| Maghi Pakat Ubah Cara Sokongan Yang Merugikan! |
|
|
Menjelang bermulanya detik suku akhir Piala AFC 2012 dan EURO 2012,
seluruh peminat bolasepak Kelantan sedang tertumpu ke arah sepak mulanya
perlawanan ini. Namun seluruh penyokong Kelantan diingatkan jangan
hanya menyaksikan aksi diatas padang sahaja malah mereka juga disaran
melihat bagaimana cara dan sikap penyokong sesebuah pasukan memberi
sokongan.
Di Malaysia sikap dan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong
Kelantan sukar untuk ditandingi, mereka menjuarai segenap ruang yang
membicarakan atau memaparkan bolasepak luar negara dan dalam negara sama
ada kehadiran mereka ke stadium mahupun di laman sosial Facebook,
Twitter atau laman web. Situasi dapat dilihat dengan jelas jika anda
berkunjung ke mana-mana laman Facebook penyokong Kelantan, dari situ
anda boleh melihat setiap topik yang dimasukkan, di sukai (LIKE) oleh
beratus-ratus pembaca atau peminat berbanding laman penyokong pasukan
lain.
Kegilaan mereka terhadap bolasepak sangat luar biasa sehingga sanggup
melakukan apa saja demi menyokong pasukan kesayangan mereka. Pemilihan
lapan pemain Kelantan dalam skuad kebangsaan menjadi kebanggaan mereka.
Boleh dikatakan apa sahaja "asal kelantan" semuanya membanggakan mereka,
Kelantan sentiasa terbaik dihati mereka tanpa orang Kelantan lesu bagi
mereka untuk memberi sokongan mahupun mengikutinya.
Kenapa mereka bersikap begini? Untuk makluman sikap yang ditunjukkan
mereka ini sudah terpendam lama sejak kesalahan demi kesalahan dan
tindakan demi tindakan yang dilakukan FAM terhadap pasukan mereka
seolah-olah berat sebelah dan mengharungi pelbagai rintangan yang
dicipta FAM demi mencapai sebuah kejayaan yang mereka kecapi sekarang.
Kelantan dianaktiri dalam segenap ruangan sukan di Malaysia, isu yang
kecil diperbesarkan dan isu yang besar seperti berjaya memecah rekod
perlawanan akhir seluruh Piala di Malaysia di pandang sepi.
Mujurlah dengan kesabaran yang kental di jiwa Tan Sri Annuar Musa dan
seluruh penyokong Kelantan, kejayaan demi kejayaan telah tercipta untuk
mereka. Kejayaan bukan mudah untuk dikecapi jika tiada perancangan dan
semangat utuh dari segenap pemain, pendokong dan penyokong bolasepak
Kelantan. Dengan kerjasama semua rakyat Kelantan di seluruh negara,
rintangan atau cabaran dihadapi dengan mudah dan tenang tanpa
mempedulikan anasir atau musuh-musuh mereka.
Namun dalam keseronokan meraikan kejayaan, sikap segelintir penyokong
Kelantan yang masih lagi berdegil dan membawa sifat buruk mereka telah
menjadikan stadium untuk perlawanan Kelantan kawasan bebas membuang
sampah atau tempat membaling sampah. Tidak hairanlah sifat pengotor
tetap sinonim dengan segelintir rakyat Kelantan kerana buka sahaja
siaran langsung bolasepak melibatkan Kelantan kita dapat lihat dengan
jelas bagaimana segala sampah di baling masuk ke padang, tidak kiralah
bekas makanan atau minuman asalkan benda itu ada berhampiran semuanya
akan dibaling ke padang termasuklah bahan merbahaya seperti mercun.
Kebingitan tiupan vuvuzela dan air horn juga akan menjadi pencemaran
baru dalam arus bolasepak Kelantan jika tiada usaha dari seluruh
penyokong untuk membendung perkara ini sama ada bertindak atau
menasihati secara individu, kelab, keluarga mahupun sahabat handai.
Dimana lagi keseronokannya jika bolasepak terus dijadikan tempat
membuang segala pencemaran bunyi dan sampah.
Biarlah perkara atau isu yang sama berlaku pada penyokong lain, apa
yang penting kita cuba untuk berubah dan menjaga hal dan masalah
penyokong Kelantan sendiri. Tiada guna Kelantan mencipta banyak kejayaan
jika ianya akan terus dirosakkan oleh penyokongnya sendiri.
Marilah kita terus berusaha dan memberi kesedaran tentang pencemaran
yang mula merosakkan imej bolasepak Kelantan. Sebagai pencipta bolasepak
sejati sudah pasti masalah-masalah ini akan terus mengganggu emosi anda
semasa menyaksikan aksi-aksi pemain kesayangan.
BERUBAH DEMI KEJAYAAN DAN KEBIJAKSANAAN. GOMO KELATE GOMO.