Tiada sebab hukum Daudsu - Annuar
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak akan menghukum Daudsu Jamaluddin kerana tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba menyelamatkan pintu gol Kelantan daripada dibolosi dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu Sabtu lalu.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemain tersebut tidak sengaja melakukan kesilapan itu, sebaliknya berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan bola daripada membolosi jaring.
"Kafa tidak akan menghukum beliau di atas kesilapan yang dilakukan itu. Tiada sebab untuk dia dihukum," katanya.
Beliau merasmikan Majlis Menabur Benih Padi Musim 1/2011 di Bendang Permatang Pusu, dekat sini, semalam.
Sementara itu Annuar berkata, permohonan maaf yang dibuat Daudsu yang disiarkan oleh media kelmarin, merupakan sesuatu yang sangat baik kerana ia dilakukan secara terbuka.
Dalam perkembangan lain katanya, Kafa akan menganjurkan program 'Bersamamu The Red Warriors' yang bertujuan untuk menghargai sokongan padu yang telah diberikan oleh peminat kepada pasukan Kelantan pada 2 Julai ini di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di sini.
Katanya, pelbagai acara menarik telah disediakan untuk memeriahkan program tersebut termasuk perlawanan persahabatan antarabangsa antara The Red Warriors dengan salah sebuah kelab sama ada dari Indonesia atau Thailand.
"Saya harap semua peminat menyimpan kedua-dua keratan tiket perlawanan melibatkan Kelantan dan Perak (semalam) serta pertemuan Malaysia dengan Myanmar Sabtu ini jika mahu masuk secara percuma menyaksikan perlawanan pada 2 Julai nanti," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan