PENGENDALI The Red Warriors, Bojan Hodak jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaan setelah pasukannya tewas 2-4 kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, malam kelmarin.
Rasa terkilan Hodak memang berasas apabila anak buahnya mempamerkan persembahan mengecewakan, sekali gus menggagalkan hasrat Kelantan untuk sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri di Larkin sebelum menanti kunjungan JDT di Kota Bharu, Sabtu ini.
“Pemain saya melakukan kesilapan yang sukar diterima sama sekali dalam perlawanan ini. Ini merupakan aksi terburuk pernah disajikan oleh mereka sejak saya membimbing Kelantan hampir dua tahun lalu.
“Ia di luar jangkaan saya, apabila beberapa pemain melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya mereka lakukan. Mereka bermain secara bersahaja dan masalah ini perlu diatasi sebelum aksi timbal balas nanti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Azmi Mohamed mengalahkan juara bertahan itu, 4-2 hasil jaringan Jasazrin Jamaludin, Norshahrul Idlan Talaha, Shafiq Rahim dan Leonel George Nunez, sementara gol Kelantan menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Obinna Nwaneri.
Jurulatih kelahiran Croatia itu juga akui kerapuhan benteng pertahanannya menjadi faktor utama pasukannya tewas kali kedua kepada skuad Harimau Selatan itu sepanjang musim ini.
“Bagi saya JDT tidaklah sehebat mana, cuma kami membenarkan mereka memenangi perlawanan ini. Mungkin sedikit pujian kepada Mohd Safee Mohd Sali, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Awe (Mohd Nurul Azwan Roya) yang menjadi watak penting buat JDT malam kelmarin,” katanya.
Menurutnya, walaupun kecewa dengan kekalahan itu, beliau tetap menerima dengan hati terbuka sambil menyifatkan pasukannya tetap berpeluang melangkah ke separuh akhir dengan syarat menewaskan JDT pada pertemuan ulangan, Sabtu ini.