Piya
Piya
KETUA Pasukan The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi (Piya) mahu rakan sepasukannya lebih berwaspada bertemu pendahulu liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Piya berkata, pengendali ATM, B Sathianathan merupakan pakar taktikal dan mengenali corak permainan pemain TRW ketika mengemudi pasukan itu tiga tahun lalu, sekali gus memberi kelebihan kepada beliau menyusun strategi menghadapi Kelantan.

“Kami tak mahu terperangkap tipu helah mereka. Memang ATM turun tanpa beberapa pemain utama tetapi itu tak bermaksud mereka mudah ditewaskan.

“Bagi kami mereka tetap berada di kemuncak prestasi apatah lagi sedang menerajui takhta liga ketika ini. Lebih penting bagi Kelantan, kekal bermain seperti biasa sebagaimana menewaskan PKNS FC tempoh hari, pada pertemuan malam esok," katanya.

Naib juara Piala Malaysia musim lalu itu berdepan situasi buruk bertemu Kelantan kerana kehilangan Mohd Fitrie Omar, R Surendren, G Jeevanathan dan Mohd Shukor Adan yang digantung perlawanan kerana terlibat insiden pergaduhan dengan pemain Selangor, 25 Januari lalu, sementara Rezal Zambery Yahaya dan K Reuben Thanaraj juga disisihkan akibat mengutip tiga kad kuning dan masalah kecederaan.

Mohd Badhri berkata, meski pun turun tanpa tonggak utama, ancaman berbahaya pasukan The Gladiators itu tetap hadir menerusi rangkaian tiga pemain veteran iaitu Ketua Pasukan, Hairuddin Omar, Bruno Martelotto dan Marlon Alex James.

Dalam perkembangan sama, jeneral padang berusia 31 tahun itu mengakui semangat juang rakan sepasukannya kian memuncak untuk menutup aksi perlawanan pusingan pertama meraih tiga mata ke atas ATM setelah Kelantan mula mempamerkan kebangkitan sejak
akhir-akhir ini.

“Mengalahkan PKNS FC 4-2 menjadi suntikan moral kepada pemain kerana kita begitu lama gagal mencatat kemenangan dalam saingan liga domestik. Saya harap kita boleh menggempur ATM pula di kubu mereka malam esok,” katanya.