PENAMPILAN pemain baharu The Red Warriors, Brendan Gan pada aksi sulungnya ternyata tidak mengecewakan apabila membantu pasukan tersebut mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Terengganu dalam saingan Liga Super, baru-baru ini.
Malah bekas pemain Sydney FC yang beraksi dalam Liga Australia musim 2008 hingga 2011 itu yang diberi tanggungjawab beraksi selaku pemain sayap kanan turut bermain sepenuh masa dalam pertemuan negeri jiran tetangga itu.
Kehadiran Brendan, yang didaftarkan selaku pemain tempatan setelah jendela pendaftaran pemain dibuka oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 23 Mac lalu mampu menyuntik kekuatan Kelantan yang dilihat bermasalah jentera tengah sebelum ini.
Apa yang boleh diperkatakan, usaha keras Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sejak hampir tiga bulan lalu untuk mendaftarkan Brendan yang pernah bermain dengan Sabah selaku awang import pada musim 2012 tampak berbaloi dengan sumbangan singkat pemain berkenaan.
CURI MATA
Bertandang ke Kuala Terengganu dengan skuad tempang tetapi masih mampu meraih mencuri satu mata merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan buat pasukan kendalian Steve Darby itu.
Ini berikutan, Terengganu yang memimpin carta liga ketika itu berada di kemuncak prestasi mereka tetapi Kelantan mempamerkan aksi bertenaga apabila mendahului Sang Penyu menerusi Mohamed Shawky Aly sebelum disamakan Zairo Anuar Zalani.
Ironinya, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga apabila Kelantan menguasai awal babak pertama namun skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim bingkas memberi saingan pada babak seterusnya terutama dengan kemasukkan Mohamad Ashari Samsudin dan Mamadou Hady Barry.
TAMBAH DERITA
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya pasukan yang cukup bermasalah ketika ini. Tanpa kelibat Amirridzwan Taj Tajudin dan K Reuben Thayaparan yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan lutut, ditambah ketiadaan Christie Jayaseelan akibat penggantungan perlawanan pasti merencatkan perancangan jurulatih, B Satiananthan.
Lebih parah, tanpa Marlon Alex James dan Spase Dilevski yang turut dibelenggu kecederaan, apa lagi yang boleh dilakukan ATM di Kota Bharu biar pun Kelantan juga kehilangan sentuhan Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Md Ali pada perlawanan ini.
Seharusnya, Kelantan yang baru pulang dari Vietnam selepas berdepan XM Vissai Ninh Binh dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mampu menambahkan derita buat ATM dengan bermain mati-matian kerana ini merupakan peluang terbaik untuk menutup pusingan pertama dengan nota kemenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan