bersama pemain-pemain lain. Walaupun secara dasar, ketenangan Apek memang banyak dicemburui oleh Selangor, banyak lagi harus diperbaiki terutamanya ‘positioning’ dan ‘timing’ untuk menumbuk bola dari kawasan merbahaya.

FAKTOR PENENTU

Perlawanan sabtu ini akan menentukan banyak perkara. Antaranya perjalanan liga untuk pasukan juara dan naib juara liga super tahun lepas. Tahun 2011 ini menjadi lebih sengit kerana terdapat 5-7 pasukan lain yang mampu untuk mencabar kejuaraan utama. Kedah, Felda, Negeri Sembilan, T Team, Johor FC dan Pahang mampu menyekat Selangor, Kelantan dan Terengganu dan tidak juga mustahil Perak akan bangkit tahun ini.

Faktor penonton yang biasanya juga akan memberikan kelebihan kepada pasukan yang bertanding tidak akan menjadi hak mutlak tuan rumah hujung minggu ini. Ini kerana dijangkakan Selangor tidak akan mempunyai kelebihan yang nyata di Stadium Shah Alam kerana barisan Red Warriors akan di sokong oleh penonton Tentera Merah yang semestinya akan mengundang gerun pada pemain dan penonton pada hari tersebut. Cuma diharap, penyokong Kelantan tidak bertindak diluar kawalan dan janganlah berputus asa dengan cepat walaupun kita ketinggalan kerana kita telah membuktikan di final Piala Malaysia tahun lepas, defisit gol awal tidak menoktahkan perjuangan pemain di atas padang.

Secara keseluruhan ukurannya, teknikal pemain dan taktik percaturan jurulatih tidak akan memberikan kelebihan yang nyata kepada Selangor mahupun Kelantan untuk menjulang Piala Sultan Hj Ahmad Shah tahun ini.Semuanya hampir sama. Analisa pemain juga tidak terlalu memberi jurang yang nyata kepada mana-mana pasukan. Semuanya layak untuk sanjungan.

WALAUPUN BEGITU, SAYA MEMANG PERCAYA barisan Red Warriors yang semenjak 2-3 minggu lalu tak kering dihimpit kontroversi harus mengambil peluang yang ada dan membuktikan kita layak untuk berada dipuncak pada tahun ini. Para pemain harus mengambil peluang hujung minggu ini bagi membuktikan kepada FAM, yang kita anak Kelantan sememang ‘bako oghe berani’ dan setiap tindakan atau cubaan yang dilakukan tidak akan mematahkan semangat kita. Anggaplah perlawanan sabtu ini menjadi taruhan terbaik untuk menutup terus mulut FAM kerana kita selayaknya berada di atas. Setiap pemain harus bersatu dan penyokong pula janganlah membisu apabila skuad kita bertungkus lumus di atas padang.

Usaha yang hebat dicampur dengan dedikasi yang tinggi serta perkenan dari-Nya sudah tentu akan membuahkan hasil. Jangan leka dan dan jangan mengalah,InsyaAllah Piala pertama musim ini akan dibawa pulang ke Kota Bharu Ahad nanti.

GOMO KELATE GOMO

Catatan Popular