Kota Bharu: Kapten Mohd Badhri Radzi atau Piya mahu Kelantan sekurang-kurangnya seri dan memperoleh jaringan di tempat lawan berdepan Johor Darul Takzim (DT) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, esok.
Katanya, pertemuan Kelantan dengan Johor DT di suku akhir sebenarnya ibarat aksi final namun amat malang salah satu pasukan pilihan bakal tersingkir. Pemain berusia 30 tahun dari Kota Bharu itu mengingatkan rakan sepasukan fokus menghadapi perlawanan.
“Pertemuan ini pada saya terlalu awal. Sebenarnya kita berharap untuk bertemu di final, namun dalam suku akhir ini salah satu pasukan pasti akan tersingkir.
“Bagi saya amat penting kita mencipta jaringan di tempat mereka sebagai bekalan di gelanggang sendiri nanti,” katanya.
Sementara itu jurulatih Bojan Hodak mengakui perlu mencongak percaturan terbaik berdepan musuh ketat sambil mengharapkan anak didiknya menyerap tekanan ketika beraksi di gelanggang lawan.
Katanya, Johor DT antara pencabar hebat musim ini malah menjangkakan perlawanan pertama penuh dengan tekanan, namun kematangan pemain menghadapi situasi berkenaan memberi sedikit kelegaan kepadanya.
“Semua tonggak boleh beraksi dan bebas daripada penggantungan. Saya hanya perlu membuat perancangan taktikal terbaik dan tepat,” katanya.
kelatewaz
Tiada ulasan:
Catat Ulasan