Red Warriors kecewa lagi
KUALA LUMPUR – Kelantan sekali lagi kempunan untuk mendakap kejuaraan Piala FA dalam tempoh tiga tahun setelah tewas 2-1 kepada Terengganu dalam perlawanan akhir edisi ke-22 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Kekalahan kepada musuh tradisinya malam tadi mengulangi kekecewaan The Red Warriors untuk menebus kegagalan dalam percubaan pertamanya setelah tewas kepada Selangor dalam pentas perlawanan akhir dua tahun lalu.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang mencemar duli berangkat menyaksikan perlawanan akhir malam tadi, menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Gol kemenangan menerusi rembatan pemain gantian Ahmad Nordin Alias dalam masa tambahan memastikan pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu menjulang piala tersebut buat kali kedua setelah kali terakhir berbuat demikian 11 tahun lalu.
Seawal minit kesepuluh Terengganu menguji pintu gol Kelantan menerusi sepakan percuma Ismail Faruqi Asha’ri yang menyaksikan bola rembatannya terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Namun dua minit kemudian, Kelantan membalas serangan menerusi hantaran lintang oleh S Chanturu ke dalam kotak penalti yang menyaksikan tampanan kurang kemas Norshahrul Idlan Talaha membolehkan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.
Pada m-19, Abdul Hadi Yahaya terlepas peluang untuk meletakkan pasukannya berada didepan apabila gagal membaca hantaran lintang Mohamad Ashaari Samsuddin ke dalam kotak penalti biarpun Khairul Fahmi teragak-agak untuk keluar menyelamatkan hantaran tersebut.
Selang dua minit kemudian, Abdul Hadi yang berjaya melepasi perangkap ofsaid sekali lagi mensia-siakan peluang terbaiknya untuk memberi tekanan kepada pasukan Kelantan apabila rembatan kencangnya ditepis keluar Khairul Fahmi.
Pada m-24, tindakan pemain pertahanan Terengganu, Mazlizam Mohamad menjatuhkan Norshahrul Idlan diluar kotak penalti mengundang padah apabila pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan percuma kepada Kelantan. Namun sepakan Ketua Pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi pula tinggi melewati pintu gol Terengganu.
Pada m-41, Norshahrul Idlan hampir menjaringkan gol pertama Kelantan apabila rembatan kencangnya tepat ke pintu gol memaksa Mohd Sharbinee Allawee melayangkan badan untuk menepis keluar rembatan tersebut.
Namun kesilapan Khairul Fahmi yang gagal menepis keluar hantaran lintang Joseph Kalang Tie dua minit kemudian hampir membawa padah kepada pasukannya kalau tidak kerana kegopohan Mohamad Ashaari menyepak tersasar ke sebelah kanan pintu gol Kelantan selepas itu.
Minit-minit akhir babak pertama, giliran Mohd Sharbinee Allawee pula gagal menumbuk keluar sepakan percuma Mohd Nurul Azwan Roya daripada sebelah kiri pintu golnya namun Helmi Remeli pantas mengeluarkan bola daripada kawasan merbahaya.
Tiga minit babak kedua bersambung, Terengganu kembali mengasak menerusi Mohamad Ashaari yang bijak merebut bola daripada Chanturu sebelum melepaskan rembatan rendah yang sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.
Pada m-68, pemain gantian, Muhammad Ramzul Zahini Adenan mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan didepan namun rembatannya mudah ditampan keluar pemain pertahanan Terengganu biarpun Mohd Sharbinee Allawee tertewas diposisinya sebelum itu.
Pada m-79, Kelantan memperolehi gol tunggalnya apabila Mohd Nurul Azwan bijak memanfaatkan umpanan Norshahrul Idlan dengan melepaskan sepakan lambung didalam kotak penalti memerangkap Mohd Sharbinee Allawee diposisinya.
Pada m-85, Mohd Sharbinee Allawee sekali beraksi cemerlang apabila menyelamatkan rembatan kencang Norshahrul Idlan didepan pintu golnya.
Di saat puluhan ribu penyokong setia Kelantan bersedia meraikan kejayaan Kelantan menjulang piala kejuaraan tersebut, pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaluddin tertanduk masuk bola ke gawang sendiri dalam usahanya menyekat rembatan Abdul Manaf Mamat pada minit –minit akhir masa kecederaan memaksa berlawanan berlarutan sehingga ke masa tambahan.
Bayangan Terengganu untuk menjulang kejuaraan kian terpancar apabila menguasai hampir sebahagian babak pada masa tambahan. Pada minit kelapan masa tambahan, Mohamad Zharif Hasna melakukan rembatan kencang yang menyaksikan namun sedikit tersasar disebelah kiri pintu gol Kelantan.
Tiga minit kemudian, penyerang Terengganu, Abdul Manaf bijak memperdayakan dua pemain pertahanan Kelantan namun rembatannya pula sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.
Pemain gantian, Ahmad Nordin memastikan kejuaraan milik Terengganu apabila bijak menyempurnakan sepakan penjuru Mohamad Ashaari pada m-110 masa tambahan dengan merembat kencang menewaskan Khairul Fahmi kali kedua digawangnya untuk gol kemenangan Terengganu malam tadi.
Sementara itu, Ketua Pasukan Terengganu, Mohd Mazuki Yusoff diumumkan sebagai Pemain Terbaik dalam perlawanan akhir malam tadi.
Kesebelasan utama pemain :
TERENGGANU: Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Helmi Remeli, Mohd Mazuki Yusoff (KP), Mazlizam Mohamad, Mohd Zubir Mohd Azmi, Ismail Faruqi Asha’ri (Ahmad Nordin Alias), Joseph Kalang Tie, Reeshafiq Alwi, Mohamad Ashaari Samsuddin, Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahaya (Mohamad Zharif Hasna).
Formasi: 4-4-2
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Farisham Ismail, S Subramaniam (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), S Chanturu, Mohd Izuan Salahuddin (Muhammad Ramzul Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan Talaha.
Formasi : 4-5-1
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat: Terengganu (4) Kelantan (6)
Percubaan tersasar: Terengganu (4) Kelantan (4)
Sepakan penjuru: Terengganu (9) Kelantan (4)
Sepakan percuma: Terengganu (13) Kelantan (22)
Ofsaid: Terengganu (4) Kelantan (0)
Kekasaran: Terengganu (18) Kelantan (12)
Kad kuning : Terengganu (Abdul Manaf Mamat, Ismail Faruqi Asha’ri, Mohd Mazuki Yusoff, Mazlizam Mohamad dan Mohd Zubir Mohd Azmi) Kelantan (Mohd Farisham Ismail, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Shakir Shaari, Zairul Fitree Ishak dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid)
Kad merah: Tiada bagi kedua-dua pasukan.
Masa tambahan: 6 minit (tidak termasuk tambahan 30 minit)
Penguasaan bola: Terengganu (52%) Kelantan (48%).
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil: Mohd Nafeez Abdul Wahab.
Penolong Pengadil 1: Azman Ismail.
LESEN
Ahad, 12 Jun 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Catatan Popular
-
Para penyokong bersabar dahulu.Gambar dibawah ini bukanlah gambar Official jersi Kelantan musim 2013 namun kemungkinan ianya direka send...
-
Syed Adney Wira The Red Warriors Syed Adney dijulang sebagai wira The Red Warriors apabila beliau berjaya menafikan sepakan penalti pada m...
-
Peluang Kelantan Uji Barisan Utama Harimau Muda A emel Share 5 Rekod perlawanan persahabatan Kelantan bertemu Harimau Muda pada 27/12/...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan