KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 9 April 2014

Kelantan 'pulang awal'




DOE (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Yangon United pada aksi Kumpulan G kempen Piala AFC 2014 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.


NASIB pengendali Kelantan, Steve Darby ibarat telur dihujung tanduk selepas skuad kendaliannya tumpas 2-3 kepada wakil Myanmar, Yangon United pada aksi Kumpulan G kempen Piala AFC 2014 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kekalahan tersebut merupakan rekod terburuk Kelantan dalam saingan Piala AFC sepanjang tiga musim lalu apabila tersingkir di peringkat kumpulan sejak menyertainya pada 2012.
Bagaimanapun, tuan rumah yang turun dengan misi wajib menang pada perlawanan tersebut dikejutkan dengan kehilangan khidmat peledak berbisanya, Mohamad Ghaddar selepas pemain berkenaan mengalami kecederaan.
Pasukan tuan rumah dikejutkan dengan jaringan awal pelawat pada minit ke-24 menerusi tonggak import, Cezar Augusto Hermenegildo yang tidak dikawal.
Dia bertindak tenang untuk memperdayakan penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kelantan kembali memperkemaskan rentak dan peluang terbaik mereka menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-34, namun rembatan tonggak pertahanan kiri, Zairul Fitree Ishak sekadar melintasi gawang gol Yangon United.
Pemain sayap, Tengku Hasbullah Raja Hassan terlepas peluang untuk menjaringkan gol apabila rembatan jarak dekatnya diselamatkan oleh pengaja gawang pelawat Pyae Phyo Oo pada minit ke-39.
Kelantan berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi deretan peluang yang diperoleh gagal diterjemahkan oleh jentera serangan, sekali gus menyaksikan keputusan tersebut kekal berpihak kepada pelawat.
Kelantan tampil dengan aksi bertenaga pada babak kedua dan akhirnya memperoleh jaringan penyamaan menerusi pemain gantian, Mohd. Khairul Izuan Rosli yang melepaskan rembatan mengelirukan, sekali gus melepasi jangkauan Phyo Oo untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.
Pemain sayap lincah, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria yang bertindak secara solo untuk memperdayakan empat pemain pelawat meledakkan jaringan kedua Kelantan pada ke-54 seterusnya menggamatkan suasana di Stadium Sultan Muhammad IV.
Sepuluh minit kemudian, pasukan pelawat kembali mengikat kedudukan 2-2 menerusi penyerang import, Emerson Reis Luiz yang bijak memanfaatkan situasi salah faham di barisan pertahanan tuan rumah.
Kyaw Ko Ko meranapkan impian Kelantan untuk mara ke pusingan kedua apabila menjaringan gol ketiga pada minit ke-80 dan keputusan 3-2 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular