KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 24 Januari 2010

Kijang Mengecewakan PDF Cetak Emel


Mengecewakan. Itulah aksi yang dipertontonkan Kelantan apabila kecundang 0-1 kepada Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Kedah yang bertandang ke gelanggang lawan pulang seharusnya pulang gembira setelah berjaya menundukkan Sang Kijang di hadapan 25 000 penyokong.

Perlawanan dimulakan dengan Kedah mengatur serangan awal menguji barisan pertahanan Kelantan melalui percubaan Badrol Bakhtiar yang mendapat hantaran cantik dari sebelah kanan tetapi bola sepakan volley tersebut melwati palang gol.

Kedah sekali lagi hampir membolosi gawang Kijang menerusi Azlan Ismail yang mendapat hantaran Mohd Faizal Abu Bakar namun bekas penyerang kebangsaan tersebut memilih untuk menyepak lemah ke dakapan Syed Adney.

Pada minit ke-22, Kelantan mendapat peluang pertama setelah S. Chanturu berjaya melarikan bola dari sebelah kiri pintu gol sebelum melintangkan kepada Akmal Rizal tetapi tandukannya ditangkap kemas penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.

Selang empat minit kemudian, Hairudin pula mensia-siakan hantaran Indra apabila menanduk tinggi melepasi palang gol walaupun berseorangan dihadapan gawang lawan.

Tertekan diasak tuan rumah, Kedah melakukan beberapa serangan balas mencari bekalan awal melalui gerakan Zamri Chin dan Shahrulnizam Mustapha namun digagalkan dengan kekentalan pertahanan tuan rumah.

Untuk memperkasakan posisi serangan, Kedah melakukan pertukaran pertama mengeluarkan Faizal Abu Bakar mengantikan dengan Saramsak Kram pada minit ke-37.

Kelantan hampir memecahkan kebuntuan melalui sepakan percuma Badri Radzi tetapi hantaran lintang kepada Hairudin gagal disambar kemas sebelum bola bergolek keluar dari kawasan gol.

Tanpa disangka-sangka, Kedah mendapat gol pertama setelah Syed Adney yang mendapat bola tolakan dari Daudsu Jamaludin memilih untuk melakukan kesilapan paling besar dalam karier bola sepaknya apabila menendang lemah terkena kaki Azlan Ismail sebelum tergolek mencecah jaring membolehkan Kedah mendahului pada minit ke-40.

Gol tersebut menyentak semangat pemain dan juga penyokong tuan rumah menyebabkan Kedah mulai selesa mengatur beberapa serangan ke pintu gol Kelantan.

Pada minit ke-44, Kelantan dikurniakan satu sepakan percuma berjarak 30 meter dari pintu gol dan Indra yang mengambil sepakan menyepak kencang melepasi benteng Kedah tetapi bola tersebut menggegar palang mengecewakan ribuan penyokong yang bertandang.

Bersambung babak kedua, Kelantan melakukan sedikit perubahan taktikal tetapi gagal untuk memecahkan benteng Kedah yang diketuai Fazliata Taib dan Shafizan Hashim.

Beberapa peluang untuk menjaringkan gol disia-siakan pemain penyerang.

Peluang pertama hadir melalui hantaran Shakir kepada Akmal dan percubaan pemain ini meliar jauh dari pintu gol.

Tidak lama kemudian, Badri Radzi pula lambat melakukan tolakan walaupun ketika itu hanya dua orang pemain pertahanan Kedah berada di kawasan mereka.

Selang dua minit kemudian, Kelantan dinafikan satu sepakan percuma oleh pengadil bertugas apabila Badri Radzi dikasari Fazliata taib di luar kotak penalti menyebabkan penyokong Kelantan mulai melakukan beberapa tindakan liar.

Kelantan yang tertekan mencari gol penyamaan mengeluarkan Akmal Rizal dan Hairudin Omar mengantikan mereka dengan Zamri Ramli dan Che Hishamudin Hassan.

Kemasukan dua pemain ini merubah tempo permainan dimana Kelantan mulai mengasak mencari satu gol tetapi gagal menemui penyudah yang diharapkan.

Malah Indra yang keseorangan didalam kotak penalti menanduk keluar bola hantaran cantik Zamri Ramli pada minit ke-67.

Keghairahan Kelantan memburu gol memberi ruang buat Kedah menambah gol pada minit ke-71 tetapi percubaan Azlan Ismail hasil hantaran Badrol Bakhtiar berjaya dikeluarkan Azizi yang melakukan aksi mengelongsor menyelamatkan bola diatas garisan gol.

Che Hishamudin juga mendapat peluang tetapi lambat menendang bola pada minit ke-73 dan percubaan Badri Radzi lima minit kemudian ditampan keluar Fazliata Taib.

Sathianathan melakukan pertukaran seterusnya mengeluarkan Farisham Ismail dan memasukkan Zairul Fitree Ishak, namun sudah terlambat untuk mengejar pemain Kedah yang selesa berkampung di kawasan sendiri menafikan sebarang cubaan masuk pemain Kelantan.

Diakhir-akhir babak, berlaku beberapa insiden kekasaran memaksa pengadil perlawanan memberi amaran keras kepada beberapa pemain kedua-dua pasukan. Manakala Che Hishamudin pula dilayangkan kad merah setelah menumbuk Sabree Abu.

Tambahan masa juga gagal digunakan Kelantan untuk mencari gol dan wisel akhirnya dibunyikan memberikan tiga mata penuh buat Sang Kenari di Kota Bharu memaksa Kelantan berputih mata buat kali pertama di arena sendiri tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular