KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 24 Mac 2013

Fakri Galas Harapan



Ahmad Fakri Saarani
TUMPUAN terarah kepada pemain kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani sebaik sahaja beliau tiba di Kota Bharu untuk melaporkan diri untuk menyarung jersi The Red Warriors (TRW) mengharungi baki saingan Liga Malaysia pada Isnin lalu.
Kehebatan penyerang 24 tahun ini amat ditagih oleh penyokong setia sekali gus mereka beranggapan Ahmad Fakri merupakan individu yang mampu menamatkan krisis ketumpulan jentera serangan TRW dalam saingan liga domestik musim ini.
Persoalannya, mampukah pemain kelahiran Kota Baharu yang pernah beraksi selama tiga bulan bersama Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC) dalam Divisyen Tiga Portugal itu memenuhi aspirasi penyokong Kelantan setelah barisan penyerang tempatan lain sendiri gagal berbuat demikian sebelum ini.
TEKANAN
Usaha Kafa mengikat kontrak pemain yang mencipta nama bersama Harimau Muda A ini perlu dipandang positif bertujuan memperkasakan pasukan juara tiga piala itu.
Namun, penyokong setia jangan meletakkan harapan tinggi atau memberi tekanan kepada Ahmad Fakri untuk beliau mengubah sesuatu keputusan positif buat Kelantan apabila saingan Liga Super bermula tidak lama lagi.
Bekas penyerang Felda United FC musim lalu itu perlu diberi ruang dan peluang untuk membuktikan keupayaan sebenarnya dan kesabaran cukup penting bagi penyokong Kelantan sebelum menilai prestasi pemain muda itu.
HARAP  
Masih ingat perlawanan suku akhir kedua kempen Piala Malaysia musim lalu, pertemuan Kelantan menentang Felda United FC yang berlangsung di Kota Bharu? Ketika itu Kelantan diambang penyingkiran sebelum jaringan Mohamad Ghaddar pada masa kecederaan membawa bekas pasukannya mara ke separuh akhir.
Yang menjadi tumpuan dalam perlawanan tersebut ialah kelibat Ahmad Fakri yang beraksi di bahagian tengah Felda United FC di bawah bimbingan E Elavarasan ketika itu. Beliau sering mengucar-kacirkan jentera tengah Kelantan sekali gus menyekat usaha anak buah Hodak menjaringkan gol.
Ahmad Fakri jelas mempunyai larian yang pantas, mampu menguasai segenap penjuru padang selain mencipta peluang kepada rakan sepasukannya untuk menghasilkan jaringan. Itulah kelebihan beliau dan sentuhan berbisanya diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya Kelantan dalam mempertahankan kejuaraan Liga Super pada musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular