KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 24 Januari 2010


Masih Belum Sempurna.

Norfarhan berjaya menjaringkan gol dalam penampilan pertama bersama skuad Kelantan untuk musim 2010, malam tadi.


Walaupun mencatatkan kemenangan besar menewaskan Sang Lebah 4-1 malam tadi, Kelantan masih lagi belum mempamerkan persembahan sempurna untuk bergelar penyandang Liga Super untuk tahun 2010.

Prestasi yang ditunjukkan para pemain dalam setiap perlawanan bukan semakin meningkat tetapi dilihat semakin menurun malah gagal menyaingi aksi yang ditonjolkan di Kuala Terengganu pada perlawanan pertama.

Tidak dinafikan yang pemain Kelantan masih lagi belum serasi bersama untuk berjuang mencari kemenangan namun situasi ini mesti diperbaiki dengan segera kerana pasukan lawan lain mulai menunjukkan peningkatan ketara dalam setiap perlawanan yang dihadapi.

Perhatikan kepada pasukan lain seperti Terengganu, mereka menjadi semakin kuat dalam setiap perlawanan yang mereka lalui. Memang persembahan mereka semacam tidak baik pada pertemuan dengan Kelantan namun persembahan mereka seterusnya semakin matang malah terbukti mampu mengejutkan pasukan elit terutamanya semalam mereka menidakkan nafsu Sang Merah Kuning untuk terus berleluasa di singgahsana.

Apa kurang pada Sang Kijang, katanya berbelanja besar untuk memburu sejarah baru dalam bola sepak Cik Siti Wan Kembang tetapi persembahan dalam setiap perlawanan amat merungsingkan peminat fanatik yang berada di belakang pasukan.

Memang mereka berjaya menumpaskan cabaran Johor Fc di gelanggang sendiri namun pernah terfikirkah yang kemenangan itu bukan kerana kehebatan para pemain tetapi adalah semangat tuan rumah semata-mata.

Gaya yang ditonjolkan gagal menyaingi pasukan lawan dan kesemua gol yang diperoleh bukan kerana corak taktikal perlawanan tetapi hanya kerana Sang Kijang beraksi di halaman sendiri bermain di hadapan berpuluh-puluh ribu penyokong setia wira merah.

Apa perubahan yang akan diambil B. Sathianathan dan barisan kejurulatihan lain selasa ini untuk menentang pasukan Perak yang berjaya mengikat Kedah di Darul Aman semalam.

Walaupun dilanda kemelut persatuan ditambah pula hanya menggunakan pemain muda, Perak dilihat mampu untuk mengejutkan pemain bintang Kelantan kerana selain bermain di arena sendiri mereka juga pasti ingin menebus kekecewaan musim lalu ditumpaskan pada saat akhir.

Justeru itu, Kelantan masih lagi perlu memperbaiki corak permainan selain memberi sedikit amaran kepada pemain agar berubah kearah yang lebih baik seterusnya membalas kepercayaan penyokong yang semakin hilang sabar dengan sesetengah pemain yang dikatakan menumpang di dalam skuad.

Pemain-pemain harus memberi lebih komitmen disamping meningkatkan prestasi selaras dengan keghairahan sang peminat untuk bersama pasukan melakar kejuaraan sulung setelah begitu lama menanti benda yang tidak pasti.

Pemain juga harus sedar, kritikan demi kritikan serta cemuhan yang dilontarkan sebenarnya bukan untuk menjatuhkan moral mereka tetapi ianya lebih kepada cabaran dari si pengkritik kepada mereka untuk kembali menampilkan persembahan yang dapat memberi sesuatu kejayaan bukan sahaja kepada pasukan tetapi kepada negeri yang mereka wakili.

Selain pemain, para jurulatih juga perlu sentiasa memotivasikan pemain mereka agar lebih bersemangat bila turun kedalam padang dengan menyarung jersi merah berpetak tahun ini.

Apa guna gah pada nama tetapi gagal dalam keseluruhan. Itulah yang dibimbangkan maka barisan kejurulatihan harus menggunakan segala kepakaran yang mereka miliki untuk terus menggilap para pemain seterusnya menuju kepada kegemilangan sasaran yang telah ditetapkan pada awal musim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular