KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 15 Januari 2013

Kelantan tetap pertaruh Mandjou



MANDJOU (kiri) tetap menjadi pilihan Kelantan pada aksi menentang Johor DT malam ini.


BIARPUN gagal memberikan impak dalam tiga perlawanan sebelum ini, magis pemain dari Guinea, Keita Mandjou terus ditagih oleh Kelantan untuk memusnahkan impian Johor Darul Takzim (Johor DT) pada pertemuan Liga Super di Kota Bharu malam ini.
Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak memberitahu, pemain tersebut tetap berada dalam senarai kesebelasan utamanya dan akan mengetuai jentera serangan The Red Warriors walaupun prestasinya kini agak diragui.

Menurutnya, beliau perlu menggunakan khidmat Mandjou sehingga April depan walau apa cara sekalipun sebelum membuat keputusan sama ada khidmat pemain tersebut akan digantikan atau sebaliknya sebaik jendela perpindahan tersebut dibuka nanti.

"Saya tetap beri sokongan kepadanya dan saya harap dia akan menggunakan peluang dan menjaringkan gol malam esok (malam ini).

"Saya tidak boleh buat percaturan seperti jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang merehatkan dua pemain import mereka. Kita tak ada pemain tempatan seperti Pahang, kita ada masalah pemain tempatan. Jadi, kita terus menagih sentuhan Mandjou," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, pertembungan malam ini cukup penting terutama untuk membuktikan bahawa Kelantan adalah jaguh sebenar bola sepak Malaysia biarpun menyedari Johor DT diperkuatkan dengan ramai pemain kebangsaan dan berada pada kedudukan lebih baik dalam Liga Super.
"Ini adalah Kota Bharu. Kita merupakan pasukan pilihan apabila beraksi di sini dan kita bersedia untuk menewaskan mana-mana pasukan yang datang ke sini. Dengan sokongan padu peminat, saya rasa kerja kita akan lebih mudah.

"Saya tidak melihat aksi pertama Simone Del Nero (pemain import Johor DT) kerana dia tak bermain semasa mereka tewas 2-3 kepada Pahang tempoh hari tetapi saya tahu dia pemain penting untuk Johor DT.
"Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan David Guiza pemain yang berbahaya jika diberi ruang bergerak bebas.
"
Kita akan cuba memberi tekanan kepada dua pemain ini. Kalau itu kita mampu lakukan, mereka pasti bermasalah untuk menembusi pintu gol kita," ujarnya.
Mengulas mengenai rombakan kesebelasan utamanya, Hodak berkata, beliau akan menyenaraikan semula Daudsu Jamaluddin yang direhatkan ketika aksi menentang T-Team, Sabtu lalu.

"Saya akan menyenaraikan semula Daudsu dan sekarang saya sedang fikirkan siapa yang akan digandingkan bersama Obinna Nwaneri di posisi pertahanan tengah. Siapa pemain yang akan diturunkan, akan saya nilai
selepas latihan petang ini (petang semalam)," jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu pertelagahannya dengan jurulatih T-Team, Peter James Butler yang mendakwa beliau mengeluarkan kata-kata menghina mendiang ibu jurulatih dari Halifax, England itu, Hodak dilihat tidak begitu berminat untuk menjawabnya.

"Dia sepatutnya menghubungi saya dan bukan bercakap kepada media. Saya tidak mahu komen apa-apa. Dia boleh hubungi saya terus, mengapa pergi bercakap kepada media.

"Bagus juga jika dia mahu bawa benda ini ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), biar dia teruskan," katanya ringkas.

Kota Bharu Jadi Medan Perang?


trakjdt

Kini tercipta satu lagi sejarah bolasepak Malaysia apabila buat julung kali perlawanan bolasepak melibatkan kawalan pihak Tentera Di Raja Johor yang dibawa untuk mengawal keselamatan Yang Mulia Tengku Mahkota Johor dan perlawanan terhebat 2013 ini.

Mungkin inilah antara tanda-tanda bolasepak akan terus dijadikan hamba kepada pembesar yang tidak mementingkan semangat kesukanan itu sendiri.

Perlawanan malam ini akan menentukan pasukan mana melakukan perbelanjaan paling berbaloi dalam pelaburan membina pasukan dan akan menentukan arah tuju persaingan hebat kedua-dua pasukan ini merebut mata sepanjang Liga Super berlangsung. Isu kehadiran tentera khas Johor ini dijangkakan tidak akan sedikitpun menggerunkan kebanjiran penyokong Kelantan pada malam ini.
Kehadiran tentera ini harus dipandang positif oleh seluruh penyokong Kelantan memandangkan mereka menjalankan tugas mereka menjaga kerabat diraja Johor. Seluruh penyokong Kelantan disaran tidak melakukan sebarang provokasi, kontroversi dan mengelakkan dari mencetus insiden yang tidak diingini. Buktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa pengurusan PBNJ telah melakukan tafsiran salah kepada seluruh penyokong Kelantan.

Inilah perbezaan ketara antara rakyat Kelantan dengan rakyat dari negeri lain, rakyat Kelantan berani merantau ke mana sahaja atau menyaksikan perlawanan bolasepak Kelantan di mana sahaja tetapi apabila perlawanan melibatkan pasukan lawan di negeri Kelantan bermacam-macam alasan digunakan untuk tidak datang, jika datang pun mereka takut ancaman keselamatan mereka.

Sebagai anak jati Kelantan, tindakan pasukan johor ini amat memilukan tapi apakan daya sediakan payung sebelum hujan lebih baik sebelum dibasahi hujan kerana keadaan semasa tidak menentu. Diharap tiada lagi pihak yang cuba merosakkan imej bolasepak Kelantan yang sudah berada pada kelasnya tersendiri hasil ksungguhan Tan Sri Annuar Musa mencipta transformasi bolasepak Kelantan sejak 4 tahun lalu.

Buktikanlah yang terbaik demi rakyat dan bolasepak Kelantan pada malam ini, jadikanlah tanggapan ini semua sudah ketinggalan zaman dan di bumi Kota Bharu tidak akan berlaku insiden buruk lagi . GOMO KELATE GOMO. Ya Allah lindungilah perlawanan ini semoga berjalan lancar.

Ayuh penyokong berubah lah

Isnin, 14 Januari 2013

KAFA buta peraturan : Faisal

Norshahrul Idlan Talaha



Kontroversi perpindahan bekas penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha ke Johor Darul Takzim (DT) tidak akan berlaku sekiranya pemain profesional tempatan faham peraturan ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

“Mungkin mereka malas hendak baca sekali gus tidak tahu peraturan yang terkandung dalam buku panduan dan kontrak. 

Dalam isu Norshahrul Idlan, apa yang diputuskan FAM cukup jelas mengikut peraturan dan kontrak, tetapi yang menjadi persoalan bagaimana Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) boleh menandatangani surat pelepasan jika jumlah penebusan kontrak tidak dipersetujui kedua-dua pihak?" Faisal Zakariah, Pengarah Hak Kesukanan Football Management International

“Jadi untuk mengatasi masalah itu, dapatkan khidmat ejen pemain atau peguam yang memahami senario bola sepak,” kata Pengarah Hak Kesukanan Football Management International, Faisal Zakariah.

Faisal yang turut menjadi pengurus peribadi Ahmad Fakri Saarani - pemain tempatan kedua berhijrah ke kelab Portugal, Atletico SC selepas Nazmi Faiz Mansor menyertai SC Beira-Mar - berkata, ramai pemain profesional tempatan masih buta mengenai peraturan perpindahan dan kontrak.

“Dalam isu Norshahrul Idlan, apa yang diputuskan FAM cukup jelas mengikut peraturan dan kontrak, tetapi yang menjadi persoalan bagaimana Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) boleh menandatangani surat pelepasan jika jumlah penebusan kontrak tidak dipersetujui kedua-dua pihak. 
“Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dalam kes ini, kemungkinan KAFA mahu menyembunyikan sesuatu bagi pihak pemain.” katanya yang turut menganggotai Jawatankuasa Pertandingan FAM.




Beliau mengulas laporan BH Sukan, kelmarin mengenai KAFA akan tetap membuat tuntutan hutang daripada Mat Yo walaupun pemain itu sudah melunaskan bayaran tebus kontrak sebanyak RM299,000 kepada persatuan itu, baru-baru ini.

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya akan menyerahkan kepada peguam yang dilantik untuk menuntut hutang daripada pemain itu.
Faisal berkata, sudah tiba masanya pemain tempatan bersikap lebih profesional dan prihatin dengan soal kontrak.

“Sebelum ini, kerap terjadi kes membabitkan pemain menandatangani kontrak bersama kelab baru walaupun masih terikat dengan majikan lama, dan apabila terperangkap, mula meminta simpati media dan peminat.

“Dalam soal peraturan, tidak ada istilah simpati. Peraturan mesti dipatuhi dan sebagai pemain, mereka mesti mendalami secara terperinci isi kandungan kontrak selain memahami setiap peraturan sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Beliau berkata, biasanya dalam kes antara majikan dan pekerja, situasi lebih berpihak kepada pekerja. 

“Namun dalam soal kontrak bola sepak, jika pemain mahu menamatkan kontrak tanpa alasan munasabah, majikan mempunyai hak untuk menuntut tebus kontrak dengan jumlah sewajarnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain Faisal berkata, Fakri bakal beraksi buat pertama kali bersama kelab barunya hari ini bergantung kepada kesediaan pemain itu untuk bermain dalam cuaca sejuk.

“Fakri sudah disenaraikan dalam skuad untuk perlawanan esok (hari ini), tetapi masalah utama yang dihadapinya sejak tiba di sini ialah menyesuaikan diri dengan suhu sekitar 3 darjah Celcius.

“Jika dia bersedia menangani situasi itu, dia mungkin dapat beraksi penuh 90 minit,” katanya.

Sabtu, 12 Januari 2013

Mandjou, Haris Pilihan Hodak


MANDJOU bakal digandingkan dengan Haris Safwan pada aksi menentang T-Team di Kuala Terengganu hari ini.
JUARA trebel, Kelantan akan mempertaruhkan gandingan bekas penjaring terbanyak Liga Super musim 2005-2007, Keita Mandjou dan Mohd. Haris Safwan Mohd. Kamal bagi merobek benteng pertahanan T-Team pada saingan aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu petang ini.
Pengendalinya, Bojan Hodak berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kedua-dua pemain tersebut memperagakan aksi cemerlang ketika menumbangkan PKNS pada perlawanan pembukaan liga Rabu lalu.
“Mohd. Haris beraksi cemerlang tempoh hari, begitu juga dengan Mandjou. Walaupun ramai yang mempertikaikan kredibiliti dia (Mandjou) tetapi saya harus bersikap jujur dan adil terhadapnya
“Anda lihat Marlon Alex James (pemain Angkatan Tentera Malaysia). Dia pemain yang hebat tetapi gagal menjaringkan gol meskipun mempunyai banyak peluang ketika pasukannya tewas kepada Lions XII tempoh hari.
“Situasi ini mungkin dialami Mandjou, kita janganlah cepat menghukumnya,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.
Tambahnya, dia yakin Mandjou akan menemui semula sentuhannya sekiranya diberikan sokongan padu oleh peminat.
Dalam pada itu, Hodak membayangkan berkemungkinan besar dia akan menyenaraikan bekas pemain T-Team musim lalu, Zairo Annuar Zalani dalam kesebelasan utamanya.
Bagaimanapun, keputusan tersebut akan dibuat selepas sesi latihan terakhir sebelum berlepas ke Kuala Terengganu.
“Zairo Anuar mengetahui sedikit sebanyak kekuatan dan kelemahan pasukan lamanya. Saya perlukan khidmat dia dan saya fikir ini merupakan satu peluang baik untuknya membuktikan kehebatan jika diberi ruang beraksi nanti,” ujarnya.
Mengulas mengenai kekuatan T-Team yang pasti mahu mencatatkan kemenangan pertama setelah tewas tipis 0-1 kepada Perak, Hodak bagaimana pun tidak risau dengan kebangkitan kelab yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu.
“Saya tidak mahu terlalu yakin, tetapi saya tetap optimis kami boleh memperolehi satu keputusan positif di Kuala Terengganu.
“Memang T-Team tidak dibarisi pemain yang hebat tetapi mereka merupakan sebuah pasukan yang sentiasa bekerja keras. Itu sesuatu yang baik dan kami sudah bersedia berdepan dengan mereka,” katanya.

Jumaat, 11 Januari 2013

HARGA MATYO MURAH



Norshahrul Idlan Talaha

FAM menerusi mesyuarat hari ini memutuskan bekas penyerang The Red Warriors, Norshahrul Idlan Talaha hanya perlu membayar Rm290,000 sahaja berbanding tuntutan dari KAFA yang mengarahkan beliau membayar tidak kurang dari Rm1 Juta.

Harga semurah itu untuk menebus kontrak Matyo dan juga kos perpindahan ke Johor Darul Takzim FC dilihat tidak berbaloi buat Persatuan Bolasepak Kelantan yang berjaya mendidik Matyo menjadi pemain paling bernilai 3 tahun berturut turut iaitu pada tahun 2010, 2011 dan 2012.
Namun apa boleh buat ianya sudah diputuskan oleh pihak Persatuan Terbaik Malaysia iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ).

Beruntunglah Rakyat Malaysia kerana ada Persatuan Terbaik seperti FAM :)

Apabila Sultan sama Sultan pegang kempimpinan Sukan

Tak wajar tuduh orang Kelantan pelik





Baru-baru ini seorang wanita menulis di laman Twitternya meminta dijauhkan daripada mendapat suami orang pantai timur, terutama dari Kelantan kerana dikatakan berperangai pelik.
Untuk lebih jelas, ini yang ditulis wanita itu: “Mintak2 dijauhkan la drpd calon suami orang pantai timur ni esp kelantan...tak suka la orang Kelantan ni... pelik2.” Lalu, Twitter berkenaan tersebar di laman sosial Facebook, malah boleh dilihat sehingga kini.
Kata seorang rakan, bijak sungguh wanita itu dan akibat kebijaksanaannya berbakul kata makian diterimanya. Katanya lagi dalam loghat Kelantan, “Mu ingak mu comel sangak...huduh...huduh..huduh” sambil menggayakan babak Jani memarahi Shima dalam telefilem Sebuah Piala Seekor Kambing.
Apakah yang cuba dilakukan wanita itu dengan berbuat sesuatu yang terangan-terangan mampu menimbulkan kemarahan orang lain? Adakah mahu menambah lagi garam di luka? Semai kebencian Penulis katakan demikian kerana sebelum ini, banyak tampalan sama ada di Facebook atau laman web tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyemai kebencian kepada orang Kelantan.

Tidak perlulah dinyatakan di sini apa yang tidak disukai pihak berkenaan sehingga ‘ringan tulang’ menulis yang bukan-bukan mengenai orang Kelantan.

Hakikat yang perlu diakui, mana-mana negeri ada penduduknya yang berperangai tidak senonoh, ini tak kena dan itu tak kena dan bukannya hanya orang Kelantan. Bagaimanapun, tidak perlulah meluahkannya di alam siber yang boleh mengundang kemarahan.

Zaman sudah berubah dan orang Kelantan tidak seperti dulu. Mengambil contoh bola sepak, orang Kelantan akan menjadi mangsa tuduhan dengan ungkapan “kalau kalah, mesti nak gaduh...kalau kalah, mesti pecah memecah”. Tidak adil untuk terus mengungkit peristiwa rusuhan di Stadium Sultan Muhammad IV pada April 2009 kerana perbuatan itu dilakukan hanya segelintir penyokong dan bukannya semua orang Kelantan.
Kembali meriah bola sepak Penyokong bola sepak Kelantan kini semakin matang dan bertanggungjawab, malah mereka boleh diibaratkan tulang belakang yang menghidupkan kembali suasana meriah bola sepak di negara ini.

Tidak perlu takut untuk duduk bersama mereka jika menonton bola, walaupun anda penyokong dan memakai jersi negeri anda. Minat terhadap bola sepak pada diri penulis juga kembali membara ketika ditukarkan ke negeri ini pada Mac 2011. Atmosfera bola sepak di negeri ini memang memberi impak, itu belum lagi jika The Red Warriors melangkah ke final Piala Malaysia atau Piala FA.
Jika ada yang mengatakan orang Kelantan masih kuat semangat kenegerian, mengapa pula hendak dipersoalkan? Orang Jawa seperti penulis juga ada semangat Jawa, jika bertemu orang Jawa, seboleh-bolehnya mahu bercakap Jawa.

Penulis bukan orang Kelantan dan bukannya mahu mengangkat orang Kelantan. Apa yang penulis hendak sampaikan, tidak kiralah orang Kelantan, orang Jawa, orang Bugis, orang Banjar, orang KL, orang utara, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan.

Perbuatan mencetuskan sentimen kebencian terhadap penduduk negeri lain, apatah lagi di alam siber perlu dihentikan supaya tidak menjadi ikutan. Jangan jadi seperti watak Dollah Jin, juga dalam telefilem Sebuah Piala Seekor Kambing yang menjadi ‘kepalo pengat’ (individu paling samseng dalam kumpulan) dan gemar ‘bergocoh’ (bergaduh) dengan membayangkan dirinya Tony Jaa.

Khamis, 10 Januari 2013

Jangan Berhenti Berharap





Kemenangan datang dalam keadaan yang tidak diduga. Begitulah kesimpulan yang boleh diberikan pada perlawanan sulung Kelantan bagi musim ini di gelanggang keramatnya Stadium Sultan Muhammad ke4. Gol pada masa kecederaan menjadi jarak bagi memastikan Kelantan memperolehi 3 mata penuh dihadapan penonton sendiri.

Ini merupakan tonik paling berharga buat semua peminat yang kebanyakan mendambakan kemenangan dengan 3 mata penuh, Apatah lagi melihatkan salah satu seteru mereka tumbang pada perlawanan yang disiarkan secara langsung semalam. Pun begitu gol yang menjamin tiga mata penuh ini hadir pada masa tambahan separuh masa kedua. Kelewatan jaringan yang menjamin tiga mata ini sedikit sebanyak menghakis kepercayaan sesetengan pihak peminat dan penyokong pasukan. Apatah lagi kekalahan pasukan kita di Piala Sumbangsih itu masih terasa.

Sekali lagi ramai pihak menyalahkan striker import, Keita Manjou. Beliau belum menjaringkan sebarang gol. Keita dilihat gagal mengambil posisi yang ditinggalkan oleh M. Ghaddar. Banyak bola yang dihantarkan kepada beliau gagal diterjemahkan menjadi gol. Walaupun keseluruhan game hampir keseluruhan didominasi oleh pasukan kita, namun PKNS terlebih dahulu mendapat gol hasil dari jaringan terus melalui sepakan percuma. Gol penyamaan hadir melalui jaringan kapten Piya setelah berlaku keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol pasukan PKNS.

Gol kemengan yang dihasilkan pada minit akhir perlawanan akhirnya membuktikan yang Kelantan masih mempunyai taring nya, lebih menakjubkan, rekod untuk tidak pernah kalah dilaman sendiri semakin melebar. Bagi yang terlepas peluang untuk menyaksikan livestreaming perlawanan ini, maka disini saya kongsikan video jaringan-jaringan gol untuk perlawanan tersebut.




Kelantan Raih Kemenangan Tipis


alt
Kesebelasan utama Kelantan menentang PKNS FC.

Kota Bharu, 9 Jan - Skuad kendalian Bojan Hodak, Kelantan terpaksa berhempas pulas sebelum menang tipis 2-1 mengatasi PKNS FC, dalam aksi pembukan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah, apabila ketua pasukan PKNS FC, Helmi Rameli menjaringkan gol pendahuluan menerusi sepakan percuma cantik menewaskan Khairul Fahmi di gawang Kelantan.

Tersentak dengan gol pendahuluan pelawat, Kelantan bangkit menyusun serangan ke kubu lawan dan akhirnya ketua pasukan, Piya menjaringkan gol buat Kelantan. Gol berpunca dari rembatan Haris Safwan Kamal yang menggegar palang PKNS FC sebelum bola yang melantun ke arah Piya disempurnakan untuk gol penyamaan tuan rumah.

Di saat perlawanan hampir berkesudahan seri 1-1, Zairul Fitree muncul wira pasukan Kelantan selepas menjaringkan gol kemenangan di masa tambahan hasil keadaan kelam kabut di depan pintu gol pelawat.
Tamat perlawanan, Kelantan berjaya meraih tiga mata berharga di gelanggang sendiri mengatasi PKNS FC, 2-1. Untuk perlawanan seterusnya, Kelantan akan bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, menentang T-Team FC.

Isnin, 7 Januari 2013

Isu Jersi MSL Kelantan Original Kit







jersirosak2013
info@warriors.com.my

Di sini saya dari bahagian Khidmat Pelanggan ingin menjawab isu berkenaan jersi MSL Kelantan Original Kit yang telah di beli oleh penyokong melalui warriors online serta dealer di mana ada di antaranya mengalami masalah patch terutama di bahagian logo.

Pertamanya, warga Warriors ingin meminta maaf atas kesulitan yang di alami oleh segelintir penyokong atas permasalahan yang di alami.

Info:
- Perkara ini berlaku di sebabkan confirmation dari pihak penaja sedikit lewat dan menyebabkan penyiapan jersi terpaksa di lakukan dalam masa singkat.
- Hanya segelintir dari keseluruhan produksi jersi yang mengalami masalah tersebut dan selebihnya dalam keadaan 100% terbaik.

Tindakan:
- Kepada penyokong yang mengalami masalah patch boleh membawanya ke kedai Warriors cawangan Pasir Hor(berhadapan Petronas Pasir Hor) untuk di perbaiki dan sekiranya pihak kami tidak dapat membaiki masalah tersebut pihak kami akan menukarkan dengan jersi yang baru dan akan bermula dari 7/1/13 sehingga 14/1/13.

Kami juga di Warriors mengalu-alukan sebarang aduan atau komen yang membina bagi memperbaiki lagi kualiti, servis mahupun layanan dari pihak kami kepada semua penyokong TRW di seluruh Malaysia demi mencapai matlamat kami untuk mempasarkan produk Warriors ke pasaran luar negara. Sebarang aduan atau komen membina boleh di salurkan melalui info@warriors.com.my

Catatan Popular