KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 3 Jun 2010

Ulasan perlawanan: Seladang Terkulai, Kijang Melompat Tinggi



Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya

Tiga mata berjaya dikutip Kelantan apabila garang membenam Perak 2-0 di Stadium Sultan Muhamad ke-IV, Kota Bharu, malam semalam.

Gol jaringan Norfarhan Mohamed pada awal babak kedua dan Hairudin Omar di minit akhir perlawanan mengesahkan kemenangan Kelantan dihadapan puluhan ribu penyokong setia Red Warriors yang bertandang ke stadium.

Kemenangan ini meletakkan Kelantan selesa di kedudukan kedua Liga Super mengutip 45 mata setelah pasukan jiran, Terengganu terikat 1-1 dengan Negeri Sembilan di Kuala Terengganu.

Kelantan menyerlahkan penguasaan keatas anak didik Raja Azlan apabila melakukan percubaan pertama melalui tandukan Akmal Rizal namun sedikit tersasar pada minit ke-11.

Selang beberapa minit kemudian, percubaan Norfarhan pula terus ke dakapan gol pelawat, Khairul Izwan.

Gandingan Badri Radzi dan Indra Putra hampir membuahkan hasil pada minit ke-23 apabila kuisan kaki kanan Indra sedikit melepasi palang gol ketika pertahanan dan penjaga gol Perak sudah tertewas.

Badri Radzi turut hampa apabila sepakan percuma lencong sedikit dari luar kotak penalti tangkas ditepis Khairul Izwan.

Perak yang mempertaruhkan penyerang berasal dari Kelantan, Saufi Saadi untuk bergandingan dengan Khairul Izzat dan Nazri Kamal bagaimanapun turut mempunyai peluang keemasan namun kegopohan selain kegagalan mengawal bola dengan baik menyaksikan beberapa peluang terhidang dilepaskan begitu sahaja.

Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-30 apabila Shafuan Adli merembat dari luar kotak penalti tetapi terus kedakapan Khairul Fahmi Che Mat.

Tandukan Akmal Rizal dan sepakan meliar Rizal Fahmi pada saat akhir menutup babak pertama dengan kedudukan 0-0.

Bersambung babak kedua, Norfarhan Mohamed menceriakan hampir 20 ooo penyokong Kelantan apabila rembatan kaki kanan hasil umpanan Norshahrul Idlan Talaha dari luar kotak penalti terus menerjah jaring.

Selepas gol tersebut, pemain Kelantan bagaikan hilang punca apabila beberapa gerakan yang sepatutnya menghasilkan gol gagal diterjemahkan kedalam jaring.

Bermula dengan kegagalan Akmal Rizal menampan masuk bola tandukan sipi Indra Putra, Shahrul pula menyepak tinggi ketika berseorangan di dalam kotak penalti.

Selepas percubaan tersebut, pemain Kelantan mulai tertekan dan ruang ini digunakan pemain Perak untuk melakukan beberapa serangan kearah kubu Kelantan.

Mereka mempunyai dua ruang melalui Khairul Izzat namun digagalkan terjahan bersih Rizal Fahmi dan peluang tandukan dari Thevagaran berjaya dikeluarkan Azizi Mat Rose.

Sepuluh minit terakhir, Kelantan kembali mendapat rentak apabila melancarkan serangan melalui pemain gantian Hairudin Omar dan Khairan Eroza.

Khairan melepaskan sepakan padu dari luar kotak lepas sedikit dari palang manakala Hairudin menyepak keluar bola hantaran lintang Daudsu Jamaludin walaupun berhadapan dengan Khairul Izwan pada minit ke-82.

Hairudin Omar akhirnya menebus kembali kesilapan tersebut pada masa tambahan apabila bijak merembat rendah memperdayakan Khairul Izwan untuk gol kedua Kelantan.

Tiga kad kuning dilayangkan pengadil, Ahmad Boestaman iaitu dua kepada Kelantan dan satu kepada Perak.

B. Sathianathan yang ditemui selepas perlawanan lega dengan persembahan anak didiknya kerana menampilkan aksi yang berdisiplin dan berjaya memberi tekanan kepada pemain Seladang.

Cuma selepas gol pertama, Kelantan memperlahankan rentak menyebabkan pasukan pelawat berjaya mengatur beberapa gerak. Tetapi keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan pemain kita.

Kesebelasan Utama:

B.Sathianathan

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Azizi Matt Rose, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail,Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Norfarhan Muhammad, Muhd Badhri Radzi (Cik Hisamuddin Hassan), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Hairuddin Omar) dan Norshahrul Idlan Talaha.

Y.M Raja Azlan Raja Shoib

PERAK : Khairul Izwan Mohamed Jamaludin, S Sathiakumaran, K Nanthakumar (KP), Khairul Izzat Jamaluddin, Mohd Syazwan Roslan, Mohd Arif Ismail, Shahrizal Saad, Wan Azwari Wan Nor, Mohamad Khalis Ibrahim, Muhammad Nazri Mohd Kamal (Isma Alif Mohd Salim), dan Mohd Saufi Sa’aidi (Thevaggaran).


LIGA SUPER 2010:KELANTAN VS PERAK



Kelantan belum mahu menyerah kalah


HAIRUDDIN ((kanan) turut mencatat nama sebagai penjaring gol pada aksi di Kota Bharu kelmarin.


KELANTAN meneruskan misi 'menghambat' peneraju takhta, Selangor walaupun ketinggalan lapan mata dengan menundukkan Perak 2-0 di laman sendiri malam kelmarin, lapor KHAIRI MOHAMAD.

Walaupun sedar gergasi Lembah Klang itu kini berada dalam kedudukan selesa, namun pemain The Red Warriors masih optimis untuk mengakhiri liga dengan satu pencapaian yang mampu dibanggakan biarpun sekadar bergelar naib johan.

Babak pertama perlawanan menyaksikan Kelantan gagal menembusi pertahanan Perak yang begitu utuh bertahan walaupun jentera hadapan yang diketuai oleh Norshahrul Idlan Talaha mencipta beberapa peluang.

Kelantan akhirnya membuka tirai jaringan menerusi Norfarhan Mohamad tiga minit babak kedua bermula sebelum Hairuddin Omar turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit-minit terakhir permainan.

Bagaimanapun, Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain 10 minit sebelum perlawanan berakhir apabila pemain gantian ketiga, Che Hishamuddin Hassan diusung keluar selepas sikunya terseliuh akibat terjatuh.

Bagi ketua jurulatih Kelantan, B.Sathianathan, kebangkitan anak-anak buahnya pada babak kedua sekali lagi membuktikan mereka memiliki semangat yang luar biasa.

"Apa lagi yang saya boleh katakan? Kelantan sebuah pasukan yang baru dibentuk, mereka (pemain) sentiasa bekerja keras dan tidak pernah berputus asa untuk mencari gol. Mereka layak untuk menang.

"Sebagai jurulatih saya sentiasa optimis dengan apa juga keputusan dan sehingga kini kita hanya tewas sekali sahaja," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, semua pemain yang diturunkan dalam skuad Kelantan telah menjalankan tugas dengan baik terutama jentera tengah yang banyak mengilhamkan beberapa gerakan yang menarik untuk membuka peluang kepada jentera penggempur melakukan penyudah

Rabu, 2 Jun 2010

Liga Super: Kelantan terus hambat Selangor

SKRIP sama dilakar Selangor untuk terus mengukuhkan kedudukan di takhta Liga Super menerusi kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor di laman lawan manakala Kelantan terus menghambat dengan menumbangkan Perak 2-0, malam tadi.

Di Stadium Sultan Mohd IV, tuan rumah terlepas beberapa peluang pada separuh masa pertama tetapi memecah kebuntuan sebaik babak kedua disambung menerusi Nor Farhan Muhamad sebelum Hairuddin Omar menambah gol kedua pada masa kecederaan.
Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Selangor mencipta kemenangan ke-17 liga menerusi tandukan Mohd Amri Yahyah hasil sepakan sudut Safiq Rahim pada minit ke-29 dan Safiq meletakkan dirinya selaku penjaring pada minit ke-60 manakala gol sagu hati tuan rumah diperoleh hasil sepakan penalti L Ragesh pada minit ke-71.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu turut kekal di tangga ketiga sekalipun seri 1-1 ketika melayan Negeri Sembilan.

Di Stadium Darulaman, Kedah turut gagal memanfaat kelebihan gelanggang sendiri apabila seri 0-0 ketika bertemu pasukan tercorot liga, Pulau Pinang yang menamatkan badi lima kekalahan berturut-turut.

Di Stadium Darulmakmur, Pahang yang menerima kunjungan Kuala Lumpur mencipta kemenangan 1-0 manakala di Stadium MBPJ, dua pasukan kelab, KL Plus dan Johor FC sekadar berkongsi satu mata selepas seri 1-1.

Di Stadium Utama Kangar, Perlis yang melayan kunjungan T-Team terus malang apabila mengutip kekalahan kedua berturut-turut, kali ini 0-1 hasil jaringan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-72.
Admax Supports Eco-Living . Click here for 10 easy things you can do today to go green!
Preview: Kelantan Mahu Menang, Perak impi Satu Mata.

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya

Pemburuan tiga mata dalam saingan Liga Super diteruskan Kelantan malam ini apabila menentang Perak di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.


Pertemuan pertama di Ipoh, kedua-dua pasukan terikat 0-0 manakala rekod pertemuan 2009 memihak kepada Kelantan apabila Sang Kijang menang pada dua pertemuan.

Namun rekod bukan sandaran memburu kejayaan kerana 90 minit yang perlu dihadapi mampu menghadirkan pelbagai kisah coretan yang mungkin mengecewakan.

Berdasarkan perlawanan sebelum ini, Kelantan mungkin menurunkan Khairul Fahmi Che Mat di posisi penjaga gol setelah pemain muda ini menampilkan aksi menyakinkan selain tampil konsisten dalam 8 perlawanan terakhir.

Begitu juga barisan pertahanan. Dijangkakan tiada rombakan besar akan dilakukan B. Sathianathan kerana pemain yang membarisi posisi ini turut menampilkan aksi cemerlang mempertahankan kubu dari dibolosi.

Masih mengharapkan Azizi Mat Rose selaku jeneral utama, Kelantan turut membariskan S. Subramaniam di pertahanan tengah manakala Daudsu dan Farisham akan memperkemaskan benteng pasukan di bahagian kiri kanan.

Dan satu berita gembira dari kem Kelantan ketika ini, Zairul Fitree akan kembali ke dalam pasukan setelah direhatkan tiga minggu akibat kecederaan sewaktu menentang Johor Pasir Gudang.

Pemain simpanan lain seperti Zamri Ramli, Sharudy Aziz dan Rizal Fahmi perlu bersedia untuk dimasukkan andai kata pemain yang berada dalam kesebelasan utama mengalami kecederaan.

Posisi tengah turut menyaksikan kembalinya kapten pasukan dari pengantungan satu perlawanan, Indra Putra Mahayudin dijangkakan akan bergandingan dengan Khairan Eroza, Shakir Shaari dan Norfarhan Mohamed.

Badri Radzi mungkin akan direhatkan kerana gagal memberikan impak kepada barisan tengah setelah tampil mengecewakan sebelum dikeluarkan dari perlawanan di Batu Kawan.

Begitu juga dengan pemain simpanan lain seperti Wan Zaman dan Zulyusri, mereka perlu bersedia kerana khidmat mereka mungkin akan diperlukan pada malam ini.

Walau bagaimana sekali pun kehandalan pemain tengah, jika penyerang gagal melaksa tugasan. Kelantan mungkin mengalami kesukaran untuk menjinakkan Seladang di Kota Bharu. Dikhabarkan Norhshahrul Idlan mengalami sedikit kecederaan menyebabkan status pemain ini masih dalam perhatian pihak kejurulatihan.

Mungkin Norshahrul akan direhatkan bagi memberi laluan wira botak di Pulau Pinang, Hairudin Omar dan Akmal Rizal membarisi sebelas pemain utama.

Akmal Rizal menampilkan persembahan menarik manakala Hairudin menjadi watak penting menghapuskan terus semangat pemain Pulau Pinang. Diharapkan mereka berdua terus konsisten memberikan corak yang mampu membantu pasukan.

Jika gagal, Che Hishamudin yang dimasukkan pada lewat perlawanan dan menjaringkan gol ketiga masih boleh diberi ruang untuk mengecewakan pelawat. Malah Kelantan turut mempunyai pemain muda yang dapat memperagakan aksi memikat seperti Nidzad Ayub.

Namun B. Sathianathan berkuasa penuh mencari barisan impiannya menentang Si Seladang kerana pasukan pelawat boleh dikatakan pasukan yang liat untuk ditundukkan.

Perak bukan calang-calang skuad yang boleh dikcewakan tanpa aksi melawan. Mereka mempunyai penyerang berbisa seperti Razaly Umar dan Saufi Sa'adi. Gandingan penyerang yang mungkin memberikan masalah kepada pemain pertahanan Kelantan.

Selain itu, Perak turut mengharapkan pemain senior yang pernah berbakti di beberapa pasukan handalan, K. Nanthakumar dan Megat Amer Faisal untuk membimbing pemain muda mereka menyerap tekanan perlawanan.

Perak turut tampil menyengat dengan pemain baru walaupun persatuan mereka menghadapi kekangan kewangan selain masalah kepimpinan dari pihak atasan.

Ketua jurulatih mereka, Y.M Raja Azlan Shah Raja Shoib mungkin akan mengatur taktik menyerang secara pantas dan turun secepat mungkin bagi memburu dan mempertahankan pintu gol mereka.

Dikala Sang Kijang mencari tiga mata, Perak mungkin datang dengan tujuan mencari satu mata kerana kehandalan Kelantan memang tidak dinafikan apabila bermain di arena sendiri.

Justeru itu, pemain kelantan yang membarisi skuad utama seharusnya lebih fokus dan hanya memikirkan idea bagaimana untuk memecahkan kebuntuan.

Kemenangan Kelantan memberi tekanan kepada Selangor di puncak liga dan andai kekalahan dicipta, sudah sah Merah Kuning akan sukar dicabar jika mereka menang pada perlawanan malam ini.

Kemenangan menjadi impian dan tiga mata menjadi buruan maka malam ini Stadium Sultan Muhamad kembali bergegar dengan laungan keramat Gomo Kelate Gomo dari penyokong Red warriors yang bertandang.

Sokong dengan bijak, elakkan tindakan tidak bertamadun dan tunjukkan Tentera Merah hadir dengan semangat kesukanan tinggi disamping memberikan sorakan gemuruh kepada pemain yang berjuang diatas padang.

Misi Meneruskan Rentak Kemenangan


Namun ianya telah menjadi 1 memori ngeri semua pemain kerana Kelantan pada waktu itu masih tercari-cari rentak kemenangan dan masih dihantui badi seri. Keserasian pemain masih belum wujud sehingga gagal merebut peluang daripada sebuah pasukan yang dikendalikan oleh pengurusan yang bermasalah. Bagi pemain ketika ditanya dan diimbau kembali cerita ini, hanya tersenyum dan mampu menjawab " itu cerita lama, sekarang kami ditahap lain".

Perlawanan malam ini dijangka sengit kerana kedua-dua pasukan saling memerlukan kemenangan bagi meneruskan aksi menyakinkan kepada semua penyokong masing-masing. Dilihat prestasi Kelantan mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri dengan kehadiran puluhan ribu penyokong fanatik mungkin mampu mencipta kemenangan yang terhidang pada malam ini.

Ketua Jurulatih B. Sathianathan yakin sekiranya keyakinan fokus seperti yang ditunjukkan ketika Penang mendahului 1 gol pada perlawanan sabtu lepas akan memberi satu impak yang maksimun dalam sesuatu perlawanan tidak mustahil sehingga mencipta kemenangan besar diakhir perlawanan. Kelantan tidak akan terlalu yakin pada malam ini, sikap waspada dan merendah diri perlu ditampilkan oleh semua pemain.

Kesebelasan utama Kelantan pada malam ini akan dibarisi semua pemain utama kecuali S. Subramaniam yang digantung perlawanan kerana menerima kad kuning ketiga. Kesihatan fizikal dan prestasi pemain berada dalam prestasi amat baik.

Peminat setia The Red Warriors yakin skuad kesayangannya akan menghadiahkan kemenangan pada malam ini untuk terus menghimpit Selangor dan berehat dengan tenang dalam bulan Jun ini menyaksikan perlawanan Piala Dunia.

Kami menyeru seluruh peminat dan penyokong terus memberi sokongan dan keyakinan kepada semua pemain pada malam ini. Anggaplah kita selaku pemain ke-12 yang bersama memberikan kemenangan kepada pasukan kita.

Sokong Biar Bijak, Dipandang Bijak, Bertindak Bijak, Main Bijak, Bijak Sokmooo...Gomo Kelate Gomo

Selasa, 1 Jun 2010

Kelantan tagih sentuhan Indra sekat Perak

AKSI sepenuh masa kapten, Indra Putra Mahyuddin, kembali ditagih untuk menyekat kemaraan Perak ketika Kelantan berhasrat meneruskan rentak kemenangan dalam buruan tiga mata penuh pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam ini.

Ketua jurulatih Kelantan, B Sathianathan, mengingatkan semua anak buahnya supaya tidak memandang rendah kunjungan Perak yang masih sukar ditangani, malah pernah mengikat Kelantan di Ipoh sebelum ini.
“Kelebihan Perak bergantung kepada pemainnya yang rajin dan sentiasa berusaha keras memburu kemenangan dalam setiap permainan.
“Pada malam esok (malam ini), saya tidak dapat menurunkan S Subramaniam ekoran penggantungan tetapi mengalu-alukan semula aksi Indra Putra yang sebelum ini digantung ketika aksi menentang Pulau Pinang,” katanya semalam.

Sathia berkata, Kelantan perlu mengekalkan kemenangan dan meraih tiga mata penuh pada semua baki perlawanan demi meletakkan pasukan itu di landasan selesa.

“Kemenangan ini bukan untuk mengejar Selangor semata-mata tetapi demi memas tikan Kelantan dapat terus memberi tekanan kepada pendahulu liga itu.

“Selain komitmen tinggi, pemain juga perlu mengekalkan prestasi seperti ketika menewaskan Pulau Pinang 3- 1 Sabtu lalu,” katanya.
Admax Supports Eco-Living . Click here for 10 easy things you can do today to go green!
Sathia: Kelantan perlu fokus pada perlawanan



INDRA (tengah) akan kembali dalam kesebelasan utama Kelantan pada aksi menentang Perak malam ini.


"FOKUS kepada perlawanan dan jangan fikir pasal Selangor."

Demikian ingatan ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan kepada anak-anak buahnya yang akan turun melayan kunjungan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam ini.

Menurutnya, pemain perlu membuang tanggapan bahawa setiap perlawanan adalah untuk mengejar Selangor, sebaliknya mereka perlu memberikan tumpuan sepenuhnya dan berusaha untuk mencari tiga mata dalam setiap perlawanan.

"Perak sebuah pasukan yang kuat. Mereka memiliki ramai pemain yang berbakat serta semangat juang yang kental dalam setiap perlawanan yang mereka hadapi.

"Jika mahu menewaskan mereka, pemain perlu mempamerkan aksi yang terbaik dan harus diingat mereka pernah mengikat kita dengan keputusan seri tanpa jaringan pada aksi pusingan pertama di Ipoh Januari lalu," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau berharap semua pemain dapat mengekalkan rentak permainan sebagaimana aksi bertemu pasukan di tangga tercorot, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

"Walaupun ketinggalan, pemain tetap fokus dan membuktikan mereka mampu melakukannya.

"Inilah yang kita mahukan. Teruskan fokus pada perlawanan dan sentiasa berfikiran positif," ujarnya.

Dalam pada itu, Kelantan dijangka tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan kental, S. Subramaniam yang digantung satu perlawanan.

"Subramanian tidak akan diturunkan akibat mengumpul tiga kad kuning semasa perlawanan dengan Pulau Pinang, Sabtu lalu. Ini bukan satu masalah bagi kita.

"Tempat beliau akan diambil oleh Rizal Fahmi yang akan bergandingan bersama Azizi (Mat Rose), Daudsu (Jamaludin ) dan Mohd. Farisham (Ismail). Saya yakin dia (Rizal) mampu memberikan aksi yang terbaik," ujarnya.

Kelantan menerima khabar gembira apabila kapten pasukan, Indra Putra yang digantung satu perlawanan kembali semula ke dalam kesebelasan utama.

"Kehadiran semula Indra daripada penggantungan merupakan satu tonik buat pasukan. Saya yakin para pemain akan kembali bersemangat untuk turun bertemu Perak malam ini," jelasnya.

RENTAK KEMENANGAN


Catatan Popular