KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 9 April 2014

Kelantan 'pulang awal'




DOE (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Yangon United pada aksi Kumpulan G kempen Piala AFC 2014 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.


NASIB pengendali Kelantan, Steve Darby ibarat telur dihujung tanduk selepas skuad kendaliannya tumpas 2-3 kepada wakil Myanmar, Yangon United pada aksi Kumpulan G kempen Piala AFC 2014 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kekalahan tersebut merupakan rekod terburuk Kelantan dalam saingan Piala AFC sepanjang tiga musim lalu apabila tersingkir di peringkat kumpulan sejak menyertainya pada 2012.
Bagaimanapun, tuan rumah yang turun dengan misi wajib menang pada perlawanan tersebut dikejutkan dengan kehilangan khidmat peledak berbisanya, Mohamad Ghaddar selepas pemain berkenaan mengalami kecederaan.
Pasukan tuan rumah dikejutkan dengan jaringan awal pelawat pada minit ke-24 menerusi tonggak import, Cezar Augusto Hermenegildo yang tidak dikawal.
Dia bertindak tenang untuk memperdayakan penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kelantan kembali memperkemaskan rentak dan peluang terbaik mereka menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-34, namun rembatan tonggak pertahanan kiri, Zairul Fitree Ishak sekadar melintasi gawang gol Yangon United.
Pemain sayap, Tengku Hasbullah Raja Hassan terlepas peluang untuk menjaringkan gol apabila rembatan jarak dekatnya diselamatkan oleh pengaja gawang pelawat Pyae Phyo Oo pada minit ke-39.
Kelantan berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi deretan peluang yang diperoleh gagal diterjemahkan oleh jentera serangan, sekali gus menyaksikan keputusan tersebut kekal berpihak kepada pelawat.
Kelantan tampil dengan aksi bertenaga pada babak kedua dan akhirnya memperoleh jaringan penyamaan menerusi pemain gantian, Mohd. Khairul Izuan Rosli yang melepaskan rembatan mengelirukan, sekali gus melepasi jangkauan Phyo Oo untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.
Pemain sayap lincah, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria yang bertindak secara solo untuk memperdayakan empat pemain pelawat meledakkan jaringan kedua Kelantan pada ke-54 seterusnya menggamatkan suasana di Stadium Sultan Muhammad IV.
Sepuluh minit kemudian, pasukan pelawat kembali mengikat kedudukan 2-2 menerusi penyerang import, Emerson Reis Luiz yang bijak memanfaatkan situasi salah faham di barisan pertahanan tuan rumah.
Kyaw Ko Ko meranapkan impian Kelantan untuk mara ke pusingan kedua apabila menjaringan gol ketiga pada minit ke-80 dan keputusan 3-2 itu kekal hingga tamat perlawanan.

TRW AMBIL PENYERANG BARU





KOTA BHARU - The Red Warriors (TRW) dikhabarkan bakal membawa masuk seorang lagi penyerang dalam usaha memperkasakan pasukan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan Francis Forkey Doe dijangka dikorbankan untuk memberi laluan kepada pemain import itu.

Muka baharu yang dikatakan akan dibawa masuk ialah Prince Tagoe, 28, dari Ghana yang merupakan bekas penjaring terbanyak Liga Perdana negara berkenaan pada musim 2005.
Khabar angin tersebut bertiup kencang di laman Facebook milik Kelab Penyokong Kelantan.
Perkara tersebut diperkukuh­kan lagi apabila Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa memuat naik sekeping gambarnya bersama pemain berkenaan di dalam akaun Facebook miliknya semalam.

Kelamarin Annuar menerusi entri Facebook miliknya menulis TRW mungkin membawa masuk seorang pemain import dalam usaha memperhebatkan pasukan.

"Banyak negeri dan kelab memperkasakan pasukan menjelang pusingan kedua liga dan ke arah Piala Malaysia antaranya Johor Darul Ta'zim, Felda United, T-Team, Terengganu, Perak dan Sarawak.

"Kita juga turut bawa masuk tiga pemain tempatan termasuk dua dari kelab luar negara, rasanya belum cukup mungkin seorang pemain import lagi akan memperhebatkan The Red Warriors," katanya.

Setakat ini Kelantan sudah memiliki empat pemain import iaitu Mohamad Shawky Yazid (Mesir), Mohamad Ghaddar (Lebanon), Obinna Nwaneri (Nigeria) dan Forkey Doe (Liberia).
meyakinkan.

Prestasi Doe sebelum ini dikritik hebat oleh penyokong Kelantan sehingga mendesak Kafa segera mencari pengganti pemain berkenaan.

Sejak menyertai Kelantan musim ini penjaring terbanyak Liga Super 2012 itu hanya meledakkan dua gol.

Ahad, 6 April 2014

Brendan Tak Mengecewakan

Brendan Gan
Brendan Gan
PENAMPILAN pemain baharu The Red Warriors, Brendan Gan pada aksi sulungnya ternyata tidak mengecewakan apabila membantu pasukan tersebut mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Terengganu dalam saingan Liga Super, baru-baru ini.
Malah bekas pemain Sydney FC yang beraksi dalam Liga Australia musim 2008 hingga 2011 itu yang diberi tanggungjawab beraksi selaku pemain sayap kanan turut bermain sepenuh masa dalam pertemuan negeri jiran tetangga itu.
Kehadiran Brendan, yang didaftarkan selaku pemain tempatan setelah jendela pendaftaran pemain dibuka oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 23 Mac lalu mampu menyuntik kekuatan Kelantan yang dilihat bermasalah jentera tengah sebelum ini.
Apa yang boleh diperkatakan, usaha keras Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sejak hampir tiga bulan lalu untuk mendaftarkan Brendan yang pernah bermain dengan Sabah selaku awang import pada musim 2012 tampak berbaloi dengan sumbangan singkat pemain berkenaan.
CURI MATA
Bertandang ke Kuala Terengganu dengan skuad tempang tetapi masih mampu meraih mencuri satu mata merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan buat pasukan kendalian Steve Darby itu.
Ini berikutan, Terengganu yang memimpin carta liga ketika itu berada di kemuncak prestasi mereka tetapi Kelantan mempamerkan aksi bertenaga apabila mendahului Sang Penyu menerusi Mohamed Shawky Aly sebelum disamakan Zairo Anuar Zalani.
Ironinya, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga apabila Kelantan menguasai awal babak pertama namun skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim bingkas memberi saingan pada babak seterusnya terutama dengan kemasukkan Mohamad Ashari Samsudin dan Mamadou Hady Barry.
TAMBAH DERITA
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya pasukan yang cukup bermasalah ketika ini. Tanpa kelibat Amirridzwan Taj Tajudin dan K Reuben Thayaparan yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan lutut, ditambah ketiadaan Christie Jayaseelan akibat penggantungan perlawanan pasti merencatkan perancangan jurulatih, B Satiananthan.
Lebih parah, tanpa Marlon Alex James dan Spase Dilevski yang turut dibelenggu kecederaan, apa lagi yang boleh dilakukan ATM di Kota Bharu biar pun Kelantan juga kehilangan sentuhan Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Md Ali pada perlawanan ini.
Seharusnya, Kelantan yang baru pulang dari Vietnam selepas berdepan XM Vissai Ninh Binh dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mampu menambahkan derita buat ATM dengan bermain mati-matian kerana ini merupakan peluang terbaik untuk menutup pusingan pertama dengan nota kemenangan.

Shawky Selamatkan Maruah Darby

SHAWKY (kiri) meraikan kejayaan menjaringkan gol kemenangan 1-0 Kelantan ke atas ATM pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
MARUAH pengendali Kelantan, Steve Darby yang sebelum ini tercalar kembali pulih selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam.
Terdesak memburu kemenangan, pasukan tuan rumah memperagakan aksi garang dan hampir memecahkan kebuntuan seawal minit keenam, namun rembatan kaki kiri peledak import Lebanon, Mohamad Ghaddar sekadar menggegar tiang gol meskipun penjaga gawang ATM, Syed Adney Syed Hussain sudah tertewas.
Tujuh minit selepas itu, Obina Nwaneri terlepas peluang terbaik untuk meledakkan gol pertama Kelantan selepas rembatannya tersasar meskipun Syed Adney sudah terkeluar daripada posisinya.
Ghaddar mempersia-siakan peluang untuk menjaringkan gol sulung Kelantan pada minit ke-18 apabila rembatan derasnya berjaya ditangkap kemas Syed Adney, sekali gus menyelamatkan gawangnya daripada dibocori.
Ketika pasukan tuan rumah rancak melakukan asakan ke kubu pelawat, pemain sayap lincah ATM, Vinice Elphi Danny Kaya hampir meledakkan gol pertama pasukan itu pada minit ke-38, namun rembatan kencangnya sekadar menggegar sisi jaring walaupun berjaya menggelecek tiga pertahanan Kelantan.
Pada minit-minit akhir babak pertama, ATM sekali lagi terlepas peluang untuk menjaringkan gol apabila rembatan penyerang importnya, Manuel Arostegui berjaya diselamatkan barisan pertahanan Kelantan dan keputusan tersebut kekal sehingga rehat.
Pada babak kedua, tuan rumah yang lebih banyak mendominasi perlawanan terus kempunan untuk memperoleh jaringan apabila setiap serangan bahaya yang dilancarkan mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan pelawat.
Syed Adney menjadi wira pasukan itu apabila menguis keluar bola tandukan Nwaneri pada minit ke-55, sekali gus menafikan hasrat tonggak kelahiran Nigeria itu untuk meraikan jariangan pertama tuan rumah.
Tonggak kelahiran Mesir, Mohamed Shawky Yazib akhirnya meleraikan kebuntuan apabila meledakkan gol pertama skuad The Red Warriors pada minit ke-60 selepas menanduk kemas hantaran ketua pasukan, Mohd. Badhri Radzi seterusnya mengecewakan Syed Adney di gawang ATM.
Bagaikan tidak cukup dengan jaringan tersebut, tuan rumah membawa masuk dua tenaga baharu Francis Forkey Doe dan Khairul Izuan Rosli bagi menggantikan Ghaddar serta Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria pada minit ke-73 bertujuan untuk menambah sengat dibahagian serangan namun gagal membuahkan hasil.
Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan Kelantan melakar kemenangan pertama sepanjang empat aksi Liga Super sepanjang bulan ini dan lalu.

Kelantan bangkit cipta kemenangan


nyokonkelate13
Kemenangan Kelantan 1-0 ke atas ATM sedikit sebanyak telah berjaya mengembalikan semangat seluruh penyokong Kelantan yang ramai memilih menonton di tv sahaja perlawanan semalam sebagai tanda protes kepada ketua jurulatih.

Jaringan Shawky pada minit ke 62 berjaya dipertahankan sehingga minit terakhir. Keputusan ini kekal sehingga tamat perlawanan. Kelantan berjaya menamatkan pusingan pertama Liga Super 2014 pada kedudukan kelima liga dan sekaligus berjaya memintas kedudukan Johor DT yang berada di kedudukan keenam.
Tahniah dan terima kasih kepada seluruh penyokong The Red Warriors yang masih setia bersama The Red Warriors selamanya. GOMO KELATE GOMO.
 carta11

THEREDWARRIORS.COM

Sabtu, 5 April 2014

KAFA pantau Darby




PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan prestasi semasa The Red Warriors dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail ketika dihubungi Kosmo! semalam.
“Mesyuarat tersebut akan membincangkan beberapa isu termasuklah prestasi jurulatih dan pemain The Red Warriors setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan peminat serta penyokong Kelantan yang mahukan ketua jurulatih, Steve Darby (gambar) melepaskan jawatan secara terhormat.
Kosmo! semalam melaporkan penyokong setia Kelantan sudah hilang sabar dengan percaturan Darby selepas Kelantan tewas besar 0-4 kepada kelab Vietnam, Vissai Ninh Binh dalam aksi Kumpulan G Piala AFC 2014 di Stadium Ninh Binh, Vietnam, Rabu lalu.
Rosmadi memberitahu, pihaknya menerima positif setiap pandangan yang dilontarkan oleh penyokong-penyokong Kelantan terutama melibatkan skuad The Red Warriors.
Katanya, KAFA sudah berusaha sebaik mungkin dalam usaha memantapkan pasukan Kelantan bagi mengharungi saingan Liga M musim ini.
“Kita tidak boleh menghalang penyokong untuk memberikan pandangan kerana itu adalah hak mereka sebagai ‘pemain ke-12’ The Red Warriors.
“Pandangan yang diberikan oleh mereka itu akan kita kaji dan membuat penambahbaikan bagi memperkemas lagi pasukan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rosmadi berkata, tindakan KAFA memperkenal pemain sayap lincah Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Nor pada sidang akhbar minggu lalu tidak perlu disensasikan oleh sesetengah pihak.
Menurut Rosmadi, Wan Zack yang sebelum ini menyarung jersi kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu masih menjalani sesi pemulihan selepas ditimpa masalah kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada paha kanan.
“Kita mahu dia (Wan Zack) pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami. Usaha KAFA mendapatkan khidmatnya adalah sebagai persiapan awal memantapkan pasukan untuk saingan musim depan,” jelasnya.

Khamis, 3 April 2014

Imej Darby Tercalar

Steve Darby


Kuala Lumpur: Reputasi pengendali Kelantan, Steve Darby dan Kelantan terus tercalar apabila dibelasah kelab Vietnam, Vissai Ninh Binh 4-0 dalam perlawanan keempat Piala AFC, semalam.
Ia adalah kekalahan ketiga daripada empat perlawanan yang dilalui The Red Warriors pada peringkat Kumpulan G sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Darby yang dikecam peminat susulan aksi tidak konsisten skuad itu dalam saingan Piala AFC dan domestik.
Pada perlawanan di Stadium Ninh Binh itu, Kelantan yang tidak membawa beberapa pemain utama dibolosi seawal minit ke-11 menerusi jaringan Petrisor Voinea disusuli tiga gol separuh masa kedua Phan Anh Tuan, Le Van Thang dan Kavin Bryan untuk untuk mengumpul 12 mata dan sekali gus menjadi pasukan pertama Kumpulan G melangkah ke pusingan kedua.
Kelantan yang berada pada kedudukan keenam Liga Super akan kembali memberi tumpuan kepada saingan domestik dengan menanti kunjungan ATM, Sabtu ini.

Wan Zack Tiada Dalam Senarai KAFA?

DARI kiri: Brendan Gan, Wan Zack Haikal dan Fitri Omar diperkenalkan sebagai pemain baharu Kelantan di Bangunan MARA, Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu.


KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk tidak mendaftarkan pemain sayap lincah, Wan Zack Haikal Wan Nor mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pemerhati bola sepak negara.
 Kelibat Wan Zack Haikal menjadi perhatian selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa KAFA hanya mendaftarkan dua pemain tempatan iaitu Brendan Gan yang baru mendapat kerakyatan Malaysia manakala pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd. Fitri Omar pada musim kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) tahun ini.

              Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pihaknya hanya menerima dua pendaftaran iaitu Brendan Gan dan Fitri. Bagaimanapun, KAFA turut menggugurkan seorang lagi pemain tempatan iaitu Lim Choon Wee. KAFA memperkenalkan ketiga-tiga pemain baharu tersebut di Bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 24 Mac lalu. Persatuan negeri yang sudah mempunyai 24 pemain sebelum mengugurkan Choon Wee mengakui bahawa mereka hanya perlu ‘menyingkirkan’ seorang pemain tempatan bagi mencukupkan kuota 26 pemain dalam sesebuah pasukan seperti mana yang disyaratkan oleh FAM. Begitupun, KAFA masih belum mendaftarkan Wan Zack biarpun mereka telah menggugurkan Choon Wee dan tindakan itu menimbul rasa hairan dalam kalangan pemerhati bola sepak negara biarpun mereka telah berjaya mendapatkan khidmat pemain kelahiran Pahang itu daripada kelab Jepun, FC Ryukyu.

            “Kami dimaklumkan bahawa Kelantan (KAFA) telah mengadakan perbincangan dengan tiga pemain itu iaitu Fitri, Brendan Gan dan Wan Zack. Cuma, sehingga saat ini (semalam), permohonan untuk mendaftarkan Wan Zack masih belum kami terima. “Kami hanya mengesahkan pendaftaran Brendan Gan dan Fitri. Saya tidak pasti sama ada KAFA gagal mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) tetapi saya akan menyemak apa yang berlaku,” kata Afandi selepas selesai Mesyuarat JKPT FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Dalam perkembangan sama, Afandi memberitahu, FAM telah menerima pendaftaran daripada pasukan-pasukan yang mempersiapkan skuad masing-masing dalam menghadapi Liga M musim ini selain Kelantan.

           “Setakat hari ini (semalam) dari jumlah pasukan yang membuat pendaftaran pemain, beberapa pasukan telah melakukan pertukaran (pemain) yang mana Sarawak menukarkan dua pemain import mereka. “Pasukan-pasukan Liga Premier (seperti) KL SPA, Felda United dan Sabah turut menukar pemain import. “Begitu juga dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) dua pemain tempatan yang baharu, Sabah (satu pemain) dan DRB Hicom (satu pemain). Itulah pemain yang didaftarkan setakat hari ini (semalam),” ujarnya. Sementara itu, Afandi turut mengumumkan jadual separuh akhir kedua Piala FA telah diubah bagi mengurangkan jadual ketat Liga M musim ini.

        “Kami turut meneliti jadual pertandingan dan kami berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan jadual yang padat. Kami bersetuju untuk meminda jadual separuh akhir Piala FA. “Aksi separuh akhir pertama tetap berjalan seperti yang dirancang pada 5 dan 6 Mei depan, “Namun, untuk timbal balik kedua, ia diadakan pada 30 dan 31 Mei dan final Piala FA tahun ini akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jun depan,” katanya. Tarikh tutup pendaftaran pemain tempatan untuk musim kedua perpindahan adalah 22 April manakala bagi pemain asing 19 April ini.

Selasa, 1 April 2014

Penyokong Kelantan semakin resah


PRESTASI hambar yang dipamerkan oleh pasukan Kelantan dalam tiga perlawanan sebelum ini termasuk ketika tumbang kepada Selangor dan Johor Darul Takzim (Johor DT) dan seri 1-1 dengan Terengganu, Sabtu lalu mengundang rasa resah dalam kalangan peminat setia mereka, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Rata-rata penyokong setia The Red Warriors memberitahu, mereka kurang senang dengan taktikal pengendali Kelantan, Steve Darby yang dilihat seolah-olah kekeringan idea dan gagal memanfaatkan kelebihan yang dimiliki oleh barisan pemainnya.
Malah, kumpulan penyokong itu menyifatkan ia menjadi punca kemerosotan Kelantan pada aksi Liga Super setakat ini, sekali gus menyebabkan mereka sudah hilang sabar dengan tindak-tanduk pengendali kelahiran England itu.
Jesteru, mereka mendesak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah tersebut termasuk bersemuka dengan Darby.
Bagi Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net), sudah tiba masanya barisan kempimpinan KAFA dan pengurusan The Red Warriors berbuat sesuatu bagi memulihkan imej pasukan yang dilihat sudah tercalar.
Timbalan Presidennya, Mahizi Mahmood berkata, jika langkah segera tidak diambil pihaknya khuatir prestasi The Red Warriors akan terus menjunam.
Menurutnya, aksi tidak konsisten yang dijelmakan oleh barisan pemain The Red Warriors itu menyebabkan sokongan kepada pasukan semakin berkurangan dan jika keadaan tersebut berterusan, ia pasti menjejaskan kantung persatuan.


Catatan Popular