KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 27 Disember 2010

Pemilihan Terbuka Pemain Liga Simpanan Kelantan

Arif Hassan

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan dua sesi pemilihan terbuka bagi memilih pemain untuk menyarung jersi pasukan Liga Simpanan Kelantan bagi musim depan.

Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hassan berkata, pihak Kafa menjemput pemain-pemain muda yang berbakat di negeri ini untuk mencuba nasib dalam sesi pemilihan pemain tersebut.

“Sesi pemilihan akan bermula jam empat sehingga enam petang. Sesi pemilihan pertama akan diadakan selama dua hari bermula esok dan lusa bertempat di padang SMK Hamzah, Machang. Sehubungan dengan itu, mana-mana pemain berbakat terutama dari jajahan Kuala Krai, Gua Musang turut dialu-alukan untuk menyertai sesi pemilihan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Sementara sesi pemilihan kedua akan diadakan pada 30 dan 31 Disember ini di padang HUSM, Kubang Kerian pada waktu yang sama. Saya juga berharap kelab-kelab yang terbabit dalam Liga Antara kelab anjuran Pihak Kafa dapat menghantar sekurang-kurangnya lima pemain ke sesi pemilihan tersebut.

Menurut Arif, sesi pemilihan pemain tersebut akan dinilai oleh Panel Kejurulatihan Kafa yang akan dikendalikan oleh bekas pemain berpengalaman negeri ini, Zahasmi Ismail.

Giliran kita pula ganyang

WIRA dua gol Malaysia, Safee Sali (10) merai jaringannya bersama Kunanlan dan penjaring gol kedua,  Ashari Samsudin (kanan) pada perlawanan akhir pertama  Piala Suzuki  di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Norshahrul (gambar kecil) dianggap perancang utama kejayaan besar negara.
WIRA dua gol Malaysia, Safee Sali (10) merai jaringannya bersama Kunanlan dan penjaring gol kedua, Ashari Samsudin (kanan) pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Norshahrul (gambar kecil) dianggap perancang utama kejayaan besar negara.
Ledakan dua gol Safee, satu Ashari pastikan Malaysia selesa ke Jakarta

EPISOD malam tadi lebih terarah kepada cerita sang Garuda bagai patah sayap dan pulang dengan mimpi ngeri apabila Harimau Malaya mengganas ketika Stadium Nasional, Bukit Jalil menjadi saksi skuad negara tampil gah membaham musuh tradisi, Indonesia 3-0 dalam final pertama Piala Suzuki AFF.
Kemenangan penting itu meletakkan skuad bimbingan K Rajagobal di ambang lakaran sejarah untuk menjuarai piala berprestij itu buat julung kali biarpun perlu mengharungi 90 minit lagi baki permainan apabila bertandang di Gelora Bung Karno, Rabu ini.
Mohd Safee Sali sekali lagi meledak dengan dua gol pada minit ke-60 dan 72 - sekali gus mengulangi sentuhan tajam ketika membantu Malaysia menundukkan Vietnam 2-0 dalam pusingan pertama separuh akhir yang lalu.

Satu lagi gol disumbangkan oleh pemain gantian Mohd Ashari Samsudin yang masuk menggantikan Amirulhadi Zainal pada minit ke-68.

Apapun, malam tadi harus dirumuskan tuah pengantin baru, Norshahrul Idlan Talaha yang pulang ke Kota Bharu, sehari sebelum perlawanan untuk bersanding apabila mencipta dua gerakan menarik untuk membolehkan Safee dan Mohd Ashari merobek gawang lawan.

“Norshahrul memang seorang pemain yang istimewa,” kata Rajagobal yang harus tidak menafikan betapa penyerang Kelantan itu menjadi arkitek merencanakan dua gol pertama pasukan tuan rumah yang membuka laluan melakar kemenangan besar penuh bermakna.
Dengan wajah riang pengendali yang kian memikat hati peminat tanah air ketika ini menambah: “Saya juga perlu mengucapkan tahniah kepada setiap pemain kerana persembahan wira untuk negara

Persahabatan Pra Musim Kelantan


Skuad “The Red Warriors” akan bertandang ke Lembah Kelang pada 27hb hingga 31hb Disember 2010 untuk mengadakan perlawanan persahabatan pra musim bagi menghadapi Liga Malaysia 2011.

Jadual perlawanan persahabatan Kelantan FA di Lembah Kelang adalah seperti berikut:

27hb Disember 2010 – Kelantan lwn Harimau Muda A, di Stadium MBPJ, 8.45pm.

28hb Disember 2010 – Kelantan lwn Sarawak, Padang PKNS, 4.45pm.

29hb Disember 2010 – Kelantan lwn FELDA United, Stadium MBPJ, 4.45pm.

31hb Disember 2010 – Kelantan lwn Sime Darby FC Stadium MBPJ, 4.45pm.

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menjemput semua penyokong Kelantan hadir beramai-ramai untuk memberikan sokongan kepada pasukan kita.

Norshahrul arkitek: Raja


NORSHAHRUL (kanan) berdepan dengan pertahanan Indonesia,  Ahmad Bustomi  di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
NORSHAHRUL (kanan) berdepan dengan pertahanan Indonesia, Ahmad Bustomi di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

'Pengantin baru' perancang dua gol awal Malaysia

TANPA berfikir panjang K Rajagobal menyebut betapa fungsi Norshahrul Idlan Talaha adalah arkitek yang menyumbangkan kepada malam manis buat skuad negara menewaskan Indonesia, malam tadi.

“Norshahrul memang seorang pemain yang istimewa,” kata jurulatih skuad kebangsaan yang beranggapan penyerang Kelantan itu mencipta semangat kepada rakan sepasukan apabila merencanakan dua gol awal pada babak kedua.

Rajagobal akur betapa pengantin baru itu memainkan peranan penting dengan mencipta dua gerakan yang menghasilkan gol bagi membantu skuad negara membaham Indonesia 3-0 dalam final pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
“Bagaimanapun, semua pemain menjalankan tugas masing-masing malam ini (malam tadi) dan saya perlu mengucapkan tahniah kepada semua pemain kerana persembahan menakjubkan untuk negara,” katanya.

K Rajagobal mengakui jaringan 3-0 itu adalah bekalan selesa kepada skuad bimbingannya bagi menghadapi perlawanan kedua di Gelora Bung Karno, Rabu ini tetapi tetap berwaspada terhadap ancaman lawan.

“Kita tidak akan bermain secara bertahan di Jakarta nanti. Mungkin kita juga akan turun dengan strategi agresif dan menyerang bagi memburu jaringan awal sekali gus memadamkan terus impian lawan,” katanya.


Keputusan penuh:
MALAYSIA 3-0 INDONESIA
Safee Sali (m-60, m-72)
Mohd Ashari Samsudin (m-68)

Ahad, 26 Disember 2010

Kelate.Net Hulur Sumbangan Kepada Sairozi

Mahizi Mahmood mewakili Kelate.Net menyampaikan sumbangan kepada Sairozi Daud sambil diperhatikan ahli Kelate.Net, Mohd Saifuddin Harun dan Khiru Shaleh dirumah beliau Pulau Chondong semalam.

MACHANG – Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) tampil menghulurkan sumbangan kepada bekas pemain Kelantan, Sairozi Daud yang terlantar akibat menderita sakit barah tengkuk sejak 10 bulan lalu.

Pengendali laman webnya, Khiru Shaleh Abdullah berkata, pihaknya telah menganjurkan kempen kutipan derma melalui laman web Kelate.Net sejurus berita penderitaan yang dialami oleh bekas pemain Kelantan itu disiarkan dalam akhbar baru-baru ini.

“Kempen kutipan derma ini dibuka selama dua minggu dan kita berjaya mengutip sebanyak RM450 dalam kalangan seluruh ahli kelab dan juga penyokong Kelantan di seluruh dunia. Hari ini kita datang menziarahi beliau di rumahnya di Pulai Chondong bagi menyampaikan sendiri kutipan tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

“Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami sebagai salah satu daripada kelab penyokong di negeri ini dan kita akan terus membantu mana-mana kalangan bekas pemain yang menghadapi kesulitan hidup seperti mana yang dihadapi oleh Sairozi Daud ini.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli kelab dan penyokong Kelantan yang tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan penderitaan yang dialami oleh beliau. Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh beliau,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kelab, Mahizi Mahmood berkata, pihaknya dimaklumkan keadaan kesihatan Sairozi bertambah baik berbanding keadaannya yang lemah sebelum ini.

“Alhamdulilah, melihat keadaan beliau pada hari ini sudah ada perubahan sedikit. Beliau sudah mampu bercakap berbanding sebelum ini kita difahamkan beliau sering kali mengadu kepenatan.

“Kita berdoa semoga beliau sembuh seperti sedia kala dan mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dengan segera. Beliau bukan sahaja perlu diberi rawatan tetapi juga sokongan moral bagi melawan penyakit tersebut.

“Walaupun beliau hanya bermain dengan Kelantan selama tiga tahun sahaja, tetapi jasa beliau terhadap pasukan negeri ini tidak harus dilupakan kerana beliau turut membantu Kelantan muncul juara Piala FAM pada tahun 2005 sebelum diangkat beraksi dalam Liga Perdana tahun berikutnya,” katanya.

Sebelum ini Sairozi, 32 tahun, menjalani pembedahan di Hospital Pakar Sultan Abdul Samad, Johor Bahru sekitar Februari lalu dan pernah mendapatkan rawatan kimoterapi sebanyak tiga kali dan radioterapi 36 kali bagi rawatan susulan penyakit barah tengkuk selepas itu.

Sabtu, 25 Disember 2010

PERLAWANAN PERSAHABATAN



KELANTAN (3)
vs
KELAB MELODI
JAYA (JOHOR ((0)

Sinar Harian Terus Taja Kelantan

KOTA BHARU – Akhbar Sinar Harian sekali lagi meneruskan kecemerlangannya sebagai medium mempromosikan kegemilangan sukan bola sepak negeri ini, apabila bersetuju menyambung kontrak penajaan terhadap pasukan The Red Warriors (TRW) untuk musim depan.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah berkata, sebagai penaja rasmi pasukan TRW musim lalu, pihaknya berbesar hati apabila diberi peluang menjadi penaja bersama pasukan bola sepak Kelantan buat tahun kedua berturut-turut.

“Pencapaian yang ditunjukkan pasukan Kelantan, terutamanya kejayaan menjulang Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu, di samping melihat kepada keyakinan pihak Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) sendiri, terutamanya kesungguhan Presiden, Tan Sri Annuar Musa bersama saf kepimpinannya untuk membawa pasukan Kelantan ke tahap lebih tinggi, jadi pihak Sinar Harian sekali lagi terpanggil untuk menjadi penaja bersama untuk musim depan.

“Atas dasar tersebut, pihak kami bersetuju untuk terus menjadi sebahagian daripada pasukan yang bergelar The Winning Team untuk tempoh setahun lagi. Kita juga berharap, Kelantan akan menjadi sebuah pasukan yang amat dikagumi dan disegani dalam landskap bola sepak negara pada tahun mendatang.

“Kita mencipta sejarah dan kita tidak harus berhenti daripada terus mencipta sejarah. Untuk mempertahankan kejuaraan, sebenarnya lebih sukar daripada memburu kejuaraan, namun semua itu tidak mustahil boleh kita lakukan,” katanya ketika diwawancara di Kota Bharu, semalam.

Muhammad Nasir berkata, walaupun pada hakikatnya Sinar Harian tidak perlu menjadi penaja kepada mana-mana pasukan, tetapi demi memajukan sukan bola sepak negeri ini Sinar Harian Kelantan khasnya, terpanggil untuk terus bersama menyokong pasukan Kelantan.

“Akhbar Sinar Harian juga sama seperti media cetak lain. Kalau tidak taja pun, kita tetap akan menyiarkan liputan mengenai pasukan Kelantan sebab akhbar harian sememangnya menjadi alat penyebaran maklumat kepada masyarakat.

“Kita bukan mencari publisiti. Memang Sinar Harian adalah berteraskan identiti perniagaan dan berpaksikan keuntungan, tetapi kita tidak melihat semua itu apabila kita menaja Kelantan kerana semangat kenegerian mengatasi segala-galanya dalam hal ini.

“Hubungan Sinar Harian dengan Kafa terjalin dengan baik. Mungkin ada satu dua perkara yang tidak memuaskan hati di antara kedua-dua pihak sebelum ini, namun saya percaya ia boleh diselesaikan di meja rundingan. Dalam konteks penajaan, sudah pasti kita mengharapkan hubungan kerjasama terjalin dengan baik. Satu pihak tidak boleh mendominasi ke atas pihak yang satu lagi. Kita perlu ada ‘give and take’,” katanya.

Ditanya mengenai pembaharuan yang akan dilakukan oleh Sinar Harian dalam memaparkan berita mengenai bola sepak Kelantan pada masa akan datang, Muhammad Nasir mengakui sebagai penaja rasmi pasukan TRW, akhbar ini harus mempunyai peranan yang tersendiri dalam menyiarkan berita yang berbeza daripada media cetak yang lain.

“Kita harus melaporkan setiap yang benar, tepat di samping perlu menjaga kepentingan pasukan Kelantan kerana kita merupakan sebahagian daripada pasukan itu. Dari segi penghayatan penyiaran, kita mesti berbeza dari yang lain.

“Masyarakat perlu memahami kita tidak hanya menaja dalam bentuk wang ringgit, tetapi juga setiap bentuk penyiaran berita sebanyak dua muka surat itu, khusus untuk bola sepak Kelantan juga harus ditafsirkan sebagai bentuk penajaan. Congakan dari sudut ini, tajaan seumpamanya ini pun sudah menjangkaui daripada bentuk wang ringgit yang kita hulurkan kepada pihak Kafa,” katanya.

Muhammad Nasir berkata, dalam konteks kelangsungan sebagai persatuan sukan yang terpaksa berdikari sendiri di negeri ini, pihak Kafa harus mempunyai hubungan yang baik bukan sahaja dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kerajaan Persekutuan, tetapi juga dengan pihak Kerajaan Negeri Kelantan sendiri.

“Jalinan kerjasama dengan ketiga-tiga pihak ini, cukup penting kalau kita mahu melihat Kafa muncul sebagai sebuah persatuan sukan yang profesional di negeri ini. Hubungan dengan pelbagai pihak ini, harus lebih tersusun sementelah urus tadbir Kafa sendiri juga perlu berada tahap meyakinkan semua pihak.

“Kita juga berharap pihak Kerajaan Pusat dan Negeri, badan-badan korporat, syarikat tempatan, peminat bola sepak dan rakyat negeri ini terus menyokong dan membantu pihak Kafa ke arah menjadi satu persatuan sukan profesional sepenuhnya dengan memiliki prasarana sukan seperti stadium bola sepak sendiri,” katanya.

Muhammad Nasir turut menekan, betapa pentingnya pihak Kafa menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan pihak media di negeri ini, bagi memastikan kesinambungan sukan bola sepak di negeri ini sentiasa mendapat liputan yang lebih meluas.

“Prinsip asasnya begitu mudah. Contohnya, kalau kita ada produk yang bagus tetapi pemasaran yang lemah, tidak ada gunanya. Sama seperti dengan pasukan Kelantan, kalau mereka adalah pasukan yang kuat, tetapi pihak media tidak membantu mempromosikan mereka pun tidak ada guna juga.

“Media sebenarnya tidak mahu sanjungan tinggi. Apa yang penting, pihak Kafa harus memberi pengiktirafan atau pun penghargaan yang sewajarnya kepada kalangan pihak media di negeri ini ,yang banyak membantu menaikkan nama Kafa sebelum ini.

“Dalam setiap majlis sama ada kecil atau besar, pihak media tidak harus dipinggirkan. Mereka (media) perlu diberi keutamaan untuk memasuki stadium dengan mudah, dan di samping itu, kemudahan tempat duduk yang banyak amat diperlukan bagi memastikan mereka dapat melakukan tugasan dengan sempurna.

“Mereka bukan datang ke stadium untuk suka-suka kerana mereka datang kerana tugas. Jadi mereka perlu diberi penghargaan yang sewajarnya. Sebagai pengamal media, kita berharap impian pasukan TRW untuk menjadi sebuah pasukan yang profesional akan menjadi kenyataan dengan lebih cepat,” katanya

Liga Super Mula 29 Januari


Perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah menemukan Selangor dan Kelantan akan berlangsung pada 29 Januari 2011 di Stadium Shah Alam.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memutuskan bahawa saingan Liga Super 2011 bakal bermula 29 Januari depan manakala Liga Perdana 2011 pula bermula dua hari selepas itu.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah menemukan Selangor dan Kelantan turut akan berlangsung pada 29 Januari di Stadium Shah Alam.

“Sebelum ini, kita telah menetapkan perlawanan sumbangsih serta aksi pertama Liga Super 2011 untuk pasukan lain akan berlangsung pada 15 Januari depan.

“Namun setelah diteliti berhubung aspek teknikal dan penajaan, kita akan mulakan Liga Super 2011 pada 29 Januari depan,” kata Hamidin selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Kosmo! difahamkan, kontrak Telekom Malaysia Berhad (TM) selaku penaja utama Liga Malaysia sejak 2004 hanya akan berakhir pada 26 Januari depan dan TM tidak berhasrat menyambung tajaan untuk musim 2011.

Justeru, FAM terpaksa mencari tarikh selepas 26 Januari depan untuk memulakan saingan musim 2011 di bawah label penaja baru.

Hamidin turut memberitahu, saingan Liga Super 2011 tidak akan dihentikan ketika skuad Harimau Muda A menentang Pakistan untuk aksi pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik 2012 pada 23 Februari dan 9 Mac depan.

“Saingan tidak akan dihentikan. Harimau Muda A mempunyai baki pemain lain yang boleh diturunkan untuk aksi Liga Super ketika sebahagian besar pemain mereka beraksi pada kelayakan Olimpik itu,” jelas Hamidin.

Namun tindakan itu turut menjejaskan beberapa pasukan lain kerana jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee bercadang menyerapkan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Faizal Abu Bakar dan Ahmad Shakir Md. Ali (Kedah) untuk dua aksi kelayakan Olimpik itu.

Sementara itu, JKPT semalam turut memutuskan saingan Piala Presiden akan bermula 10 Februari, Liga FAM bermula 13 Februari, final Piala FA pada 11 Jun, Piala Malaysia bermula 7 September dan final Piala Malaysia pada 29 Oktober.

Catatan Popular