Kota Bharu: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa membayangkan skuad The Red Warriors (TRW) mungkin tidak dapat meletakkan sebarang sasaran pada Liga Malaysia (Liga-M) musim depan sekiranya ramai tonggak utamanya berhijrah ke pasukan lain.
“Beberapa pemain sudah maklumkan kepada saya mengenai penghijrahan mereka dan kita tiada halangan.
“Jika TRW terpaksa membentuk pasukan baru sekalipun apakan daya kerana peraturan bola sepak di Malaysia memang tidak melindungi kepentingan kelab.
“Bagi pihak yang sudah biasa mengurus pasukan bola sepak di negara ini, mereka sudah tentu akan memahami masalah sebagaimana yang dihadapi KAFA. Justeru, untuk tahun depan kita mungkin tidak dapat meletakkan apa-apa sasaran,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya semalam.
BH Sukan difahamkan pemain yang bakal berhijrah musim depan kebanyakannya adalah tonggak penting dalam pasukan dan banyak membantu TRW menjulang pelbagai kejuaraan sebelum ini.
Antara yang disebut-sebut ialah Mohd Shakir Shaari, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Badhri Mohd Radzi atau Piya dan Mohd Nor Farhan Muhammad.
Sama juga dengan musim lalu, isu perpindahan pemain TRW kali ini turut dikaitkan dengan Johor Darul Takzim (DT) apabila pasukan gergasi selatan tanah air itu dikhabarkan sedang berusaha memancing seorang daripada pemain terbabit dengan tawaran lumayan.
“Apapun dalam isu ini, KAFA masih lagi memikirkan apa perancangan yang mampu dilakukan. Johor DT sekali lagi bakal memperoleh pemain yang mereka mahu dari Kelantan, Selangor dan lain-lain.
“Mereka berhak untuk memiliki apa yang dicitakan kerana sebuah organisasi yang mempunyai dana yang cukup besar dan bagi KAFA, kita mula merasai keperitan untuk mengekalkan pemain,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan