SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membangkitkan isu berhubung persoalan undang-undang dalam kes saman pemula yang difailkan oleh Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa.
Hakim Hadhariah Syed Ismail menetapkan demikian dengan kos RM2,000 selain mengekalkan tarikh 5 April ini bagi keputusan saman pemula Annuar berhubung penggantungannya.
Keputusan itu dibuat selepas hakim tersebut mendengar hujah peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Annuar dan Richard Bong Chong Fook yang mewakili FAM di kamar beliau. Pada 25 Februari lalu, FAM mengemukakan permohonan di bawah Aturan 33 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 agar mahkamah memutuskan persoalan undang-undang sama ada Annuar boleh memfailkan saman terhadap persatuan itu di Mahkamah Tinggi.
Annuar selaku plaintif memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini pada 5 Jun tahun lalu dengan menamakan FAM dan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad sebagai defendan pertama dan kedua.
Plaintif menuntut 10 perisytiharan berhubung pengantungan beliau sebagai Timbalan Presiden FAM termasuk pertuduhan persatuan itu terhadapnya dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mac 2012 adalah cacat, tidak sah dan terbatal.
Begitu juga perbicaraan tatatertib pada 4 April tahun lalu dan hukuman terhadap beliau pada keesokan harinya yang didakwa tidak mematuhi prinsip keadilan asasi.
Mengikut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa hukuman yang dijatuhkan ke atasnya tidak sejajar dengan pertuduhan asal dan draf pertuduhan terhadapnya adalah cacat serta FAM telah bertindak secara mala fide (berniat jahat).
Katanya, Azzuddin dalam surat bertarikh 2 April 2012 juga melarang beliau daripada menghantar wakil ke Mesyuarat Khas Ke-21 Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Ini dilakukan dengan alasan defendan itu sendiri yang akan mewakili plaintif, sedangkan defendan kedua tidak sepatutnya menjadi wakil plaintif kerana Azzuddin adalah pihak yang membuat tuduhan.
Annuar memohon mahkamah mengisytiharkan kesemua tindakan yang membawa kepada pengantungan beliau itu tidak mematuhi statut dan kod tatatertib FAM yang sekali gus menjadikan ia terbatal dan tidak sah.
Yang turut dimohon adalah perintah injunksi menghalang pihak defendan daripada melarang beliau untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM dan lain-lain jawatan serta melibatkan diri dalam sebarang acara bola sepak.
Annuar digantung dua tahun setengah daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM sejak 4 April 2012 oleh Jawatankuasa Tatatertib persatuan itu setelah didapati bersalah membuat kenyataan media tanpa izin dan melanggar arahan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan