KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 30 Mac 2013

Kelantan Calar Ego ATM



PENYERANG ATM, Marlon Alex James diasak pemain Kelantan pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
SEREMBAN – Kelantan bukan sahaja menafikan hajat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengukuhkan cengkaman pendahulu, malah kejayaan membenam naib juara Piala Malaysia itu 3-2 di di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi semalam membuka laluan kepada Selangor untuk merampas teraju Liga Super.
Walaupun berjaya menunjukkan kebangkitan hebat selepas ketinggalan 0-2 di babak pertama, namun ATM akhirnya terpaksa akur dengan jaringan lewat minit Mohd. Nor Farhan Muhammad untuk terlepas sekurang-kurangnya meraih satu mata berharga.
Malah, tuan rumah harus menyalahkan diri sendiri selepas Marlon Alex James gagal menyempurnakan sepakan penalti seawal minit pertama, apabila dijatuhkan oleh penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.
Kelantan bermula garang apabila membuka jaringan menerusi Indera Putra Mahiyuddin, yang mudah menyepak bola ke gawang yang kosong pada jarak 30 meter pada minit ke-27, berpunca daripada kesilapan antara Md Safwan Hashim dan penjaga gol tuan rumah, Farizal Harun.
Penyerang import Red Warriors, Keita Mannjou menambah perit ATM apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-33.
ATM yang cuba bangkit turut mendapat peluang keemasan melalui pemain sayap, Venice Elphi yang melepaskan rembatan kencang, namun cubaannya diselamatkan Khairul Fahmi pada minit ke-40.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Hairuddin Omar hampir menjaringkan gol pertama melalui hantaran Bruno Marteloto, bagaimanapun sepakannya terus ke arah dakapan Khairul Fahmi.
Pada babak kedua perlawanan, Kelantan hampir menambah derita tuan rumah melalui rembatan kencang Keita Manjou pada minit ke-49, tetapi diselamatkan Farizal.
ATM kemudian berjaya merapatkan jurang gol pertama melalui jaringan Alex James yang merembat kencang selepas menerima sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-54.
Seminit selepas itu, ATM hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Christeejayaseelan, namun terkena tiang pasukan pelawat.
Pada minit ke-67, Alex James berjaya menyelamatkan maruah ATM selepas menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti.
Farizal yang beraksi tangkas seharusnya diberi pujian apabila menyelamatkan banyak percubaan dan asakan Kelantan.
Pada minit ke-90, Mohd Norfarhan muncul wira apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum menjaringkan gol kemenangan Kelantan.
Keputusan kekal 2-3 jaringan sehingga wisel penamat ditiup pengadil Mohd Zamzaidi Katimin pada minit ke-94.

Khamis, 28 Mac 2013

Piya mahu rakan pasukan waspada helah ATM



Piya
Piya
KETUA Pasukan The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi (Piya) mahu rakan sepasukannya lebih berwaspada bertemu pendahulu liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Piya berkata, pengendali ATM, B Sathianathan merupakan pakar taktikal dan mengenali corak permainan pemain TRW ketika mengemudi pasukan itu tiga tahun lalu, sekali gus memberi kelebihan kepada beliau menyusun strategi menghadapi Kelantan.

“Kami tak mahu terperangkap tipu helah mereka. Memang ATM turun tanpa beberapa pemain utama tetapi itu tak bermaksud mereka mudah ditewaskan.

“Bagi kami mereka tetap berada di kemuncak prestasi apatah lagi sedang menerajui takhta liga ketika ini. Lebih penting bagi Kelantan, kekal bermain seperti biasa sebagaimana menewaskan PKNS FC tempoh hari, pada pertemuan malam esok," katanya.

Naib juara Piala Malaysia musim lalu itu berdepan situasi buruk bertemu Kelantan kerana kehilangan Mohd Fitrie Omar, R Surendren, G Jeevanathan dan Mohd Shukor Adan yang digantung perlawanan kerana terlibat insiden pergaduhan dengan pemain Selangor, 25 Januari lalu, sementara Rezal Zambery Yahaya dan K Reuben Thanaraj juga disisihkan akibat mengutip tiga kad kuning dan masalah kecederaan.

Mohd Badhri berkata, meski pun turun tanpa tonggak utama, ancaman berbahaya pasukan The Gladiators itu tetap hadir menerusi rangkaian tiga pemain veteran iaitu Ketua Pasukan, Hairuddin Omar, Bruno Martelotto dan Marlon Alex James.

Dalam perkembangan sama, jeneral padang berusia 31 tahun itu mengakui semangat juang rakan sepasukannya kian memuncak untuk menutup aksi perlawanan pusingan pertama meraih tiga mata ke atas ATM setelah Kelantan mula mempamerkan kebangkitan sejak
akhir-akhir ini.

“Mengalahkan PKNS FC 4-2 menjadi suntikan moral kepada pemain kerana kita begitu lama gagal mencatat kemenangan dalam saingan liga domestik. Saya harap kita boleh menggempur ATM pula di kubu mereka malam esok,” katanya.

Faiz Subri Dapat Suntikan Semangat



PENYERANG Kelantan, Mohd. Faiz Subri bertekad untuk mempamerkan persembahan cemerlang pada perlawanan selepas ini.

Mohd. Faiz mula mencuri tumpuan selepas dia meledakkan gol pertama Kelantan ketika menewaskan PKNS 4-2 pada aksi pusingan kedua Piala FA Isnin lalu.
Pada perlawanan tersebut, Faiz Subri yang tidak dikawal berjaya melepaskan rembatan kencang dari jarak 25 meter, sekali gus gagal diselamatkan oleh penjaga gol PKNS, Mohd. Ramezy Che Ros.

Ia adalah jaringan sulung pemain yang mewakili Kelantan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Faiz Subri mengakui jaringan itu menyuntik semangatnya untuk terus meledakkan lebih banyak jaringan, sekali gus membantu Kelantan meraih kejuaraan musim ini.
“Ini merupakan gol pertama saya pada kempen Piala FA. Pada saingan Liga Super, saya masih belum berpeluang untuk menghasilkan jaringan.

“Saya berikrar untuk menjaringkan lebih banyak gol pada aksi liga selepas ini.
“Selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan melonjakkan lagi semangat saya untuk memberikan aksi terbaik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd. Faiz berkata, dia terus bertekad untuk meraih kepercayaan ketua jurulatih, Bojan Hodak bagi disenaraikan dalam kesebelasan pasukan itu.
Anak kelahiran Air Hitam, Kedah itu antara penjaring terbanyak T-Team musim lalu dengan meledakkan sebelas gol sepanjang 36 penampilan bersama pasukan tersebut.

Mengulas mengenai pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super, Jumaat ini, Mohd. Faiz berkata, dia yakin Kelantan mampu meraih kemenangan pada perlawanan tersebut.

Rabu, 27 Mac 2013

Mahkamah Tolak Permohonan FAM


FAM
SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membangkitkan isu berhubung persoalan undang-undang dalam kes saman pemula yang difailkan oleh Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa.
Hakim Hadhariah Syed Ismail menetapkan demikian dengan kos RM2,000 selain mengekalkan tarikh 5 April ini bagi keputusan saman pemula Annuar berhubung penggantungannya.
Keputusan itu dibuat selepas hakim tersebut mendengar hujah peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Annuar dan Richard Bong Chong Fook yang mewakili FAM di kamar beliau. Pada 25 Februari lalu, FAM mengemukakan permohonan di bawah Aturan 33 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 agar mahkamah memutuskan persoalan undang-undang sama ada Annuar boleh memfailkan saman terhadap persatuan itu di Mahkamah Tinggi.
Annuar selaku plaintif memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini pada 5 Jun tahun lalu dengan menamakan FAM dan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad sebagai defendan pertama dan kedua.
Plaintif menuntut 10 perisytiharan berhubung pengantungan beliau sebagai Timbalan Presiden FAM termasuk pertuduhan persatuan itu terhadapnya dalam sepucuk surat bertarikh 16 Mac 2012 adalah cacat, tidak sah dan terbatal.
Begitu juga perbicaraan tatatertib pada 4 April tahun lalu dan hukuman terhadap beliau pada keesokan harinya yang didakwa tidak mematuhi prinsip keadilan asasi.
Mengikut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa hukuman yang dijatuhkan ke atasnya tidak sejajar dengan pertuduhan asal dan draf pertuduhan terhadapnya adalah cacat serta FAM telah bertindak secara mala fide (berniat jahat).
Katanya, Azzuddin dalam surat bertarikh 2 April 2012 juga melarang beliau daripada menghantar wakil ke Mesyuarat Khas Ke-21 Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Ini dilakukan dengan alasan defendan itu sendiri yang akan mewakili plaintif, sedangkan defendan kedua tidak sepatutnya menjadi wakil plaintif kerana Azzuddin adalah pihak yang membuat tuduhan.
Annuar memohon mahkamah mengisytiharkan kesemua tindakan yang membawa kepada pengantungan beliau itu tidak mematuhi statut dan kod tatatertib FAM yang sekali gus menjadikan ia terbatal dan tidak sah.
Yang turut dimohon adalah perintah injunksi menghalang pihak defendan daripada melarang beliau untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM dan lain-lain jawatan serta melibatkan diri dalam sebarang acara bola sepak.
Annuar digantung dua tahun setengah daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM sejak 4 April 2012 oleh Jawatankuasa Tatatertib persatuan itu setelah didapati bersalah membuat kenyataan media tanpa izin dan melanggar arahan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco).

Selasa, 26 Mac 2013

Kelantan pamer momentum luar biasa -Pengulas


faizsubri1
Kemenangan besar Kelantan 4-2 ke atas PKNS pada malam tadi bagai memberi petanda baru kebangkitan pemain-pemain yang mula terdesak mempamerkan aksi cemerlang masing-masing setelah jendela perpindahan dan pertukaran pemain makin hampir.
Aksi cemerlang Kelantan pada separuh masa pertama berjaya menghukum kealpaan pemain PKNS dengan jaringan besar 3 gol (Faiz Subri, Piya dan Obinna-penalti) sebelum Nizab Ayub merapatkan jurang PKNS 3-1. Rembatan Indra Putra yang tertampan pemain PKNS berjaya menghasilkan gol keempat Kelantan.
Pada separuh masa kedua Kelantan gagal menambah jaringan gol. PKNS memperoleh gol saguhati untuk menamatkan perlawanan Kelantan 4-2 PKNS.
Kelantan dijangka akan bertemu Sarawak pada suku akhir pertama nanti pada 6 april di Kota Bharu dan perlawanan timbal balik akan berlangsung pada 16 april di Kuching. Jika pretasi semalam dijadikan ukuran, tidak mustahil Kelantan akan melepasi peringkat suku akhir dengan mudah dan peringkat separuh akhir akan menyaksikan cabaran sengit pasukan bekas juara Piala FA Negeri Sembilan atau Terengganu.
Mungkin masih terlalu awal untuk Kelantan membayangkan langkah ke separuh akhir dan akhir, namun jika dengan semangat dan iltizam yang tinggi di kalangan pemain serta seluruh penyokong Kelantan, tiada yang mustahil dalam era juara bolasepak Kelantan. Kebangkitan Kelantan boleh berlaku bila diperlukan dan sifat memandang rendah lawan harus dilenyapkan dalam jiwa pemain-pemain Kelantan. Lawan tetap lawan sehingga wisel penamat terakhir.

Sokong bia bijok , napok bijok , betindok bijok , main bijok , bijok sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Goal





Isnin, 25 Mac 2013

Beres Misi Dalam 90 Minit: Hodak



Mandjou (jersi no 20) ‘menjadi sandaran Kelantan bertemu PKNS pada pertemuan Piala FA, malam ini.
Kota Bharu: “Kelantan harus elak perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti. Mesti menang dalam tempoh 90 minit,” tegas ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menjelang perlawanan kalah mati saingan Piala FA antara Kelantan dengan Selangor PKNS di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Pengendali berasal dari Croatia itu akur barisan bergelar The Red Warriors (TRW) itu bakal mendapat saingan sengit daripada lawan melihat skuadnya sedikit tempang di barisan depan tanpa penyerang berbisa, Muhammad Norfarhan Mohamad yang masih dibelenggu kecederaan.
Keadaan itu memaksa Bojan menagih khidmat tiga tonggak yang baru pulang dari bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia menentang Yaman Jumaat lalu, iaitu kapten, Mohd Badhri Radzi, pemain tengah, Shakir Shaari dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Harap Mandjou Menyinar
“Saya rasa lebih selamat kami menang dalam tempoh 90 minit kerana masa tambahan hanya mengundang risiko.
“Saya juga harap Keita Mandjou dapat mempamerkan aksi terbaik esok (malam ini) selain khidmat Piya (Mohd Badhri), Shakir dan Apek (Khairul Fahmi) sangat diperlukan dalam perlawanan penting itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Piya yang tidak menafikan terada keletihan selepas tugasan bersama skuad Harimau Malaya, baru-baru ini turut memberi pendapat sama seperti Bojan yang mahu TRW menang dalam tempoh 90 minit.
“Segala pengalaman yang saya dapat sepanjang bersama skuad kebangsaan akan saya guna untuk perlawanan malam ini.
“Kami sudah banyak kali kecewa dalam penentuan sepakan penalti termasuk ketika tewas kepada Tentera dalam perlawanan merebut Piala Sumbangsih awal musim ini. Saya tidak mahu perkara sama berulang dan mahu fokus bantu pasukan dalam tempoh 90 minit,” katanya.

Ahad, 24 Mac 2013

Fakri Galas Harapan



Ahmad Fakri Saarani
TUMPUAN terarah kepada pemain kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani sebaik sahaja beliau tiba di Kota Bharu untuk melaporkan diri untuk menyarung jersi The Red Warriors (TRW) mengharungi baki saingan Liga Malaysia pada Isnin lalu.
Kehebatan penyerang 24 tahun ini amat ditagih oleh penyokong setia sekali gus mereka beranggapan Ahmad Fakri merupakan individu yang mampu menamatkan krisis ketumpulan jentera serangan TRW dalam saingan liga domestik musim ini.
Persoalannya, mampukah pemain kelahiran Kota Baharu yang pernah beraksi selama tiga bulan bersama Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC) dalam Divisyen Tiga Portugal itu memenuhi aspirasi penyokong Kelantan setelah barisan penyerang tempatan lain sendiri gagal berbuat demikian sebelum ini.
TEKANAN
Usaha Kafa mengikat kontrak pemain yang mencipta nama bersama Harimau Muda A ini perlu dipandang positif bertujuan memperkasakan pasukan juara tiga piala itu.
Namun, penyokong setia jangan meletakkan harapan tinggi atau memberi tekanan kepada Ahmad Fakri untuk beliau mengubah sesuatu keputusan positif buat Kelantan apabila saingan Liga Super bermula tidak lama lagi.
Bekas penyerang Felda United FC musim lalu itu perlu diberi ruang dan peluang untuk membuktikan keupayaan sebenarnya dan kesabaran cukup penting bagi penyokong Kelantan sebelum menilai prestasi pemain muda itu.
HARAP  
Masih ingat perlawanan suku akhir kedua kempen Piala Malaysia musim lalu, pertemuan Kelantan menentang Felda United FC yang berlangsung di Kota Bharu? Ketika itu Kelantan diambang penyingkiran sebelum jaringan Mohamad Ghaddar pada masa kecederaan membawa bekas pasukannya mara ke separuh akhir.
Yang menjadi tumpuan dalam perlawanan tersebut ialah kelibat Ahmad Fakri yang beraksi di bahagian tengah Felda United FC di bawah bimbingan E Elavarasan ketika itu. Beliau sering mengucar-kacirkan jentera tengah Kelantan sekali gus menyekat usaha anak buah Hodak menjaringkan gol.
Ahmad Fakri jelas mempunyai larian yang pantas, mampu menguasai segenap penjuru padang selain mencipta peluang kepada rakan sepasukannya untuk menghasilkan jaringan. Itulah kelebihan beliau dan sentuhan berbisanya diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya Kelantan dalam mempertahankan kejuaraan Liga Super pada musim ini.

Sabtu, 23 Mac 2013

Piya - Jeneral terhormat yg tidak didendang

piyaafc13
Biarlah penyokong anti kelantanes nak kata puak kita terlalu fanatik dan kenegerian pon dalam memperkatakan AURA PIYA-

-Apa yg pasti malam tadi,percaturan Ilahi telah membuktikan sebaik PIYA dimasukan,,,SEANTERO penyokong berbeda negeri tetapi bersatu jiwa malaysia yang hadir ke stadium telah memberi tepukan keramat buat JENERAL TERHORMAT yg tidak didendang selama ini oleh Sang GOPAL-nama yg tiada nilai bagi beliau tetapi satu nama teramat bernilai lagenda seorang wira bagi jutaan rakyat kelantan.

-Harus difahami tepukan gemuruh dari pendukung malam tadi merupakan satu petanda jelas kemahuan penyokong harimau malaya selama ini untuk melihat PIYA menyumbang Sisa2 keringat yang ada untuk melihat kemajuan bola sepak Negara tanah tumpah darahnya.walau dipandang sebelah mata.

-Perlawanan antarabangsa pertama piya cukup simbolik,saat kemasukannya..pelukan erat dari syafik rahim dengan piya membuktikan penghormatan yg kudus anatara dua legasi ini

-Aura Piya mengkagumkan para pemerhati bolasepak-memukau dan menaikan semangat dan iktizam rakan2 sepasukan kebangsaan yang selama ini memedam rasa hormat dalam diam-arkitek penjana kejayaan kelantan yg dipinggir kesekian lama

-kemasukan beliau menyentuh kalbu kesungguhan para pemain lain-mengempur motivator kepada rakan pasukan melalui riak ketenangan yg cukup luar biasa,umpama hilang bebanan para pemain negara yg terlalu cukup lama menanti PENYATUAN. Jeneral Sebenar mereka

PIYA veteran yang kian dimamah usia tetapi hidup diabadi dalam pertempuran bola sepak yg ingin melihat kebangkitan maruah bola negara.Di sepanyol rakyatnya mengkagumi inesta tetapi di jiwa kami warga pendokong kelantan Anda lah kebanggaan para penyokong cilik dan dewasa negeri kami.

Rabu, 20 Mac 2013

Fakri Tambah Sengat Kelantan


Ahmad Fakri Saarani pada sidang akhbar bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di Kota Bharu, kelmarin.
KOTA BHARU – Kehadiran bekas penyerang Atletico SC, Ahmad Fakri Saarani membawa harapan baru kepada pasukan The Red Warriors untuk mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan mereka musim ini.
Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, kehadiran Ahmad Fakri memberikan lebih banyak pilihan kepadanya serta menambahkan lagi saingan di antara pemain-pemain serangannya untuk beraksi lebih baik jika mahu menjadi kesebelasan utama.
“Jika sebelum ini kita hanya ada beberapa pemain sahaja, kehadiran Ahmad Fakri memberikan kelebihan kepada saya untuk merencanakan ramuan terbaik pada posisi serangan pasukan.
“Pengalaman yang diperolehinya semasa beraksi di Portugal sememangnya ditagih untuk membantu mempertajamkan lagi jentera serangan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Penyerang kebangsaan itu akan beraksi bersama Kelantan sebaik sahaja sesi pendaftaran pemain baharu di buka pada 8 April ini.
Ahmad Fakri dijangka diturunkan pada aksi pusingan kedua Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Kehadiran pemain tersebut menyaksikan Kelantan mempunyai banyak pilihan di barisan serangan selain Keita Mandjou, Mohd. Faiz Subri, Norfarhan Mohammad, Muhammad Aris Zaidi serta Mohd. Harris Safwan Kamal.
Difahamkan Ahmad Fakri sudahpun menjalani latihan bersama pasukan selepas melaporkan diri kelmarin. Dalam perkembangan lain, Hodak mengakui jentera serangannya semakin mantap selepas beraksi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Saya gembira jentera serangan semakin menunjukkan peningkatan dan diharapkan kita dapat mengekalkan momentum ini dalam perlawanan akan datang,” ujarnya.

Selasa, 19 Mac 2013

Bukan Faktor Kewangan Saya Pulang – Fakri



Annuar Musa bersalam dengan Ahmad Fakri pada majlis memperkenalkan pemain itu kepada media di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU – Penggempur baharu The Red Warriors, Ahmad Fakri Saarani menyifatkan kepulangannya untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bukan disebabkan faktor kewangan sebagaimana yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Ahmad Fakri berkata, keputusan untuk kembali beraksi dalam saingan Liga M dibuat selepas saingan liga di Portugal tamat.
“Saya balik sebab saingan liga di sana telah habis. Ketika saya beraksi dengan pasukan Atletico SC saingan liga berkenaan sudah memasuki peringkat pertengahan.
“Sementara duduk di sana tanpa berbuat apa, saya mendapat tawaran dari beberapa pasukan untuk beraksi dalam saingan Liga M. Saya ada menunggu maklum balas pasukan berkenaan berhubung penyambungan kontrak, namun difahamkan ada masalah.
“Ejen saya telah ke sana dan berbincang mengenai masalah ini. Keputusan yang terbaik diambil ialah pulang ke tanah air dan akhirnya memilih untuk menyarung jersi The Red Warrriors,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini, semalam.
Yang turut hadir, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan krisis kewangan mungkin menyebabkan kelab divisyen tiga Portugal, Atletico SC memberi pilihan buat Ahmad Fakri Saarani memilih untuk meninggalkan kelab yang disertainya itu sejak Januari lalu.
Mengulas mengenai kenapa beliau memilih untuk menyarung jersi Kelantan, Ahmad Fakri memberitahu keputusan itu dibuat selepas melihat prestasi yang dipamerkan oleh The Red Warriors dalam saingan musim ini.
“Saya bertekad untuk menggunakan segala pengalaman yang ditimba sepanjang berada di Portugal untuk membantu pasukan Kelantan musim ini.
“Impian saya untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dan memberikan aksi terbaik buat penyokong setia Kelantan,” ujarnya.
Ahmad Fakri yang merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan memulakan kerjaya selaku pemain bola sepak skuad Piala Presiden Perak pada tahun 2006 sebelum menyertai pasukan senior selama dua musim (2007 hingga 2008).
Bintang Ahmad Fakri terus bersinar apabila beliau kemudiannya dipanggil menyertai skuad Harimau Muda A pada musim 2008 hingga 2009.
Selain itu, dia juga pernah beraksi dengan beberapa pasukan seperti Perlis, Negeri Sembilan dan penampilan terakhirnya dalam Liga M musim lalu bersama Felda United

Kelantan Sedia Pinjamkan Pemain Kepada Pasukan Lain



Kelantan FA
Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Amatur Kelantan (KAFA) bersedia meminjamkan pemainnya, malah menyambut baik keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memberi ruang kepada setiap pasukan mendapatkan tiga pemain tempatan dan dua pemain import menjelang sesi pendaftaran semula bermula 8 April ini.
Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka tidak mahu ketinggalan dan akan mengambil kesempatan menerusi peraturan baru yang dibuat FAM itu dan bersedia meminjamkan lebihan pemainnya kepada pasukan berminat.
Katanya, peraturan baru itu membuka peluang kepada semua pasukan termasuk Kelantan menukar pemain untuk memperkuatkan lagi pasukan masing-masing.
“Kami menyambut baik peraturan baru ini dan akan menggunakan peluang sebaik mungkin dalam usaha memperbaiki segala kelemahan yang ada.
“Kita bersedia meminjamkan pemain kepada pasukan lain termasuk pemain import. Kelantan kini mempunyai lebihan pemain import dan jika ada pasukan lain yang berminat, ia boleh dipertimbangkan,” katanya pada sidang media memperkenalkan penyerang baru, Ahmad Fakri Saarani, semalam.
Sebelum ini FAM mengumumkan peraturan baru untuk pendaftaran semula pemain bulan depan, iaitu mengehadkan hanya dua pemain import dan tiga pemain tempatan boleh didaftarkan dalam saingan Liga Super sama ada secara pinjaman atau secara perpindahan.
Selain itu, Annuar berkata, Kelantan kemungkinan besar akan mengambil satu atau dua pemain lagi.
“Kita masih dalam proses mengambil pemain lain selain Ahmad Fakri dan mungkin satu atau dua lagi pemain akan kita bawa masuk.
“Kita perlu kekal 25 pemain dalam saingan liga dan dengan kehadiran pemain baru, kita perlu meminjamkan beberapa pemain kepada pasukan lain. Bagaimanapun, ia masih dalam proses penilaian dan terlalu awal untuk kita umumkan.”

Khamis, 14 Mac 2013


‘Jangan Hanya Salahkan Jurulatih’

Datuk M Karathu
Kota Bharu: “Kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya terletak pada jurulatih kerana pemain juga perlu memainkan peranan bagi membentuk pasukan yang kuat,” kata bekas pengendali Kelantan Datuk M Karathu ketika diminta mengulas mengenai pasukan Kelantan yang kini bergelut dengan masalah prestasi dalam saingan Liga Super.
Beliau yang membimbing Kelantan pada 2011 turut berpendapat ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak perlu mempelbagaikan taktik dalam usaha menemui kekuatan terbaik pasukan itu.
Katanya, kehilangan tiga tonggak utama barisan depan, Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya dan Mohamed Ghaddar tidak boleh dijadikan punca utama kemerosotan prestasi The Red Warriors (TRW) musim ini.
“Apabila prestasi pasukan merosot, memang tugas jurulatih mengkaji kelemahan pasukan. Namun, jurulatih juga tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya, malah pemain juga perlu bekerja lebih keras dalam usaha membentuk satu pasukan yang hebat.
“Bagi saya, Hodak perlu mempelbagaikan taktik bagi menemui formasi terbaik. Ketika saya membimbing Kelantan dulu, saya banyak menukar taktik sebelum menemui strategi terbaik buat pasukan.
“Faktor kehilangan tonggak utama tidak boleh dijadikan punca utama Kelantan gagal mempamerkan aksi terbaik. Ini kerana kita lihat Ghaddar dan Mat Yo (Norshahrul Idlan) juga kini masih gagal membantu pasukan masing-masing pada kedudukan terbaik.”
Sebelum ini, kelab penyokong Kelantan mendesak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) termasuk Hodak melakukan perubahan drastik selepas juara tiga piala musim lalu itu beraksi hambar.
Kelantan kini hanya berjaya mengutip 11 mata daripada 10 perlawanan dan berada di tangga kelapan liga.
Menurut Karathu, masih belum terlambat untuk Kelantan bangkit dan Hodak perlu lebih mengetahui kekuatan dan kelemahan semua pemainnya bagi memudahkan beliau meletakkan pemain pada posisi yang betul dan membentuk strategi terbaik.
“Masih belum terlambat untuk Kelantan bangkit. Perbezaan tujuh mata dengan pendahulu liga, tidak begitu jauh malah peluang mengekalkan kejuaraan masih terbuka luas.
“Jurulatih juga perlu mengenal pemain malah mengetahui kekuatan dan kelemahan setiap pemain. Ini penting bagi jurulatih meletakkan pemain paling sesuai pada setiap posisi penting terutama di barisan tengah dan serangan.”

Piala AFC: Kelantan garang di Yangon


dimipiya
Kelantan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam saingan kedua peringkat kumpulan Piala AFC 2013 lewat petang tadi. Piya sekali lagi menjadi watak penting pasukan Kelantan apabila berjaya menjaringkan gol pembuka pada minit ke 4, gol kedua Piya dalam saingan Piala AFC 2013.
Sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung Dimi Petratos berjaya menyumbat dua gol pada minit 54 dan 81 seminit selepas pasukan Ayeyawady menjaringkan gol saguhati tuan rumah. Keputusan Ayeyawady 1-3 Kelantan sehingga tamat perlawanan.
Melihat jumlah gol tidak hairanlah jika diawal musim Piya pernah menyatakan beliau lebih serasi dan memilih Dimi Petratos sebagai pemain import pilihannya. Keputusan dua perlawanan Piala AFC mula menampakkan keserasian Piya dan Dimi. Jika gandingan ini dapat diserlahkan dalam saingan Liga Super tidak mustahil Kelantan bakal mencabar dalam Liga Super.
Namun masih terlalu awal untuk meletakkan harapan sepenuhnya kepada kehebatan kedua-dua pemain ini kerana pemain-pemain lain juga harus memainkan peranan penting dalam usaha Kelantan mengekalkan piala-piala utama di bumi Kelantan.
Biarpun apapun kemungkinan yang akan berlaku pada pasukan Kelantan pada april nanti, kita sebagai penyokong sejati The Red Warriors harus sentiasa yakin dan memberi semangat kepada pemain-pemain yang bermati-matian menaikkan imej bolasepak Kelantan. Tanpa penyokong siapalah pemain, tetapi tanpa pemain apalah kehebatan yang ada pada pasukan.....
Pengajaran berguna TV9 malam tadi yang gagal menepati janji untuk siaran tertunda dan pihak TV9 juga tidak memberi sebarang penjelasan awal dan memohon maaf pembatalan siaran tertunda ini sehingga membangkit kemarahahan seluruh penyokong Kelantan yang setia berada didepan TV sebaik sahaja tamat perlawanan Piala AFC Selangor bertemu Tampines.
Sokong bia bijok , napok bijok , betindok bijok , main bijok , bijok sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Rabu, 13 Mac 2013

Fakri Saarani Lapor Diri Bersama TRW, Jumaat Ini.





Pemain terbaru The Red Warriors, Fakri Saarani akan melapor diri buat pertama kalinya di Kota Bharu pada Jumaat ini dan seterusnya menjalankan latihan bersama pemain-pemain TRW.
Menurut info dari KAFA, Fakri akan disesuaikan dengan corak permainan TRW memandangkan pemain itu sudah 5 bulan berada di Portugal.
“Fakri Saarani melapor diri Jumaat ini, dan bersedia menjalani latihan serta penyesuaian corak permainan TRW” – kata Annuar Musa.
Selain itu, Annuar Musa juga menyuarakan keyakinan bahawa TRW akan menemui gandingan yang MANTAP serta kesebelasan yang GAGOH.
“Rasanya, untuk April kita telah menemui gandingan dan line up yang mantap”
Selain itu Annuar Musa turut memberi “bayangan” Skuad Kelantan selepas pintu perpindahan dibuka.
“Enjin utama pasukan akan dikendali oleh 4 pemain kebangsaan. Penyerang diubah suai dengan gandingan yang lebih mantap, dan berbisa. Pertahanan tetap diberi keutamaan.”
“InsyaAllah, TRW akan tampil lebih kemas dan lebih bertenanga” – kata Tan Sri Annuar Musa melalui facebooknya, kelmarin.

PIALA AFC : Misi mengutip 3 mata penuh di tempat lawan


YANGON, 12 Mac - Skuad AFC Kelantan telah selamat tiba di Yangon pada jam 7 petang (waktu Malaysia) dengan penerbangan Air Asia terus dari LCCT KLIA. Pasukan menginap di Hotel Yangon yang terletak lebih kurang 10 minit perjalanan dari Stadium Youth Training Center, Yangon.
Pemain-pemain akan menjalani latihan kecergasan di hotel penginapan pada sebelah pagi 12 Mac.
Mesyuarat Koordinasi Perlawanan yang melibatkan Pengurus dan Pegawai Media Pasukan akan diadakan di stadium pada jam 11 pagi (waktu Myanmar) disusuli sidang media pra perlawanan sejam selepas itu.MAC11 2003
Sesi latihan rasmi akan berlangsung mulai jam 5 hingga 6 petang di stadium tersebut.
Semua pemain berada dalam keadaan sihat, walaupun sedikit keletihan menempuh perjalanan jauh ke Yangon selepas bertemu Lions XII dalam saingan Liga Super 3 hari lalu.
Tan Sri Hj Annuar Musa yang turut bersama pasukan ke Yangon sempat mengadakan perbincangan dengan Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, sewaktu pasukan berada di Kuala Lumpur, membuat persediaan ke Yangon. Perbincangan tersebut tertumpu kepada prestasi pasukan sekarang dan persediaan pasukan untuk mengharungi pusingan ke 2 Liga Super, selepas pendaftaran semula pemain pada bulan April nanti.
Kelantan akan bertemu Ayeyawady United pada 13 Mac 2013 di Stadium Youth Training Center untuk perlawanan peringkat kumpulan G.

Ahad, 10 Mac 2013

Kijang Menangis Di Kota Singa.


Kelantan terus dirundum malam apabila terpaksa akur tewas dalam 5 minit terakhir perlawanan. Ianya gara-gara kelalaian benteng pertahanan yang asyik ingin melancarkan serangan.
Gol LionsXII tadi terhasil menerusi hantaran cantik Fazrul Nawaz dari luar kotak penalti kepada Shahfiq Ghani dan Khairul Fahmi yang keluar gagal menyekat sepakan sederhana laju dari Shahfiq.
“3 : Free-kick Piya ditangkap kemas kepper Singapura.
“13 : Jaringan Keita Mandjou dibatalkan kerana dikatakan offside.
“24 : Seorang player LionsXII dilayangkan kad yellow.
“25 : Sepakan sudut pertama untuk Kelantan.
“39 : Percubaan dari Piya tersasar.
“40 : Shakir Shaari kad kunim.
“45 : Sepakan free Indra terlekat di benteng dek kerana terlalu rendah.

*Masa tambahan yang diberikan = 60 saat.
+++ Tamat 1st half, terikat 0-0. ++++
“51 : Tandukan dari pemain LionsXII kemas ditangkap Apek.
“53 : Hantaran jauh cantik dari Indra kpd Piya ke dalam kotak penalti dipotong oleh pemain Singapura.
“58 : Percubaan Keita lemah / slow.
“64 : Pemain Singapura keno kad kuning.
“70 : Setakat 25 minit di 2nd half, Kelantan kerap kali mencari idea untuk menembusi pintu gol lawan melalui Piya dan hantaran jauh namun berjaya dipatahkan lawan.
“72 : Pertukaran lagi untuk Singapura.
“80 : Pertukaran untuk Kelantan & Singapura.
“87 : Gol untuk LionsXII —Shahfiq Ghani.
“90 + 3 : Tamat.
+++Kekalahan hasil dari kecuain 6 minit terakhir perlawanan+++
Statistik :
Kad Kuning :
Shakir Hamzah – “23
Shakir Shaari – “40
Safuwan Baharudin – “63
Pertukaran :
Zulfahmi Arifin [K] Safirul Sulaiman [M]
Faris Ramli [K] Gabriel Quak Jun Yi [M]
Faiz Subri [K] Zairo Anuar [M]
Haris Safwan [K] Zamri Ramli [M]
Nazari [K] Fazrul Nawaz [M]

Khamis, 7 Mac 2013

PIYA SAHUT CABARAN RAJA





Kota Bharu: Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi menyahut cabaran untuk mewakili skuad Harimau Malaya dan menyuarakan rasa lega akhirnya dipanggil ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal.

Semua pemain mahu menyertai skuad kebangsaan, termasuk saya. Ini adalah peluang terbaik membuktikan kemampuan kepada pihak pengurusan selain membalas kepercayaan diberikan. Saya akur kedudukan saya belum terjamin lagi. Apa yang saya boleh janjikan hanya persembahan terbaik jika dapat beraksi ketika perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi (17 Mac ini). Ini adalah ujian pertama saya, katanya di Kota Bharu, semalam.

Pemain tengah berusia 29 tahun itu yang juga dikenali Piya berkata dia sudah bersedia menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yaman pada 22 Mac ini.

Lapor diri 11 Mac

BH Sukan semalam melaporkan, perancang utama pasukan Kelantan itu mendapat berita gembira apabila Rajagobal menyenaraikan Piya dalam 27 pemain pilihan dan perlu melaporkan diri di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 11 Mac ini bagi menyertai latihan.
Sebelum ini isu pemain berkenaan dengan skuad kebangsaan mencetus kontroversi apabila pengurus pasukan skuad negara, Datuk Seri Subahan Kamal menyuarakan Piya pernah menolak tawaran bermain untuk negara. Namun, kenyataan itu dinafikan pemain itu sebaliknya perancang utama TRW itu hanya dipanggil ketika perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea, dua tahun lalu.

Subahan turut menyatakan, nama Piya ada dalam senarai 34 pemain bagi kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha, 6 Februari lalu, tetapi terpaksa diketepikan untuk memberi laluan kepada Mohd Amri Yahyah yang dipanggil pada saat akhir. 

Rabu, 6 Mac 2013

Ulasan TRW vs MAZIYA Sebenarnya,

         TRW sudah menunjukkan mutu permainan 2012 dan jika dilihat masuk 26 saat permainan, Dimi sudah mula menunjukkan prestasi sbg pemain harapan. dan pada minit pertama hantaran dan skil individu setiap pemain boleh dipuji cuma daudsu dan iwe solah shj yang kurang memberi impak pada masa pertama kerana terlalu hilang fokus, cubaan demi cubaan dari barisan serangan amat kagum cuma kita tertewas dengan larian pantas dari pasukan MAZIYA yang sentiasa mencari peluang untuk mlakukan "counter attack" namun Lek dan Pok Nik serta Zamri dan Daudsu bijak mengawal benteng.

         Pada separuh masa kedua, jentera tengah TRW sudah hilang fokus terutama faiz subri dan iwe solah dan juga kekentalan DMF pasukan Maziya serta pertahanan Maziya amat cemerlang mengekang asakan dari TRW, dan kesilapan sedikit dari benteng serta jentera tengah menyebabkan Maziya menghasilkan gol dan Apex memberi aksi gopoh gapahnya, namun Kemasukan PIYA, Kapten Marvel dan Indra meningkatkan permainan dan 3 cubaan yang menewaskan penjaga gol Maziya itu harus dipuji kerana kita mempunyai barisan serangan yang berjaya mengucar kacirkan pertahanan lawan.
   
         Apa2 pun admin berpendapat, permainan sudah meningkat dari perlawanan sebelumnya dan bagi menjawab persoalan kenapa BEN 10 tidak bermain dan PIYA n INDRA tidak diberi bermain separuh masa pertama kerana sabtu ini kita akan bertandang ke Singapura dimana mereka menggunakan rumput tiruan jadi bagi mengekalkan stamina PIYA, BEN 10 dan INDRA, bojan menurukan skuad AFC yang hebat!

Video : Kelantan 1-1 Maziya SR

Kelantan mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Maziya SR dari Maldive dalam aksi pertama mereka di Piala AFC yang berlangsung di Kota Bharu.



Piala AFC: Kelantan ‘Simpan Kuku’ Hadapi Maziya SRC

DARI kiri, Hodak; penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat; kapten Maziya SRC, Ahmad Rashid dan Ismail bergambar bersama pada sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan semalam.
KELANTAN bakal turun tanpa kelibat beberapa tonggak utama ketika menentang kelab Maldives, Maziya Sport And Recreation Club (Maziya SRC) pada aksi Kumpulan G kempen Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Selain masalah kecederaan, tindakan ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak itu adalah bagi memastikan para pemainnya lebih segar dan bersedia apabila mereka bertandang ke Stadium Jalan Besar menentang Lions XII pada saingan Liga Super, Sabtu ini.
Menurut Bojan, sistem penggiliran pemain perlu dilakukan kerana para pemainnya sudah mengharungi beberapa perlawanan sebelum ini dalam tempoh yang singkat menyebabkan mereka kepenatan dan terdedah kepada kecederaan.
“Dua perlawanan penting dalam tempoh yang singkat. Empat hari lagi, Kelantan terpaksa bermain di atas padang rumput tiruan di Singapura sedangkan kami berdepan masalah kecederaan.
“Kali ini tekanan memang terasa kerana kami adalah juara tiga piala selain layak ke suku akhir Piala AFC pada musim lalu,” jelas Hodak semalam.
Ketika ini, Norfarhan Muhammad terkeluar daripada senarai kerana kecederaan manakala peluang beberapa pemain seperti Obinna Nwaneri, Mohd. Daudsu Jamaludin masih 50-50 kerana turut cedera.
“Bagaimanapun, Dickson Nwakaeme, Dimitrios Pertratos dan Azizi (Matt Rose) dan Nik Shahrul Azim pasti berada dalam kesebelasan utama saya malam esok (malam ini),” katanya.
Pengendali dari Croatia itu juga tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi dan mahu para pemainnya fokus untuk melepasi peringkat kumpulan dan mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri selepas mengharungi lebih 30 perlawanan.
Sementara itu, jurulatih Maziya SRC, Ismail Maziya berkata, pasukannya mempertaruhkan enam pemain kebangsaan Maldives dalam penampilan sulung mereka pada kempen Piala AFC musim ini.
“Saya akui kami akan ditentang hebat oleh Kelantan. Sasaran kami adalah untuk memperoleh satu keputusan yang baik, jika seri itu sudah dikira cukup bagus.
“Tak banyak maklumat yang saya tahu tentang Kelantan tetapi saya percaya tidak ada bezanya barisan pemain mereka pada kali ini berbanding musim lalu.
“Kami hormati Kelantan dan saya mahu pemain lebih berhati-hati pada perlawanan malam esok (malam ini),” ujarnya.

Petratos Buru Jaringan Sulung


Dimitri Petratos
Kota Bharu: Penyerang import Kelantan Dimitri Petratos tekad memburu jaringan berdepan Maziya Sports & Recreation (Maziya SRC) dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Penggempur berusia 20 tahun itu yang sebelum ini diketepikan dalam saingan Liga M kerana memberi laluan kepada penyerang import dari Guinea, Keita Mandjou akhirnya turun untuk aksi pertamanya.
Petratos berkata, selepas hanya beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan dan menjalani latihan bersama kelab Blackburn Rovers di England tiga minggu lalu, bintang dari Sydney FC itu sudah bersedia membantu The Red Warriors (TRW) dalam saingan AFC.
Katanya, walaupun sebelum ini kecewa tidak dapat beraksi dalam Liga M namun ia tidak mematahkan semangatnya kekal bersama Kelantan selepas mengikat kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
“Saya mendapat keyakinan selepas menjalani latihan di England dan kini sedia membantu Kelantan. Untuk perlawanan pertama saya akan cuba mencipta jaringan,” tegasnya.
Sementara itu, jurulatih Bojan Hodak berkata, pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Abd Halim dan Shakir Shaari sudah pulih daripada kecederan.
Katanya, kehadiran dua pemain berkenaan memberi ruang kepadanya membuat pilihan pemain selain dibantu empat awang import.
“Mereka akan bermain malam esok (malam ini) dan saya perlu membentuk kesebelasan terbaik. Untuk AFC kita ada Lek Kcira dan Obinna Nwaneri di barisan pertahanan malah Petratos dan Dicson Nwakaeme akan mengetuai jentera serangan,” katanya.

Catatan Popular