KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 12 Jun 2011

Red Warriors kecewa lagi

KUALA LUMPUR – Kelantan sekali lagi kempunan untuk mendakap kejuaraan Piala FA dalam tempoh tiga tahun setelah tewas 2-1 kepada Terengganu dalam perlawanan akhir edisi ke-22 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Kekalahan kepada musuh tradisinya malam tadi mengulangi kekecewaan The Red Warriors untuk menebus kegagalan dalam percubaan pertamanya setelah tewas kepada Selangor dalam pentas perlawanan akhir dua tahun lalu.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang mencemar duli berangkat menyaksikan perlawanan akhir malam tadi, menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Gol kemenangan menerusi rembatan pemain gantian Ahmad Nordin Alias dalam masa tambahan memastikan pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu menjulang piala tersebut buat kali kedua setelah kali terakhir berbuat demikian 11 tahun lalu.

Seawal minit kesepuluh Terengganu menguji pintu gol Kelantan menerusi sepakan percuma Ismail Faruqi Asha’ri yang menyaksikan bola rembatannya terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Namun dua minit kemudian, Kelantan membalas serangan menerusi hantaran lintang oleh S Chanturu ke dalam kotak penalti yang menyaksikan tampanan kurang kemas Norshahrul Idlan Talaha membolehkan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.

Pada m-19, Abdul Hadi Yahaya terlepas peluang untuk meletakkan pasukannya berada didepan apabila gagal membaca hantaran lintang Mohamad Ashaari Samsuddin ke dalam kotak penalti biarpun Khairul Fahmi teragak-agak untuk keluar menyelamatkan hantaran tersebut.

Selang dua minit kemudian, Abdul Hadi yang berjaya melepasi perangkap ofsaid sekali lagi mensia-siakan peluang terbaiknya untuk memberi tekanan kepada pasukan Kelantan apabila rembatan kencangnya ditepis keluar Khairul Fahmi.

Pada m-24, tindakan pemain pertahanan Terengganu, Mazlizam Mohamad menjatuhkan Norshahrul Idlan diluar kotak penalti mengundang padah apabila pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan percuma kepada Kelantan. Namun sepakan Ketua Pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi pula tinggi melewati pintu gol Terengganu.

Pada m-41, Norshahrul Idlan hampir menjaringkan gol pertama Kelantan apabila rembatan kencangnya tepat ke pintu gol memaksa Mohd Sharbinee Allawee melayangkan badan untuk menepis keluar rembatan tersebut.

Namun kesilapan Khairul Fahmi yang gagal menepis keluar hantaran lintang Joseph Kalang Tie dua minit kemudian hampir membawa padah kepada pasukannya kalau tidak kerana kegopohan Mohamad Ashaari menyepak tersasar ke sebelah kanan pintu gol Kelantan selepas itu.

Minit-minit akhir babak pertama, giliran Mohd Sharbinee Allawee pula gagal menumbuk keluar sepakan percuma Mohd Nurul Azwan Roya daripada sebelah kiri pintu golnya namun Helmi Remeli pantas mengeluarkan bola daripada kawasan merbahaya.

Tiga minit babak kedua bersambung, Terengganu kembali mengasak menerusi Mohamad Ashaari yang bijak merebut bola daripada Chanturu sebelum melepaskan rembatan rendah yang sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.

Pada m-68, pemain gantian, Muhammad Ramzul Zahini Adenan mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan didepan namun rembatannya mudah ditampan keluar pemain pertahanan Terengganu biarpun Mohd Sharbinee Allawee tertewas diposisinya sebelum itu.

Pada m-79, Kelantan memperolehi gol tunggalnya apabila Mohd Nurul Azwan bijak memanfaatkan umpanan Norshahrul Idlan dengan melepaskan sepakan lambung didalam kotak penalti memerangkap Mohd Sharbinee Allawee diposisinya.

Pada m-85, Mohd Sharbinee Allawee sekali beraksi cemerlang apabila menyelamatkan rembatan kencang Norshahrul Idlan didepan pintu golnya.

Di saat puluhan ribu penyokong setia Kelantan bersedia meraikan kejayaan Kelantan menjulang piala kejuaraan tersebut, pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaluddin tertanduk masuk bola ke gawang sendiri dalam usahanya menyekat rembatan Abdul Manaf Mamat pada minit –minit akhir masa kecederaan memaksa berlawanan berlarutan sehingga ke masa tambahan.

Bayangan Terengganu untuk menjulang kejuaraan kian terpancar apabila menguasai hampir sebahagian babak pada masa tambahan. Pada minit kelapan masa tambahan, Mohamad Zharif Hasna melakukan rembatan kencang yang menyaksikan namun sedikit tersasar disebelah kiri pintu gol Kelantan.

Tiga minit kemudian, penyerang Terengganu, Abdul Manaf bijak memperdayakan dua pemain pertahanan Kelantan namun rembatannya pula sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.

Pemain gantian, Ahmad Nordin memastikan kejuaraan milik Terengganu apabila bijak menyempurnakan sepakan penjuru Mohamad Ashaari pada m-110 masa tambahan dengan merembat kencang menewaskan Khairul Fahmi kali kedua digawangnya untuk gol kemenangan Terengganu malam tadi.

Sementara itu, Ketua Pasukan Terengganu, Mohd Mazuki Yusoff diumumkan sebagai Pemain Terbaik dalam perlawanan akhir malam tadi.


Kesebelasan utama pemain :

TERENGGANU: Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Helmi Remeli, Mohd Mazuki Yusoff (KP), Mazlizam Mohamad, Mohd Zubir Mohd Azmi, Ismail Faruqi Asha’ri (Ahmad Nordin Alias), Joseph Kalang Tie, Reeshafiq Alwi, Mohamad Ashaari Samsuddin, Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahaya (Mohamad Zharif Hasna).

Formasi: 4-4-2

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Farisham Ismail, S Subramaniam (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), S Chanturu, Mohd Izuan Salahuddin (Muhammad Ramzul Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan Talaha.

Formasi : 4-5-1

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat: Terengganu (4) Kelantan (6)
Percubaan tersasar: Terengganu (4) Kelantan (4)
Sepakan penjuru: Terengganu (9) Kelantan (4)
Sepakan percuma: Terengganu (13) Kelantan (22)
Ofsaid: Terengganu (4) Kelantan (0)
Kekasaran: Terengganu (18) Kelantan (12)

Kad kuning : Terengganu (Abdul Manaf Mamat, Ismail Faruqi Asha’ri, Mohd Mazuki Yusoff, Mazlizam Mohamad dan Mohd Zubir Mohd Azmi) Kelantan (Mohd Farisham Ismail, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Shakir Shaari, Zairul Fitree Ishak dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid)

Kad merah: Tiada bagi kedua-dua pasukan.
Masa tambahan: 6 minit (tidak termasuk tambahan 30 minit)
Penguasaan bola: Terengganu (52%) Kelantan (48%).

PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil: Mohd Nafeez Abdul Wahab.
Penolong Pengadil 1: Azman Ismail.

90,000 banjiri Stadium Nasional


Sebahagian daripada penyokong Kelantan bersorak sambil menjulang replika trofi Piala FA sebelum bermula perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.


KUALA LUMPUR- Hampir 90,000 penyokong memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan dan Terengganu semalam.

Daripada jumlah tersebut, penyokong Kelantan menguasai venue perlawanan apabila kira-kira 60,000 penyokong Red Warriors memberi sorakan untuk pasukan mereka manakala baki 30,000 lagi adalah penyokong skuad Terengganu.

Kehangatan final semalam dirasai seawal pagi lagi apabila puluhan ribu penyokong pasukan Kelantan dan Terengganu mula berkampung di perkarangan stadium.

Kebanyakan penyokong tiba dengan menggunakan kenderaan sendiri, berkumpulan dan menyertai rombongan bas yang ditaja oleh persatuan bola sepak negeri masing-masing.

Suasana di perkarangan Stadium Nasional riuh-rendah dengan kedua-dua penyokong pasukan melaungkan lagu-lagu pasukan masing-masing.

Rata-rata mereka tiba dengan mengenakan jersi pasukan negeri masing-masing dan ada di antara mereka yang mengenakan rambut palsu mengikut warna yang melambangkan pasukan serta tidak keberatan untuk mewarnakan wajah mereka.

Ada penyokong Kelantan yang sampai ke venue perlawanna sejak awal pagi tadi selepas bertolak dari Kota Bharu pada tengah malam kelmarin.

Kelantan kecewa lagi, gagal tebus final 2009



TIADA kata-kata mampu menggambarkan kekecewaan Kelantan yang terusan kepingin menjulang trofi Piala FA dengan penghalangnya kali ini Terengganu yang gah menjulangnya buat kali kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Semuanya tampak sempurna buat Red Warriors apabila mendominasi saingan babak pertama dan jaringan pemain kelahiran Pasir Putih Kelantan, Nurul Azwan Roya meletakkan skuad bimbingan Datuk M Karathu di depan dengan permainan berbaki 10 minit tetapi tiada apa mampu dilakukan apabila Daudsu Jamaluddin tertanduk bola ke gawang sendiri ketika masa tambahan.
Jaringan pada masa tambahan menerusi pemain gantian, Ahmad Nordin Alias menguburkan harapan Kelantan yang sebelum ini dikecewakan Selangor dua tahun lalu, menerusi sepakan penalti penentuan.
Karathu mengakui kekalahan anak buahnya berpunca daripada jaringan penyamaan Terengganu yang hadir pada minit ketujuh masa tambahan, hingga melemahkan semangat juang pemainnya.

“Punca kekalahan kami bukanlah kerana pemain keletihan, ia lebih kepada kecewa kerana gagal mengekalkan kelebihan itu walaupun sudah di penghujung permainan,” kata pengendali yang pernah membimbing Perak menjulang piala sama pada 2004 dengan menundukkan Terengganu itu.

Kenyataan itu turut diakui satu-satunya pemain Kelantan yang ingin berbicara, S Chanturu yang kecewa dan mengakui detik kekalahan berpunca daripada gol penyamaan Sang Penyu.

“Memang kecewa kerana kami hanya sesaat untuk menang dan mereka merampasnya daripada kami. Memang tidak sangka Nordin dapat menjaringkan gol namun kami sudah bermain dengan baik, cuma nasib tidak menyebelahi

Sabtu, 11 Jun 2011

Prebiu Final FA 2011: Mencari Gergasi Pantai Timur Sebenar.





Kelantan dan Terengganu turun dengan semangat juang tinggi untuk merampas kejuaraan Piala FA dalam pertemuan sejiran pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Kelebihan milik The Red Warriors selepas pertemuan pertama di Kuala Terengganu, beberapa hari lalu berjaya dimenangi Sang Kijang dengan tiga jaringan.

Namun, pentas final sememangnya menjanjikan cabaran lain setelah saingan 90 minit yang bakal diharungi kedua-dua pasukan menampilkan corak dan gaya berbeza.

Keyakinan disuarakan ketua jurulatih kedua-dua pasukan bahawa dalam perlawanan malam ini mereka akan memberikan corak taktikal berbeza dan keputusan perlawanan Liga Super sebelum ini tidak menjadi sandaran dan kelebihan awal kepada pihak lawan masing-masing untuk merangkul kejuaraan Piala FA.

Pertemuan malam ini selain membawa pulang Piala FA 2011, mereka juga akan merebut status selaku Gergasi Pantai Timur sebenar.

Corak Formasi dan Taktikal.

Terengganu yang turun selaku tuan rumah menerima kehadiran kembali pemain sayap dan pertahanan mereka yang menyertai skuad kebangsaan sebelum ini. Dijangkakan tiada perubahan formasi akan dilakukan Irfan Bakti kerana keyakinan tinggi gaya yang diterapkan di Kuala Terengganu dapat memberikan kemenangan kepada Terengganu tetapi nasib malang menimpa ekoran kesilapan besar dari penjaga gol yang diturunkan.

Kelantan seperti biasa akan menggunakan taktikal 4-4-2 dan gaya ini terbukti berkesan ketika percubaan pertama dalam perlawanan Liga Super, baru-baru ini. Menariknya, Karathu memerlukan sedikit perubahan di posisi serangan dengan memasukkan rakan gandingan untuk bersama Norshahrul merobek gawang lawan. Taktikal meletakkan penyerang prolifik tersebut berseorangan didalam kotak penalti dilihat tidak membantu Sang Kijang.

Kesebelasan Jangkaan.

Terengganu.

Walaupun melakukan dua kesilapan mudah di laman sendiri ketika perlawanan Liga Super, tempat Sharbinee Alawee dalam kesebelasan utama masih terjamin. Status selaku penjaga gol skuad Kebangsaan masih memberi peluang kepada pemain ini untuk kekal di posisi utama tersebut kerana Irfan Bakti tidak akan mengambil risiko menurunkan penjaga gol kedua yang jarang diturunkan.

Pemain pertahanan terus diterajui ketua pasukan, Marzuki Yusof selaku jeneral yang bakal mengarahkan pertahanan lain untuk mempertahankan kubu pasukan mereka dari serangan pemain Kelantan. Rakan gandingan Marzuki ialah Zubir Azmi, Mazlizam Ahmad dan Muhaimin Omar selepas Khairul Helmi Remeli dirundung malang mengalami kecederaan serius.

Jentera tengah bakal diperkuatkan dengan kehadiran "Saha" Malaysia yang tidak beraksi di laman sendiri tempoh hari. Pada pertemuan malam ini, Ashaari dijangka akan digandingkan dengan Abdul Manaf Mamat serta Joseph Kalang Tie selaku pemain utama. Salah satu tempat masih belum pasti diberikan kepada Ahmad Nordin Alias kerana persembahan longlai di laman sendiri sudah tentu tidak mahu diulangi barisan kejurulatihan Terengganu. Kemungkinan tempat tersebut akan diberi kepada Ismail Faruqi yang telah memberikan sedikit masalah kepada Kelantan.

Jentera serangan pula diberi harapan kepada Abdul Hadi Yahya untuk merobek gawang Kelantan kerana kegagalan perlawanan sebelum ini harus dilupakan segera oleh penyerang yang mula meniti di bibir para penyokong Malaysia. Rakan gandingan Hadi kemungkinan diberi kepada pemain simpanan, Wan Alif Jasni.

Kelantan.

Posisi pertama penjaga gol Kelantan dijangkakan kembali menjadi milik Khairul Fahmi Che Mat walaupun persembahan cemerlang Mohd Shahrizan Ismail di Kuala Terengganu memberikan Sang Kijang 3 mata penuh.

Jentera pertahanan pula kemungkinan S. Subramaniam bakal kembali dalam posisi pertama untuk digandingkan dengan Farisham Ismail. Pertahanan kiri juga beralih dari milik Aziz Ismail kepada Zairul Fitree manakala bahagian pertahanan kanan akan terus digenggam kukuh Daudsu Jamaludin.

Mohd Badri Radzi selaku ketua pasukan dijangka mengetuai jentera tengah bersama dengan Shakir Shaari selaku "playmaker" untuk menerapkan corak taktikal yang ingin digunakan M. Karathu. Nurul "Awe" Roya turut masuk selaku pemain sayap kiri manakala S. Chanturu kemungkinan naik selaku pembantu penyerang kepada Norshahrul dengan Solehin Kanasian ataupun Mohd Izuan Salahudin diletakkan di posisi sayap kiri.

Jentera serangan yang diketuai penjaring terbanyak Liga, Norshahrul Idlan dan S. Chanturu diberi sejuta harapan oleh para peminat Kelantan untuk merobek gawang Terengganu seterusnya menjulang kejuaraan pertama dan "terakhir" Piala FA 2011.

Ramalan Keputusan
Terengganu 0-2 Kelantan

'Mat Yo' ada kenangan indah di Bukit Jalil

[ JIKA dibiarkan bebas, Norshahrul (kiri) mampu menjadi pemusnah impian Terengganu malam inii ]
BUKIT JALIL mungkin sudah terlalu biasa bagi Norshahrul Id- lan Talaha.

Perlawanan melibatkannya di sana acap kali berakhir dengan kegembiraan seperti apa yang berlaku pada final Piala Malaysia dan Piala AFF Suzuki lalu.

Sebagai pemain berpengalaman, pentas perlawanan akhir seharusnya tidak mengundang kebimbangan malah, dia tentunya lebih arif bagaimana untuk memecah gawang Terengganu yang dikemudi Mohamad Sharbinee Allawee yang juga rakan sepela- tihnya bersama skuad kebangsaan.

Dua musim bersama Kelantan, nama Norshahrul tiba-tiba melonjak dan hampir setiap hari meniti di bibir, bukan sahaja penykong Kelantan tetapi pemerhati dan pencinta bola sepak tempatan walaupun dia sebelum itu sudah bersama pasukan kebangsaan ketika mewakili UPB-MyTeam.

Kemahiran dan ketajaman yang dimiliki sebagai seorang penggempur dilihat begitu sempurna, terutamanya ketika menggelecek lawan melalui garisan belakang padang sehingga ada yang menggelarkan Norshahrul sebagai The Linesman dan peluang di- miliki di dalam kotak penalti jarang disia-siakan.

Kelibatnya di padang memberi azimat dan tonik yang cukup berharga buat para peminat sehinggakan tatkala dia terbaring di padang kerana mengalami kecederaan, pasti ramai peminat yang resah dan tidak senang duduk.

Sebagai ‘anak emas’ puluhan ribu penyokong Kelantan, misi membawa pulang Piala FA buat kali pertama ke bumi Cik Siti Wan Kembang ini pasti terarah kepada Norshahrul dan sudah pastinya mengharapkan sentuhannya mam- pu mengecewakan Terengganu.

Bagi Norshahrul atau mudah dikenali sebagai ‘Mat Yo’, dia berharap mampu mencipta gol awal untuk menaikkan semangat rakan-rakan sepasukan dan tamba- han gol untuk memadamkan harapan Terengganu.

“Sebagai pemain perlawanan akhir berbeza dengan perlawanan biasa, jadi apa yang perlu diberikan mestilah lebih daripada biasa. Semua pemain kena beri lebih daripada seratus peratus untuk memastikan kejayaan.

“Kelantan perlu mencari gol awal untuk menambahkan lagi tahap keyakinan dan kalau dilihat pada perlawanan di Terengganu tempoh hari, saya yakin kita akan dapat membawa piala tersebut pulang ke Kota Bharu,” katanya baru-baru ini.

Tambahnya, kemenangan malam ini bukan saya membolehkan mereka melakar sejarah baru bola sepak Kelantan tetapi lebih daripada itu ia adalah hadiah dan tanda penghargaan kepada seluruh peminat yang sentiasa memberi sokongan padu.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin memberitahu, tiada apa yang perlu dibimbang mengenai pertemuan menentang Terengganu malam ini kerana semua pemain sudah bersedia.

Ketika ditanya kehadiran semula Ashaari Shamsuddin yang akan turun beraksi malam ini bersama Terengganu mungkin akan memberi ancaman besar kepada Kelantan, Duadsu berkata:

“Bukan mungkin tetapi pasti. Dia (Ashaari) seorang pemain yang cukup berkualiti. Pergerakannya perlu sentiasa dirantai dan diawasi dan dia tidak boleh diberi ruang kerana dia pemain yang laju dan licik.

“Terengganu sebuah pasukan yang baik. Mereka cukup bahaya, terutamanya melalui bola tinggi dan set piece. Coach (jurulatih) dan kami sudah berbincang mengenai perkara itu dan insya-Allah kami akan menyekat mereka,” jelasnya.

Catatan Popular