KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 20 September 2010

Publisiti Yang Merugikan!

emel

Seperti yang dijangka isu mercun yang melibatkan Kelantan pasti berlarutan sehingga diulas oleh Menteri dan sebagainya. Namun sedar atau tidak isu seperti ini sebenar akan terus meranapkan impian atau usaha FAM untuk menarik rakyat Malaysia memeriahkan bolasepak tempatan. Bagi media massa laporan seperti ini menyeronokkan kerana akan mendapat publisiti daripada VVIP tetapi peratus jualan akhbar tetap merosot.

Jika dilihat dalam isu wabak penyakit misalnya, kenapa kerajaan mengarahkan media agar berhati-hati dalam melaporkan sesuatu isu wabak penyakit? jawapannya sudah pasti ada kaitan kemerosotan industri pelancongan disebabkan pelancong takut untuk datang melawat atau melancong ke Malaysia atau sesuatu kawasan kerana ada wabak yang merebak. Demikianlah juga dalam isu bermain mercun di stadium, media terlalu berlebihan melaporkan isu ini walhal sebagai penyampai yang boleh membantu kemajuan bolasepak Malaysia sepatutnya melaporkan jumlah kehadiran luar biasa di musim raya yang dipamerkan penyokong Kelantan di stadium Kota Bharu dan Kelana Jaya bukannya isu mercun yang merugikan industri bolasepak itu sendiri kerana masalah ini bukan lagi menjadi isu penyokong Kelantan sahaja malah turut menjadi keluhan penyokong di negeri lain serta dilakukan hanya beberapa orang sahaja yang dapat dilihat dengan jelas di kaca tv semasa mereka membaling mercun terbabit.

Dapatkah anda bayangkan sekiranya, media perdana kerap melaporkan isu jumlah kehadiran luar biasa penyokong Kelantan ini sebagai topik utama, pasti akan menimbulkan minat orang ramai untuk melihat apa yang seronok sangat bolasepak Malaysia sehingga berpusu-pusu penyokong Kelantan membanjiri stadium bagi setiap perlawanan pasukan mereka, selain menimbulkan perasaan irihati atau semangat pasukan negeri lain untuk menyokong pasukan negeri mereka. Laporan negatif isu mercun ini telah berjaya menakutkan masyarakat lain untuk meminati atau menyokong bolasepak Malaysia.

Sekiranya media massa Malaysia benar-benar ikhlas dalam menangani isu mercun, kami mencabar media massa tempatan memberi atau meletakkan iklan AMARAN MEMBAWA MERCUN KE STADIUM atau seumpamanya di ruangan sukan mereka sebagai membuktikan isu yang dimainkan bukan sekadar mengaut keuntungan atau memburukkan imej pasukan terbabit sahaja. Pihak Media massa tempatan juga perlu menilai dalam isu kehadiran penyokong bolasepak yang hampir tenat ini, media perlu memikirkan untuk tidak membuat laporan yang menguntungkan jangka masa pendek sahaja dan terus berkompromi mengebumikan keceriaan bolasepak bersama keranda kematian sokongan di stadium yang sunyi sepi, malah media harus bersama berusaha sebaliknya iaitu mengembalikan kegemilangan bolasepak tempatan.

FAM dan badan sukan Malaysia juga perlu bersungguh-sungguh menangani masalah mercun ini, bukannya meletup apabila melibatkan Kelantan sahaja dan membisu apabila melibatkan negeri atau kelab lain. Berapa juta FAM sudah laburkan untuk mempromosi kempen mengajak penyokong ke stadium dan menyebarkan iklan amaran membawa mercun atau mengetatkan kawalan keselamatan stadium? sejak liga malaysia wujud di Malaysia ini belum pernah lagi melihat sekeping risalah yang berkaitan isu ini disebarkan.

Pelbagai usaha sudah dilakukan KAFA dalam memastikan kewangan KAFA tidak dibazirkan dalam isu denda mercun ini tetapi apakan daya masih ada penyokong yang degil dan seronok membawa mercun ke stadium. Namun KAFA akan terus berkerjasama dengan pihak keselamatan untuk menangkap penyokong yang masih berdegil ini. Tiada maaf lagi buat penyokong yang mementingkan diri sendiri ini, mereka seperti ini sesuai terkurung didalam jeriji besi dan menghayati erti sebuah nikmat kesunyian.

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo
Skuad Kelantan


Tidak Cergas:


Daudsu Jamaludin ( Hamstring )
Khairul Fahmi Che Mat ( Baru Pulih )


Cedera:


Norfarhan Mohamad ( Lutut - 2 Minggu )


Gantung perlawanan:


S. Subramaniam ( 2 Kad Kuning - 1 Perlawanan )

Salah Penyokong Kijang.



Penyokong Kelantan tidak pernah serik akan hukuman berat pernah dijatuhkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada KAFA ekoran tindakan liar mereka semasa menyaksikan perlawanan membabitkan Red Warriors.

Akibat sikap tidak bertamadun sang peminat, Persatuan Bola Sepak Kelantan telah dikenakan hukuman denda RM50 000 selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, pengantungan dari bermain di gelanggang sendiri ekoran rusuhan dan bermacam-macam hukuman lagi.

Insiden terbaru, Kelantan mungkin sekali lagi akan didenda FAM akibat perbuatan penyokong setia mereka sewaktu menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan, tempoh hari.

Kehadiran luar biasa penyokong fanatik menyebabkan ada sebilangan dari mereka membawa mercun masuk kedalam kawasan stadium. Walau perlu melalui pemeriksaan ketat dari pihak keselamatan, bahan api tersebut tetap juga terlepas masuk.

Insiden lontaran pelbagai objek serta mercun bermula selepas pengadil, Yusof Mat Karim memberikan sepakan penalti kepada Negeri Sembilan. Tindakan tersebut mengundang kemarahan penonton menyebabkan berlakunya beberapa lemparan mercun selain satu bunga api dilontarkan kedalam padang sehingga mengenai pemain sendiri.

Menjadi persoalan kini, mengapa masih ada penyokong Kelantan bersikap degil apabila tidak mengendahkan rayuan dan permintaan KAFA supaya lebih berdisiplin sewaktu menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan pasukan negeri.

Adakah kehadiran mereka menonton perlawanan hanya sekadar suka-suka ataupun untuk memberi sokongan kepada semua pemain.

Walau bagaimana pun segalanya telah berlaku dan kebanyakan pihak media juga telah melabelkan semua penyokong Kijang sebagai penyokong tidak berdisiplin kerana sikap segelintir individu yang laparkan nama tetapi tidak ada otak. Dikurniakan akal untuk berfikir tetapi tetap juga melakukan kesalahan untuk keseronokan sementara.

Diharapkan selepas ini, hukuman yang dijatuhkan kepada beberapa orang yang ditahan kerana membawa mercun dapat memberi pengajaran berguna kepada penyokong lain.

Tindakan tegas akan diambil dan denda yang berat akan dijatuhkan. Beringat sebelum kena. Jangan malukan nama keluarga. Tidak padan kerana mercun, diri sendiri tersangkut di lokap.
Kelantan Hilang Subra ?


Menjelang perlawanan terakhir pusingan pertama Piala Malaysia 2010 menentang KL Plus di gelanggang sendiri, Kelantan terpaksa melupakan khidmat bek kental, S Subramaniam gara-gara pergantungan perlawanan. S Subramaniam sudah mengumpul dua kad kuning iaitu kad kuning pertama ketika tumbang 0-1 kepada Negeri Sembilan di Kota Bharu dan kad kuning kedua ketika betandang ke Petaling Jaya menentang PKNS.

Sudah pasti ketiadaan S Subramaniam di benteng pertahan tengah sedikit mengganggu percaturan jurulatih, namun tempat S Subramaniam sudah pasti mampu digalas pemain seimpanan yang ada. Tempat S Subramaniam hampir pasti menjadi milik seoarang lagi pemain muda kental Kelantan, Rizal Fahmi Roshid. Kredibiliti Rizal Fahmi tidak perlu diragui kerana beliau merupakan pemain yang sering beraksi di dalam kesebelasan utama Kelantan sebelum kehadiran Azizi Mat Rose dan S Subramaniam. Beliau juga sentiasa menjadi pemain gantian bagi menggantikan Azizi mahupun Subra.

Sudah pasti Rizal Fahmi merupakan calon utama menggantikan S Subramaniam, dan seoarang lagi pemain bek tengah berpengalaman, Sarudy Aziz mungkin akan diletakkan di bangku simpanan. Selain itu, Farisham Ismail juga mampu menggalas tugas sebagai bek tengah jika keadaan memerlukan begitu.

Selain kehilangan S Subramaniam, Kelantan dijangka masih tidak dapat menurunkan Norfarhan kerana masih lagi dibelenggu kecederaan. Tempat beliau hampir pasti digalas pemain lincah S Chanturu yang beraksi cemerlang pada perlawanan lepas. Selain S Chanturu, Kelantan juga memiliki pemain lain untuk beraksi di posisi berkenaan seperti Zul Yusri dan Zamri Ramli.

Apa yang pasti, sekali lagi percaturan bijak jurulatih Kelantan, B Sathianathan ditagih dalam usaha Kelantan untuk memenangi perlawanan terakhir pusingan pertama Piala Malaysia menentang KL Plus di arena sendiri sekali gus menghadiahkan kemenangan tersebut kepada 25,000 penyokong setia yang dijangka membanjiri Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Ahad, 19 September 2010


KBS kesal insiden bakar mercun di KB

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) kesal dengan insiden membakar dan membaling mercun oleh penyokong bola sepak Kelantan ketika pasukan negeri Che Siti Wan Kembang itu berdepan Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia, Selasa lalu.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seharusnya mengenakan tindakan tegas kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) atas tindakan liar penyokong negeri itu ketika perlawanan di Stadium Sultan Muhammed IV.
Click Here
“Ini mungkin boleh dielakkan, melainkan KAFA boleh berjanji dengan FAM untuk memastikan perkara sama tidak akan berulang pada masa depan,” katanya selepas melawat Kawasan Pantai Peranginan Penunjuk untuk dijadikan kawasan selaman pantai di sini, kelmarin.
Ahmad Shabery berkata, penyokong negeri berkenaan seolah-olah tidak pernah serik dengan insiden sedemikian biarpun KAFA sering kali dikenakan tindakan disiplin dan denda oleh FAM pada musim lalu.

Katanya, beliau kesal dengan tindakan penyokong Red Warriors yang tidak menunjukkan semangat kesukanan dan mencemarkan kemeriahan sukan itu.

Insiden membaling mercun berlaku selepas pengadil, Yusof Mat Karim memberikan sepakan penalti kepada Negeri Sembilan apabila pertahanan tuan rumah, S Subramaniam menjatuhkan Idris Karim.

Sebelum ini, KAFA pernah dikenakan tindakan denda sehingga RM50,000 berikutan tindakan liar penyokong mereka ketika menentang Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, November

MENTERI KESAL ATAS PERBUATAN KELANTAN.KALAU PASUKAN LAIN BALING MERCUN MENTERI TIDAK KESAL,MENTERI SUKA PASUKAN LAIN BALING MERCUN,

wira kelantan

KELANTAN FA mln KL PLUS



Peluang Kelantan untuk menambah tiga lagi mata dalam Piala Malaysia terbuka luas apabila melayan kunjungan KL Plus di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.

Melihat persembahan terkini, skuad Kijang dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk memungut mata penuh terutamanya selepas kejayaan pertama menundukkan PKNS.


Bagi Sang Kijang, mata penuh menjadi idaman manakala KL Plus turut bersemangat untuk mencari sekurang-kurangnya satu mata bagi mengelakkan menjadi antara pasukan pertama tersingkir.

Pertemuan esok dijangka sengit kerana pasukan kelab berpengkalan di Selayang tersebut bertekad mahu menjadi pasukan kedua menyekat kemaraan Kelantan di gelanggang sendiri.


Rekod pertembungan kedua-dua pasukan dalam Liga Super, Kelantan menang dua pertemuan sama ada di gelanggang sendiri mahu pun arena lawan.

Dari persembahan terbaru, tugas mengawal pintu gol sekali lagi menjadi milik Syed Adney Syed Hussien ekoran seorang lagi penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat mengalami masalah kecergasan setelah baru kembali dari kecederaan.

Bahagian pertahanan pula dijangka terus mengekalkan Azizi Mat Rose, S. Subramaniam dan Zairul Fitree manakala Farisham Ismail dijangka dimasukkan dalam kesebelasan utama untuk bermain di posisi pertahanan kanan apabila Daudsu Jamaludin dikhabarkan mengalami masalah hamstring.

Lain-lain pemain pertahanan seperti Sharudy Aziz dan Rizal Fahmi dijangka kekal di bangku simpanan. Dimasukkan hanya untuk mengantikan pemain yang keletihan atau mengalami kecederaan sewaktu perlawanan.

Jentera tengah yang bermain cemerlang sewaktu menundukkan PKNS turut dijangka akan terus kekal diisi S. Chanturu, Shakir Shaari, Khairan Eroza dan ketua pasukan, Indra Putra Mahayudin. Manakala Badri Radzi, Zulyusri dan Wan Zaman terus diletakkan di bangku simpanan iaitu hanya dimasukkan jika ada pemain utama mengalami kecederaan.

Posisi serangan pula dirasakan B. Sathianathan akan meletakkan penyerang muda, Nidzad Ayub untuk bergandingan dengan Norshahrul Idlan. Nidzad memberi persembahan bertenaga ketika mengucar kacirkan pertahanan PKNS baru-baru ini dan melihat pada persembahan itu, tidak mustahil khidmatnya akan terus digunakan dalam kesebelasan utama.

Penyerang simpanan seperti Hairudin Omar, Akmal Rizal kemungkinan dimasukkan selaku 'super sub' manakala khidmat Che Hishamudin dan Ramzul Zahini belum pasti akan digunakan pengendali Kelantan tersebut.

Di kem KL Plus pula, mereka masih mengharapkan keajaiban untuk mengutip mata dalam perlawanan ini. Mereka sedar bukan mudah untuk mengecewakan Kelantan apabila bermain di gelanggang keramat tetapi jika mereka turun dengan semangat juang tinggi, tidak mustahil sesuatu boleh berlaku.

Kejayaan mengikat Negeri Sembilan di Paroi pasti ingin diteruskan setelah kecundang perlawanan pertama menentang PKNS tempoh hari.

Paling tidak, kejayaan mengutip mata di Kota Bharu memberi keyakinan kepada mereka untuk sekurang-kurangnya mencapai rekod seperti musim lalu iaitu layak ke peringkat suku akhir.

Mereka mengharapkan pemain pertahanan berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah dapat membimbing rakan-rakan lain untuk mempertahankan kubu mereka. Walau masih terasa akan kehilangan Mat Zan Mat Aris, pemain KL Plus dijangka turun dengan semangat berlainan setelah diambil alih oleh jurulatih berasal dari Hungary, Janos Krecska.

Kehebatan mereka tidak boleh disangkal lagi kerana kepulangan dari Paroi dengan satu mata sudah membuktikan bahawa Highway Warriors masih mempunyai impian besar untuk kelangsungan cabaran mereka dalam Piala Malaysia.

Satu-satunya kehandalan pasukan kelab ini ialah dapat mengecewakan pasukan bertaraf gergasi bila mereka turun selaku pasukan bukan pilihan. Tiada tekanan terasa dan atas tiket itulah mereka dapat bermain tanpa memikirkan tekanan lain yang menganggu rentak persembahan.

Kelantan diingat berjaga-jaga dengan pemain seperti Nizarudin, Fadzli Shaari, Sanjos Sundawat dan beberapa pemain ternama lagi. Mereka ini pemain berpengalaman dan sudah biasa bermain dibawah tekanan perlawanan serta penyokong tuan rumah.

Tidak mustahil skuad Lebuhraya tersebut mampu mengejutkan Kelantan seperti mana dilakukan Negeri Sembilan beberapa hari lalu.

Tidak berat rasanya tugas B. Sathianathan untuk mencatur taktikal malam esok kerana rata-rata pemain sudah memahami tugas mereka mencari gol untuk mematikan cabaran pasukan pelawat.

Tidak bermain secara individu serta menampilkan persembahan bertenaga dan fokus pada perlawanan, Kelantan pasti mampu mengutip mata penuh didepan ribuan penyokong setia.

Untuk pihak penyokong, hentikan seketika tindakan tidak bertamadun, berikan peluang kepada pemain Kelantan bermain dalam keadaan tenang dan tidak tertekan dengan gaya serta sorakan dari penyokong. Berikan sokongan tidak berbelah bahagi, jangan pula memberikan hukuman tanpa sebab musabab yang jelas. Kita datang memberi sokongan, bukan datang bawa hukuman.
Pulangan Berbaloi Diberikan Pemain.


Tiga mata sudah digenggam selepas dipaksa bertungkus lumus sebelum menang keatas kelab PKNS FC.

Rombakan besar yang dilakukan Ketua Jurulatih, B. Sathianathan selepas kempunan aksi pertama di Kota Bharu memberikan nafas baru kepada Sang Kijang untuk mencuri tiga mata di arena lawan.

Kehadiran Khairan Eroza, S. Chanturu, Zairul Fitree Ishak dan Nidzad Ayub dalam kesebelasan utama sekurang-kurangnya memberi tenaga tambahan kepada Kelantan untuk mengecewakan pasukan tuan rumah.

Larian pantas dan kelincahan Chanturu telah memberi masalah kepada pemain PKNS untuk mengekang asakan yang dilakukannya. Manakala kekerasan Khairan Eroza disamping prestasi kemas bersama Shakir memberikan pulangan berbaloi dengan hantaran dan kawalan cantik di posisi tengah.

Kelibat Zairul Fitree pula membantu memperkukuhkan bahagian benteng selain Nidzad Ayub pula bergandingan baik dengan Norshahrul Idlan untuk merobek kubu pasukan lawan.

Percaturan taktikal dan kemasukan empat nama ini membantu Kelantan sebenarnya menghadapi PKNS FC sementelah pula lawan tersebut masih segar dengan kejayaan membenam KL Plus baru-baru ini.

Diharapkan perlawanan selepas ini menentang KL Plus pengendali Kelantan tersebut memikirkan untuk menurunkan beberapa lagi nama di bangku simpanan seperti Zulyusri, Ramzul Zahini, Che Hishamudin dan lain-lain.

Berikan mereka peluang dan siapa tahu kehadiran mereka akan memantapkan lagi skuad Kelantan dalam kancah Piala Malaysia.
Menang Dipuji, Kalah Dikeji.



Perumpamaan tersebut ada benarnya jika dilihat selepas perlawanan menentang PKNS FC semalam.

Rata-rata penyokong Kelantan sama ada di Stadium, blog, web, laman sosial dan di mana-mana sahaja memuji persembahan pasukan walau hanya menang tipis keatas pasukan kerdil.

Berbeza tiga hari lalu selepas ditundukkan Negeri Sembilan.

Pelbagai sumpah seranah, kata nista, sorakan boo dilontarkan kepada pemain dan pengurusan pasukan akibat gagal mengutip mata di halaman sendiri.

Walhal pertembungan klasik tersebut menampilkan dua pasukan gergasi arena bola sepak Malaysia. Dua pasukan yang layak ke final tahun lalu, ulangan pertembungan pertama dalam Piala Malaysia kali ini.

Penyokong Kelantan sebenarnya antara penyokong terbaik di Malaysia jika dinilai dari sudut kehadiran ke stadium tetapi mereka bukan terbaik jika dilihat pada perlakuan, perangai dan sifat semasa menyaksikan perlawanan.

Provokasi, lemparan objek, lontaran mercun, menimbulkan suasana kacau dan apa sahaja perkara negatif terpalit kepada penyokong Sang Kijang walau hanya segelintir individu sahaja yang melakukan perkara tersebut.

Bukan untuk mengatakan sesuatu yang negatif kepada peminat pasukan sendiri, tetapi inilah realiti yang dipaparkan oleh penyokong Kelantan sewaktu hadir menyaksikan perlawanan di kebanyakan stadium dalam negara kita.

Boleh dihitung dimana mereka hadir tanpa melakukan sebarang kekacauan dan lontaran mercun. Sokongan terbaik yang pernah disaksikan ialah ketika Kelantan mengikat Pahang dalam perlawanan Liga Super beberapa bulan lepas.

Bermula dari minit pertama sehinggalah wisel penamat, penyokong yang hadir memberi sokongan tidak berbelah bahagi walau ketinggalan, menikmati perlawanan selain berpesta di penghujung setelah Sang Kijang berhasil bangkit.

Jadilah penyokong sejati sentiasa berada di belakang pasukan. Kritik bila diperlukan kerana kita hadir ke stadium selain memberi sokongan, kita juga membawa imej semua anak Kelantan di seluruh dunia.

Sokongan kita bukan ketika menang, sokongan kita zaman berzaman. Kritik untuk perubahan bukan kritik untuk memusnahkan. Datang beri sokongan bukan datang membawa hukuman. Kelantan. Gomo.

Catatan Popular