ELAK episod duka menghantui Kelantan.
Itu komen ringkas Penolong Ketua Pasukan The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin menjelang pertemuan getir pasukannya menentang Pahang pada aksi terakhir peringkat kumpulan kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.
Indra Putra berkata, kegagalan juara 32 kali, Selangor mara ke suku akhir saingan Piala Malaysia ini wajar dijadikan iktibar kepada rakan sepasukannya biarpun mereka dilihat berdepan tugas berat untuk mempertahankan kejuaraan kali kedua pada musim ini.
“Apa yang menimpa Selangor, tidak boleh berlaku ke atas Kelantan. Sejak tahun 2009, Kelantan tak pernah gagal melangkah ke suku akhir dan kami tidak mahu menamatkan saingan musim ini dengan keputusan mengecewakan.
“Saya akui, memang perlawanan ini cukup penting bagi kedua-dua pasukan. Untuk layak ke suku akhir, sudah pasti kami wajib menewaskan Pahang, kerana jika tewas atau seri bererti ia sesuatu yang cukup malang bagi bola sepak Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Tambahnya, pada perlawanan disifatkan kemuncak bagi 13 pasukan memburu tujuh slot ke suku akhir setelah Selangor, Terenganu dan Felda United FC tersingkir awal, tiada lagi istilah tekanan buat beliau dalam menanti kunjungan bekas pasukan yang pernah diwakilinya pada musim 2004 hingga 2007.
“Ini merupakan perlawanan yang sangat menguji mental semua pemain. Mungkin sesetengah pemain tak biasa berdepan situasi seperti itu, tetapi saya menyukainya kerana secara tak langsung memaksa saya mempamerkan aksi lebih baik,” katanya.
Malah pemain berusia 32 tahun yang menjaringkan salah satu gol ketika menewaskan Terengganu 3-1 tempoh hari berkata, beliau kian bersemangat menambahkan koleksi jaringan peribadi dan membayangkan mahu mengulanginya dalam pertemuan menentang Pahang, malam esok.
“Bola sepak ialah menjaringkan gol. Kalau ada peluang sudah pasti saya lakukan namun semua itu perlu dengan sokongan rakan sepasukan. Apa pun, siapa yang menjaringkan gol tidak penting, kerana matlamat utama saya ialah membawa Kelantan ke suku akhir,” katanya.
Sementara itu, bekas pemenang Kasut Emas Liga Malaysia musim 2004 itu, mengingatkan rakan sepasukannya agar mengekang kelincahan jentera sayap kiri dan kanan skuad Tok Gajah.
“Kami tak boleh buat kesilapan sekali gus membenarkan Pahang mendapat set piece. Mereka ada kelebihan menjaringkan gol menerusi cara itu dan kami perlu menyekat Delano Stewart, R Gopinathan atau Azamuddin Mohd Akil daripada bergerak bebas di depan pintu gol Kelantan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan