Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Amatur Kelantan (KAFA) bersedia meminjamkan pemainnya, malah menyambut baik keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memberi ruang kepada setiap pasukan mendapatkan tiga pemain tempatan dan dua pemain import menjelang sesi pendaftaran semula bermula 8 April ini.
Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka tidak mahu ketinggalan dan akan mengambil kesempatan menerusi peraturan baru yang dibuat FAM itu dan bersedia meminjamkan lebihan pemainnya kepada pasukan berminat.
Katanya, peraturan baru itu membuka peluang kepada semua pasukan termasuk Kelantan menukar pemain untuk memperkuatkan lagi pasukan masing-masing.
“Kami menyambut baik peraturan baru ini dan akan menggunakan peluang sebaik mungkin dalam usaha memperbaiki segala kelemahan yang ada.
“Kita bersedia meminjamkan pemain kepada pasukan lain termasuk pemain import. Kelantan kini mempunyai lebihan pemain import dan jika ada pasukan lain yang berminat, ia boleh dipertimbangkan,” katanya pada sidang media memperkenalkan penyerang baru, Ahmad Fakri Saarani, semalam.
Sebelum ini FAM mengumumkan peraturan baru untuk pendaftaran semula pemain bulan depan, iaitu mengehadkan hanya dua pemain import dan tiga pemain tempatan boleh didaftarkan dalam saingan Liga Super sama ada secara pinjaman atau secara perpindahan.
Selain itu, Annuar berkata, Kelantan kemungkinan besar akan mengambil satu atau dua pemain lagi.
“Kita masih dalam proses mengambil pemain lain selain Ahmad Fakri dan mungkin satu atau dua lagi pemain akan kita bawa masuk.
“Kita perlu kekal 25 pemain dalam saingan liga dan dengan kehadiran pemain baru, kita perlu meminjamkan beberapa pemain kepada pasukan lain. Bagaimanapun, ia masih dalam proses penilaian dan terlalu awal untuk kita umumkan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan