KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 29 April 2013

Hodak Optimis TRW Akan Bangkit



Bojan Hodak
Kota Bharu: Jurulatih Kelantan Bojan Hodak tetap menaruh kepercayaan kepada The Red Warriors (TRW) untuk bangkit mendaki takhta Liga Super selepas menemui semula sentuhan kemenangan menundukkan T-Team 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.
Bagaimanapun Hodak berkata laluan sukar terpaksa ditempuh bagi mengejar pendahulu, namun bukan mustahil untuk dilakukan.
Katanya, kemenangan ke atas T-Team menyuntik semangat anak buahnya untuk meneruskan perjuangan sehingga perlawanan terakhir malah tetap optimis mampu mengubah kedudukan Kelantan yang kini berada di tangga kesembilan.
Katanya, Kelantan perlu terus mempamerkan aksi lebih baik dalam perlawanan berikutnya malah kelemahan yang ada pada masa ini akan dibaiki sebelum menentang Ayeyawady United dalam saingan Piala AFC di Kota Bharu malam esok.
“Kita bermain bagus malam ini (kelmarin) dan mendapat kemenangan dan saya mahu ia diteruskan dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
Menurut Hodak, kepenatan pemain kerana jadual padat musim ini sedikit mempengaruhi persembahan Kelantan yang menjulang tiga piala musim lalu, namun dengan semangat yang ada, anak buahnya masih mampu bertahan.

Ahad, 28 April 2013

Kebangkitan Sang Kijang!

indra2013
Tahniah! Kelantan. Setelah dikritik hebat oleh presiden KAFA dan seluruh penyokong Kelantan, akhirnya pasukan ini menampakkan kebangkitan pertama dalam saingan Liga Super bulan april ini. 
Biarpun Kelantan tetap kekal di tangga ke 9 Liga Super, kemenangan ini sedikit sebanyak mampu menaikkan kembali semangat para pemain dan penyokong untuk tidak lagi mensia-siakan 8 baki perlawanan Liga Super yang ada. Ayuh bangkitlah. Tanpa sokongan dan semangat juang yang tinggi dari anda semua, The Red Warriors akan hilang serinya..... GOMO KELATE GOMO.


Prestasi terkini The Red Warriors 2013


nikshahrulazim
Secara realistiknya, prestasi terkini The Red Warriors dalam saingan Piala AFC, FA dan Liga Super 2013 masih mengikut target yang diberikan oleh Tan Sri Annuar Musa semasa awal musim 2013.
Untuk makluman, presiden KAFA meletakkan sasaran realistik dengan kemampuan semasa pemain yang ada iaitu sasaran top 4 untuk Liga Super, mara ke final Piala FA untuk memastikan Kelantan layak ke saingan Piala AFC 2014 dan layak ke separuh akhir saingan Piala AFC 2013.
Sememangnya diakui pencapaian semasa The Red Warriors setakat hari ini, dalam Liga Super dan Piala AFC masih belum mencapai target presiden KAFA tetapi jika diukur keupayaan semasa pemain dan ketua jurulatih tidak mustahil keputusan ini akan dicapai, namun ianya juga bergantung kepada sokongan padu penyokong The Red Warriors itu sendiri, jika emosi tewas sudah menghantui jiwa penyokong perkara yang tidak mustahil akan jadi mustahil untuk dicapai, jika kekentalan semangat masih menguasai jiwa tiada yang mustahil. Keyakinan akan membantu kebangkitan.
Jika diteliti The Red Warriors selepas 21 perlawanan keseluruhan Piala AFC/FA/LS, Kelantan telah berjaya mencapai keputusan 10 menang, 6 seri dan 5 kalah iaitu
stastitikapril13
Hasil daripada perlawanan ini, Kelantan kini berjaya mencapai:
  • :: Piala AFC > top 16
  • Layak ke pusingan kedua - iaitu peringkat kalah mati
  • :: PIALA FA > top 4
  • Layak ke separuh akhir - akan menentang Terengganu, harus berusaha untuk mara ke final dan mungkin akan tercipta sejarah baru Piala FA era millenium perlawanan akhir Kelantan menentang Johor DT atau sekali lagi berlaku pertembungan finalis dari Pantai timur.
  • :: Liga Super > top 9
  • Target top 4 - Kelantan akan terus bersaing dalam 9 lagi baki perlawanan yang ada dan harus berusaha mencapai top 4 dalam bulan mei nanti.
  • Pencapaian ini jauh lebih rendah berbanding peningkatan hebat The Red Warriors sejak 2010. Aksi-aksi yang dipamerkan dalam perlawanan menentang PKNS dan Maziya Sport & Recreation sebenarnya tidak mempamerkan kemampuan sebenar The Red Warriors yang diramal mudah meratah lawan andai aksi sebenar dipamerkan.

    Khamis, 25 April 2013

    Hodak Nafi Kelantan Bermasalah



    Bojan Hodak
    “TIADA masalah dalam pasukan ini, semuanya ok sahaja. Pemain saya cuma penat.”
    Itu tegas pengendali Kelantan, Bojan Hodak yang menepis andaian wujud masalah dalaman termasuk pembayaran bonus sehingga pasukannya dibelasah 6-1 oleh Maziya Sports & Recreation Club (SRC)  pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Rasmee Dhandu, kelmarin.
    Sebaliknya, jurulatih kelahiran Croatia itu tampil mempertahankan prestasi pasukan sambil menyifatkan kekalahan disebabkan pemain cukup penat mengharungi jadual perlawanan padat sejak akhir-akhir ini.
    “Saya tidak pasti tentang perkara (bonus) itu, tapi itu bukan punca kekalahan kami. Yang perlu anda tahu ialah pemain saya keletihan. Setiap kali tewas, taktikal saya dipersalahkan sedangkan musim lalu saya membawa tiga piala tetapi tidak ada orang pun mempertikaikan kredibiliti saya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
    Prestasi turun naik Kelantan sejak kebelakangan ini menyaksikan pasukan tersebut menerima aib paling besar dalam sejarah penyertaan kedua mereka pada kempen Piala AFC sehingga dibelasah teruk kelab daripada negara ke-158 rangking dunia itu.
    “Anda sendiri boleh lihat berapa ramai pemain saya yang tercedera, berapa ramai yang mengalami kepenatan tetapi kami masih mampu beraksi dengan baik meskipun tewas kepada Maziya SRC.
    “Saya tahu keputusan ini memang sukar diterima penyokong kita. Malah saya sendiri tidak duga kami boleh tewas dengan jaringan sebanyak ini. Semua orang bercakap itu-ini setiap kali kalah tetapi mereka tak tahu betapa sengsaranya pemain kami mengharungi banyak perlawanan,” katanya.

    Sabtu, 20 April 2013

    Bangkit Kelantan Bangkit!


    obinnatteam
    Kekalahan 2-1 Kelantan kepada PKNS pada malam tadi belum lagi mematahkan semangat ribuan penyokong Kelantan yang masih mengharapkan kebangkitan bulan april,
    Jaringan awal Ahmad Fakri pada minit ke 7 gagal dipertahankan setelah hampir kesemua pemain bermain terlalu berhati-hati dibawah prestasi sebenar mereka seperti sudah tidak berminat lagi menjadi pesaing Liga Super.Jaringan penyamaan oleh pemain import baru PKNS Roman Chmelo pada minit ke 51 berjaya menyuntik semangat pemain-pemain lain untuk terus menggempur kubu goyah Kelantan. Pada minit 72 Mohd Fauzan berjaya menjaringkan gol kemenangan PKNS. Keputusan PKNS 2-1 Kelantan kekal sehingga tamat perlawanan.
    Sekali lagi stadium Shah Alam terus menjadi badi kekalahan skuad Kelantan, kelekaan pemain-pemain Kelantan berjaya dihukum pemain-pemain PKNS. Kehadiran Obinna, Dickson dan Norfarhan gagal mengubah rentak permainan Kelantan yang agak hambar pada malam tadi,
    Biarapapun keputusannya, belum masanya kita meniup wisel tewas, perlawanan masih banyak, apa yang kita harapkan Kelantan mampu kembali kepada kedudukan 5 pasukan terbaik pada mei nanti. Teruslah menyokong pasukan kesayangan anda. GOMO KELATE GOMO....TANPA SOKONGAN ANDA, TIADALAH SERI KEJAYAAN THE RED WARRIORS...

    Fawwaz..

    Jumaat, 19 April 2013

    Nwakaeme Tekad Gegar Gawang PKNS


    Dickson Nwakaeme mengharap dapat menyumbang kemenangan kepada pasukan Kelantan pada pertemuan melawan PKNS pada malam ini.
    KOTA BHARU – Penyerang import Kelantan, Dickson Nwakaeme bertekad mahu membantu pasukannya menewaskan PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.
    Nwakaeme yang baru pulih daripada kecederaan, mengakui semakin serasi beraksi bersama The Red Warriors sejak menyertai pasukan pada Mac lalu.
    Menurutnya, kejayaan membantu Kelantan meraih tiga kemenangan dalam empat perlawanan pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini, melonjakkan semangatnya untuk terus mempamerkan ketajaman penyudah.
    “Pertemuan dengan PKNS bukanlah satu tugas yang mudah. Saya harap rakan-rakan dapat memberikan aksi terbaik dan membuka ruang bagi membolehkan saya menjaringkan gol pada perlawanan tersebut.
    “Inilah kesempatan terbaik buat saya untuk membalas kepercayaan pihak pengurusan yang memberi peluang beraksi bersama Kelantan dalam saingan Liga Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

    Khamis, 18 April 2013

    Hodak Puji Aksi Ahmad Fakri



    Ahmad Fakri Saarani
    Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak memuji persembahan bekas penyerang Atletico SC, Ahmad Fakri Saarani (gambar) yang beraksi cemerlang dalam perlawanan menentang Sarawak pada suku akhir kedua saingan Piala FA, di Stadium Negeri, Petra Jaya, Sarawak, malam kelmarin.
    Selain Ahmad Fakri, jentera tengah Kelantan, Mohd Badhri Radzi dan Shakir Saari turut mendapat pujian daripada jurulatih berusia 41 tahun dari Croatia itu apabila berjaya menguasai permainan di bahagian tengah.
    “Ahmad Fakri beraksi dengan baik malam kelmarin walaupun ia baru kali kedua dia beraksi bersama Kelantan. Semua orang boleh lihat dengan jelas keyakinan tinggi dimilikinya. Walaupun dia tidak menjaringkan gol namun saya gembira dengan persembahannya.
    Bahagian tengah mantap
    “Barisan tengah saya juga berjaya menguasai permainan di bahagian tengah dan membuat banyak gerakan merbahaya. Ia terbukti apabila hasil gerakan Piya (Mohd Badhri) berjaya membuka ruang buat Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol pertama Kelantan.
    “Kami menguasai perlawanan di separuh masa pertama dan berjaya mendapatkan dua gol awal sekali gus memberi tekanan buat Sarawak. Kami bermain secara bertahan di separuh masa kedua kerana sudah mempunyai kelebihan gol,” katanya, semalam.
    Kemenangan 2-0 ke atas Sarawak malam kelmarin membolehkan Kelantan mara dengan agregat 4-1 dan akan bertemu jiran tetangga Pantai Timur, Terengganu di peringkat separuh akhir 25 Mei ini.
    Selain itu, Bojan turut berkata, pasukannya akan melakukan persediaan rapi sebelum pertemuan dengan Terengganu bagi memastikan Piala FA dapat dipertahankan The Red Warriors (TRW).

    Rabu, 17 April 2013

    Piala FA 2013: Kelantan mudah mara ke semi final

    indrasabah
    3 pasukan pantai timur kuasai separuh akhir Piala FA 2013:
    Kelantan mengiringi dua pasukan pantai timur Pahang dan Terengganu yang telah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir pada perlawanan petang semalam.
    Dua gol jaringan Indra Putra pada minit 19 dan Norfarhan pada minit 31 pada separuh masa pertama kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini telah melayakkan Kelantan mara ke semi final dengan agregat 4-1. Perlawanan pada separuh masa kedua terhenti disebabkan balingan objek ke arah pengadil dan penyokong Kelantan oleh penyokong Sarawak.
    Kelantan akan bertemu Terengganu pada saingan separuh akhir pertama 25 mei dan kedua 28 mei. Perlawanan ini menggamit kembali perlawanan akhir dua pasukan pantai timur ini pada 2011, apabila Terengganu berjaya menjuarai perlawanan akhir Piala FA 2011, namun kali ini pada 2013 kedua-dua pasukan ini dipaksa bertembung di peringkat separuh akhir lagi.
    Ramai peminat bolasepak Malaysia meramalkan akan berlaku pertarungan sengit antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di final Piala FA 2013 nanti. Biar apapun ramalan peminat bolasepak Malaysia, kita sebagai penyokong sejati The Red Warriors harus bersedia membantu pasukan menjayakan baki perlawanan Piala FA dan mengekalkan kejuaraan ini. Sikap suka mendabik dada dan memandang mudah lawan seperti pasukan Terengganu harus dibuang jauh-jauh kerana melihat aksi luar biasa Terengganu yang dipamerkan dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan.
    Ayuh kita bersama-sama pasukan kesayangan kita mengekalkan Piala FA di bumi Kelantan tanah tumpah darah kita. GOMO KELATE GOMO....BANGKIT

    Ahad, 14 April 2013

    ‘Tentera Bedil Red Warriors’



    Kelantan akur kehebatan lawan, tunduk 1-3 di Kota Bharu
    PENYERANG pasukan Kelantan, Mohd Faiz Subri di halang pemain ATM, K Reuben dalam saingan perlawanan Liga Super antara Kelantan bertemu Angkatan Tentera (ATM) di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.
    Kota Bharu: Rekod tanpa kalah Kelantan di stadium keramat – Stadium Sultan Muhammad IV – akhirnya lebur selepas tewas 3-1 kepada Tentera dalam aksi pertama pusingan kedua, saingan Liga Super, malam tadi.
    Kekalahan itu menyaksikan rekod bersih juara tiga piala musim lalu itu di gelanggang sendiri yang dipertahankan sejak 2011 dicemari anak buah B Sathianathan yang tampak lebih menguasai permainan untuk menebus kekalahan 3-2 kepada Red Warriors sebelum ini.
    Pelawat mengejutkan kira-kira 15,000 penyokong tuan rumah apabila rembatan kencang Hairuddin Omar pada minit ke-11 menerjah jaring selepas bola tertampan pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Ab Halim sekali gus menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
    Benteng longgar bawa padah
    Ketiadaan pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri kerana menerima tiga kad kuning dalam perlawanan sebelum ini ternyata melonggarkan benteng tuan rumah apabila Kelantan sekali lagi dihukum dengan jaringan kedua pelawat menerusi Christie Jayaselan pada minit ke-22 yang bijak menampan masuk bola hantaran lintang Marlon Alex James.
    Kelantan akhirnya berjaya merapatkan defisit gol menerusi pemain sayap Mohd Faiz Subri pada minit ke-39 selepas rembatan kencangnya dari sudut sukar untuk menewaskan Farizal Haron.
    Bersambung babak kedua, Tentera terus menambah derita Kelantan apabila Marlon bijak menampan masuk hantaran lambung Affize Faisal Mamat pada minit ke-64 yang menyaksikan Khairul Fahmi tertewas buat kali ketiga.
    Kemasukan bekas penyerang Atletico SC, Ahmad Fakri Saarani yang menggantikan Norfarhan pada minit ke-63 juga gagal mengubah kedudukan.

    Rekod The Red Warriors lebur ditangan ATM



    Pemain import Kelantan Dickson Nwakaeme
     disekat oleh pertahanan ATM dalam pertembungan
     kedua-dua pasukan di Kota Bharu


        ATM berjaya mencalar rekod tanpa kalah Kelantan di halaman sendiri menerusi kemenangan 1-3 dalam saingan liga super 2013 di Stadium Sultan MUhammad ke-IV semalam

        Skuad kendalian B.Sathianthan meraih tiga mata penuh dalam perlawanan yang sungguh sengit dan dramatik itu.

        Dalam perlawanan itu,ATM membuka tirai jaringan menerusi Haruddin Omar pada minit ke-11.
      
        Selepas itu,ATM menambah jaringan menerusi Christie Jayaseelan meledak gol kedua pada minit ke-22 hasil hantaran Marlon Alex james

        Anak buah Bojan Hodak tidak berputus asa mencari gol dan akhirnya penantian itu berhasil apabila Faiz Subri menceriakan ribuan penyokong Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV dengan menjaringkan gol dari sudut sukar pada minit ke-40

       Hasil kesilapan pertahanan Kelantan,Kelantan dihukum dengan jariingan ketiga  menerusi Marlon Alex James pada minit ke-64 yang tidak dikawal oleh pertahanan Kelantan dan mudah melepaskan sepakan untuk menewaskan penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi......Rekod tanpa kalah Kelantan Sejak 2 tahun Akhirnya lebur di tangan Atm....



        

    Sabtu, 13 April 2013

    Kelantan Ada Penggempur Baharu



    Ahmad Fakri Saarani
    KELANTAN bakal mendapat suntikan moral ketika turun menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan Liga Super malam ini apabila dijangka menyenaraikan dua pemain baharu mereka termasuk seorang pemain import, lapor KHAIRI MOHAMAD.
    Pengurus pasukan, Azman Ibrahim memberitahu, bekas pemain Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC) yang beraksi dalam liga Divisyen Tiga Portugal, Ahmad Fakri Saarani dan pemain import dari Lagos, Nigeria, Dickson Nwakaeme hampir pasti diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi menentang ATM malam ini.
    Menurutnya, urusan pendaftaran kedua-dua pemain berkenaan selesai kelmarin selepas Ahmad Fakri mendapat sijil perpindahan antarabangsa (ITC) daripada kelab lamanya sejak lima hari lalu manakala ITC Nwakaeme sudah lama diperolehi.
    “Kita mendapat khabar gembira apabila urusan berkaitan pendaftaran kedua-dua pemain ini berjaya diselesaikan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam (kelmarin).
    “Kehadiran dua pemain ini diharap dapat memberi impak kepada Kelantan yang tidak boleh lagi tercicir mata pada saingan pusingan kedua ini, dan kita perlu memastikan momentum kemenangan sejak enam perlawanan lalu dapat diteruskan,” katanya.
    Dickson Nwakaeme
    Tambahnya, kemasukan Nwakaeme bermakna, Keita Mandjou terpaksa disisihkan daripada pasukan namun, dia (Mandjou) masih mempunyai kontrak dan pihak pengurusan akan mengadakan perbincangan dengan pemain tersebut untuk mengetahui masa depannya bersama Kelantan.
    Mengulas mengenai pertembungan dengan ATM, Azman memberitahu, pasukan bimbingan B.Sathianathan itu mempunyai sedikit kelebihan apabila melalui tempoh rehat yang panjang dengan perlawanan terakhir yang dihadapi mereka ialah pada 29 Mac lalu.
    Katanya, pasukannya terpaksa berdepan faktor keletihan apabila baru menyelesaikan tugas dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang SHB Da Nang di Vietnam, Rabu lalu dan terpaksa melalui tempoh perjalanan yang cukup panjang.
    “Kita melalui perjalanan pulang yang cukup panjang iaitu selama 15 jam. Kita harap para pemain dapat terus bertahan dan mengekalkan momentum enam kemenangan sejak menentang Ayeyawady United serta mempertahankan rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
    “Saya percaya, kehadiran Ahmad Fakri dan Nwakaeme serta beberapa pemain yang diberi rehat dan tidak menyertai pasukan ke Vietnam tempoh hari seperti Piya (Badhri Radzi), Shakir Shaari, Daudsu Jamaluddin serta Zamri Ramli mampu memberikan yang terbaik ketika menentang ATM nanti,” ujarnya.

    Jumaat, 12 April 2013

    Dickson Nwakaeme Beraksi Dalam Liga Super





    Pemain import sensai The Red Warriors, Dickson Nwakaeme sah akan beraksi dalam kancah Liga Super Malaysia. Keputusan itu menyaksikan Keita Mandjou secara ‘automatiknya’  tidak akan beraksi lagi untuk TRW.

    Menurut info dari Persatuan BolaSepak Kelantan (KAFA), Dickson Nwakaeme telah berjaya didaftarkan untuk aksi Liga Super 2013 dan boleh turun beraksi pada malam esok.

    Walau bagaimanapun, keputusan itu belum menamatkan ‘musim penantian’ penyokong Kelantan kerana nasib seorang lagi pemain import, Dimitri Petratos masih belum diketahui.

    KAFA boleh mendaftarkan Dimitri Petratos untuk Liga Malaysia selewat-lewatnya pada 22 April kerana pada 23 April, pintu perpindahan Liga Malaysia akan kembali ditutup.

    Piya Optimis Kelantan Mampu Jinakkan ATM


    Kapten The Red Warriors, Mohd Badri Radzi atau lebih dikenali dengan Piya optimis pasukannya mampu melakar kemenangan ke-7 berturut-turut apabila mereka akan melayan kunjungan ATM di Stadium Sultan Muhamed IV, malam esok.


    “Keyakinan semua pemain untuk mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan semakin meningkat dan untuk perlawanan Sabtu ini (malam esok) saya yakin Kelantan dapat meneruskan rekod kemenangan.” – kata Badri Radzi ketika dihubungi, semalam.

    Walaupun kelihatan begitu yakin, Piya turut mengakui bahawa ATM mempunyai ‘dendam’ selepas ATM tersungkur 2-3 di halaman sendiri kepada TRW di Paroi, 29 Mac yang lalu.

    “Sudah pasti Tentera mahu membalas dendam dengan kekalahan mereka kepada TRW pada 29 Mac lalu.” – Piya,

    “Namun, kami yakin tidak berdepan masalah untuk menjinakkan sekali lagi lawan kerana kami mempunyai kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri,” katanya semalam.

    Kelantan akan menentang ATM pada 12 April (Sabtu) di Stadium Sultan Muhamed IV. Perlawanan itu sudah SAH akan disiarkan di saluran 801 oleh Astro Arena.

    Khamis, 11 April 2013

    Kelantan Terus Gah Di Piala AFC






    Selepas membelasah Shb Da Nang, 5-0 minggu lalu, Kelantan sekali lagi membuktikan kejaguhan mereka apabila membenam Shb Da Nang 1-0 di Stadium Chai Lang, Vietnam, sebentar tadi.

    Kemenangan itu adalah hasil jaringan dari pemain import sensasi, Dickson Nwakaeme. Gol itu terhasil susulan dari hantaran cantik oleh Zairol Anuar Zailani melalui ‘counter-attack’ yang menyaksikan Dickson mudah menolak masuk dan menewaskan penjaga gol lawan.

    Kemenangan pada kali ini menyaksikan, Kelantan mengumpul 10 mata dari 4 perlawanan. Lebih menarik, kita belum lagi kecundang dalam aksi Piala AFC 2013. Seterusnya, Kelantan akan menentang Maziya SnR pada 23 April di Maldives.




     GoMore Kelate GoMore

    Rabu, 10 April 2013

    Kelantan Rehat Tonggak Utama


    BADHRI (kiri) antara pemain yang akan direhatkan Kelantan pada aksi menentang SHB Da Nang FC di Stadium Chi Liang, Vietnam petang ini.

    WAKIL negara, Kelantan bakal merehatkan beberapa tonggak utamanya pada aksi Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bertemu SHB Da Nang FC di Stadium Chi Liang, Vietnam petang ini.
    Antara tonggak yang direhatkan pada pertemuan tersebut ialah kapten pasukan Mohd. Badhri Radzi, Mohd. Shakir Shaari dan Mohd. Daudsu Jamaluddin manakala Muhammad Zamri Ramli dan Mohd. Faiz Subri terpaksa diketepikan kerana demam.

    Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, keputusan merehatkan beberapa tonggak utama itu terpaksa dibuat bagi mengharungi perlawanan penting selepas ini.

    “Kami bakal berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Sabtu ini sekembali dari Vietnam yang menyaksikan pemain terpaksa mengharungi perjalanan jauh.

    “Pertemuan dengan ATM pasti sengit dan kami tidak mahu ia mengganggu fokus pada saingan liga. Selepas itu, kami akan beraksi dalam Piala FA bertemu Sarawak pada 16 April ini,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu kelmarin.

    Mengulas mengenai pertemuan dengan wakil Vietnam itu, Azman menjangkakan Kelantan bakal berdepan laluan sukar pada perlawanan tersebut.

    Menurutnya, tuan rumah pasti akan beraksi habis-habisan bagi menebus aib tewas 0-5 pada aksi di Kota Bharu sebelum ini selain mencerahkan peluang mara ke pusingan kedua nanti.

    “Bagaimanapun, saya optimis barisan pemain yang bakal diturunkan pada pertemuan itu mampu melakukan sesuatu sekurang-kurang mencuri satu mata di Vietnam.

    “Selepas meraih tujuh mata ketika saingan berbaki dua perlawanan, Kelantan mampu layak ke pusingan seterusnya,” ujarnya.

    Pada perkembangan lain, Azman memberitahu, kesemua tonggak importnya akan di bawa ke Vietnam bagi memperkuatkan pasukan pada pertemuan tersebut.
    Gandingan dua penggempur berbisanya, Dickson Nwakaemi dan Dimitrios Petratos pasti ditagih untuk merencanakan jentera serangan bagi memastikan tiga mata menjadi milik skuad The Red Warriors.

    Bertimbang Rasalah FAM


    Kelantan FA

    KOTA BHARU – Kelab Penyokong Rasmi Bola Sepak Kelantan (KPBSK) meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminda perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super, pertemuan Kelantan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 13 April ini ke satu tarikh lain.
    Semuanya gara-gara kepadatan jadual perlawanan dan penerbangan jauh pasukan yang terpaksa diharungi pasukan juara tiga piala musim lalu setelah terbabit dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan saingan Liga Malaysia musim ini.

    Pengerusinya, Yahya Jamada Ali berkata, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) FAM wajar mengambil kira kepentingan pasukan yang bertanding dalam saingan kempen Piala AFC tanpa mengorbankan penyertaan mereka dalam saingan Liga Super.

    “Alasan tidak ada tarikh sesuai untuk meminda perlawanan ini tidak boleh diterima langsung. FAM perlu melihat penyertaan Kelantan dan Selangor dalam kempen Piala AFC bukan sekadar suka-suka. Mereka menggalas tugas besar kerana membawa nama negara,” katanya kepada *Sinar Harian* semalam.
    “Macam mana kita hendak lihat saingan liga tempatan lebih kompetitif jika FAM sendiri tidak beri ruang kepada pasukan untuk berehat. Saya tidak kata benda ini berlaku kepada Kelantan sahaja, mungkin perkara seperti ini boleh terjadi ke atas pasukan lain pada masa akan datang.

    Yahya Jamada berharap Pengerusi JKPT FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang berpengalaman luas dalam mengendalikan pertandingan di peringkat domestik lebih bertimbang  rasa dan memberi kelonggaran terhadap mana-mana pasukan yang beraksi di kempen Piala AFC.

    The Red Warriors berdepan masalah besar bertemu ATM memandangkan hanya tiba di Kota Bharu, tengah malam Khamis ini. Skuad kendalian Bojan Hodak hanya mempunyai masa rehat sehari sebelum bertemu The Gladiators di tempat sendiri, pada Sabtu ini.

    Pendapat sama turut disuarakan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mohd Khairi Yazid yang menzahirkan rasa dukacita dengan keputusan badan induk bola sepak kebangsaan itu menolak permohonan Kelantan.

    “Tidak ada kelab bola sepak di dunia ini bermain lima perlawanan dalam tempoh 13 hari tetapi itulah yang terpaksa dihadapi oleh Kelantan. Bayangkan Kelantan bertemu Sarawak pada 6 April lalu, SHB Da Nang di Vietnam (10 April), jumpa ATM di Kota Bharu (13 April), lawan Sarawak di Kuching (16 April) dan PKNS FC di Kelana Jaya, tiga hari kemudian.

    “Semua ini melibatkan perjalanan jauh dan pemain jelas tidak cukup rehat. Saya difahamkan Kelantan telah pun bertindak tidak membawa tiga tonggak utama ke Da Nang bagi memberi rehat kepada mereka sebelum bertemu ATM,” katanya.

    Ahad, 7 April 2013

    Kemenangan Tipis Untuk Kelantan



    Khairul Izuan di asak pertahanan Sarawak pada pertemuan suku akhir pusingan pertama di Stadium Sultan Mohammad Ke IV.
    KEGAGALAN Kelantan mencatat kemenangan tanpa bolos ke atas Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini berkemungkinan mempengaruhi perjuangan Gergasi Pantai Timur itu mempertahankan kejuaraan Piala FA.
    The Red Warriors gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar menang tipis 2-1 ke atas pasukan kendalian Rober Alberts, yang ternyata tidak gerun berdepan lawan mereka yang lebih gah.
    Kelantan pada awalnya kelihatan seakan-akan mampu berpesta gol apabila berada dua gol di depan menerusi Mohd Faiz Subri pada minit keenam disusuli Khairul Izuan Rosli pada minit ke-20.
    Namun, Sarawak membuktikan mereka juga berniat meneruskan kemaraan dalam pertandingan ini dan usaha mereka berhasil apabila merapatkan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bersambung menerusi jaringan Joseph Kalang Tie.
    Gol tersebut sekaligus memastikan Sarawak terus bernyawa menjelang aksi timbal balik di Kuching pada 16 April ini.
    Seawal minit kedua, tuan rumah sudahpun mula mengancam kubu pelawat apabila kapten pasukan, Mohd Badri Mohd Radzi melakukan percubaan jarak jauh, namun cubaannya sedikit melepasi palang gol.
    Dua minit berselang, Kelantan dianugerahkan sepakan percuma selepas pemain sayap, Mohd Faiz dikasari pemain import Sarawak, Guy Bwele namun tendangan terus pemain veteran, Indra Putra Mahyuddin sedikit tersasar ke kiri gawang.
    Keadaan stadium yang dibanjiri kira-kira 10,000 penonton menjadi lebih gamat sebaik Mohd Faiz membuka tirai jaringan menerusi jaringan cantik pada minit keenam apabila cubaan dari tengah padang menewaskan penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani.
    Selepas jaringan pembukaan itu, rentak permainan kembali tenang menyaksikan kedua-dua pasukan tidak banyak melakukan gerakan namun Kelantan dilihat menguasai perlawanan.
    Memasuki minit ke-20 Khairul Izuan menggandakan kedudukan tuan rumah selepas kemas menyudahkan hantaran lambung dari Piya untuk sekali gus mencatat jaringan peribadi sulungnya bagi musim ini.
    Kelantan yang selesa mendahului dengan dua jaringan di depan terus melancarkan asakan bertubi-tubi ke atas benteng pertahanan lawan, dan nyaris menjadikan kedudukan 3-0.
    Malangnya, sepakan percuma yang diambil Indra Putra selepas Mohd Faiz dikasari berjaya ditumbuk keluar penjaga gol.
    Titik kebangkitan Sarawak bermula pada babak kedua apabila Joseph Kalang menghukum kealpaan pemain pertahanan Kelantan setelah gagal mengeluarkan bola ke kawasan selamat.
    Dia sempat mendada bola tersebut sebelum melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti lalu menerwaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
    Sarawak mendapat suntikan semangat selepas memperoleh jaringan pertama itu.
    Mereka berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-74 apabila pemain tengah Bobby Gonzales membuat lorongan cantik kepada Joseph Kalang, namun percubaan bekas pemain Terengganu itu tidak menepati sasaran.
    Kelantan mula menggandakan asakan selepas empat minit masa tambahan namun dikekang hebat pertahanan Sarawak sehingga tamat perlawanan.

    Sabtu, 6 April 2013

    Kelantan Waspada Ancaman Sarawak



    BADHRI (tengah) mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang mudah aksi menentang Sarawak di Kota Bharu malam esok.
    KELANTAN perlu mempamerkan corak permainan seperti ketika mereka membenam cabaran SHB Da Nang pada aksi Piala AFC, Selasa lalu apabila dijadualkan melayan kunjungan Sarawak pada saingan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam esok.
    Ketua pasukan, Badhri Radzi memberitahu, atas kertas, The Red Warriors selaku penyandang juara sudah pastinya menjadi pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan berkenaan namun beliau tidak mahu rakan-rakan lain terlalu dibuai dengan pencapaian musim lalu.
    Menurutnya, berada dalam kelompok dua pasukan teratas Liga Premier dan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini, membuktikan bahawa Sarawak merupakan sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang mudah terutama ketika saingan memasuki peringkat suku akhir.
    “Walaupun beraksi dalam Liga Premier, tahap permainan Sarawak setanding dengan pasukan Liga Super, tidak mudah untuk menundukkan mereka. Sebelum ini kita telah beberapa kali menentang mereka, dan setiap kali pertemuan, ia perlawanan yang sukar untuk kita.
    “Mengambil mudah cabaran Sarawak ketika aksi di tempat sendiri bermakna kita menempah laluan sukar kerana mereka cukup kebal apabila bermain di gelanggang sendiri untuk aksi timbal balas. Saya fikir semua pemain perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan itu,” katanya ketika ditemui semalam.
    Tambahnya, gol awal mungkin akan memberikan kelebihan kepada pasukannya untuk memberikan tekanan kepada pasukan Sarawak selain perlu menjaringkan lebih daripada dua gol serta mempertahankan gawang daripada dibolosi untuk menjamin bekalan selesa ketika bertandang ke Kuching nanti.
    Katanya, beliau dan rakan sepasukan kini sedang fokus untuk menyingkirkan Sarawak terlebih dahulu sebelum memikirkan lawan yang akan ditentang pada saingan separuh akhir nanti.
    “Sama ada Negeri Sembilan atau Terengganu yang akan kita jumpa di separuh akhir itu tak penting. Ini bukan masa yang sesuai untuk kita fikirkan perkara itu, apa yang penting kita perlu selesaikan perlawanan satu persatu.
    “Saya fikir Sarawak akan turun dengan aksi terbaik mereka. Mereka adalah sebuah pasukan yang kuat musim ini terutama dengan kombinasi pemain yang ada seperti Joseph Kalang Tie, Mafri Balang, dan ketua pasukan mereka, Guy Bwele,” ujarnya.
    Jelasnya, Joseph Kalang mempunyai kekuatan yang tersendiri terutama menghidupkan jentera tengah selain mampu melakukan percubaan yang berbahaya selain penyerang import Sarawak, Ivan Babic yang belum diketahui sejauh mana keupayaan yang mampu memusnahkan impian Kelantan.

    Khamis, 4 April 2013

    Aksi Import Buat Hodak ‘Pening Kepala’



    Dickson Nwakaeme diasak oleh pertahanan Shb Da Nang pada pertemuan Piala AFC di Stadium Sultan Mohd Ke IV.
    KECEMERLANGAN bintang-bintang import Kelantan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini telah membuatkan pengendalinya, Bojan Hodak ‘pening kepala’.
    Hodak mengakui dia kini menghadapi kesukaran untuk memilih dua daripada lima pemain asing The Red Warriors untuk disenaraikan dalam skuad Liga Super.
    Menurutnya, kesemua lima pemain import – Keita Mandjou dari Guinea, Dimitri Petratos (Australia), Lek Kcira (Crotia), Obinna Nwaneri dan Dickson Nwakaeme (masing-masing Nigeria) – kesemuanya menyerlah serentak baru-baru ini.
    “Masing-masing telah membuktikan diri mereka berkebolehan. Mandjou misalnya, sudah mengumpul lima jaringan peribadi dalam Liga Super,” kata Hodak.
    “Petratos dan Nwakaeme pula cemerlang sepanjang kempen Piala AFC setakat ini, sementara gandingan Nwaneri dan Kcira pun tidak kurang hebatnya di benteng pertahanan dengan kekentalan mereka berdua memberi jaminan buat gawang kami.
    “Masalahnya, saya hanya boleh memilih dua daripada mereka untuk separuh musim kedua Liga Super apabila pendaftaran dibuka semula nanti.
    “Saya masih belum putuskan untuk pilih siapa, saya akan nilai opsyen yang saya ada,” katanya selepas menyaksikan aksi menyakinkan daripada anak-anak buahnya apabila membelasah juara Vietnam,SHB Da Nang dari Vietnam 5-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru semalam.
    Keputusan itu sekaligus membolehkan TRW merampas tangga teratas Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan semakin hampir melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

    Catatan Popular