KOTA BHARU - Kedudukan Steve Darby sebagai jurulatih dan beberapa pemain, terutama Francais Forkey Doe semakin goyah apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) membayangkan akan membuat perubahan bagi memperkasakan pasukan dalam mengharungi baki persaingan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Spekulasi itu bertiup kencang apabila Kelantan tumbang di gelanggang sendiri kepada Yangon United FC 2-3 malam kelmarin dan tersingkir dari saingan Piala AFC.
Malah Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa menerusi entri di akaun Facebook beliau berkata perubahan tersebut akan dilakukan dalam masa kurang dari dua minggu sebelum pintu perpindahan pemain ditutup.
Annuar berkata, perubahan tersebut meliputi barisan kejurulatihan, teknik latihan, pengurusan pasukan dan sebagainya.
"Berkemungkinan komposisi pemain dan jurulatih juga akan melalui proses pengubahsuaian. Ianya bukan mudah, tapi kita akan lakukan sesuatu. Semoga Allah permudahkan segala urusan," katanya.
Annuar memberitahu sudah dua sesi panjang perbincangan mengenai dasar, teknikal, kewangan pasukan telah dijalankan oleh pihaknya.
"Jelaslah membina pasukan dan memperbaikinya tidak semudah yang kita tulis di Facebook. Patutlah Johor Darul Ta'zim, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Perlis yang dulu sang juara masih tercari-cari formula.
"Mujur setakat ini Kelantan lebih stabil tetapi tidak memuaskan," ujarnya.
Utusan Malaysia 4 April lalu melaporkan penyokong setia Kelantan sudah hilang sabar dengan percaturan Steve Darby selepas pasukan itu dibelasah 4-0 oleh kelab Vietnam, XM Vissai Ninh Binh dalam aksi Kumpulan G, Piala AFC 2014 di Stadium Ninh Binh.
Nasib pengendali kelahiran Liverpool, England itu kini ibarat telur di hujung tanduk apabila skuad kendaliannya terkeluar daripada persaingan Piala AFC walaupun masih perlu menghabiskan satu perlawanan.
Sejak mengambil alih tugas yang ditinggalkan Bojan Hodak, Darby hanya melakar lima kemenangan dalam kempen Liga Super manakala satu dalam persaingan Piala AFC.
Sementara itu, Darby ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin sekali lagi memberi alasan kepenatan punca pasukannya tewas kepada Yangon dan tersingkir daripada Piala AFC.
Katanya, sepanjang bulan ini pasukannya telah mengharungi dua perlawanan iaitu menentang wakil Vietnam, XM Vissai Ninh Binh dan ATM dalam tempoh yang singkat berbanding lawan yang tidak beraksi sejak seminggu lalu.
Saya ulangi sekali lagi dan saya harap anda (wartawan) akan menulis tentang perkara ini. Yangon United FC tidak beraksi sejak seminggu lalu sedangkan kami baru sahaja bermain tiga hari lalu (menentang ATM).
Itu satu perbezaan yang cukup besar tetapi tiada siapa sedar mengenai perkara ini. Ia akan berlaku setiap tahun dan merosakkan segala-gala perancangan kami," katanya.
Sementara itu sumber yang rapat dengan Kafa mengesahkan persatuan itu sedang berunding dengan bekas tonggak kebangsaan Ghana yang beraksi di Piala Dunia 2010, Prince Tagoe, 28, dalam usaha memperkasakan pasukan bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Sumber itu memberitahu rundingan dengan pemain tersebut sedang rancak berlangsung dan menunjukkan tanda-tanda positif.
"Rundingan ini dilakukan sendiri oleh penasihat Kafa, jika semuanya selesai pemain tersebut akan bersama dengan Kelantan bagi menhgarungi baki saingan Liga M.
"Apa-apapun kita tunggu keputusan yang akan dibuat Tan Sri dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
FRANCIS Forkey Doe(kiri) dan Steve Darby mungkin terpaksa meninggalkan Kelantan dalam masa terdekat berikutan prestasi kurang memuaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan