Prebiu: Kelantan Perlu Bangkit, Perak Mahu Curi Satu Mata.
Kelantan dan Perak akan bertembung dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.
The Red Warriors yang masih dalam keadaan hampa terlepas kejuaraan Piala FA buat kali kedua perlu menggunakan perlawanan ini untuk meneruskan kelangsungan pendahuluan mereka dalam saingan liga.
Manakala Perak sudah tentu mahu mengambil kesempatan keatas kekurangan semangat di kem Kelantan untuk mencuri mata di arena lawan.
Untuk rekod, pertemuan terakhir di Kota Bharu berjaya dimenangi Kelantan 2-0 dan pertemuan terakhir liga berakhir dengan kemenangan besar 4-0 Perak keatas Kelantan di Ipoh pada pusingan pertama tempoh hari.
Paling istimewa, kehadiran bekas pengendali Kelantan 2007, Norizan Bakar ke laman keramat Cik Siti Wan Kembang, bezanya ketika ini beliau membimbing skuad Seladang.
Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu juga mempunyai momen indah dengan Perak sepanjang karier kejurulatihan namun pertembungan liga perlu dihadapi secara serius.
Mahu tidak, Sang Kijang harus mencatatkan kemenangan walaupun dengan jaringan tipis seterusnya menunggu perlawanan terakhir untuk menjulang kejuaraan Liga Super buat kali pertama.
Biarpun tewas dalam keadaan mendukacitakan, Kelantan tidak boleh mengambil sikap merendah diri keatas pasukan lawan yang telah memalukan mereka pada pusingan awal. Mereka perlu menganggap setiap perlawanan yang dilalui terus sukar biarpun beraksi di gelanggang sendiri.
Datuk M. Karathu dijangka mengekalkan kesebelasan terbaik seperti perlawanan akhir Piala FA dan berharap barisan pemain ini dapat mencari tiga mata penuh untuk terus bertakhta di persada liga. Formasi 4-4-2 dengan taktikal menyerang akan digunakan. Pemain diminta untuk mencari gol awal untuk mengelakkan kempunan pada saat terakhir.
Perak seperti sediakala mampu menjadi pasukan penghalang andai pihak lawan mengambil mudah barisan pemain sedia ada. Diketuai Norizan Bakar, Perak hadir dengan pemain terbaik dihimpunkan dalam satu pasukan. Dijangka, Norizan akan menggunakan formasi 4-4-2 untuk mengancam kubu pasukan Kijang.
Dijangka Mohd Shahrizan Ismail mengambil alih posisi nombor satu bagi memberi laluan kepada Khairul Fahmi bersama skuad negara. Tugasan kedua akan dipikul Norhadi Ubaidillah manakala Halim Napi terus mengekalkan status selaku penjaga gol ketiga dibelakang dua pemain ini.
Kawasan pertahanan pula mempertaruhkan Farisham Ismail dan S. Subramaniam selaku pemain utama selepas dua gandingan ini terbukti berkesan untuk mengawal kawasan bawah. Ketenangan Subra dan kelasakan Farisham mengejar pemain lawan diharap berterusan. Posisi pertahanan kiri kemungkinan ada perubahan dimana Aziz Ismail dijangka diletakkan dalam kesebelasan utama manakala Zairul Fitree kemungkinan bermula di bangku simpanan. Pemain pertahanan kanan, Daudsu Jamaludin terus diletakkan dalam kesebelasan utama dalam perlawanan menentang Perak.
Jentera tengah turut tidak terkecuali mengalami satu atau dua perubahan. Dijangka ketua pasukan, Mohd Badri Radzi terus mengetuai pasukan bersama dengan Shakir Shaari di bahagian tengah. S. Chanturu yang bermain selaku penyerang sejak kebelakangan ini mungkin diletakkan di posisi asal manakala penjaring gol pertama final FA, Nurul Azwan Roya turut dimasukkan selaku pilihan pertama. Mohd Izuan Salahudin kembali memanaskan bangku simpanan bersama dengan Solehin Kanasian serta Danial Fadzly Abdullah.
Penyerang Kelantan dijangka tiada perubahan drastik dilakukan kecuali kemasukan Ramzul Zahini Adenan kedalam skuad utama pasukan. Ramzul akan diletakkan disamping Norshahrul Idlan dan mereka berdua diharapkan mampu merobek gawang Perak untuk sekurang-kurangnya dua gol.
Kem Perak pula bakal mempertaruhkan Nasril Nourdin selaku penjaga gawang utama bagi menghalang kemaraan penyerang pasukan Kelantan. Nasril menjadi pilihan selepas penjaga gawang kedua, Kamarul Effendy masih belum dapat menyakinkan pasukan mengapa dia wajar diturunkan dalam kesebelasan utama.
Barisan benteng Perak bukan calang-calang kerana mereka dibarisi beberapa pemain pertahanan terbaik digabungkan dengan pemain muda yang direkrut dari skuad remaja. Kemungkinan empat pertahanan Perak bakal diketuai Mohd Syazwan Roslan dan Mohd Khairi Zainudin. Dua lagi tempat bakal diisi Mohd Norhazrul Mustapha serta Muhammad Syahman Zainudin.
Jentera tengah Perak dijangka tiada perubahan besar-besaran bakal dilakukan walaupun beberapa pemain utama mula menunjukkan prestasi menjunam. Shahrulnizam Mustapha kekal selaku ketua pasukan bakal dibantu Isma Alif Abu Salim, Mohd Fazrul Hadi dan K. Nantakumar di posisi tengah. Ke-empat pemain ini diberi peranan untuk melakukan serangan balas kearah pintu gol tuan rumah dan melakukan jaringan andai penyerang yang akan diturunkan diikat jentera pertahanan Kelantan.
Seperti kebiasaan, Akmal Rizal Rakhli yang kembali menemui sentuhan jaringan bakal terus diberi tanggungjawab berat untuk melakukan jaringan gol keatas bekas pasukannya. Akmal sudah membuktikan bahawa bisa penyudah dihadapan gawang masih belum lagi berkarat dengan beberapa jaringan penting kepada Perak dalam perlawanan sebelum ini. Rakan gandingan Akmal masih belum dipastikan kerana Syafiq Jamal bakal mendapat tentangan sengit dalam perebutan skuad dengan pemain muda, Mohd Syazuan Asraf Mathews. Pemain ini sudah meledak beberapa jaringan selain membantu kepada berlakunya tiga jaringan gol buat Sang Seladang.
Para penyokong Kelantan yang kecewa dengan keputusan perlawanan perlu terus berada di belakang pasukan dalam perlawanan getir menentang Perak. Sokongan penyokong sangat diperlukan dikala para pemain sedang melalui saat sukar dalam karier bola sepak mereka. Semua penyokong perlu akur dengan kekalahan lalu dan diminta memberi peluang kepada pemain membuktikan bahawa takhta Liga Super terus menjadi milik mereka sampai akhir saingan nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan