KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 8 Mac 2011


Piala Presiden 2011
President Warriors Benam Selangor



Skuad Piala Presiden Kelantan mengutip tiga mata penuh selepas membenam Selangor 2-0 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Babak pertama perlawanan membuktikan kesungguhan Kelantan untuk mencari gol awal dan percubaan pada minit pertama dari Farhan Yaacob terkena palang gol sebelum tindakan susulan Norshahrul Hawari diselamatkan Hafiz Azhar diatas garisan gol.

Selangor pula hampa apabila sepakan percuma Hafiz Azhar dari jarak 30 meter pada minit ke-36 terus kepada Judtanna Eh Put.

Sepakan percuma Khairul Izuan Rosli pada minit ke-40 melewati palang gol.

Bersambung babak kedua, Khairul Izuan Rosli melakukan cubaan pada minit ke-46 tetapi sedikit meliar.

Tiga minit kemudian, Selangor turut berpeluang melalui Hafiz Izhar namun turut tersasar.

Kelantan hampir didepan pada minit ke-61 tetapi Azyu Ikmal menyaksikan cubaannya ditampan Reuban Karthipillar diatas garisan gol.

Sepakan Aris Zaidi dari jarak dekat pula ditampan keluar penjaga gol Selangor, Mohamad Shafizullah pada minit ke-65.

Selang dua minit kemudian, percubaan lencong Nick Chan terkena palang gol manakala sepakan gunting Aris Zaidi hasil keadaan kelam kabut didalam kotak penalti pada minit ke-72 turut menggegarkan palang gol Selangor.

Aris Zaidi terus hampa apabila gerakan solo didalam kawasan penalti selepas menggelecek tiga pemain pertahanan Selangor disudahkan dengan percubaan tinggi pada minit ke-72.

Tuan rumah akhirnya didepan pada minit ke-76 selepas Aris Zaidi menyempurnakan sepakan penalti yang dianugerahkan pengadil selepas Tuan Mohamad Norhafizie dikasari Choi Soon Seng didalam kotak.

Gol pertama menyemarakkan semua pemain Kelantan untuk memburu jaringan seterusnya dan hasil satu hantaran lintang Tuan Mohamad Norhafizie pada minit ke-83, tandukan bebas Mohamad Izuan Salahudin sedikit tinggi walaupun penjaga gol Selangor sudah tertewas.

Tidak berputus asa ketinggalan, Selangor hampir menyamakan kedudukan selepas Muhamad Zulhisyam yang mendapat hantaran dari Mohamad Akhbar Khamis melepaskan peluang keemasan tersebut walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol Kelantan, Judtanna Eh Put.

Usaha demi usaha memburu jaringan kedua akhirnya berhasil apabila Tuan Mohamad Norhafizie berjaya melepaskan satu sepakan leret dari luar kotak penalti selepas menggelecek empat pemain pertahanan Selangor pada minit ke-89.

Percubaan meliar Azyu Ikmal pada minit akhir masa tambahan menutup perlawanan dengan Kelantan memungut tiga lagi mata dalam saingan Piala Presiden kumpulan A.

Tujuh kad kuning dilayangkan pengadil, Ismadi Ibrahim kepada kedua-dua pasukan.

Kesebelasan Utama:

Kelantan: Zahasmi Ismail
Judtanna (Pg), Faiz Suhaimi, M. Khairul Izuan, Muizzudin Marzuki, Md, Farhan Yaacob, Md Zamri Ramli, Mohd Aris Zaidi, Nick Chan, Nik Md Shahrul Azim (Kp), Md Norsyahrul Hawari dan Muhamad Izuan Salahudin.

Selangor: P. Somansundram
Md Shafizullah (Pg), Reuben Kathiripillai (Kp), K. Prabakaran, Hafif Azhar, Muhamad Farfizan, Mohamad Asraf, Mohammad Mazwan, Choi Ho0n Seng, Shafiq Azri, Muhammad Zulhisyam, dan Mohd Jamiudin.

Statistik Perlawanan

Kad Kuning
Kelantan 3-4 Selangor

Kad Merah
Kelantan 0-0 Selangor

Sepakan Sudut
Kelantan 9-5 Selangor

Sepakan Percuma
Kelantan 22-25 Selangor

Percubaan
Kelantan 11-5 Selangor

Offside
Kelantan 4-1 Selangor

Posisi Bola (%)
Kelantan 55-45 Selangor

Malaysia mampu menang - Khairul Fahmi

SEPANG - Kapten skuad negara, Khairul Fahmi Che Mat optimis kemenangan mampu milik Malaysia pada aksi perlawanan kelayakan kedua menentang skuad Olimpik Pakistan di Stadium Punjab, Lahore, esok.

Janji penjaga gol sensasi negara itu, dia akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan gawang negara daripada dibolosi jentera serangan Pakistan yang dijangka memberikan aksi lebih sengit berbanding perlawanan pertama di Stadium Shah Alam, bulan lalu.

Keupayaan bahagian pertahanan menangkis serangan Pakistan pada perlawanan pertama tersebut membuatkan Khairul Fahmi bertambah yakin untuk mendapatkan kejayaan di Lahore.
Menurut Khairul Fahmi, segala pengalaman beraksi di pentas dunia termasuk kejayaan memperoleh kemenangan dalam Piala Suzuki AFF 2010 bersama skuad kebangsaan akan dimanfaatkan sebaiknya pada perlawanan esok.

Katanya, pasukan negara perlu mendapatkan gol awal pada perlawanan esok bagi memastikan keyakinan pemain berada di tahap terbaik sebelum boleh mendapatkan kemenangan.

''Pemain juga perlu sentiasa berwaspada dengan corak permainan Pakistan pada perlawanan Rabu ini kerana kita tidak boleh terlalu selesa dengan dua gol yang kita ada setakat ini.

''Jurulatih juga ada memberikan pesanan pada kami agar lebih banyak bersabar pada perlawanan itu nanti selain yakin dengan keupayaan sendiri ketika beraksi di tempat lawan,'' katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Dalam pada itu, Khairul Fahmi berkata, kesemua pemain yang akan ke Lahore berada pada tahap yang terbaik selain bersemangat untuk beraksi pada perlawanan kedua esok.

''Latihan persediaan yang kita lakukan sebelum ini juga membuatkan kami bertambah yakin untuk menghadapi Pakistan walaupun tahu pasukan lawan tidak akan mudah memberikan kita kemenangan.

''Saya harap tidak ada apa-apa masalah semasa perlawanan berlangsung dan apa yang paling penting kami perlu fokus kepada tugas masing-masing,'' kata Khairul Fahmi.

Minat Khairul, sambar Safee

SAFEE SALI bukanlah permata dicari kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya pada peringkat awalnya, namun dia tetap bersinar di arena bola sepak negara jiran itu yang tersungkur di kakinya pada final Piala AFF Disember tahun lalu.
Tanpa niat memperkecil kemampuan Safee, Pengurus Pelita Jaya, Lalu Mara Satriawangsa mendedahkan pasukan itu sebenarnya terpesona dengan ketangkasan penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

“Kami pada awalnya mahukan penjaga gawang, Khairul Fahmi yang tangkas di benteng terakhir Malaysia pada final Piala AFF,” kata Lalu Mara.

“Saya turut terpesona dengan reaksinya yang pantas bertindak balas menangkap atau menepis bola. Tapi apakan daya amat sukar untuk mendapatkannya kerana pasukan asalnya (Kelantan) bagai tidak mahu melepaskan.
“Malah, di Pelita Jaya, antara kami sendiri ada juga yang tidak bersetuju membawa penjaga gol import kerana berasakan penyerang baru diperlukan untuk memulihkan semula reputasi pasukan yang berada di tangga paling corot ISL,” kata Lalu Mara.

Selepas melihat aksi Safee pada perlawanan pertama, Lalu Mara berkira-kira untuk membawa pemain tengah dari Malaysia, untuk mencipta peluang menjaringkan gol buat penyerang itu.

“Sekarang saya lihat Safee kurang mendapat umpanan yang membolehkannya menjaringkan gol. Kalau dia mampu memujuk rakannya dari Malaysia yang serasi dengannya saya sedia memberitahu pihak pengurusan untuk melaksanakan tindakan seterusnya,” kata Lalu Mara yang juga terpikat dengan aksi Nurshahrul Idlan Talaha dan Shafiq Rahim.

Begitupun, segala-galanya sudah terjawab dengan jaringan pertama Safee pada penampilan pertama di Stadium Singaperbangsa, Karawang.

Penyerang yang menjadi fenomena baru anak muda, gadis sunti dan ibu bapa di seluruh Indonesia itu membuktikan tuahnya ada di sana.

Jika di penghujung tahun lalu, Safee menjadi petualang buat Indonesia, kini namanya diangkat menjadi wira pasukan Pelita Jaya biarpun baru tiga minggu berada bersama kelab yang tidak berdaerah itu.

Malah, jurulatih, Miodrag Radovic mengaku mahu Safee terus bersama kelab itu untuk musim depan.

“Saya sukakan sikap dan gaya permainan Safee. Dia juga menjadi contoh yang baik buat pemain muda Pelita Jaya dan saya tidak teragak-agak mengatakan bahawa namanya tersenarai dalam perancangan saya untuk musim depan. Saya mahu dia berada lebih lama di kelab ini,” kata Miodrag.

Kontrak setahun Safee akan berakhir pertengahan musim depan dan jika benar Miodrag mahukannya kekal, ini bermakna Safee akan ditawarkan kontrak baru sehingga penghujung 2012.

Safee yang ditemui pula berkata, dia akan menilai terlebih dulu tawaran itu kerana dia ada misi tersendiri.

“Tengoklah macam mana tawarannya. Jika saya menerima tawaran kelab lain yang lebih baik sudah tentu saya pertimbangkan untuk beralih arah kerana saya mahukan lebih banyak pengalaman,” kata Safee.

Selepas menjaringkan satu gol ketika menentang Sriwijaya tiga hari lalu, Safee pastinya digeruni pasukan lain, apa lagi menjelang pertemuan menentang pasukan besar Persib Bandung di Karawang, Sabtu ini.

Menurut kakitangan kelab Pelita Jaya, pertembungan menentang Persib Bandung sentiasa sengit kerana ia membabitkan pertemuan dua musuh berjiran. Malah, Persib yang berpangkalan di Bandung lebih dekat dengan Karawang berbanding Pelita Jaya yang berlatih di Sawangan, Selatan Jakarta.

Isnin, 7 Mac 2011

Kelantan mln Selangor



Skuad muda Kelantan, President Warriors menerima cabaran getir apabila menerima kunjungan Selangor di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.

Cuti rehat hampir dua minggu saingan ini sudah pasti digunakan sebaik mungkin Zahasmi Ismail dan Hamid Ramli untuk memperbaiki tahap kelemahan pasukan Kelantan. Ketika ini, Sang Kijang merupakan antara pasukan yang mencabar kedudukan liga dan tiga mata penuh wajib diraih keatas Merah Kuning.

Saat ini, pasukan muda dari Cik Siti Wan Kembang tersebut bebas dari masalah kecederaan selain dapat menggunakan hampir kesemua pemain utama yang diturunkan dalam perlawanan sebelum ini.

Sandaran utama sudah tentu diletakkan kepada Aris Zaidi dan Mohd Izuan Salahudin untuk meneruskan aksi cemerlang mereka seterusnya membawa Kelantan ke puncak liga. Dengan bantuan dari pemain berpengalaman di Liga Super seperti Zamri Ramli, Khairul Izuan Rosli serta Tuan Mohd Norhafzie, dijangkakan Kelantan mampu mencatatkan kemenangan keatas Selangor.

Berbeza di kem Selangor apabila moral para pemain muda mereka sedikit merudum ekoran persembahan hambar dalam tiga perlawanan. Mencatatkan dua seri dan satu kalah, Merah Kuning hanya mampu berada di kedudukan tiga terakhir dan perlawanan menentang Kelantan semestinya mahu dihadiri dengan tekad memungut sekurang kurangnya satu mata.

Rekod pertemuan terakhir pada 2009, mereka menundukkan Kelantan di Kota Bharu dengan jaringan 2-1 dimana ketika itu mereka menerima bantuan dari beberapa pemain yang beraksi di Liga Super namun ketika ini, sukar buat Selangor untuk mengulangi pencapaian tersebut sementelah Kelantan pasti turun habis-habisan di hadapan penyokong sendiri.

Bagi Kelantan pula, tiada perbezaan diantara Selangor dan mana-mana pasukan yang bertandang ke gelanggang keramat mereka kecuali satu niat yakni kemenangan yang perlu diraih untuk mencerahkan tempat mereka ke saingan kalah mati penghujung musim nanti.

Berdasarkan penilaian pemain semasa, Zahasmi Ismail dijangka tidak melakukan perubahan drastik dalam pasukan dengan menggunakan pemain sama seperti perlawanan sebelum ini. Di posisi penjaga gol, Judtanna Eh Put kekal selaku penjaga gawang nombor satu.

Manakala barisan pertahanan pula terus diterajui kapten pasukan, Nik Shahrul Azim bersama dengan Tuan Mohd Norhafizie, Faizol Nazlin dan Faiz Suhaimi. Jikalau ada pertukaran sekali pun, kemungkinan hanya Shafiq Haikal akan dimasukkan di posisi permulaan mengantikan Faizol.

Jentera tengah dilihat kukuh apabila khidmat Zamri Ramli, Nick Chan, Izuan Rosli dan Izuan Salahudin dapat digunakan dalam pertemuan ini. Keempat-empat pemain ini mempunyai kredibiliti tersendiri terutamanya Nick Chan yang mempamerkan persembahan mantap dalam dua perlawanan sebelum ini untuk membantu Kelantan menewaskan Kedah serta seri dengan Perlis di Kangar. Malah, kelibat Zamri dan Izuan Rosli turut mendapat perhatian kem Selangor kerana dua pemain ini sudah terbukti bisa mereka di peringkat tertinggi.

Jentera serangan tiada dilema buat Zahasmi kerana bisa Aris Zaidi dan Norfarhan Yaacob sudah terbukti memberikan Kelantan kelajuan di bahagian serangan. Tambahan penyerang simpanan seperti Azyu Ikmal serta Mohd Norhafifi Othman bakal menjadikan jentera serangan Kelantan antara jentera paling mantap dalam Liga Piala Presiden setakat ini.

Bagi Zahasmi, formasi 4-4-2 bakal diteruskan dengan mengharapkan pemain tengah mampu merencana gerakan kearah kubu pasukan pelawat. Kemungkinan juga pengendali Kelantan ini mahu menggunakan taktikal melalui bola mati dengan menharapkan gol melalui sepakan percuma. Jangkaan President Warriors akan melakukan banyak serangan melalui posisi sayap dan mengharapkan pemain penyerang yang diturunkan dapat menggunakan kesilapan atau peluang yang diperoleh untuk menjaringkan gol.
Kelantan Lebar Rekod Bersih.



The Red Warriors melebarkan rekod bersih tanpa kalah di tempat lawan selepas mengharungi hampir 40 perlawanan setakat ini.

Bukan mudah buat Kelantan untuk mencipta rekod setelah melalui pelbagai insiden dan kontroversi sepanjang aksi liga yang berlangsung.

Siapa sangka, skuad ciptaan Presiden KAFA bermula dari 2007 semakin menunjukkan hasil lumayan sehingga meletakkan Kelantan antara kuasa besar bola sepak negara.

Bermula dengan kejayaan bersejarah muncul johan dalam Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih serta merangkul anugerah naib juara dalam Liga Super, Piala Malaysia serta Piala FA, rekod diteruskan lagi dengan aksi tanpa kalah di arena lawan.

Rentetan kejayaan yang dilalui setakat ini tidak mustahil Kelantan mampu meneruskan aksi konsisten sepanjang beraksi di gelanggang lawan.

Sekalung pujian buat semua pemain yang bertungkus lumus memastikan pasukan Kelantan mencipta sejarah demo sejarah bermula dari 2010 sehingga kini.

Info Piala FA 2011

Stadium Sultan Muhammad ke-IV akan menjadi gelanggang utama saingan suku akhir Piala FA 2011 untuk kedua-dua perlawanan yang melibatkan Kelantan dan Felda United.

Ini kerana Stadium Cheras 'tidak dapat digunakan' oleh sebab-sebab teknikal.Kelantan dilihat mempunyai kelebihan kerana bermain ditempat sendiri dan bakal disaksikan puluhan ribu tentera merah.

Perlawanan tersebut akan berlangsung pada 15 dan 19 mac ini dengan format timbal balik.

NorShahrul juga


Norshahrul Idlan Talaha
Pelita Jaya minat dapatkan penyerang Kelantan untuk diganding dengan Safee


SELEPAS aksi cemerlang Safee Sali pada penampilan sulung bersama Pelita Jaya FC kelmarin, pengurusan pasukan itu kini mula berkira-kira untuk memancing seorang lagi penyerang negara bagi digandingkannya.


Gandingan mantap bekas penyerang Selangor itu ketika mewakili negara di Piala AFF Suzuki Disember lalu – Norshahrul Idlan Talaha – dikatakan mampu mempertajamkan lagi barisan serangan Pelita Jaya musim depan andai kontrak Safee dilanjutkan.


Ahad, 6 Mac 2011

Kijang gah di puncak

KETIKA hukuman penggantungan jurulatih Kelantan, B Sathianathan dikekalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak sampai seminggu sepak mula Liga Super bermula, ramai yang menganggap bala menimpa gergasi Pantai Timur itu.

Tapi selepas enam perlawanan liga musim ini berlangsung, skuad The Red Warriors yang kini dikendalikan Datuk M Karathu membuktikan bahawa telahan itu tidak benar sama sekali apabila mereka gah mendominasi puncak liga.

Dengan rekod tanpa kalah selepas mencatat empat kemenangan dan dua seri bagi mengumpul 14 mata sudah cukup membuktikan Kelantan antara pasukan pilihan untuk muncul juara musim ini biarpun saingan masih jauh.
Malah mereka membuktikan jentera serangan yang diketuai penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha cukup ampuh setakat ini dengan 13 gol keseluruhan.

Namun Kelantan terus diekori rapat Perak yang mencipta kebangkitan di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar musim ini.

Ketika saingan dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada saingan Piala FA dan persiapan skuad Olimpik negara, skuad Seladang itu boleh tersenyum dengan rekod tanpa kalah dan hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga.
Satu lagi wakil Pantai Timur, Terengganu turut mengancam di awal saingan dengan menduduki tempat ketiga dengan 11 mata selepas hanya kalah sekali kepada juara bertahan Selangor pada perlawanan keempat liga.

Selangor yang lebih mendapat tumpuan dengan isu perpindahan tonggak utama, Mohd Safee Sali pula berkongsi mata dengan Terengganu dan pasukan kelab, Felda United.

Walaupun saingan masih awal, namun tekanan kuat dirasai beberapa jurulatih sehingga menyaksikan Mosthakeen Omar mengambil keputusan meletak jawatan selepas melihat Perlis terperosok di tangga terbawah liga selepas gagal mencatat sebarang kemenangan.

Selain Mosthakeen, kedudukan jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan juga dilaporkan goyah selepas aksi hambar dengan tiga kekalahan walaupun membawa masuk beberapa pemain seperti Hairuddin Omar dan Ahmad Fakri Saarani.

Dan pastinya saingan serta tekanan ini akan menambah kerancakan Liga Super yang akan bersambung semula pada 11 Mac depan dengan mempertemukan Johor FC dan Kuala Lumpur disusuli enam lagi perlawanan sehari selepas itu.

Sementara itu, saingan Liga Perdana turut mencuri perhatian dengan memperlihatkan kehebatan Selangor PKNS melakar kemenangan dalam kesemua lima perlawanan setakat ini.

Bagaimanapun pasukan di tangga kedua, ATM boleh merapatkan jurang kepada satu mata jika berjaya menewaskan pasukan pendahulu itu dalam perlawanan tumpuan pada 11 Mac depan di gelanggang lawan.

Salah satu daripada tiga pasukan negeri yang bermain dalam Liga Perdana musim ini, Sarawak menduduki tangga ketiga dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dengan rekod jaringan terbanyak, 15 gol.

Johor yang mara ke suku akhir Piala FA berpeluang untuk memperbaiki kedudukan tempat ketujuh jika mampu menewaskan pasukan di tangga keempat, USM di laman sendiri selepas ini.

Dalam pada itu, penyokong Pulau Pinang pula ada sebab untuk berasa geram apabila menyaksikan pasukan kesayangan mereka terperosok di dasar liga tanpa sebarang kemenangan dan jika keputusan itu berterusan tidak mustahil angin perubahan akan berlaku dalam skuad Harimau Kumbang itu.

Sabtu, 5 Mac 2011

Kelantan Layak Ke Suku Akhir

PASIR GUDANG – Pendahulu Liga Super, Kelantan mudah melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA semalam apabila mengetepikan Johor FC dengan jaringan 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium J-Corp, Pasir Gudang, malam tadi.

Kelantan yang membariskan hampir kesemua kesebelasan utama mereka kecuali penjaga gol utama kebangsaan, Mohd Khairul Fahmi yang diganti penjaga gol kedua negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Mohd Sharizan Ismail.

Kelibat pemain jersi nombor 12, Mohd Nurul Azwan Roya dan pemain kebangsaan, NorShahrul Idlan Talaha nyata membuatkan pasukan tuan rumah goyah pada separuh masa pertama.

Gol sulung skuad Kijang muncul hasil tandukan kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi yang menyambut kemas hantaran silang Nor Shahrul Idlan Talaha pada minit ke-9.

Mohd Badhri hampir menambah satu lagi gol melalui sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-25 namun gagal apabila berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Johor FC, Mohd Anis Faron.

Sokongan padu diiringi pukulan gendang penyokong skuad kijang membuatkan barisan anak buah M Karathu semakin rancak melancarkan serangan.

Usaha anak buah bimbingan Azuan Zain untuk menyamakan kedudukan hampa apabila sepakan percuma pemain nombor 15, Mohd Riduwan Maon pada minit ke-43 gagal disempurnakan.

Perlawanan semalam turut dicemari beberapa oleh beberapa insiden kecil apabila penyokong kedua-dua belah pasukan saling melakukan provokasi antara satu sama lain pada waktu rehat sebelum separuh masa kedua bermula namun kecekapan polis berjaya mengawal keadaan.

Babak kedua menyaksikan penjaga gol Kelantan terpaksa bekerja keras dalam memastikan gawang tidak dibolosi ekoran asakan bertali arus yang dilancarkan oleh pemain tuan rumah, Johor FC.

Pasukan pelawat yang menguasai perlawanan hampir menambah mata namun sepakan padu Mohd Badhri tepat di hadapan gawang gol berjaya di tangkis keluar oleh Mohd Anis.

Pemain nombor 11 Johor FC, Khairi Kiman hampir membuatkan pasukan pelawat berada di kedudukan selesa apabila hampir menyumbat gol sendiri pada minit ke-76 apabila cuba menghantar bola kepada penjaga gol namun bernasib baik apabila tandukannya itu hanya terkena tiang gol.

Pasukan tuan rumah terus tempang apabila hanya beraksi dengan 10 pemain setelah pemain gentian, Wan Mohd Haoesne Wan Hassan dilayangkan kad merah pertama perlawanan setelah mengasari Mohd Bahdri pada minit ke-79.

Namun pada minit ke-80, pengadil perlawanan, Mohd Yusoff Mat Karim terpaksa memberhentikan perlawanan selama dua minit berikutan insiden baling botol daripada penyokong tuan rumah.

Insiden itu menyebabkan rentak pasukan tuan rumah terganggu.

Sementara itu, Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu ternyata menjadi orang yang paling gembira sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan pengadil berikutan kejayaan pasukannya mengekalkan pencapaian rekod tanpa kalah dalam musim ini apabila pasukannya menewaskan tuan rumah Johor FC 1-0.

“Perlawanan ini adalah penting bagi Piala FA dan sememangnya pasukan kami mengejar kemenangan bagi mengekalkan rekod tanpa kalah yang dipegang sekarang.

“Aksi babak separuh masa pertama kita mempunyai banyak peluang, namun sekadar memperoleh satu gol sahaja sehingga masa penamat.

“Apa yang pasti, pasukan Kelantan berjaya melangkah ke perlawanan suku akhir dan saya tidak mahu mengulas lebih lanjut berhubung insiden layangan kad merah kepada pemain Johor FC,” katanya.

Bagi Jurulatih Johor FC, Azuan Zain berkata, secara keseluruhan pasukannya sudah bermain dengan baik dan persembahan anak buahnya wajar mendapat pujian walaupun kalah kepada pasukan pelawat.

“Saya melihat pasukan ini mempunyai masalah pada barisan serangan kerana setiap peluang yang hadir pada babak separuh masa pertama dan kedua sering kali tidak menemui penyudahnya malah ia berlaku di setiap perlawanan.

“Pasukan saya tidak mempunyai sebarang masalah di bahagian tengah dan pertahanan. Kita menerima padah apabila barisan depan gagal menjaringkan gol,” katanya.

Selain itu, Azuan ketika mengulas insiden layangan kad merah kepada Wan Mohd Hoesne Wan Hassan berkata, pengadil sewajarnya perlu memberikan kad kuning (amaran).

“Saya tidak berapa jelas dengan tindakan yang dibuat olehnya (Wan Mohd Hoesne) kepada pemain pelawat malah jika terjahan dibuat itu keras, sudah pasti pemain pelawat tidak boleh bermain lagi,” katanya.

Catatan Popular